Dalam satu kejadian yang agak menarik luar biasa, sebuah lukisan “berkepentingan negara” yang dipercayai berusia 400 tahun telah ditemui di sebuah pangsapuri di Micklegate, bandar York di utara England ketika pemiliknya sedang membuat pengubahsuaian dapur.
BBC melaporkan, tuan rumah Luke Budworth, seorang penyelidik perubatan di Universiti Leeds, bersama pasangannya Hazel Mooney, dan anjing peliharaannya telah berpindah ke pangsapuri berkenaan pada Oktober 2020. Beliau sedang mengubah suai dapurnya pada tahun lalu apabila mendapati terdapat lukisan dinding berukuran kira-kira 9 kaki x 4 kaki berada betul-betul di bawah siling.
Budworth berkata beliau “sangat teruja” ketika menemui lukisan itu dan menggesa untuk pemuliharaanya untuk generasi akan datang.
“Saya mengeluarkan alatan saya dan mula memotong papan. Sebaik sahaja saya mengangkat panel itu, di situlah, warna-warna cantik, dengan beberapa lapisan kertas dinding yang masih tinggal dari era Victoria,” jelasnya.
Penyiasatan awal yang dilakukan oleh Budworth mendedahkan lukisan itu memaparkan adegan dari sebuah buku bernama Emblems yang ditulis oleh penyair Francis Quarles pada tahun 1635. Karya seni, yang dilukis terus pada plaster dinding, dipercayai berasal dari abad ke-17.
Menurut laporan CNN, hiasan dinding yang baru dibongkar itu menggambarkan adegan kitab Injil di mana seorang lelaki dalam sangkar ditarik oleh malaikat. Terdapat juga seorang lelaki di dalam kereta putih yang “kelihatan seperti seorang yang menunggang ke kerajaan syurga.”
Ekoran penemuan lukisan bersejarah itu, Budworth menghubungi Historic England, sebuah badan awam yang menjaga tapak dan persekitaran bersejarah negara, dan pasukan itu membantunya mencari lebih banyak butiran dan kepentingan lukisan itu.
Wakil Historic England meninjau karya seni itu dan mengambil beberapa gambar profesional dan Budworth diberi replika hiasan bersaiz sebenar dan berkualiti tinggi serta dinasihatkan untuk menutupnya bagi mengekalkannya keasliannya, tambah laporan itu.
Simon Taylor, penyiasat seni bina kanan Historic England wilayah utara, berkata ia adalah “penemuan semula yang menarik”. “Kami fikir ia mempunyai kepentingan kebangsaan dan dalam konteks York, di mana lukisan dinding domestik agak jarang ditemui, jadi ia menarik minat khusus,” tambahnya.
Lukisan itu pada mulanya ditemui pada 1998 dan diambil gambar sebelum ditutup semula dengan sebahagian besarnya telah dilupakan, tambah laporan itu.
Menurut Ancient Origin, penemuan karya seni tersembunyi itu mengejutkan, kerana ia mendahului bangunan itu sendiri iaitu bangunan Georgia tersenarai Gred II dari 1747. Rumah Budworth nampaknya telah dibina di sekeliling dinding sedia ada, dan hiasan dinding berkemungkinan dilukis terlebih dahulu sebelum rumah itu dibina.
Penemuan ini menyerlahkan sejarah kaya dengan budaya dan tradisi di kejiranan Micklegate di York yang telah menjadi lokasi penting semasa zaman Rom, Viking dan zaman pertengahan.
Hari ini, kejiranan ini terkenal dengan seni bina yang indah, jalan-jalan yang cantik dan menawan serta komuniti yang meriah. Banyak bangunan di Micklegate telah dipelihara dan dipulihkan dengan teliti selama bertahun-tahun, termasuk gereja, muzium dan rumah bersejarah. Kawasan ini juga menempatkan beberapa restoran, kafe dan kedai popular, yang sentiasa menarik pengunjung serta para pelancong dari seluruh dunia.
Pilihan Editor: