Cuaca tiba-tiba makin mendingin. Tidur yang pada mulanya nyenyak kini terganggu dek kerana kaki tiba-tiba menjadi kejang. Namun tahukah anda, sakit tidak terperi ini sebenarnya dapat dicegah lebih awal? Mari teruskan bacaan mengenai 6 teknik berkesan untuk rawat kekejangan kaki yang berlaku di tengah malam.

Menurut pengamal perubatan China, Lu Huanyi, secara umumnya kekejangan kaki berpunca daripada dua faktor. Yang pertama ialah kekurangan kalsium dan yang kedua ialah keadaan betis yang sejuk.
Sekiranya anda mengalami kekejangan kaki di tengah malam, apa yang boleh anda lakukan ialah:
- Berehat – Jika tiba-tiba kaki anda kejang, jangan bergerak. Rehatkan kaki itu.
- Regangan – Lakukan regangan pada arah berlawanan otot yang kejang tersebut.
- Mengurut – Lakukan urutan lembut pada otot yang kejang.
- Hangatkan – Gunakan tuala panas untuk menghangatkan otot yang tegang.

Doktor-doktor bersetuju bahawa regangan sebelum tidur mampu mengurangkan risiko berlakunya kekejangan kaki di tengah malam. Selain itu, minum lebih banyak air dan susu, kerap bersenam dan mengambil makanan tambahan juga membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kekejangan ketika tidur.
Li Yanji, seorang pengarah di sebuah klinik pemulihan berkata sejak kebelakangan ini cuaca semakin dingin dan ramai orang sihat termasuk mereka yang sakit menderita kekejangan kaki di tengah malam. Lantaran itu, mereka meminta nasihat dan panduan mengenai cara untuk mengelakkan daripada berlakunya kekejangan di tengah malam khususnya.
Menurut Li Yanji, satu kajian tinjau balik pada tahun 2012 menunjukkan senaman, regangan, pengambilan makanan tambahan atau vitamin seperti B12, magnesium, kalsium mungkin mampu mencegah berlakunya kekejangan kaki.
Manakala dapatan kajian pada tahun 2010 pula menunjukkan dorsiflexion buku lali (pergerakan tapak kaki dinaikkan mendekati buku lali) yang boleh dilakukan semasa melakukan regangan atau serangan akut turut membantu mencegah berlakunya kekejangan kaki di tengah malam.

Oleh itu, untuk mencegah kekejangan, Li Yanji mencadangkan 6 teknik berkesan iaitu:
- Melakukan regangan otot dan sendi sebelum tidur.
- Minum lebih air.
- Minum lebih susu.
- Banyakkan bersenam.
- Memberi lebih perhatian pada kehangatan kaki seperti memakai stoking, memakai seluar panjang, menggunakan selimut dan lain-lain.
- Mengambil makanan tambahan atau vitamin seperti kalsium yang terdapat dalam susu, daging, ikan, telur, sayuran hijau dan lain-lain.

Namun begitu, beliau mengingatkan agar pesakit kronik mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Selain yang disebutkan di atas, anda boleh rawat kekejangan kaki dengan meletakkan bantal atau tuala sekitar 10 hingga 15 sentimeter tinggi di bawah lutut. Ini kerana, teknik ini mampu mengurangkan tekanan pada kaki.
Selamat mencuba!