29.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 3, 2025
Utama Blog Laman 80

CAAM beri penjelasan video tular budak pergi sekolah naik helikopter yang mendarat di padang kawasan perumahan

0

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang budak pergi ke sekolah dengan menaiki helikopter.

Video itu telah dirakam oleh orang awam tidak dinamakan yang dipercayai merupakan penduduk di kawasan perumahan Bukit Bandaraya Seksyen U11, Shah Alam.

Sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang budak ke sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park, Shah Alam.

Twitter

Susulan itu, kes ini telah mendapat perhatian pihak polis dan dirujuk ke Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menyerahkan kepada CAAM untuk siasatan sama ada pengendali pesawat itu memiliki permit sah apabila ia mendarat di kawasan perumahan itu pada 17 April lalu.

“Helikopter berkenaan mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya, Seksyen U11, Setia Eco Park.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” kata Mohd Iqbal dalam kenyataannya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai rujukan agensi lain (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, menerusi laporan NST, CAAM ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendaratan itu berkata, helikopter tidak memerlukan pelepasan dari menara kawalan trafik udara untuk mendarat di luar lapangan terbang.

Twitter

“Helikopter boleh mendarat di mana-mana saja dengan syarat ia adalah kawasan lapang dan selamat untuk mendarat. Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan kelulusan daripada pemilik tanah,” kata jurucakap itu ketika dihubungi.

“Penduduk perlu membuat aduan kepada CAAM jika mahu perkara itu disiasat. Sehingga kini tiada aduan dibuat kepada kami mengenai kejadian di Shah Alam,” katanya.

Namun mereka telah memulakan siasatan awal selepas menerima laporan daripada pihak polis.

“Kita perlu menyemak terlebih dahulu kesasihan semua lesen untuk pesawat dan juruterbang juga sama ada terdapat sebarang salah laku atau tidak.

“Hanya selepas itu kita boleh memutuskan sama ada mereka perlu dipanggil untuk mendapatkan penjelasan. Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja kami mengetahui perkara lebih lanjut,” kata jurucakap itu kepada FMT.

CAAM berkata, adalah penting juruterbang menjalankan penilaian risiko keselamatan atau mendapat kebenaran daripada pemilik tanah mengikut arahan penerbangan awam yang berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021.

“Ini adalah penting untuk keselamatan juruterbang dan kru, bahkan juga orang awam yang tinggal di kawasan pendaratan dengan prosedur yang betul. Ia mesti dilakukan dengan berhati-hati tanpa alasan kerana ia mungkin satu-satunya perkara yang menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Difahamkan menerusi maklumat penduduk di kawasan itu, ia adalah kali kedua helikopter terbabit mendarat di situ, dengan kali pertama tidak dirakam oleh penduduk setempat.

Pilihan Editor:

Lelaki masuk hutan untuk melarikan diri daripada tekanan, minta bantuan pasukan penyelamat 6 hari kemudian

0

Pada awal bulan ini, Mohamad Suhairy Mohamed, menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Terminal Meru Raya di Ipoh, Perak ekoran dikatakan mengalami stres di tempat kerja dan mahu mendapatkan ketenangan.

Lelaki berusia 41 tahun itu membuat keputusan tergesa-gesa untuk melarikan diri daripada segala-galanya dengan mahu mencuba tinggal di dalam hutan.

Dia memasuki hutan tebal di Hutan Simpan Meru dan menghabiskan beberapa hari di sana.

Hutan Simpan Negeri Perak (Gambar Hiasan)

Walau bagaimanapun, hutan belantara yang luas terbentang ternyata terlalu hebat cabarannya untuk Suhairy dan dia kemudian telah tersesat.

Hilang dalam hutan belantara, dan tidak dapat mencari apa-apa untuk dimakan, lelaki itu semakin stres lalu meminta bantuan pasukan penyelamat pada hari keenam.

Suhairy diselamatkan awal pagi Ahad, 10 Jun, selepas menghubungi talian kecemasan 999 dan dia diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, lapor Bernama.

Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengesan lokasi Suhairy.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.44 malam Sabtu, 9 Jun lalu dan bergegas ke lokasi yang dinyatakan Suhairy.

Tiada sambungan Internet. Tetapi nasib Suhairy amat baik apabila dia boleh dihubungi melalui telefon pintarnya.

“Mangsa menghubungi JBPM untuk mendapatkan bantuan kerana mengalami sesak nafas,” kata Sabarodzi.

“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi menghubungi mangsa, yang berkata dia mendengar kehadiran jentera bomba dari dalam hutan,” tambahnya.

Sabarodzi berkata, Suhairy ditemui pada 2.46 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berikutan penyelamatannya, pihak berkuasa mengetahui lelaki berusia 41 tahun itu, yang berasal dari Cheras, mempunyai sejarah skizofrenia dan halusinasi.

Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan, Suhairy telah dirujuk kepada pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu tetapi dia berhenti mengambil ubat pada Januari tahun ini.

Yahaya berkata, lelaki itu memberitahu polis bahawa dia mahu tinggal bersendirian, sambil menambah dia adalah anak yatim piatu yang tinggal sendirian sejak menamatkan sekolah menengah pada 1999.

Selepas diselamatkan, lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

Suhairy kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pihak polis telah menasihatinya untuk tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan selepas ini.

Pilihan Editor:

Pengamal Malaysia rai ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa di khalayak awam

0

Tanggal 13 Mei 2023 merupakan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia dan Hari Falun Dafa Sedunia yang ke-24. Ia juga merupakan hari lahir pengasas Falun Dafa, Li Hongzhi.

Pengamal Falun Gong dari seluruh Malaysia menghantar ucapan selamat dan keberkatan tulus ikhlas mereka kepada Guru Li Hongzhi, dan berterima kasih kepada Guru kerana memberikan kesihatan dan kemantapan kerohanian kepada semua pengamal, dan berterima kasih kepadanya kerana membawa keindahan Falun Dafa kepada para pengamal tempatan.

Dunia menyambut ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Dafa di Malaysia mengucapkan selamat hari lahir kepada Guru di Kuala Lumpur. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal dari Pulau Pinang mengucapkan selamat ulang tahun kepada Guru. (Gambar oleh The Epoch Times)
Pengamal dari Johor mengucapkan selamat ulang tahun kepada Guru. (Gambar oleh The Epoch Times)

Kuala Lumpur meraikan Hari Falun Dafa Sedunia

Sempena ulang tahun ke-31 Falun Dafa disebarkan ke seluruh dunia, pada pagi 6 Mei, pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan acara dan Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar di Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia dan hari lahir Guru Li Hongzhi. Para pengamal berkongsi keindahan Sejati, Baik, Sabar hasil ajaran Falun Dafa kepada orang awam.

Sebelum acara dimulakan, pengamal Falun Gong mengadakan latihan berkumpulan di hadapan Dataran Taman Titiwangsa, pemandangan yang menakjubkan dan damai. Walaupun pengamal Falun Gong dari semua lapisan masyarakat dan kumpulan umur yang berbeza mempunyai pengalaman yang berbeza untuk mendapatkan Fa, mereka semua boleh berjalan bersama dengan bertafakur dan memperoleh kesihatan fizikal serta sublimasi kerohanian.

Selepas latihan pada hari itu, pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian naga, gendang pinggang dan persembahan pasukan pari-pari untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia bersama dengan disaksikan orang ramai. Beberapa orang awam yang berada di lokasi berkenaan telah duduk berdekatan untuk menikmati persembahan, malahan bertepuk tangan.

Sepasang adik-beradik yang tinggal di Rawang yang terletak di utara Selangor kebetulan telah berkunjung ke Taman Titiwangsa untuk berjoging pada hari itu. Beberapa wanita yang mempelajari latihan qigong turut tertarik dengan suasana damai pengamal Falun Gong, dan berhenti untuk mengetahui kebenaran tentang Falun Gong dan kisah penganiayaan ke atas pengamalnya di China.

Pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Gong berlatih senaman di Taman Titiwangsa untuk meraikan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Gong berlatih di Taman Titiwangsa untuk meraikan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian naga di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong membuat persembahan pari-pari di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian gendang pinggang di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)

Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar, orang awam mengetahui kebenaran

Pada masa yang sama, pengamal Falun Gong juga mengadakan Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar pada hari itu. Bermula dengan pengenalan hasil seni lukisan, orang ramai mengetahui tentang penganiayaan PKC terhadap pengamal Falun Gong, sambil mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai Falun Gong.

Pengamal Falun Gong memberi penjelasan dan kebenaran kepada orang ramai. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)

Sazali, yang tinggal di Kuala Lumpur, bekerja sebagai penganalisis data yang kebetulan melalui pameran seni itu. Selepas diperkenalkan dan mengetahui kebenarannya, beliau sangat menyokong pengamal Falun Gong dan bimbang tentang penganiayaan yang dialami oleh mereka. Beliau dengan segera berkata disebabkan bilangan orang yang hadir adalah terhad, beliau berharap pengamal Falun Gong dapat menggunakan media sosial untuk menyebarkan kebenaran dengan lebih pantas dan memberitahu seluruh Malaysia seterusnya ke seluruh dunia tentang penganiayaan itu.

Seorang lagi pengunjung yang bernama Irfan, mengetahui kebenaran tentang Falun Gong dan penganiayaannya selepas melawat pameran seni itu. Kesan paling mendalam Irfan mengenai pameran itu ialah “tiga perkataan, Sejati, Baik, Sabar”. Ia juga adalah pertama kali Irfan mendengar tentang Falun Gong dan kebenaran mengenai penganiayaan Falun Gong. Beliau juga mengambil bahan dan risalah yang memberi penjelasan mengenai kebenaran kisah itu daripada pengamal Falun Gong untuk memahami lebih lanjut. “Ia adalah langkah yang baik, jadi kamu semua perlu teruskan,” kata Irfan.

Irfan berkata beliau menyokong Falun Gong. (Gambar oleh Steven / The Epoch Times)

Terus membangkitkan kesedaran lebih ramai orang

Normah seorang penjawat awam, selepas menyaksikan pameran seni itu, berkata hasil seni itu tersusun dengan baik dan boleh memberi inspirasi kepada ramai orang. Penganiayaan terlalu kejam, bagaimana mungkin perkara seperti ini berlaku pada abad ini. Katanya, acara ini tersusun dengan rapi dan boleh memberitahu lebih ramai orang tentang penganiayaan terhadap Falun Gong. Mungkin masih ramai orang yang tidak mengetahui tragedi itu sedang berlaku.

Beliau mengetahui hari itu merupakan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. Di sini, Normah mengucapkan tahniah kepada pengamal Falun Gong. Harapannya agar pengamal Falun Gong dapat terus bangkit dan memberi kesedaran ini kepada lebih ramai orang dan menyebarkannya kepada awam.

Penganiayaan mesti dihentikan serta-merta

Amy juga seorang penjawat awam, berkunjung ke taman itu bersama suami dan bayinya yang berusia 9 bulan untuk bersiar-siar. Dalam temu bual selepas melihat pameran itu, beliau berkata apabila melihat lukisan “Golden Lotus”, dirinya berasa sebak.

Amy berkata penganiayaan terhadap Falun Gong mesti dihentikan dengan segera. (Gambar oleh Steven / The Epoch Times)

Beliau berkata pernah mendengar tentang penganiayaan Falun Gong sebelum ini, tetapi hanya dalam sekali imbas dan tidak mempedulikannya. “Sekarang saya terkejut apabila mengetahui PKC telah menganiaya ramai pengamal Falun Gong. Penganiayaan ini mesti dihentikan serta-merta,” katanya.

Amy turut menyatakan sokongannya kepada pengamal Falun Gong dan berharap mereka boleh terus menyebarkan kesedaran ini kepada semua rakyat Malaysia bersama masyarakat di seluruh dunia.

Pilihan Editor:

Lagu tema J-drama era 90-an “Poison” terbukti dapat menenangkan bayi dan menghentikan tangisannya, pakar akustik jelaskan kenapa

0

Bayi menangis adalah perkara biasa tetapi bagaimana jika dia tidak mahu berhenti? Dan untuk menenangkannya, kini si ibu sudah tahu caranya dengan bersyukur dan berterima kasih kepada lagu ‘Poison’. Lagu hits dendangan pelakon popular Jepun era 90-an Takashi Sorimachi, bintang utama drama “Great Teacher Onizuka” (GTO).

Maka, agak mengejutkan siapalah yang boleh menyangka lagu tema Great Teacher Onizuka sebenarnya amat bagus untuk menenangkan bayi merengek?

Ken Net Channel/YouTube

Jika anda dibesarkan pada penghujung tahun 90-an atau awal 2000, atau peminat anime Jepun, anda mungkin tahu tentang francais yang terkenal “Great Teacher Onizuka”. Dianggap sebagai manga shonen klasik dari era itu, ia cukup berjaya untuk melahirkan bukan sahaja anime TV dalam 43 episod di Jepun, tetapi juga filem dan J-drama popular 12 episod pada tahun 1998.

Dan hasilnya, lagu hits untuk drama itu, “POISON” oleh Takashi Sorimachi, yang juga memainkan watak Teacher Onizuka telah mendapat tempat yang istimewa di hati peminat sehingga hari ini.

Takashi Sorimachi dalam Great Teacher Onizuka (GTO)

Tanpa menyangka 25 tahun kemudian, lagu itu menerima kebangkitan semula dalam bentuk demografi luar jangkaan iaitu di kalangan ibu bapa bayi dan anak kecil yang suka menangis. 

Terdapat khabar angin lagu “Poison” dapat menghentikan tangisan bayi yang tidak mahu berhenti. Agensi pengurusan Takashi Sorimachi, Ken-on telah menyiasat khabar angin ini melalui saluran YouTube mereka Ken Net Channel, dan ia nampaknya terbukti benar!

Ken Net Channel/Youtube

Seperti yang dipaparkan dalam video itu, “Poison” menenangkan bayi yang menangis bukan sahaja di Jepun, tetapi di seluruh dunia. 

Lima keluarga dari Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat, Brazil, dan United Kingdom telah diberikan lagu “Poison” dan mereka diminta memainkannya apabila anak kecil menangis, dan merakamkan reaksi si kecil.

Ken Net Channel/YouTube

Terbukti semua bayi, yang berumur antara empat bulan hingga dua tahun, berhenti menangis apabila mendengar lagu “Poison” dendangan Sorimachi itu, malahan ada yang tersenyum dan bertepuk tangan.

Ken Net Channel/YouTube

Sorimachi sendiri terkejut apabila melihat tindak balas kesemua bayi tersebut setelah mendengar lagunya.

Katanya, dia pernah mendengar khabar angin ini apabila salah seorang rakan memberitahunya lagu itu amat ajaib dapat menghentikan tangisan bayi tetapi dia tidak pernah melihatnya sendiri. 

Ken Net Channel/YouTube

Walaupun berasa kagum dengan keputusan itu, Sorimachi dengan merendah diri berkata bukan suaranya yang menyebabkan bayi-bayi itu berhenti menangis tetapi disebabkan oleh melodi pembukaan awal lagu itu.

Ternyata, tekaan Sorimachi sebahagiannya betul. Seorang pakar akustik telah ditanya mengapa lagu “Poison” mempunyai kesan segera kepada bayi. Ketua Makmal Akustik Jepun bernama Suzuki menjelaskan struktur lagu “Poison” bukan sahaja berkesan untuk menghentikan bayi yang menangis, tetapi mengekalkan mereka untuk bertenang dan tidak lagi mahu merengek.

Ken Net Channel/YouTube

Nampaknya, bayi biasanya berhenti menangis atas dua sebab: sama ada mereka dirangsang, atau mereka berasa tenang. “Poison” nampaknya melakukan kedua-duanya.

Riff gitar pembukaan lagu itu mempunyai turun naik berulang yang nampaknya sangat merangsang bayi, dan frekuensi tinggi muzik itu, yang digambarkan dalam baris berbentuk v di carta analisis akustik intro lagu itu, dengan mudah menarik perhatian mereka.

Ken Net Channel/YouTube

Sebaliknya, nada suara Sorimachi yang rendah dan tidak berubah ketika menyanyikan lirik pembukaan turut menenangkan mereka, itulah yang menghalang bayi-bayi itu daripada terus menangis apabila kejutan awal telah hilang.

“Hakikat bahawa ia dapat menenangkan dan merangsang emosi bayi menjadikan lagu ini satu komposisi yang sangat menarik. Saya tidak sangka anda boleh melakukan sesuatu yang sangat berkesan,” kata Suzuki.

Ken Net Channel/YouTube

Suzuki berpendapat lagu itu hanya akan memberi kesan kepada kanak-kanak berumur antara tiga bulan hingga dua tahun, kerana kanak-kanak yang lebih besar cenderung mempunyai sebab yang lebih kompleks untuk menangis dan biasanya tidak begitu mudah untuk ditenangkan.

Sorimachi sendiri berkata mungkin perkara menjadi lebih baik untuk mengetahui perkara ini semasa anak-anak remajanya masih kecil. “Anak perempuan sulung saya dulu selalu menangis,” katanya, sambil menambah dia sering bangun pada pukul dua pagi, dan terpaksa membawa anak perempuannya ke dalam kereta dan memandu pada awal pagi untuk menenangkannya kerana anak kecilnya suka menangis tidak berhenti.

Ken Net Channel/YouTube

Jadi, apabila bayi anda menangis atau merengek atas perkara biasa selepas ini, apa kata pasang sahaja lagu “Poison” di YouTube atau Spotify dan lihat sama ada ia berkesan? Dan jika mereka menangis kerana mahu tidur, anda juga mungkin boleh mencuba kaedah ini.

Mana tahu, mungkin kedua-duanya dapat membantu.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

4 kanak-kanak hilang 40 hari daripada pesawat terhempas ditemukan masih hidup dalam hutan tebal Amazon

0

Empat kanak-kanak Orang Asli terselamat dalam nahas pesawat di Amazon yang mengorbankan tiga orang dewasa dan kemudian berkeliaran sendirian di dalam hutan tebal itu selama 40 hari sebelum ditemukan masih hidup oleh tentera Colombia.

Para pegawai di negara Amerika Selatan itu mengumumkan operasi mencari dan menyelamat mereka berakhir pada 9 Jun dengan membawa khabar yang menggembirakan bercampur kisah suka duka ketika pasukan mencari dan penyelamat mula panik apabila menyusuri hutan hujan tropika penuh mencabar dalam usaha menjejaki empat kanak-kanak itu. 

Facebook

Ketika kesemua kanak-kanak itu menerima rawatan di hospital tentera di Bogota pada 9 Jun, masih tidak jelas bagaimana ajaib dan cekalnya adik-beradik itu, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan, terselamat dan berjaya bertahan hidup di dalam hutan tebal.

Kanak-kanak itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy (13 tahun), Soleiny Jacobombaire Mucutuy (9 tahun), Tien Noriel Ronoque Mucutuy (4 tahun), dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy (11 bulan), ditemui dalam keadaan dehidrasi, malnutrisi, dan jangkitan. 

Mereka dijangka menjalani rawatan lanjut selama dua minggu di hospital, tetapi ada yang sudah boleh bercakap dan mahu melakukan lebih daripada sekadar berbaring di atas katil, iaitu mahu mengikut ahli keluarga pulang.

Facebook

Manuel Ranoque, bapa kepada dua anak kecil, memberitahu pemberita di luar hospital pada 11 Jun, yang anak sulung daripada empat beradik itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy memberitahunya bahawa ibu mereka masih hidup selama kira-kira empat hari selepas pesawat itu terhempas pada 1 Mei di hutan Colombia.

Ranoque berkata sebelum meninggal dunia, ibu mereka mungkin memberitahu untuk pergi meninggalkan lokasi nahas itu dan nampaknya mereka akur berbuat demikian untuk terus hidup, namun tidak memberikan butiran lebih lanjut.

Fidencio Valencia, bapa saudara salah seorang kanak-kanak itu, memberitahu media Noticias Caracol mereka mula bercakap dan salah seorang berkata mereka bersembunyi di dalam akar dan batang pokok besar untuk melindungi diri mereka di kawasan hutan tebal yang dipenuhi ular, haiwan buas dan nyamuk, sambil berkata empat kanak-kanak itu sangat keletihan.

Facebook

“Mereka sekurang-kurangnya ada makan, sedikit, tetapi mereka sudah boleh makan,” katanya selepas melawat mereka di hospital tentera di Bogota, Colombia. Sehari sebelum itu, Menteri Pertahanan Iván Velásquez berkata kesemua kanak-kanak itu mengalami kekurangan air dan tidak boleh menelan makanan lagi.

Empat kanak-kanak itu dalam perjalanan bersama ibu mereka dari perkampungan Amazon Araracuara ke San Jose del Guaviare apabila pesawat itu terhempas. Pesawat Cessna satu enjin itu membawa tiga orang dewasa dan empat kanak-kanak itu apabila juruterbang mengisytiharkan mengalami kecemasan akibat kegagalan enjin. 

Pesawat kecil berkenaan hilang dari radar tidak lama kemudian dan pencarian intensif mangsa yang terselamat bermula dengan apa yang digelar sebagai Operasi Harapan.

Facebook

Pihak berkuasa dan ahli keluarga berkata kanak-kanak itu terselamat dengan memakan ubi kayu dan bijirin hutan, serta beberapa kebiasaan dan pengetahuan yang dipelajari daripada ahli keluarga mereka dengan memakan akar kayu dan buah-buahan hutan hujan tropika yang merupakan kunci kepada kelangsungan hidup mereka. Kanak-kanak berkenaan adalah ahli suku Orang Asli Huitoto.

Selama 40 hari itu, pasukan penyelamat mengikuti petunjuk seperti botol bayi, jejak kaki kanak-kanak di atas lumpur, sisa buah-buahan yang dijamah kanak-kanak dan lampin yang ditinggalkan.

Selepas diselamatkan, mereka dibawa dengan helikopter ke Bogota dan kemudian dirawat ke hospital tentera, di mana Presiden Gustavo Petro, pegawai kerajaan dan tentera, serta ahli keluarga bertemu dengan kanak-kanak itu pada hari Sabtu, 10 Jun.

Facebook

Video tentera udara yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan sebuah helikopter menggunakan tali khas untuk menarik anak-anak itu ke udara kerana ia tidak dapat mendarat di hutan hujan tebal di mana mereka ditemui. Tentera memuat naik gambar mereka di Twitter yang menunjukkan sekumpulan tentera dan sukarelawan bergambar dengan kanak-kanak itu, yang dibalut dengan selimut terma. Salah seorang tentera memegang botol menyusukan anak kecil berusia 11 bulan.

Jeneral Pedro Sanchez, yang bertanggungjawab mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata kanak-kanak itu ditemui 5 kilometer dari lokasi nahas dalam pembukaan hutan kecil. Beliau berkata pasukan penyelamat telah melalui dalam jarak 20 hingga 50 meter dari tempat kanak-kanak itu ditemui beberapa kali tetapi melewati mereka. 

Dua minggu selepas nahas itu, pada 16 Mei, pasukan pencari menemui pesawat itu di kawasan hutan hujan yang tebal dan menemui mayat tiga orang dewasa di dalamnya, tetapi kesemua kanak-kanak tidak ditemui.

Gambar oleh John Vizcaino / AP

Askar yang menaiki helikopter menggugurkan kotak makanan ke dalam hutan, dengan harapan ia dapat membantu kanak-kanak berkenaan untuk terus bertahan. Pesawat yang terbang di atas lokasi pencarian melepaskan suar untuk membantu kru mencari dalam hutan pada waktu malam, dan penyelamat menggunakan pembesar suara yang merakam mesej oleh nenek adik-beradik berkenaan untuk menyuruh mereka kekal berkumpul di satu tempat. 

Tentera Colombia menghantar 150 askar dengan anjing pengesan ke kawasan itu, di mana kabus dan hutan tebal mengehadkan penglihatan. Puluhan sukarelawan dari suku Orang Asli turut menyertai operasi pencarian.

Twitter

“Sebagai Orang Asli, kami telah dilatih untuk mencari jejak di tengah-tengah hutan. Kami membuktikan kepada dunia bahawa kami berjaya menemui pesawat itu… kami menemui kanak-kanak ini,” kata bapa empat beradik itu, Manuel Ranoque.

Kerajaan Colombia cuba menamatkan konflik dalaman di negara itu, dengan menekankan kerja sama erat antara tentera dan masyarakat Orang Asli dalam mencari dan menemukan kesemua kanak-kanak itu.

Pilihan Editor:

Anak bangga peroleh 6A dalam SPM tetapi sedih bila lihat reaksi bapanya yang kecewa tiada semua A+

0

Kadang kala kita tidak tahu apa yang berada dalam fikiran ibu bapa ketika menunjukkan reaksi kecewa apabila anak-anak tidak dapat merealisasikan apa yang diharapkan dengan kehendak mereka. 

Walaupun sebenarnya mereka sendiri bukannya manusia yang sempurna.

Seorang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 6A 2B 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini meluahkan rasa sedih apabila bapanya kecewa dengan keputusan peperiksaannya itu dengan tidak langsung mengucapkan tahniah.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Pelajar tersebut yang cemerlang memperoleh 6A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil meluahkan rasa kecewanya di laman sosial.

“Bapa saya kecewa gila muka dia waktu saya tunjuk dan dia tak kata ‘congratulation’ pun. Tak apa sedih sikit saja.

“Alhamdulillah, ‘hanya Allah yang tahu bagaimana perjuangan saya’,” katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian guru pelajar tersebut, Cikgu_Anep di laman Twitter miliknya berkata, dia berasa sedih apabila melihat perkongsian bekas pelajarnya itu.

“Sedih betul saya tengok ‘story’ bekas pelajar saya ini,” katanya dalam ciapan itu.

Menurut Cikgu Anep, pelajar tersebut merupakan seorang pelajar yang memiliki keperibadian terpuji.

“Seorang pelajar yang baik. Menghormati guru, rajin belajar, sentiasa beri kerjasama dalam kelas. Bagus saja keputusan dia tapi itulah,” katanya.

Facebook

Justeru, Cikgu Aneb menasihati ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menghargai hasil titik peluh dan kerja keras anak-anak. 

“Ibu bapa, tolonglah, saya merayu. Jadilah pemangkin anak-anak bukan menjatuhkan,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa warganet turut berkongsi pengalaman serupa dengan pelajar tersebut, sambil turut memberi kata-kata semangat dan pujian.

“Dapat 4A untuk UPSR, kena bebel satu yang dapat B dan dapat 3A untuk PMR tiada ucapan tahniah.”

“Masih kena bebel kata saya patut dapat lagi banyak A. Sejak hari itu, saya berhenti untuk buat mereka bangga. Putus asa..”

“Tahniah dik, tidak mengapa. Bapa adik tidak puji, biar kami semua puji. Semoga menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.. Tahniah atas usaha kamu.”

Apa-apa pun, keputusan SPM yang diperolehi itu bukanlah penentu seseorang itu telah berjaya atau gagal dalam kehidupan memandangkan terdapat pelbagai cabaran yang anak-anak ini perlu tempuhi kelak.

Pilihan Editor:

Budak pandu Proton Saga dirakam rakan sendiri, polis tahan kanak-kanak 11 tahun dan bapanya untuk bantu siasatan

0

Tidak habis lagi kecoh kes pemandu Toyota Vios bawah umur selepas kejadian di Langkawi pada bulan lalu, disusuli pula kali ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikesan memandu secara berbahaya di Kampung Pendamar, Klang, Selangor dalam kejadian pada 10 Jun.

Menerusi video yang dimuat naik di Telegram Update Info dan tular di Facebook, tindakan kanak-kanak itu dengan berani memandu di jalan raya telah dirakam rakannya.

Facebook

“Sentiasa awasi anak-anak kita. Budak sekolah bawah umur, lingkungan 11 tahun memandu kereta. Tengok pada video, budak ini sesuka hati memandu dan bergelak ketawa bawa kereta. Kejadian berlaku di Kampung Pendamar, Klang,” tulis info tersebut.

Dalam video berdurasi 1 minit 21 saat itu, budak lelaki berkenaan dilihat memandu kereta Proton Saga berwarna perak dalam keadaan berbahaya dan di jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Facebook

Turut bersama dalam Proton Saga itu ialah seorang penumpang dipercayai rakan kanak-kanak berkenaan.

Dalam video, terdengar suara perakam yang juga rakan-rakan lain kepada kanak-kanak tersebut dengan bahasa mereka yang kasar.

“Aduh budak ni, buat hal bawa kereta. Dia buat apa? Kau tengok apa yang dia buat?

“Anak siapa ini? Kau tengok dia bawa kereta. Dia bawa kereta,” katanya.

Facebook

Budak lelaki yang memandu kenderaan itu turut sempat memberhentikan keretanya ketika memasuki simpang, membuka cermin kereta dan meminta rakannya itu supaya tidak merakam videonya.

“Janganlah rekod, jangan rekod,” katanya.

Salah seorang daripada mereka turut menegur tindakan kanak-kanak tersebut yang memandu dalam keadaan berbahaya.

“Kau nak mati ke b***h?, nanti aku beritahu bapak kau,” kata rakannya itu.

Kanak-kanak itu kemudiannya dilihat beredar daripada lokasi berkenaan sambil memandu dengan selambanya.

Facebook

Ekoran video tular tersebut yang telah sampai ke pengetahuan pihak berkuasa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang memandu kereta Proton Saga berkenaan telah ditahan polis di sebuah rumah di Pandamaran, Klang pada 11 Jun, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama bapanya yang berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh bahagian Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.15 pagi.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkodkan keterangan.

Facebook

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi,” katanya dalam kenyataan pada 11 Jun.

Facebook

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak masing-masing supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

Dalam pada itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang kandungan sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenang-wenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Pilihan Editor:

Janna Nick selamat bergelar isteri kepada Dini Schatzmann dengan sekali lafaz

0

Teka-teki akhirnya terjawab apabila pelakon Janna Nick kini sah menjadi isteri kepada aktor Dini Schatzmann dalam majlis pernikahan yang diadakan di sebuah masjid di Langkawi, kira-kira jam 8.35 pagi Sabtu, 10 Jun.

Dengan sekali lafaz, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29 tahun dan Nurul Jannah Muner, 28 tahun selamat dinikahkan oleh Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya, dengan berwalikan bapa kepada aktres itu dan bersaksikan sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri serta Amar Fikri.

Gambar oleh Janna Nick

Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.

Gambar oleh Janna Nick

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

Malam tadi berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.

Pada sekitar Februari lalu, Dini memaklumkan bakal mengumumkan satu berita besar berkaitan hal peribadi yang turut berkait rapat dengan Janna dalam masa terdekat.

Gambar oleh Janna Nick

Malah sebelum ini juga terdapat khabar angin mendakwa pasangan itu bakal bernikah di Langkawi pada 10 Jun dan memilih resort mewah di Pantai Cenang, Langkawi sebagai lokasi hari bahagia mereka.

Bagaimanapun Dini ketika ditemu bual media Gempak pada 30 Mei lalu enggan memberikan sebarang komen akan dakwaan tersebut.

Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini teruja untuk memulakan fasa perjalanan kehidupan baharu sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.

Janna dalam pada masa sama turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Janna Nick / Facebook

“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan insya-Allah, seorang ibu.

“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya yang sepakat memilih lokasi berbulan madu pertama mereka di Koh Lipe, Thailand.

Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat pasangan Janna Nick dan Dini Schatzmann.

Pilihan Editor:

Pemuda jujur pulangkan semula barang hilang dalam beg yang tertinggal di troli kepada pemiliknya dapat pujian ramai

0

Tidak dinafikan, semua akan rasa gelabah kalau tiba-tiba kehilangan barangan berharga.

Tambahan pula kalau ada barangan yang penting seperti dokumen, wang syarikat atau cek. Memang kita akan gelabah dan rasa hendak menangis kalau semua benda itu tiba-tiba hilang. 

Baru-baru ini, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang wanita kehilangan barang berharga di troli pusat beli-belah.

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang wanita dan keluarganya sedang kebimbangan kerana kehilangan barang berharga apabila begnya secara tidak sengaja telah tertinggal di troli. 

Beg yang berharga itu mengandungi dokumen penting, wang tunai, buku cek dan komputer riba untuk kerjanya. 

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

Namun, apa yang lebih mengagumkan dan membuat semua orang berasa lega adalah apabila seorang pemuda dilihat datang ke arahnya untuk mengembalikan beg yang ditemuinya tergantung di troli kepada wanita berkenaan.

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

Wanita itu dilihat sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pemuda ini kerana sifat jujurnya yang didapati tidak menyentuh apa-apa langsung segala isi daripada beg tersebut, kecuali mendapatkan nombor di kad perniagaannya untuk dihubungi.

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

Video berkenaan telah tular dengan pelbagai pujian netizen ekoran mereka berasa terharu dengan kejujuran dan kemuliaan hati pemuda tersebut.

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

“Manis muka awak dik, ramai puji mak ayah awak dik kerana perbuatan awak.. Semoga dilapangkan segala urusan dan rezeki awak.”

“Bertuah ibu bapanya, ciri-ciri anak yang bertanggungjawab..”

“Ramai orang doakan awak dik. Semoga berkat hidupmu.. Dilimpahkan segala rezeki amin..”

“Tahniah bro kerana jadi penyelamat beg akak tu.. Terima kasih orang baik-baik.”

“Bagus akhlaknya.. Semoga anak-anak saya pun boleh jadi begitu..”

Tangkap Skrin @diarrajaneofficial/TikTok

Tahniah dan syabas buat semua orang berhati baik di Malaysia. Kita tidak akan pernah rugi apa-apa kalau sentiasa amalkan sikap baik sambil tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Pilihan Editor:

Kakak dari negara seberang ajar Bahasa Inggeris aksen British dengan anak perempuannya buat ramai berasa kagum

0

Kebanyakan orang Malaysia sudah diajar untuk bercakap bahasa Inggeris dengan ibu bapa mereka sejak kecil, jadi kita di sini tidak berapa hairan atau kagum. Pertuturan Bahasa Inggeris kita biasa-biasa sahaja ikut gaya ‘Manglish’.

Kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris merupakan satu kelebihan buat kita kerana bahasa itu adalah bahasa universal. Malah, kalau dapat bercakap menggunakan aksen lenggok British, Aussie atau American lagilah bangga.

TikTok

Tular sebuah video memaparkan seorang kakak dari negara seberang Indonesia yang boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan baik bersama anaknya di sawah padi, yang telah mencuri tumpuan ramai.

Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh @a5rihartanti, kelihatan wanita itu sedang berehat di sawah padi bersama anak-anaknya.

TikTok

Apa yang mencuri tumpuan ramai adalah apabila dia mula bertutur dalam bahasa Inggeris, yang bukan bahasa pertuturan biasa di Indonesia sambil membuat vlog harian bersama anaknya.

Wanita ini mengajar anaknya untuk membiasakan diri bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka.

TikTok

Lebih membuatkan ramai terpegun adalah wanita ini boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan terselit aksen British. 

Dia bercakap dengan sangat lancar seperti kebanyakan mereka di Malaysia, Brunei dan Singapura. Secara tidak langsung, kakak ini mengajar anaknya membiasakan diri untuk berlatih bercakap bahasa Inggeris sejak kecil tanpa rasa kekok.

Video TikTok itu telah menjadi tular dengan lebih 12 juta tontonan, dengan pelbagai komen yang memuji kebolehannya yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, dan mengajarnya pula kepada orang lain.

TikTok

Rupa-rupanya wanita ini, Asri Hartanti merupakan guru bahasa Inggeris di SMK Bhakti Mulia Wonogiri, Jawa Tengah yang memegang ijazah sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris dari sebuah universiti swasta di Solo, lapor media Merdeka.com.

Menerusi akaun TikTok dan YouTube, Asri menggunakan platform berkenaan untuk mengajar Bahasa Inggeris dengan cara yang paling mudah kepada para pengikutnya dan mereka yang berminat, sambil membiasakan anak-anaknya untuk bertutur dengan bahasa itu.

Pilihan Editor: