KOTA KINABALU – Seorang pendaki lelaki dewasa dilaporkan meninggal dunia pada 25 April lalu selepas mengalami sindrom akut gunung (AMS) ketika aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu bersama isterinya.
Mendiang Alexzander Kueh Check Boo, 45, bersama isterinya, Ng Wee Peo, 35, pada mulanya mengalami gejala AMS ketika pasangan itu mula mendaki puncak gunung pada Isnin 24 April lalu.
Gambar hiasan. (glitterly.app)
Memetik kenyataan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira jam 9 malam selepas mereka tiba di Panalaban.
“Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada jam 10 malam, pasukan penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Selang empat jam kemudian, iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya.
Tambahnya lagi, keadaan terkini isteri mendiang adalah stabil setelah sembuh dari AMS.
Datuk Christina Liew seterusnya menasihatkan supaya semua pendaki untuk bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian gunung terutamanya Gunung Kinabalu.
Pilihan Editor: