Bagi kanak-kanak yang baru pertama kali menjejakkan kaki di sekolah, pastinya pelbagai perasaan yang mereka alami. Ada antaranya yang berasa gembira, teruja, tidak sabar mahu mempunyai rakan-rakan baharu, dan ada juga antaranya berasa gementar, takut kerana bersendirian dan macam-macam lagi.
Walau bagaimanapun, lain pula kisahnya yang terjadi kepada seorang budak perempuan yang pada mulanya berasa sangat teruja untuk ke sekolah namun perasaan itu dengan pantas berubah apabila pulang dari sekolah.
Menerusi kiriman video yang dikongsi oleh Farahani yang merupakan ibu kepada budak perempuan itu, sebelum ke sekolah, anaknya itu berasa sangat teruja dan gembira kerana mahu ke sekolah dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu.
Namun, tanpa sesekali diduga olehnya, anaknya pulang dari sekolah dengan perasaan yang jauh sekali bertentangan dengan perasaan asalnya. Bukan itu sahaja, anaknya juga dilihat menangis teresak-esak kerana terlalu kecewa.
Menurut perkongsian Farahani dalam teks yang ditulis dalam video, anaknya menangis kerana dia tidak boleh berkenalan dengan rakan-rakan sebayanya, hanya kerana satu sebab – dia tidak pandai bertutur Bahasa Melayu.
Disebabkan itu, anak perempuannya telah dipinggirkan oleh rakan-rakannya di sekolah. Kasihan betul…
Menerusi video yang dimuatnaik pada 21 Mac lalu itu, Farahani turut meluahkan rasa serbasalah kerana menurutnya, perkara ini mungkin berlaku disebabkan oleh dirinya yang tidak mendedahkan anaknya untuk belajar bertutur dalam Bahasa Melayu sejak kecil.
“Tak pernah terfikir boleh jadi begini. Maafkan mama, sayangku,” tulis Farahani dengan penuh sesal.
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 2.6 juta tontonan, lebih dari 103,600 sukaan dan 6,355 komen daripada warganet yang kebanyakannya memberi kata-kata semangat dan cuba untuk meniupkan aura positif buat kedua anak-beranak ini.
“Jangan bimbanglah adik, anak saya yang baru memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan juga tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu buat masa ini. Teruskan dengan senyuman dan dalam masa yang sama teruskan belajar.”
“Tidak mengapa, anak buah saya juga dahulunya hanya tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris sahaja, kemudian neneknya menegur supaya dia diajar bertutur dalam Bahasa Melayu kerana dibimbangi sukar untuk berkawan di sekolah nanti. Jadi kami ubah (cara kami), apabila dengan saya, kami akan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Syukurlah sekarang dia sudah mahir bertutur dan faham kedua-dua bahasa. Cuba bahagikan, contohnya si ayah bercakap dalam Bahasa Melayu, dengan ibu bercakap dalam Bahasa Inggeris. InsyaAllah boleh berjaya, sebab IQ budak-budak lagi cepat”
“Rasanya (kawan-kawan) bukannya tidak mahu bergaul cuma mereka tidak faham (apabila bersembang). Tak mengapa, sama-samalah belajar. Nanti pasti akan dapat rakan baik.”
“Tidak mengapa, ajaklah dia bercakap dalam Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Budak-budak (sifatnya) seperti span, cepat menyerap. Cuba lebih lagi, bersabarlah. Pasti ada hikmahnya”
Memang sayu mendengar luahan sedih adik yang comel ini. Tidak mengapalah, semoga untuk hari-hari mendatang, dengan berada dalam kumpulan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, adik ini akan lebih terbiasa dengan Bahasa Melayu dan seterusnya boleh fasih berbahasa Melayu dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan putus semangat!
Dimana-mana negara sekalipun, lesen kenderaan adalah salah satu ‘tiket’ rasmi utama yang digunakan bagi mengesahkan kelayakan seseorang untuk memandu kenderaan. Disebabkan itu, hanya individu yang menepati syarat-syarat tertentu dan yang berjaya melepasi ujian memandu yang ditetapkan sahaja yang dapat menerima lesen kenderaan.
Walau bagaimanapun, usaha yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh seorang wanita warga emas dari Korea Selatan ini untuk mendapatkan lesen kenderaan sememangnya boleh menjadi inspirasi buat orang ramai.
Bak kata peribahasa Melayu, ‘alah bisa, tegal biasa,’ usaha Cha Sa-soon yang berumur 69 tahun yang sudah 960 kali mencuba untuk mendapatkan lesen kenderaan akhirnya telah berjaya lulus kesemua ujian bagi mendapatkan lesen berkenaan. Untuk Sa-soon, lesen kenderaan ini adalah penting baginya kerana Sa-soon mempunyai perniagaan sayuran dan dengan memilki lesen kenderaan, pergerakannya akan menjadi lebih mudah.
Menurut perkongsian Kosmo!, Sa-soon pertama kali menduduki ujian bertulis untuk mendapatkan lesen kenderaan pada bulan April 2005. Namun, cubaan pertama kalinya itu telah gagal dan hal itu membuatkan Sa-soon terus mengambil ujian yang sama semula pada setiap hari, lima hari seminggu selama tiga tahun lamanya.
Walau bagaimanapun, selepas 780 kali mencuba dan tetap juga gagal setiap kalinya, Sa-soon memutuskan untuk hanya mengambil ujian bertulis itu sebanyak dua kali seminggu sahaja sehingga dia akhirnya lulus ujian bertulis itu dan boleh menjalani ujian praktikal latihan memandu pula.
Semasa menjalani ujian praktikal itu pula, Sa-soon turut berdepan dengan cabaran yang hampir sama kerana Sa-soon tetap juga gagal dalam ujian. Namun, setelah 10 kali kegagalan, Sa-soon akhirnya telah melepasi segala ‘halangan’ dan berjaya mendapatkan lesen kenderaan yang sah atas namanya.
Secara keseluruhannya, Sa-soon telah menjalani sebanyak 960 kali ujian dan membelanjakan lebih dari £11,000 (RM59,644) hanya untuk melepasi dua peringkat ujian bagi mendapatkan lesen kenderaan di negara empat musim itu.
Oleh kerana Sa-soon sudah terlalu lama mengambil ujian memandu, guru memandunya berkongsi bahawa semua pekerja di pusat memandu itu turut sama berasa lega dan gembira dengan kelulusan Sa-soon.
“Apabila dia akhirnya mendapat lesen, kami semua keluar sambil bersorak dan memeluknya serta memberinya bunga,”
“Perasaan kami adalah ibarat beban besar telah dialihkan daripada belakang kami. Kami tidak berani menyuruhnya berhenti kerana dia tidak sesekali berputus asa,” kata guru itu.
Sememangnya, semangat dan sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan oleh Sa-soon untuk mencapai matlamatnya layak dijadikan inspirasi kepada orang ramai. Berusahalah, selagi masih terdaya, tiada apa yang boleh menghalang kita!
Ahli Kongres dan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok terlibat dalam siri perdebatan hangat tentang hubungan aplikasi berkenaan dengan rejim komunis China, ketika Dewan mengadakan persidangan mengenai amalan data peribadi sensitif pengguna oleh TikTok.
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew menghadiri perbicaraan Dewan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan untuk pertama kalinya, dalam usaha untuk mempertahankan amalan data peribadi sensitif syarikat dan kaitannya dengan Parti Komunis China (PKC), yang memerintah China sebagai negara satu-parti.
WASHINGTON, DC – 23 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan di Bangunan Pejabat Dewan Rayburn di Capitol Hill pada 23 Mac 2023 di Washington, DC. Perbicaraan itu merupakan peluang yang jarang berlaku bagi penggubal undang-undang untuk menyoal ketua aplikasi video media sosial itu tentang hubungan syarikat dengan pemilik Chinanya, ByteDance, dan cara mereka mengendalikan data peribadi sensitif pengguna. Beberapa agensi kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan telah melarang penggunaan TikTok oleh pekerja mereka, kerana kebimbangan mengenai keselamatan negara. (Foto oleh Chip Somodevilla/Getty Images)
Pengerusi Jawatankuasa, Cathy McMorris Rodgers (R-Wash.) membuka perbicaraan berkenaan dengan beberapa dakwaan yang mengecam hubungan antara TikTok dengan rejim komunis China melalui syarikat induknya yang berpangkalan di China iaitu ByteDance.
“Undang-undang PKC memerlukan syarikat China seperti ByteDance untuk mengintip bagi pihak mereka,” kata Rodgers. “Ini bermakna mana-mana syarikat China mesti memberikan akses kepada PKC dan mempunyai keupayaan manipulasi sebagai ciri reka bentuk.”
“TikTok mengawasi kita semua, dan Parti Komunis China (PKC) dapat menggunakan (platform) ini sebagai alat untuk memanipulasi Amerika secara keseluruhan. Kami tidak percaya TikTok akan menerima nilai-nilai Amerika.”
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Berusaha untuk Menjauhkan Diri daripada ByteDance
Perbicaraan itu dibuat ketika Kongres dan pentadbiran Biden meneroka kemungkinan untuk memaksa TikTok dijual kepada syarikat Amerika atau jika tidak berjaya, aplikasi itu akan disekat sepenuhnya di Amerika Syarikat kerana faktor kebimbangan keselamatan negara.
Walaupun Chew telah berusaha untuk memisahkan imej TikTok daripada ByteDance yang berpangkalan di China, dia sendiri bagaimanapun mempunyai hubungan yang kuat dengan syarikat itu, kerana sebelum ini Chew pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan ByteDance di Beijing sebelum ini.
Selain itu, Chew dilaporkan merupakan salah seorang daripada hanya 12 eksekutif yang boleh membuat laporan langsung kepada Ketua Pegawai Eksekutif ByteDance, Liang Rubo, seperti yang pertama kali dilaporkan oleh The Information.
Disamping itu, jelas dapat dilihat bahawa aplikasi TikTok dan ByteDance adalah entiti yang tidak boleh dipisahkan kerana sifat ini dapat disaksikan sepenuhnya ketika Chew tiba untuk perbicaraan dan Chew diapit oleh pelobi terkenal ByteDance, termasuk Michael Beckerman. Walaupun Beckerman berkhidmat sebagai pegawai perhubungan kerajaan tertinggi TikTok, dia akhirnya akan melaporkan aktivitinya kepada kerajaan A.S. di bawah nama ByteDance.
Apabila ditanya oleh Rep. Gary Palmer (R-Ala.) tentang kehadiran Beckerman dan keengganannya sebelum ini untuk mengakui tentang pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap etnik Uyghur di wilayah Xinjiang China, Chew pada mulanya mengelak.
“Boleh saya jelaskan siapa yang awak maksudkan?” Chew bertanya.
“Anda tahu dia ada di sini,” kata Palmer. “Dia duduk betul-betul di belakang awak.”
Chew kemudiannya membantah, dan mengakui bahawa Beckerman adalah antara kakitangan yang telah menyediakannya untuk wawancara dengan Kongres.
Begitu juga, Chew nampaknya cuba untuk mengaburkan lagi hubungan yang dimiliki oleh TikTok dan ByteDance dengan PKC dan enggan mengakui bahawa ByteDance adalah sama sekali merupakan syarikat China, serta Chew berulang kali menegaskan bahawa ia adalah syarikat global yang menjalankan aktiviti di China.
ByteDance mempunyai ibu pejabat di Beijing dan mempunyai beberapa ahli jawatankuasa PKC dalam syarikat itu.
Apabila didesak mengenai isu sama ada data TikTok akan diberikan kepada PKC kerana undang-undang China yang memerlukan semua data diserahkan kepada rejim atas permintaan, Chew sekali lagi menafikan dakwaan itu.
Menjawab persoalan itu, Chew berkata bahawa ia adalah dakwaan yang “tidak benar” bahawa TikTok mematuhi mana-mana undang-undang China, dan seterusnya mendakwa bahawa ByteDance tidak dimiliki oleh PKC dalam apa cara sekalipun.
“ByteDance bukan ejen China atau mana-mana negara lain,” kata Chew.
“Ia tidak dimiliki atau dikawal oleh mana-mana kerajaan atau entiti negeri.”
Dakwaan Chew ini seterusnya bercanggah dengan laporan bahawa PKC telah membeli sebahagian daripada saham langsung dalam ByteDance Beijing Technology pada tahun 2021. Pembelian itu juga seterusnya membenarkan rejim komunis itu untuk melantik secara langsung individu bagi jawatan Pengarah Lembaga di ibu pejabat ByteDance di Beijing.
Apabila ditanya secara langsung sama ada Chew mengetahui tentang pelaburan PKC ini secara lebih awal, Chew kelihatan turut menafikan dakwaan itu.
“Ini tidak berlaku,” kata Chew.
Kongres Mempunyai ‘Sifar Keyakinan’ pada TikTok
Wakil Cathy McMorris Rodgers (R-Wash.), pengerusi Dewan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan bercakap semasa perbicaraan dengan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew di hadapan Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan di Bangunan Pejabat Dewan Rayburn di Capitol Hill pada 23 Mac, 2023. (Chip Somodevilla/Getty Images)
Pengerusi Rodgers menyatakan kebimbangan terhadap keengganan jelas Chew untuk mengakui hubungannya dengan ByteDance dan, akhirnya, dengan PKC.
Disebabkan itu, Rodgers memetik jurucakap kementerian perdagangan PKC, yang secara terbuka mengecam potensi penjualan TikTok kepada sebuah syarikat Amerika hanya beberapa jam sebelum keterangan Chew, dan mengatakan bahawa penjualan secara paksaan itu akhirnya akan diputuskan oleh rejim komunis.
“PKC percaya mereka mempunyai kata putus ke atas syarikat anda,” kata Rodgers.
“Saya tidak yakin dengan dakwaan anda bahawa ByteDance dan TikTok tidak terikat dengan PKC.”
Beberapa organisasi telah memberi amaran tentang “jawatankuasa parti dalaman” dalam syarikat ByteDance. Kumpulan Pembela Hak Asasi Manusia Watch berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Naib Presiden ByteDance Zhang Fuping, dan pekerjanya “sering berkumpul untuk mengkaji ucapan Presiden Xi Jinping dan berjanji untuk mengikut parti dalam inovasi teknologi.”
Sebelum berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan ByteDance, Chew sendiri adalah seorang eksekutif di Xiaomi Technology, sebuah syarikat yang berpangkalan di Beijing yang kemudiannya digambarkan sebagai “syarikat tentera China komunis” oleh Pentagon.
Begitu juga, Chew berkhidmat sebagai ahli lembaga di Kingsoft Cloud, yang telah disenaraihitamkan sebagai ancaman “keselamatan negara” pada Januari 2021.
Untuk itu, Rodgers berkata bahawa syarikat itu telah menunjukkan kesediaan berterusan untuk membantu barisan parti rejim, dan kelihatan lebih bersedia untuk menggunakan kuasa dan pengaruhnya daripada melakukan apa yang perlu untuk melindungi rakyat Amerika.
“TikTok telah berulang kali memilih laluan untuk mendapat lebih kawalan, lebih banyak pengawasan dan lebih banyak manipulasi,” kata Rodgers.
OSAKA – Seorang penjawat awam wilayah Osaka, Jepun dilaporkan terpaksa menerima ‘hukuman’ potongan gaji sebanyak 10% setiap bulan untuk tempoh masa enam bulan dan diarahkan untuk memulangkan sejumlah wang bernilai 1.44 juta yen (RM48,359.84) kepada pihak majikannya hanya kerana telah “mencuri” masa kerja sebanyak 4,512 kali untuk merokok.
Menurut laporan laman The Mainichi, kakitangan berkenaan telah melakukan perkara berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatannya yang berjumlah 14 ½ tahun.
Tindakan yang diumumkan pada 20 Mac lalu ini secara keseluruhannya melibatkan tiga orang pekerja dari Bahagian Kewangan di pejabat wilayah berkenaan dan masing-masing menerima tindakan potongan 10% dari gaji bulanan mereka yang berkuatkuasa selama enam bulan.
Antara tiga orang kakitangan terlibat, salah seorangnya daripadanya adalah seorang kakitangan berumur 61 tahun yang didakwa telah ‘mencuri’ masa kerja sebanyak 355 jam dan 19 minit untuk merokok ketika waktu bekerja. Dapatan ini adalah hasil daripada siasatan dalaman yang dilakukan oleh pihak majikan.
Habit buruk yang dilakukan oleh kakitangan berkenaan pada mulanya dihidu apabila Bahagian Sumber Manusia di pejabat itu menerima aduan tentang perkara itu dan setelah disiasat dengan teliti oleh penyelia pejabat, barulah tindakan berkenaan dikenakan.
Berdasarkan laporan, pada mulanya pejabat itu telah memberi amaran kepada ketiga-tiga kakitangan berkenaan sebagai langkah pertama sebelum tindakan diambil. Namun, selepas penyelia berkenaan secara senyap mengekori kakitangan yang terlibat, mereka bertiga dilihat masih lagi berdegil dan tetap juga melakukan perkara yang sama berulang-kali.
Selain itu, apabila satu soal siasat diadakan pada bulan Disember 2022 sebelum tindakan akhirnya diambil pada tahun ini, ketiga-tiga kakitangan itu juga didakwa telah menipu dengan menafikan bahawa mereka telah merokok sewaktu masa bekerja setelah menerima amaran.
Disebabkan oleh keinginan mereka yang sangat kuat untuk merokok dalam waktu kerja, pejabat itu akhirnya terpaksa mengambil tindakan yang dinyatakan kerana kesalahan yang dilakukan ini telah melanggar ikrar penjawat awam di bawah Akta Perkhidmatan Awam Tempatan Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi TikTok milik China pada 23 Mac enggan mengambil pendirian mengenai rekod hak asasi manusia China, dengan mengatakan bahawa platformnya membenarkan pengguna untuk “menyuarakan pandangan mereka secara bebas mengenai isu ini.”
“Ahli Kongres, jika anda menggunakan aplikasi kami, dan anda membukanya, anda akan menemui pengguna kami yang memberikan semua jenis kandungan pada platform,” kata CEO TikTok Amerika Syarikat, Shou Zi Chew kepada Rep. Debbie Lesko apabila ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa “kerajaan China telah menganiaya populasi Uyghur.”
“Itu bukan soalan saya,” jawab Ahli Republikan Arizona itu. “Soalan saya, adakah anda bersetuju bahawa kerajaan China telah menganiaya populasi Uyghur?”
Rep. Debbie Lesko (R-AZ). (Gambar oleh Greg Nash-Pool/Getty Images)
“Sungguh membimbangkan untuk mendengar tentang semua akaun penyalahgunaan hak asasi manusia, peranan saya di sini adalah untuk menerangkan apa yang platform kami lakukan mengenai perkara ini,” jawab Chew.
Lesko memotong kenyataan Chew dan menuduhnya “agak pandai mengelak.”
“Ia soalan yang agak mudah,” katanya, mengulangi soalan itu untuk kali ketiga, yang Chew sekali lagi mengelak daripada memberikan jawapan langsung, dengan mengatakan “sebagai platform kami membenarkan pengguna untuk menyatakan pandangan mereka secara bebas mengenai isu ini dan sebarang isu lain di Amerika Syarikat.”
Pertukaran soal jawab itu berlaku pada pendengaran Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Dewan Perwakilan, di mana ahli Kongres memalu bertubi-tubi eksekutif TikTok berhubung hubungan syarikat itu dengan China dan amalan privasi datanya.
Duduk di belakang Chew ialah naib presiden TikTok dan ketua dasar awam untuk TikTok Amerika Syarikat, Michael Beckerman yang dalam temu bual CNN pada Disember lalu berulang kali enggan menangani layanan Beijing terhadap etnik Uyghur di Xinjiang. Chew mengakui bahawa Beckerman adalah salah seorang ahli pasukan yang membantunya menyediakan keterangan.
CEO TikTok Shou Zi Chew berbincang bersama Naib Presiden TikTok Amerika Syarikat Michael Beckerman. (Gambar oleh Chip Somodevilla/Getty Images)
Shou Zi Chew, walaupun keberatan untuk mengenal pasti syarikat induk TikTok sebagai berpangkalan di China, mengakui pada perbicaraan bahawa syarikatnya masih mempunyai beberapa data yang perlu mereka padamkan daripada pelayan luar negara, sambil menambah beliau percaya “kami akan dapat menyelesaikannya pada tahun ini.”
TikTok juga telah menghadapi penyiasatan di negara lain. Pada hari Khamis, Parlimen United Kingdom mengumumkan keputusan untuk menyekat aplikasi itu daripada semua peranti parlimen, mengikut jejak langkah Belgium, Kanada, New Zealand dan cawangan eksekutif Kesatuan Eropah, Suruhanjaya Eropah.
Pada perbicaraan itu, Chew yang berasal dari Singapura nampaknya telah meyakinkan beberapa orang bahawa syarikatnya mampu berdiri bebas daripada pengaruh rejim.
“Anda benar-benar mengikat diri anda untuk mengelak daripada mengkritik layanan PKC terhadap populasi Uyghur,” kata Rep. Kelly Armstrong (R-N.D.), naib pengerusi jawatankuasa itu dalam perbicaraan kemudiannya.
“Jika PKC menuntut ByteDance menyerahkan semua data yang mereka ada pada pengguna A.S. dalam simpanan mereka dan ByteDance enggan, saya tertanya-tanya apa yang akan berlaku. Saya tertanya-tanya sama ada Jack Ma mungkin mempunyai pendapat mengenainya,” katanya merujuk kepada pengasas gergasi e-dagang China Alibaba.
Ma hilang daripada pandangan umum selama berbulan-bulan pada 2020, tidak lama selepas beliau menyelar sistem kawal selia China. Ini akhirnya membawa kepada rejim menarik tawaran awam permulaan AS$37 bilion Ant Group, gergasi teknologi kewangan yang dikawal oleh Ma. Pegawai China juga melancarkan siasatan anti persaingan terhadap Alibaba, yang merupakan sebahagian daripada Ant Group, pada Disember tahun itu.
CEO TikTok Amerika Syarikat Shou Zi Chew. (Gambar oleh Tasos Katopodis/Getty Images)
Lesko kemudian memberitahu The Epoch Times beliau “terkejut” dengan jawapan CEO TikTok itu.
“Saya bertanya soalan mudah ya atau tidak—adakah beliau bersetuju bahawa kerajaan China telah menganiaya populasi Uyghur? Namun, beliau enggan menjawab soalan saya selepas ditanya beberapa kali,” katanya.
“Ini menunjukkan kepada saya bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, dan dengan itu TikTok, dipengaruhi oleh kerajaan China, dan saya akan terus mempertanggungjawabkan TikTok untuk ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh aplikasi itu kepada anak-anak kita dan negara kita,” tegas Debbie Lesko.
Lapan individu telah memfailkan tuntutan saman terhadap Rapid Rail dan Prasarana kerana didakwa cuai berhubung nahas LRT Laluan Kelana Jaya yang berlaku pada Mei 2021.
Menurut New Straits Times, kesemua lapan individu terbabit menjadi penumpang di dalam LRT yang telah bertembung dengan sebuah tren kosong pada malam insiden 24 Mei 2021.
Nahas berlaku antara stesen KLCC dan Kampung Baru antara jam 8 malam dan 9 malam, yang telah mencederakan 213 penumpang.
Gambar Malay Mail
Menteri Pengangkutan ketika itu Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kesilapan teknikal dan kehilangan komunikasi antara hos kereta api dan pusat kawalan operasi (OCC) adalah antara faktor yang membawa kepada kejadian berlaku.
Lapan plaintif mendakwa mereka mengalami kecederaan fizikal akibat kemalangan itu, yang telah menjejaskan mata pencarian masing-masing.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan menerusi Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac, plaintif menamakan Rapid Rail dan Prasarana sebagai defendan pertama dan kedua.
Gambar Malay Mail
“Defendan gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan plaintif dan penumpang lain di dalam tren.
“Kecuaian kedua-dua defendan telah mengakibatkan kecederaan fizikal dan kerugian lain terhadap semua plaintif,” kata pernyataan tuntutan.
“Kedua defendan gagal memastikan LRT yang digunakan beroperasi dengan selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.
“Mereka juga gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyumbang kepada insiden itu.
Gambar Malay Mail
“Kedua-dua defendan juga gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengelak kemalangan dan gagal untuk memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” tambah pernyataan tuntutan itu lagi.
The Vibes melaporkan bahawa mangsa mengalami kecederaan seperti luka di kepala, gigi patah, gegaran otak, kemurungan, dan lain-lain.
Menurut mereka, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd ketika itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut memperkecilkan kemalangan tidak serius dengan berjenaka bahawa kedua-dua kereta api ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika berucap dalam sidang media berhubung kejadian berkenaan.
Gambar New Straits Times
Justeru, semua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman.
Mereka turut menuntut ganti rugi khas dan faedah pada kadar sama dari tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman dibuat di mahkamah.
Walau bagaimanapun, jumlah yang dituntut belum dapat ditentukan.
Saman itu difailkan oleh Tengku Amalie Tengku Alaudin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuralliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd K Jayabee, 36; dan Muhammad Firdaus Bin Mohd Saleh, 35.
Dalam satu kejadian yang agak menarik luar biasa, sebuah lukisan “berkepentingan negara” yang dipercayai berusia 400 tahun telah ditemui di sebuah pangsapuri di Micklegate, bandar York di utara England ketika pemiliknya sedang membuat pengubahsuaian dapur.
BBC melaporkan, tuan rumah Luke Budworth, seorang penyelidik perubatan di Universiti Leeds, bersama pasangannya Hazel Mooney, dan anjing peliharaannya telah berpindah ke pangsapuri berkenaan pada Oktober 2020. Beliau sedang mengubah suai dapurnya pada tahun lalu apabila mendapati terdapat lukisan dinding berukuran kira-kira 9 kaki x 4 kaki berada betul-betul di bawah siling.
Gambar Ancient Origin
Budworth berkata beliau “sangat teruja” ketika menemui lukisan itu dan menggesa untuk pemuliharaanya untuk generasi akan datang.
“Saya mengeluarkan alatan saya dan mula memotong papan. Sebaik sahaja saya mengangkat panel itu, di situlah, warna-warna cantik, dengan beberapa lapisan kertas dinding yang masih tinggal dari era Victoria,” jelasnya.
Penyiasatan awal yang dilakukan oleh Budworth mendedahkan lukisan itu memaparkan adegan dari sebuah buku bernama Emblems yang ditulis oleh penyair Francis Quarles pada tahun 1635. Karya seni, yang dilukis terus pada plaster dinding, dipercayai berasal dari abad ke-17.
Gambar Ancient Origin
Menurut laporan CNN, hiasan dinding yang baru dibongkar itu menggambarkan adegan kitab Injil di mana seorang lelaki dalam sangkar ditarik oleh malaikat. Terdapat juga seorang lelaki di dalam kereta putih yang “kelihatan seperti seorang yang menunggang ke kerajaan syurga.”
Ekoran penemuan lukisan bersejarah itu, Budworth menghubungi Historic England, sebuah badan awam yang menjaga tapak dan persekitaran bersejarah negara, dan pasukan itu membantunya mencari lebih banyak butiran dan kepentingan lukisan itu.
Wakil Historic England meninjau karya seni itu dan mengambil beberapa gambar profesional dan Budworth diberi replika hiasan bersaiz sebenar dan berkualiti tinggi serta dinasihatkan untuk menutupnya bagi mengekalkannya keasliannya, tambah laporan itu.
Gambar Ancient Origin
Simon Taylor, penyiasat seni bina kanan Historic England wilayah utara, berkata ia adalah “penemuan semula yang menarik”. “Kami fikir ia mempunyai kepentingan kebangsaan dan dalam konteks York, di mana lukisan dinding domestik agak jarang ditemui, jadi ia menarik minat khusus,” tambahnya.
Lukisan itu pada mulanya ditemui pada 1998 dan diambil gambar sebelum ditutup semula dengan sebahagian besarnya telah dilupakan, tambah laporan itu.
Menurut Ancient Origin, penemuan karya seni tersembunyi itu mengejutkan, kerana ia mendahului bangunan itu sendiri iaitu bangunan Georgia tersenarai Gred II dari 1747. Rumah Budworth nampaknya telah dibina di sekeliling dinding sedia ada, dan hiasan dinding berkemungkinan dilukis terlebih dahulu sebelum rumah itu dibina.
Gambar Ancient Origin
Penemuan ini menyerlahkan sejarah kaya dengan budaya dan tradisi di kejiranan Micklegate di York yang telah menjadi lokasi penting semasa zaman Rom, Viking dan zaman pertengahan.
Hari ini, kejiranan ini terkenal dengan seni bina yang indah, jalan-jalan yang cantik dan menawan serta komuniti yang meriah. Banyak bangunan di Micklegate telah dipelihara dan dipulihkan dengan teliti selama bertahun-tahun, termasuk gereja, muzium dan rumah bersejarah. Kawasan ini juga menempatkan beberapa restoran, kafe dan kedai popular, yang sentiasa menarik pengunjung serta para pelancong dari seluruh dunia.
Seorang pekerja kilang pengsan akibat terhidu ikan busuk. Kejadian yang berlaku pada 25 Mac lalu di sebuah kilang pemprosesan ikan di Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dikatakan berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang telah busuk dibuka.
Lelaki berusia 23 tahun yang bernama Jirol Carumpi adalah antara lima lagi rakan sekerja berusia 19 hingga 38 tahun yang menerima rawatan perubatan susulan kejadian pada pukul 8 malam tersebut.
Menurut laporan daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) telah dihantar ke jeti kilang tersebut sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam.
Menurut jurucakap agensi tersebut, pasukan HAZMAT yang datang dengan segala kelengkapan perlindungan diri telah menjalankan ujian ketoksikan. Namun tiada kesan bahan kimia berbahaya ditemui.
Katanya lagi, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans manakala empat yang lain menaiki kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu terlibat dalam operasi yang ditamatkan pada pukul 10.08 malam itu.
Hubungan antara guru dan anak murid adalah salah satu pertalian yang berlandaskan rasa ikhlas dan kasih sayang terhadap anak bangsa. Disebabkan itu, ada antara guru-guru yang sanggup berkorban apa yang termampu baginya untuk membantu anak-anak muridnya supaya menjadi insan yang berjaya.
Begitulah yang berlaku pada seorang guru bernama Cikgu Pak Lin Haw, yang sanggup berkorban wang ringgit dari sumber peribadinya demi membantu seorang anak didiknya, Norasiah Jamil, pada tahun 1987 untuk menyambung pelajaran di universiti idamannya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Norasiah yang kini sudah dalam lingkungan umur 50-an, Cikgu Pak yang mengajarnya subjek kimia semasa dia di tingkatan lima itu dahulunya mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar, Kuantan, Pahang dan maklumat yang diketahuinya hanyalah Cikgu Pak berkahwin dengan Encik Phua yang berasal dari Sekinchan.
Dengan membawa kisah yang menyentuh hati ini ke laman Facebook, Norasiah berhasrat untuk mencari semula Cikgu Pak untuk membalas jasa baiknya yang pernah membantunya ketika dia dalam keadaan yang susah pada satu ketika dulu.
“(Saya) sudah mahu berhenti belajar sebab keluarga (saya) tidak mampu (kerana baru berpindah ke Felda pada tahun 1986) walaupun saya sudah menerima tawaran. Cikgu Pak sanggup mengeluarkan duit dia dan mencari sumbangan dari PIBG untuk membayar yuran pendaftaran ke UTM pada tahun 1988,” tulis Norasiah tentang jasa baik Cikgu Pak.
Berikutan kiriman Norasiah ini, ramai warganet berusaha untuk menyebarluaskan kiriman ini bagi mencari Cikgu Pak kerana yang pastinya, ramai antara warganet turut berasa terharu dengan kisah yang dikongsikan oleh Norasiah ini.
Sehinggalah akhirnya, menerusi kiriman yang telah dikemaskini, Norasiah telah mengumumkan berita gembira bahawa dia telahpun mengetahui keberadaan Cikgu Pak dan sedang dalam usaha untuk bertemu dengan cikgu yang banyak berjasa kepadanya itu.
“Terima kasih (buat) rakan-rakan yang menghubungi saya. Dari kawasan Kuantan sehingga United Kingdom pun ada (yang menghubungi saya),” tulisnya. “Cikgu Pak telah menyentuh hati saya dengan kebaikannya, yang saya akan sentiasa ingat selagi saya masih hidup. Padanya mungkin itu adalah perkara yang kecil, tetapi untuk saya perkara itu telah mengubah kehidupan saya,” tambah Norasiah terharu.
Selepas 36 tahun berpisah dan kini Norasiah sudahpun menjadi seorang insan yang berjaya dalam bidang perniagaan selepas tamat pelajarannya di UTM, kini Norasiah berkesempatan untuk menemui semula Cikgu Pak yang telah menjadikan impian Norasiah satu kenyataan pada satu masa dahulu.
Interaksi yang baik antara adik-beradik adalah salah satu cerminan didikan yang diterima daripada ibu bapa yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan. Dan tidak keterlaluan juga jika dikatakan, interaksi yang baik dari usia muda boleh membawa kepada hubungan yang akrab dalam sesebuah institusi keluarga apabila anak-anak meningkat dewasa.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila satu interaksi comel antara si abang dengan adiknya dalam kelas telah mendapat perhatian ramai warganet kerana gelagat antara keduanya menunjukkan sifat penyayang dan ambil berat seorang abang kepada adiknya.
Walau bagaimanapun, yang menjadi perhatian adalah kerana fakta bahawa sosok abang itu sendiri yang baru berumur enam tahun, tetapi sudah begitu mengambil berat tentang adiknya.
Menerusi kiriman oleh @maderanne di laman TikTok, video menunjukkan situasi di dalam kelas tadika apabila seorang abang kecil yang membantu adiknya untuk menyesuaikan diri ketika hari pertama persekolahan. Dapat dilihat, si abang dengan matangnya membantu adiknya untuk membuka beg sekolah dan membantu adiknya untuk menyangkut beg tersebut pada kerusi yang diduduki oleh adiknya itu.
Setelah selesai menyangkut beg sekolah, si abang kemudiannya datang di bahagian sisi adiknya untuk membantu memasang tanda nama pada bahagian kolar adik perempuannya itu pula. Yang comelnya, si adik jelas kelihatan tenang, tetapi dalam masa yang sama matanya turut meliar memerhatikan keadaan keliling kelas untuk menyesuaikan dirinya.
Tidak cukup dengan itu, si abang turut dilihat sempat membetulkan uniform yang dipakai oleh adiknya sebelum akhirnya menepuk-nepuk belakang adiknya untuk menenangkan adiknya yang mungkin sedikit gelisah pada hari pertama bertemu rakan-rakan baharunya itu.
Setelah siap semuanya, si abang akhir sekali sempat juga mengusap kepala adiknya sebagai tanda kasih sebelum dia dengan tenang berlalu pergi sambil diperhatikan oleh adiknya itu. Maco betul abang kecil ini!
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun menerima tontonan sebanyak 7,744 tontonan, dengan 718 sukaan dan 126 komen dari warganet yang rata-ratanya berasa geram dengan interaksi comel yang ditunjukkan oleh adik-beradik yang comel ini.
“Keluar air mata saya menonton (video) ini. Syukurlah abang yang menyayangi adik. Mengusap rambut (adik) kemudian melambai lagi”
Rasanya, si adik tidak perlu risau jika terdapat apa-apa masalah di sekolahnya selepas ini kerana si abang ‘besar’ yang kecil ini pasti akan membantunya dengan segera!