Hubungan antara guru dan anak murid adalah salah satu pertalian yang berlandaskan rasa ikhlas dan kasih sayang terhadap anak bangsa. Disebabkan itu, ada antara guru-guru yang sanggup berkorban apa yang termampu baginya untuk membantu anak-anak muridnya supaya menjadi insan yang berjaya.
Gambar hiasan. (Donald Wu/Unsplash)
Begitulah yang berlaku pada seorang guru bernama Cikgu Pak Lin Haw, yang sanggup berkorban wang ringgit dari sumber peribadinya demi membantu seorang anak didiknya, Norasiah Jamil, pada tahun 1987 untuk menyambung pelajaran di universiti idamannya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Norasiah yang kini sudah dalam lingkungan umur 50-an, Cikgu Pak yang mengajarnya subjek kimia semasa dia di tingkatan lima itu dahulunya mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar, Kuantan, Pahang dan maklumat yang diketahuinya hanyalah Cikgu Pak berkahwin dengan Encik Phua yang berasal dari Sekinchan.
Dengan membawa kisah yang menyentuh hati ini ke laman Facebook, Norasiah berhasrat untuk mencari semula Cikgu Pak untuk membalas jasa baiknya yang pernah membantunya ketika dia dalam keadaan yang susah pada satu ketika dulu.
“(Saya) sudah mahu berhenti belajar sebab keluarga (saya) tidak mampu (kerana baru berpindah ke Felda pada tahun 1986) walaupun saya sudah menerima tawaran. Cikgu Pak sanggup mengeluarkan duit dia dan mencari sumbangan dari PIBG untuk membayar yuran pendaftaran ke UTM pada tahun 1988,” tulis Norasiah tentang jasa baik Cikgu Pak.
Berikutan kiriman Norasiah ini, ramai warganet berusaha untuk menyebarluaskan kiriman ini bagi mencari Cikgu Pak kerana yang pastinya, ramai antara warganet turut berasa terharu dengan kisah yang dikongsikan oleh Norasiah ini.
Sehinggalah akhirnya, menerusi kiriman yang telah dikemaskini, Norasiah telah mengumumkan berita gembira bahawa dia telahpun mengetahui keberadaan Cikgu Pak dan sedang dalam usaha untuk bertemu dengan cikgu yang banyak berjasa kepadanya itu.
“Terima kasih (buat) rakan-rakan yang menghubungi saya. Dari kawasan Kuantan sehingga United Kingdom pun ada (yang menghubungi saya),” tulisnya. “Cikgu Pak telah menyentuh hati saya dengan kebaikannya, yang saya akan sentiasa ingat selagi saya masih hidup. Padanya mungkin itu adalah perkara yang kecil, tetapi untuk saya perkara itu telah mengubah kehidupan saya,” tambah Norasiah terharu.
Selepas 36 tahun berpisah dan kini Norasiah sudahpun menjadi seorang insan yang berjaya dalam bidang perniagaan selepas tamat pelajarannya di UTM, kini Norasiah berkesempatan untuk menemui semula Cikgu Pak yang telah menjadikan impian Norasiah satu kenyataan pada satu masa dahulu.
Terharu dibuatnya!
Pilihan Editor: