Cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini boleh memudaratkan kesihatan. Dan disebabkan itu, semua orang diminta untuk lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan air diminum secukupnya agar tubuh badan tidak mengalami dehidrasi.
Baru-baru ini, seorang pengguna internet bernama Wanie Iwan telah berkongsi kisah sedihnya yang kehilangan seorang anak, Muhamad Syamil Aqil, selepas disahkan mengalami strok haba akibat cuaca yang terlalu panas.
Menurut Wanie, pada mulanya, anaknya, Aqil sangat aktif bermain pada hari raya yang pertama dan kedua baru-baru ini. Namun, Aqil mula mengalami demam pada hari raya ketiga tetapi menurutnya, Aqil hanya mengalami demam biasa dengan cirit-birit. Suhu badannya pula hanya dalam lingkungan 37 ke 38 darjah celcius sahaja.
Walau bagaimanapun, Wanie mula melihat bahawa keadaan Aqil mulai menjadi lemah pada hari raya keempat iaitu pada 25 April lalu. Justeru, Wanie bersama suaminya dengan segera membawa Aqil ke hospital yang terdekat.
Sebaik sahaja tiba, doktor telah memberikan bantuan oksigen dan memasukkan air dalam tubuh Aqil. Walau bagaimanapun, menurut Wanie, apabila doktor memeriksa nadi Aqil pada waktu itu, dia dimaklumkan bahawa nadi Aqil tiba-tiba berhenti.
Disebabkan itu, semua doktor yang bertugas pada waktu itu turut sama membantu Aqil mendapatkan rawatan.
“Semua doktor sudah berusaha sehabis baik. Ibu dan abah bagi sahaja doktor mahu membuat apapun, bantuan CPR dan sebagainya. (namun) satu jam mereka mencuba tetapi nadi (Aqil) tidak (juga) naik. Doktor (kemudiannya) meminta ibu dan abah untuk redha,” kongsi Wanie.
Gambar hiasan. (Marcel Eberle)
Tepat jam 9.27 pagi, anak lelaki Wanie telah disahkan meninggal dunia.
Di akhir kiriman, Wanie turut berkongsi hasil bedah siasat yang dilakukan pada jenazah anaknya. Menurutnya, didapati bahawa Aqil meninggal dunia akibat serangan strok haba dan dehidrasi. Akibat daripada itu, semua organ dalaman jenazah didapati dalam keadaan yang buruk dan tubuh badan jenazah juga sudah tidak mempunyai air dan darah yang mencukupi.
Sehubungan itu, Wanie sempat memberi peringatan kepada orang ramai untuk mengambil pengajaran daripada tragedi yang berlaku kepada anaknya.
“Tolong jangan bagi (anak-anak) main panas. Suhu sekarang sangat-sangat panas. Bagi anak air yang secukupnya,” tulis Wanie menutup perkongsiannya.
Pilihan Editor: