Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali akhirnya berjaya ditemui pada jam 4.53 petang, 24 Disember.
Mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Eng Shao Qi ditemukan di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian sejak 23 Disember, lapor Bernama.
Beberapa minit kemudian, sebuah trak polis yang membawa mayat mangsa dilihat meninggalkan Father’s Organic Farm, menuju ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Penemuan mayat kanak-kanak itu menjadikan angka yang disahkan adalah 31 maut, manakala 61 terselamat yang membabitkan 92 mangsa dalam tragedi yang berlaku pada jam 2.42 pagi 16 Disember lalu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada hari kesembilan.
Sebelum ini, dilaporkan mangsa terakhir ialah pelajar Tahun Lima SJKC Mun Choong.
Kejadian tanah runtuh itu turut meragut nyawa kakak kanak-kanak lelaki berkenaan, yang bersekolah di sekolah rendah sama, dan bapa mereka Gary Eng, yang merupakan pemilik kantin sekolah itu.
Sementara itu, tepukan dan sorakan kegembiraan bergema di perkarangan pusat kawalan operasi bencana tanah runtuh Batang Kali, sebaik anggota mencari dan menyelamat (SAR) membawa mayat mangsa terakhir tragedi itu ke Hospital Sungai Buloh.
Semua anggota pasukan SAR, serta agensi lain yang terlibat dalam operasi itu melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kerja keras dan kejayaan menemukan kesemua mangsa yang terlibat sejak sembilan hari lalu.
Operasi SAR yang bermula sejak 16 Disember lalu melibatkan pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Turut terbabit adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri.
Selain itu, perkhidmatan 11 anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan 11 jentera jengkaut turut digunakan sepanjang sembilan hari operasi SAR, selain bantuan pengesanan menggunakan dua peranti Ground Penetrating Radar (GPR).
Operasi SAR pada 24 Disember dimulakan pada jam 7.30 pagi membabitkan 80 anggota JBPM, ATM, APM dan SMART.
Pilihan Editor: