Kadang kala kita tidak tahu apa yang berada dalam fikiran ibu bapa ketika menunjukkan reaksi kecewa apabila anak-anak tidak dapat merealisasikan apa yang diharapkan dengan kehendak mereka.
Walaupun sebenarnya mereka sendiri bukannya manusia yang sempurna.
Seorang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 6A 2B 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini meluahkan rasa sedih apabila bapanya kecewa dengan keputusan peperiksaannya itu dengan tidak langsung mengucapkan tahniah.
Pelajar tersebut yang cemerlang memperoleh 6A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil meluahkan rasa kecewanya di laman sosial.
“Bapa saya kecewa gila muka dia waktu saya tunjuk dan dia tak kata ‘congratulation’ pun. Tak apa sedih sikit saja.
“Alhamdulillah, ‘hanya Allah yang tahu bagaimana perjuangan saya’,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian guru pelajar tersebut, Cikgu_Anep di laman Twitter miliknya berkata, dia berasa sedih apabila melihat perkongsian bekas pelajarnya itu.
“Sedih betul saya tengok ‘story’ bekas pelajar saya ini,” katanya dalam ciapan itu.
Menurut Cikgu Anep, pelajar tersebut merupakan seorang pelajar yang memiliki keperibadian terpuji.
“Seorang pelajar yang baik. Menghormati guru, rajin belajar, sentiasa beri kerjasama dalam kelas. Bagus saja keputusan dia tapi itulah,” katanya.
Justeru, Cikgu Aneb menasihati ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menghargai hasil titik peluh dan kerja keras anak-anak.
“Ibu bapa, tolonglah, saya merayu. Jadilah pemangkin anak-anak bukan menjatuhkan,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa warganet turut berkongsi pengalaman serupa dengan pelajar tersebut, sambil turut memberi kata-kata semangat dan pujian.
“Dapat 4A untuk UPSR, kena bebel satu yang dapat B dan dapat 3A untuk PMR tiada ucapan tahniah.”
“Masih kena bebel kata saya patut dapat lagi banyak A. Sejak hari itu, saya berhenti untuk buat mereka bangga. Putus asa..”
“Tahniah dik, tidak mengapa. Bapa adik tidak puji, biar kami semua puji. Semoga menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.. Tahniah atas usaha kamu.”
Apa-apa pun, keputusan SPM yang diperolehi itu bukanlah penentu seseorang itu telah berjaya atau gagal dalam kehidupan memandangkan terdapat pelbagai cabaran yang anak-anak ini perlu tempuhi kelak.
Pilihan Editor: