Bagi kanak-kanak yang baru pertama kali menjejakkan kaki di sekolah, pastinya pelbagai perasaan yang mereka alami. Ada antaranya yang berasa gembira, teruja, tidak sabar mahu mempunyai rakan-rakan baharu, dan ada juga antaranya berasa gementar, takut kerana bersendirian dan macam-macam lagi.
Walau bagaimanapun, lain pula kisahnya yang terjadi kepada seorang budak perempuan yang pada mulanya berasa sangat teruja untuk ke sekolah namun perasaan itu dengan pantas berubah apabila pulang dari sekolah.
Menerusi kiriman video yang dikongsi oleh Farahani yang merupakan ibu kepada budak perempuan itu, sebelum ke sekolah, anaknya itu berasa sangat teruja dan gembira kerana mahu ke sekolah dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu.
Namun, tanpa sesekali diduga olehnya, anaknya pulang dari sekolah dengan perasaan yang jauh sekali bertentangan dengan perasaan asalnya. Bukan itu sahaja, anaknya juga dilihat menangis teresak-esak kerana terlalu kecewa.
Menurut perkongsian Farahani dalam teks yang ditulis dalam video, anaknya menangis kerana dia tidak boleh berkenalan dengan rakan-rakan sebayanya, hanya kerana satu sebab – dia tidak pandai bertutur Bahasa Melayu.
Disebabkan itu, anak perempuannya telah dipinggirkan oleh rakan-rakannya di sekolah. Kasihan betul…
Menerusi video yang dimuatnaik pada 21 Mac lalu itu, Farahani turut meluahkan rasa serbasalah kerana menurutnya, perkara ini mungkin berlaku disebabkan oleh dirinya yang tidak mendedahkan anaknya untuk belajar bertutur dalam Bahasa Melayu sejak kecil.
“Tak pernah terfikir boleh jadi begini. Maafkan mama, sayangku,” tulis Farahani dengan penuh sesal.
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 2.6 juta tontonan, lebih dari 103,600 sukaan dan 6,355 komen daripada warganet yang kebanyakannya memberi kata-kata semangat dan cuba untuk meniupkan aura positif buat kedua anak-beranak ini.
“Jangan bimbanglah adik, anak saya yang baru memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan juga tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu buat masa ini. Teruskan dengan senyuman dan dalam masa yang sama teruskan belajar.”
“Tidak mengapa, anak buah saya juga dahulunya hanya tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris sahaja, kemudian neneknya menegur supaya dia diajar bertutur dalam Bahasa Melayu kerana dibimbangi sukar untuk berkawan di sekolah nanti. Jadi kami ubah (cara kami), apabila dengan saya, kami akan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Syukurlah sekarang dia sudah mahir bertutur dan faham kedua-dua bahasa. Cuba bahagikan, contohnya si ayah bercakap dalam Bahasa Melayu, dengan ibu bercakap dalam Bahasa Inggeris. InsyaAllah boleh berjaya, sebab IQ budak-budak lagi cepat”
“Rasanya (kawan-kawan) bukannya tidak mahu bergaul cuma mereka tidak faham (apabila bersembang). Tak mengapa, sama-samalah belajar. Nanti pasti akan dapat rakan baik.”
“Tidak mengapa adik, Bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah. Nanti (adik akan) belajar perlahan-lahan. Adik bijak, mesti (adik) cepat dapat belajar”
“Tidak mengapa, ajaklah dia bercakap dalam Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Budak-budak (sifatnya) seperti span, cepat menyerap. Cuba lebih lagi, bersabarlah. Pasti ada hikmahnya”
Memang sayu mendengar luahan sedih adik yang comel ini. Tidak mengapalah, semoga untuk hari-hari mendatang, dengan berada dalam kumpulan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, adik ini akan lebih terbiasa dengan Bahasa Melayu dan seterusnya boleh fasih berbahasa Melayu dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan putus semangat!
Pilihan Editor: