27.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 24, 2025
Utama Blog Laman 89

Dua individu ditahan FBI atas kesalahan mengendalikan balai polis rahsia bagi pihak PKC di New York

0

NEW YORK – FBI menahan dua individu pada 17 April lalu atas tuduhan mengendalikan balai polis rahsia di New York City bagi pihak rejim China, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Kedua-duanya, Lu Jianwang, 61, dan Chen Jinping, 59, berkonspirasi untuk bekerja sebagai ejen Parti Komunis China (PKC) dan menerima arahan daripada rejim untuk menjejaki dan menutup mulut penentang China yang tinggal di Amerika Syarikat, menurut pendakwa raya. 

Balai polis itu dipercayai salah satu daripada lebih 100 balai luar negara yang dikendalikan oleh rejim China di 53 negara, menurut Safeguard Defenders, sebuah badan bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Sepanyol.

Gambar oleh Samira Bouaou / The Epoch Times

Usaha itu mendedahkan pencabulan besar terhadap kedaulatan Amerika Syarikat oleh PKC dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, menurut Peguam Daerah A.S Breon Peace.

“Pendakwaan ini mendedahkan pencabulan terang-terangan kerajaan China terhadap kedaulatan negara kami dengan menubuhkan balai polis rahsia di tengah-tengah New York City,” kata Peace pada sidang akhbar di Brooklyn.

“Bayangkan NYPD membuka balai polis rahsia yang tidak diisytiharkan di Beijing,” katanya.

Peace berkata kedua-dua defendan menubuhkan balai polis rahsia di New York atas arahan PKC dan menjalankan skim penindasan transnasional dengan koordianasi bersama Kementerian Keselamatan Awam rejim.

Selain itu, katanya, tertuduh berusaha untuk memusnahkan bukti konspirasi apabila mereka mengetahui FBI sedang menyiasat tapak tersebut.

Gambar oleh Samira Bouaou / The Epoch Times

“Seperti yang didakwa, defendan diarahkan untuk melakukan bidaan [China], termasuk membantu mencari penentang China yang tinggal di Amerika Syarikat, dan menghalang siasatan kami dengan memadamkan komunikasi mereka dengan pegawai Kementerian Keselamatan Awam China,” kata Peace.

Sebagai tambahan kepada tuduhan konspirasi dan menghalang keadilan, dokumen mahkamah mendakwa Lu telah menjalankan kerja untuk rejim PKC di Amerika Syarikat sejak sekurang-kurangnya 2015.

Siasatan mendapati Lu mempunyai “hubungan kepercayaan yang telah lama terjalin” dengan pihak berkuasa China, menurut aduan itu.

Semasa lawatan Xi Jinping ke Amerika Syarikat pada 2015, Lu telah diminta untuk menganjurkan bantahan balas terhadap demonstrasi daripada kumpulan rohani Falun Gong, yang telah dianiaya dengan teruk di China sejak 1999.

Konsulat China di New York mengarahkan Lu untuk menerbitkan bahan dalam akhbar yang menyasarkan Falun Gong, yang didakwanya tidak melakukannya. Tetapi Lu berkata dia membantu membawa ahli dari persatuannya menaiki bas ke Washington.

“Setiap ahli persatuan akan menerima AS$60 daripada konsulat. Setiap bas akan mempunyai titik perhubungan yang akan dibayar secara tunai daripada Konsulat,” katanya kepada penyiasat, dalam aduan itu. “Orang ramai bukan sahaja datang dari New York tetapi juga dari Philadelphia. Beberapa ratus orang akan ke sana setiap kali.”

Lu menerima plak daripada rejim sebagai tanda terima kasih atas usahanya, menurut pemfailan negeri.

YouTube

Kemudian, Lu membantu menyelaraskan ancaman keganasan terhadap seorang pembangkang China dan keluarga pembangkang, dalam usaha untuk memaksa orang itu pulang ke China untuk ditangkap oleh pihak berkuasa PKC, menurut dokumen mahkamah.

Lu juga mengupah ejen lain melalui balai polis rahsia untuk “menjejaki seorang warga A.S. di bumi A.S.” dan mendiamkan mereka bagi pihak rejim untuk “melindungi pandangan dunianya yang autoritarian,” kata Peace.

Dengan “menyasarkan ahli diaspora Cina” melalui penggunaan haram balai polis rahsia, kedua-duanya “berulang kali dan terang-terangan melanggar kedaulatan negara kami,” kata Peace.

Dalam dua kes berasingan, DOJ mengumumkan bahawa pihak mereka telah mendakwa 40 pegawai dan polis China kerana menjalankan kempen gangguan yang diselaraskan terhadap rakyat China yang tinggal di New York City dan tempat lain di Amerika Syarikat. Kesemua defendan yang didakwa dalam kes tersebut kini menetap di China.

Pilihan Editor:

“Saya seolah-olah berada di negara maju,” Tun M dan isteri menaiki MRT Laluan Putrajaya kagum dengan kemudahan disediakan

0

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji infrastruktur dan kemudahan yang disediakan oleh perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mencuba sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan MRT, dan berkata kemudahan yang disediakan adalah terbaik dan setanding dengan negara maju lain.

@chedetofficial/Twitter

“Secara umum, saya seolah-olah berada di negara maju. Keseluruhan perjalanan dan kemudahan yang disediakan kepada pelanggan juga bagus. Stesen ini juga agak besar dan dilengkapi sepenuhnya dengan lif dan eskalator.

“Saya percaya kemudahan rel ini akan disambut baik oleh rakyat jika mereka tidak mengendahkan kosnya yang tinggi.

“Tahniah kepada pengurusan MRT Sungai Buloh – Putrajaya,” katanya menerusi akaun Twitter.

Menurut Tun Mahathir, beliau dan Tun Dr Siti Hasmah disambut kakitangan yang turut menemaninya dalam perjalanan menaiki MRT.

@chedetofficial/Twitter

“Pada hari raya ketiga, saya dan isteri bersama rakan-rakan memutuskan untuk mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya,” dalam ciapannya di Twitter.

“Kakitangan MRT mengalu-alukan kehadiran kami. Mereka bersama kami sepanjang perjalanan. Ini memberi saya peluang untuk bertanya beberapa soalan mengenai prestasi MRT,” tambahnya.

Perkhidmatan MRT Putrajaya Laluan Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu untuk memudahkan pengguna berulang-alik dari pusat bandar ke Putrajaya.

@chedetofficial/Twitter

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata laluan sepanjang 57.7 kilometer itu dilengkapi 36 stesen iaitu 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah yang dihubungkan dengan lapan stesen yang membolehkan pengguna bertukar ke monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan juga perkhidmatan KTM Komuter.

MRT Laluan Putrajaya dibangunkan dengan kos RM30.53 bilion, dan melalui kawasan padat penduduk seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.

Perkhidmatan MRT dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, dikendalikan oleh anak syarikat Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), yang menggunakan 49 tren empat gerabak, dengan kapasiti 1,200 orang.

Pilihan Editor:

Pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung

0

KOTA KINABALU – Seorang pendaki lelaki dewasa dilaporkan meninggal dunia pada 25 April lalu selepas mengalami sindrom akut gunung (AMS) ketika aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu bersama isterinya.

Mendiang Alexzander Kueh Check Boo, 45, bersama isterinya, Ng Wee Peo, 35, pada mulanya mengalami gejala AMS ketika pasangan itu mula mendaki puncak gunung pada Isnin 24 April lalu.

Gambar hiasan. (glitterly.app)

Memetik kenyataan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira jam 9 malam selepas mereka tiba di Panalaban. 

“Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada jam 10 malam, pasukan penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

“Selang empat jam kemudian, iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya.

Tambahnya lagi, keadaan terkini isteri mendiang adalah stabil setelah sembuh dari AMS.

Datuk Christina Liew seterusnya menasihatkan supaya semua pendaki untuk bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian gunung terutamanya Gunung Kinabalu.

Pilihan Editor:

Lelaki ini kongsi cerita detik cemas menyambut kelahiran anak dalam kereta ketika jalan sesak akibat sambutan Hari Raya

0

Proses melahirkan anak bukanlah satu proses mudah yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tetapi jika terpaksa dan tidak mempunyai masa yang cukup, ianya benar-benar boleh berlaku di mana-mana sahaja!

Dan dalam kes kali ini, proses melahirkan anak berlaku dalam kereta ketika jalanraya sedang sesak akibat sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini.

Mohd Safiq

Mohd Safiq, pada 27 April memuatnaik sebuah kiriman di laman Facebooknya menceritakan detik-detik cemas yang dilaluinya bersama isterinya yang tercinta ketika mereka dalam perjalanan kecemasan menuju ke hospital yang terletak tidak berjauhan dari kediaman mereka. Walau bagaimanapun, perjalanan yang sebenarnya mengambil masa yang singkat itu telah menjadi lama kerana kesesakan jalan raya akibat lambakan kenderaan yang berpusu-pusu mahu pulang ke kota selepas habis sambutan Hari Raya Aidilfitri pada malam 24 April lalu.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Safiq menulis:

“Keluar je ke jalan utama, jalan jem (sesak). Yela. Ramai habis cuti raya. Tol pun free (percuma) masa tu. Ramai ambil peluang untuk balik ke ibu kota. Pasang lampu hazard (kecemasan), takde sape (tiada siapa) dah nak layan. Bini (isteri) dah siap ambil kedudukan menonggeng dalam kereta sebab dah nak bersalin. Mana (yang) kereta aku boleh lalu masa tu aku main lalu je. Dah semua (kenderaan) tak nak bagi laluan. Tangan aku puas melambai. Macam2 tanda isyarat aku buat,

Mohd Safiq

“Pukul 10.00 malam aku dah dengar air ketuban bini (isteri) aku pecah. Aku masa tu, Ya Allah. Kete (kereta) aku mesti basah ni. Haha. Mentaliti lelaki derrr. Sape (siapa) tak sayang kete (kereta), (bini pun kena sayang. Haha). Aku suruh tahan kejap. Dia dok meneran. Lost command (salah arahan) aku masa ni.

Pukul 10.05 malam, bini (isteri) aku bagitahu bayi dah keluar. Aikkk. Tiada bunyi bayi menangis pun. Aku beranggapan bini (isteri) aku pun panikla masa tu. Dia bagitahu lagi bayi dah keluar. Jarak ke hospital masa tu kurang 1 km. Bini (isteri) aku bagitahu lagi bayi dah keluar. Aku pun raba kerusi sebab dia pakai kain masa tu. Aku rasa ada benda. Aku selak, Ya Allah. Kepala budak. Anak aku dah ada atas kerusi. Auto (automatik) melalak bila nampak cahaya (yela. Dlm perut gelap. Dalam kain pun gelap. Haha).”

“Masa tu aku terus masuk laluan bertentangan sambil bagi lampu tinggi sebab tiada siapa bagi laluan untuk aku masa tu,” kongsi Mohd Safiq.

Mohd Safiq

Tambahnya dalam kiriman itu, sebaik sahaja dia dan isteri tiba di Hospital Rembau, dia dengan segera memaklumkan hal kecemasan itu kepada pengawal keselamatan dan selepas mengetahuinya, dengan segera kakitangan hospital tiba dan memberikan rawatan yang sepatutnya kepada si ibu dan anak.

“Kerja yang hebat kakitangan Hospital Rembau pada masa ini,” tulis Mohd Safiq terharu.

Selain dari perkongsian kes kecemasan yang dialaminya ketika menyambut kelahiran bayi keempat pasangan ini, Mohd Safiq turut menyatakan rasa syukurnya kepada Tuhan kerana telah memakbulkan doanya yang ingin menyambut kelahiran anaknya (secara tidak langsung, dalam kes ini) kerana untuk ketiga-tiga anaknya sebelum ini, dia tidak dapat berada bersama isterinya kerana sebab-sebab tertentu.

“Anak ke-4 alhamdulillah. Aku ada dan boleh kata aku sambutlah kan? Aku soh (suruh) bini (isteri) tahan, dia pergi teran. Berlaku komunikasi kat situ. So (jadi) boleh dikira bidanlah kan?” tulisnya berseloroh.

Mohd Safiq

Walaupun perkongsian Mohd Safiq ini boleh mendatangkan rasa cemas kepada pembaca, tetapi syukurlah kerana semuanya selamat. Cuma menurut Mohd Safiq, dia kini berdepan dengan masalah lain pula, “sekarang kereta aku berbau sebab kerusi dah serap air ketuban bercampur darah,”

dan masalah kedua pula, “ramai panggil anak aku Mat Triton. Ada gak (juga) nama jadi Muhammad Triton Syawal jap (sekejap) lagi. Tolong bagi idea nama anak yang sesuai,” tulis Mohd Safiq berjenaka sebelum menamatkan kirimannya.

Memang lucu bercampur seram betul perkongsian kali ini! Apa-apapun, semoga ibu dan anak kekal sihat selalu.

Pilihan Editor:

Kanak-kanak meninggal akibat strok haba, ibu mahu orang ramai ambil pengajaran

0

Cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini boleh memudaratkan kesihatan. Dan disebabkan itu, semua orang diminta untuk lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan air diminum secukupnya agar tubuh badan tidak mengalami dehidrasi.

Baru-baru ini, seorang pengguna internet bernama Wanie Iwan telah berkongsi kisah sedihnya yang kehilangan seorang anak, Muhamad Syamil Aqil, selepas disahkan mengalami strok haba akibat cuaca yang terlalu panas.

Wanie Iwan

Menurut Wanie, pada mulanya, anaknya, Aqil sangat aktif bermain pada hari raya yang pertama dan kedua baru-baru ini. Namun, Aqil mula mengalami demam pada hari raya ketiga tetapi menurutnya, Aqil hanya mengalami demam biasa dengan cirit-birit. Suhu badannya pula hanya dalam lingkungan 37 ke 38 darjah celcius sahaja.

Walau bagaimanapun, Wanie mula melihat bahawa keadaan Aqil mulai menjadi lemah pada hari raya keempat iaitu pada 25 April lalu. Justeru, Wanie bersama suaminya dengan segera membawa Aqil ke hospital yang terdekat.

Sebaik sahaja tiba, doktor telah memberikan bantuan oksigen dan memasukkan air dalam tubuh Aqil. Walau bagaimanapun, menurut Wanie, apabila doktor memeriksa nadi Aqil pada waktu itu, dia dimaklumkan bahawa nadi Aqil tiba-tiba berhenti.

Disebabkan itu, semua doktor yang bertugas pada waktu itu turut sama membantu Aqil mendapatkan rawatan.

“Semua doktor sudah berusaha sehabis baik. Ibu dan abah bagi sahaja doktor mahu membuat apapun, bantuan CPR dan sebagainya. (namun) satu jam mereka mencuba tetapi nadi (Aqil) tidak (juga) naik. Doktor (kemudiannya) meminta ibu dan abah untuk redha,” kongsi Wanie.

Gambar hiasan. (Marcel Eberle)

Tepat jam 9.27 pagi, anak lelaki Wanie telah disahkan meninggal dunia.

Di akhir kiriman, Wanie turut berkongsi hasil bedah siasat yang dilakukan pada jenazah anaknya. Menurutnya, didapati bahawa Aqil meninggal dunia akibat serangan strok haba dan dehidrasi. Akibat daripada itu, semua organ dalaman jenazah didapati dalam keadaan yang buruk dan tubuh badan jenazah juga sudah tidak mempunyai air dan darah yang mencukupi.

Sehubungan itu, Wanie sempat memberi peringatan kepada orang ramai untuk mengambil pengajaran daripada tragedi yang berlaku kepada anaknya.

“Tolong jangan bagi (anak-anak) main panas. Suhu sekarang sangat-sangat panas. Bagi anak air yang secukupnya,” tulis Wanie menutup perkongsiannya.

Pilihan Editor:

KKM dedah Mi Sedaap turut mengandungi bahan karsinogen, produk diarah tarik balik

0

Susulan penemuan karsinogen oleh Jabatan Kesihatan Taipei dalam dua jenama mi segera dari Malaysia dan Indonesia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan untuk mengeluarkan kedua-dua produk berkenaan daripada pasaran tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan mengeluarkan kenyataan pada 26 April, dalam memastikan kementerian mengambil tindakan terhadap kedua-dua produk itu di pasaran Malaysia, walaupun telah meluluskan peraturan tempatan.

Dua produk mi segera yang didapati mempunyai paras ethylene oxide yang berlebihan, sebatian penyebab kanser, di pasaran Taiwan ialah jenama ‘Ah Lai’s White Curry Noodles’ dari Malaysia dan ‘Indomie Special Chicken Flavour’ dari Indonesia.

Kementerian Kesihatan Malaysia / Facebook

“Bagi ‘Ah Lai’s White Curry Noodles’, pensampelan di Malaysia mendapati produk itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan. Sungguhpun begitu, bagi memastikan keselamatan makanan berterusan, KKM telah mengarahkan syarikat itu secara sukarela menarik balik produk tersebut dengan tarikh luput 25 Ogos 2023,” kata Dr Muhammad Radzi.

Bagi mi goreng Indomie ‘Special Chicken Flavour’, Dr Muhammad Radzi berkata produk itu juga akan ditarik balik dengan kumpulan akan datang perlu diuji sebelum dibawa ke pintu masuk negara.

KKM turut mendedahkan satu lagi jenama mi segera iaitu Mi Sedaap dari Indonesia turut didapati mengandungi karsinogen hasil persampelan tempatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia / Facebook

Kementerian berkata memandangkan beberapa produk Mi Sedaap didapati mengandungi ethylene oxide pada 2022, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah memantau secara berterusan produk makanan berkaitan di pasaran tempatan.

“Hasil pemantauan sejak 2022 hingga kini terhadap 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil,” kata Dr Muhammad Radzi.

“Ini termasuk mengenakan kompaun, tindakan mahkamah, dan juga penarikan balik produk,” jelasnya.

Dr Muhammad Radzi menambah ethylene oxide dikaitkan dengan kanser limfoma dan leukemia, adalah gas kimia yang digunakan dalam pengasapan dan dalam bahan pencuci.

“Ia tidak boleh digunakan pada permukaan yang bersentuhan dengan makanan,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia / Facebook

Beliau juga menasihatkan pengguna yang mungkin telah membeli produk yang terlibat supaya tidak memakannya.

Menurut Agensi Makanan Singapura, walaupun tiada risiko serta-merta untuk pengambilan makanan yang tercemar dengan paras rendah ethylene oxide, pendedahan jangka panjang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

Maka, pendedahan kepada bahan ini seharusnya diminimumkan.

Pilihan Editor:

Agong terima pujian rakyat kerana beri laluan kepada ambulans semasa memandu di Pahang

0

Melakukan perkara yang betul sepatutnya menjadi tanggungjawab setiap individu tanpa mengira status sesiapa sahaja.

Seorang tokoh diraja paling penting dan teratas dalam negara membuktikan sentimen sedemikian dengan menunjukkan teladan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima pujian di media sosial selepas video baginda memandu dan memberi laluan kepada ambulans dengan siren berbunyi disiarkan ke laman Facebook rasmi Istana Negara.

Istana Negara / Facebook

Dalam klip berdurasi 11 saat itu, Agong boleh dilihat memandu di lorong kiri jalan sebelum ambulans memotong kenderaannya di lorong kanan. Kelihatan tangan kanannya sedang mengimbang di tingkap kanan kereta yang terbuka, tanda memberi isyarat kepada ambulans supaya boleh memintas baginda.

Selepas ambulans berkenaan selamat berlalu, baginda kelihatan bergerak semula ke lorong kanan, dengan pengiring diraja hanya beberapa meter di hadapan keretanya.

Dalam kapsyen hantaran di Facebook, didedahkan baginda dalam perjalanan dari Pekan, Pahang, menuju ke Istana Abdulaziz di Kuantan.

Istana Negara / Facebook

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengutamakan rakyat yang berada dalam keadaan kecemasan dengan memberi laluan kepada ambulans di Pekan, Pahang, petang tadi.

“Baginda sedang dalam perjalanan ke Istana Abdulaziz di Kuantan dari Pekan, apabila ambulans yang membawa seorang pesakit yang memerlukan rawatan segera muncul di belakang iringan baginda,” tulis hantaran video itu.

Video berkenaan mendapat pujian luar biasa dalam talian, dengan ramai yang berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana melakukan perkara yang betul dalam situasi kecemasan.

Istana Negara / Facebook

“Daulat Tuanku. Semoga Tuanku dan keluarga dipanjangkan umur demi kemakmuran, keamanan, dan kesejahteraan rakyat,” tulis seorang netizen.

“Daulat Tuanku junjungan daripada Tuanku rakyat amat sanjungi. Memberi laluan kepada yang memerlukan diwaktu amat diperlukan..”

“Mantap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

“Contoh yang terpuji.”

Pilihan Editor:

Runtuhan struktur tempat letak kereta di Manhattan akibatkan 1 maut dan 5 cedera

0

Seorang maut dan lagi lima cedera setelah sebuah tempat letak kereta setinggi empat tingkat di Manhattan, New York, Amerika Syarikat runtuh dalam kejadian pada 18 April.

Kakitangan kecemasan menggunakan peranti robotik selepas anggota bomba terpaksa dikeluarkan dari struktur yang tumbang ekoran keadaan yang tidak stabil ketika memeriksa tapak bagi mencari mangsa dalam bangunan berhampiran Universiti Pace dan Bursa Saham New York itu.

Facebook

Pesuruhjaya Polis New York Keechant Sewell berkata tidak ada sebab lain untuk mempercayai bahawa insiden itu berlaku kerana kelemahan struktur.

Para pekerja kecemasan terpaksa melakukan pencarian dari luar bangunan berkenaan, disebabkan risiko berlaku runtuhan lanjut.

Tiada sebarang perbuatan khianat disyaki dalam insiden tersebut.

Facebook

Menurut Ketua Operasi Bomba di Jabatan Bomba New York City John Esposito, seorang mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian manakala empat yang lain dikejarkan ke hospital di kawasan tersebut bagi mendapatkan rawatan untuk kecederaan yang dialami. Mangsa keenam pula enggan menerima rawatan perubatan.

Beliau menjelaskan kesemua enam mangsa adalah pekerja yang berada di bangunan tempat letak kereta itu ketika ia runtuh.

Datuk Bandar New York Eric Adams berkata bangunan itu tidak lagi stabil dan menarik perhatian kepada penggunaan teknologi dalam usaha menyelamat.

Facebook

Sementara itu, semua pelajar, tenaga pengajar serta kakitangan Universiti Pace, sebuah kampus kolej privet, yang difahamkan menggunakan tempat letak kereta berkenaan, diarah keluar sebagai langkah berjaga-jaga.

Rekod dalam talian Jabatan Bangunan New York City menunjukkan bahawa struktur di tapak runtuhan itu mempunyai 45 pelanggaran peraturan termasuk 25 sejak 2003, yang kebanyakannya berkaitan dengan lif.

Salah satu notis kesalahan pada tahun 2003 menyatakan ‘wujud keretakan struktur siling’ serta ‘konkrit yang rosak dengan retakan belakang terdedah’ dengan penalti AS$800 dinyatakan sudah dibayar.

Pilihan Editor:

Taiwan temui Ethylene Oxide dalam mi segera dari Malaysia, KKM keluar arahan tarik balik produk secara sukarela

0

Dua jenis mi segera yang dibuat oleh jenama Asia Tenggara didapati mengandungi bahan yang mendorong kanser, kata Jabatan Kesihatan Taipei pada 24 April. Penemuan itu hasil pemeriksaan mi segera di Taipei, Taiwan untuk tahun 2023.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, pihaknya mendapati satu kumpulan mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi Ethylene Oxide yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Susulan penemuan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan pihak berkuasa kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran Ethylene Oxide dalam dua produk mi segera dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata Ethylene Oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Katanya, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci namun penggunaannya tidak dibenarkan pada permukaan yang bersentuhan makanan.

Dr Muhammad Radzi berkata, bagi sampel mi kari dari Malaysia yang terbabit, persampelan di negara ini mendapati ia mematuhi perundangan.

“Bagaimanapun bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk mi segera bagi keluaran yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

Facebook

“Berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System Of Malaysia, KKM juga mengesahkan terdapat kemasukan produk mi segera jenama dari Indonesia yang terbabit ke negara ini.

“KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan tahan, uji dan lepas bagi produk mi segera dari Indonesia itu di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya susulan isu penarikan semula produk mi segera keluaran Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada 2022, KKM telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk terbabit telah mengandungi Ethylene Oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

Facebook

“Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.

“Susulan itu, pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah yang terdekat atau menyalurkan melalui laman web moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Pilihan Editor:

Kurang oksigen punca empat sekeluarga pengsan dalam MPV di Plaza Tol Bentong

0

BENTONG – Empat sekeluarga didapati telah tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan MPV jenis Proton Exora dalam kejadian yang berlaku pada 24 April jam 2.40 petang. 

Mangsa, seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Kejadian berlaku di Plaza Tol Bentong arah Kuala Lumpur dan didapati berpunca daripada kekurangan oksigen.

Facebook

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, berkata, keempat-empat mangsa pengsan sebelum kereta dipandu melanggar pintu Tol Bentong.

“Mangsa-mangsa yang terlibat ialah seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak.

“Mereka dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor. Hasil pemeriksaan doktor, kesemua mangsa kekurangan oksigen dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Facebook

Tambahnya, bantuan awal diberikan kepada mangsa dibantu oleh pegawai polis, anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak Lebuhraya Pantai Timur.

Dalam pada itu, anak sulung kepada keluarga itu dikenali Syafiq Mok menerusi komen di Facebook mengesahkan keluarganya dalam keadaan selamat.

Facebook

“Saya anak sulung kepada keluarga. Alhamdulillah keluarga saya selamat semuanya, sudah sedarkan diri.

“Punca pengsan dan tidak sedarkan diri adalah kerana keracunan oksigen penghawa dingin.

Facebook

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada para anggota dan sesiapa yang terlibat membantu keluarga saya. Semoga Allah membalas kebaikan kalian,” tulisnya.

Dalam pada itu, pihak JSPT menasihatkan pengguna jalan raya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan memandangkan cuaca panas dan hujan yang tidak menentu pada hari ini.

Pilihan Editor: