26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024
UtamaGlobal4 kanak-kanak hilang 40 hari daripada pesawat terhempas ditemukan masih hidup dalam...

4 kanak-kanak hilang 40 hari daripada pesawat terhempas ditemukan masih hidup dalam hutan tebal Amazon

Empat kanak-kanak Orang Asli terselamat dalam nahas pesawat di Amazon yang mengorbankan tiga orang dewasa dan kemudian berkeliaran sendirian di dalam hutan tebal itu selama 40 hari sebelum ditemukan masih hidup oleh tentera Colombia.

Para pegawai di negara Amerika Selatan itu mengumumkan operasi mencari dan menyelamat mereka berakhir pada 9 Jun dengan membawa khabar yang menggembirakan bercampur kisah suka duka ketika pasukan mencari dan penyelamat mula panik apabila menyusuri hutan hujan tropika penuh mencabar dalam usaha menjejaki empat kanak-kanak itu. 

Facebook

Ketika kesemua kanak-kanak itu menerima rawatan di hospital tentera di Bogota pada 9 Jun, masih tidak jelas bagaimana ajaib dan cekalnya adik-beradik itu, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan, terselamat dan berjaya bertahan hidup di dalam hutan tebal.

Kanak-kanak itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy (13 tahun), Soleiny Jacobombaire Mucutuy (9 tahun), Tien Noriel Ronoque Mucutuy (4 tahun), dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy (11 bulan), ditemui dalam keadaan dehidrasi, malnutrisi, dan jangkitan. 

Mereka dijangka menjalani rawatan lanjut selama dua minggu di hospital, tetapi ada yang sudah boleh bercakap dan mahu melakukan lebih daripada sekadar berbaring di atas katil, iaitu mahu mengikut ahli keluarga pulang.

Facebook

Manuel Ranoque, bapa kepada dua anak kecil, memberitahu pemberita di luar hospital pada 11 Jun, yang anak sulung daripada empat beradik itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy memberitahunya bahawa ibu mereka masih hidup selama kira-kira empat hari selepas pesawat itu terhempas pada 1 Mei di hutan Colombia.

Ranoque berkata sebelum meninggal dunia, ibu mereka mungkin memberitahu untuk pergi meninggalkan lokasi nahas itu dan nampaknya mereka akur berbuat demikian untuk terus hidup, namun tidak memberikan butiran lebih lanjut.

Fidencio Valencia, bapa saudara salah seorang kanak-kanak itu, memberitahu media Noticias Caracol mereka mula bercakap dan salah seorang berkata mereka bersembunyi di dalam akar dan batang pokok besar untuk melindungi diri mereka di kawasan hutan tebal yang dipenuhi ular, haiwan buas dan nyamuk, sambil berkata empat kanak-kanak itu sangat keletihan.

Facebook

“Mereka sekurang-kurangnya ada makan, sedikit, tetapi mereka sudah boleh makan,” katanya selepas melawat mereka di hospital tentera di Bogota, Colombia. Sehari sebelum itu, Menteri Pertahanan Iván Velásquez berkata kesemua kanak-kanak itu mengalami kekurangan air dan tidak boleh menelan makanan lagi.

Empat kanak-kanak itu dalam perjalanan bersama ibu mereka dari perkampungan Amazon Araracuara ke San Jose del Guaviare apabila pesawat itu terhempas. Pesawat Cessna satu enjin itu membawa tiga orang dewasa dan empat kanak-kanak itu apabila juruterbang mengisytiharkan mengalami kecemasan akibat kegagalan enjin. 

Pesawat kecil berkenaan hilang dari radar tidak lama kemudian dan pencarian intensif mangsa yang terselamat bermula dengan apa yang digelar sebagai Operasi Harapan.

Facebook

Pihak berkuasa dan ahli keluarga berkata kanak-kanak itu terselamat dengan memakan ubi kayu dan bijirin hutan, serta beberapa kebiasaan dan pengetahuan yang dipelajari daripada ahli keluarga mereka dengan memakan akar kayu dan buah-buahan hutan hujan tropika yang merupakan kunci kepada kelangsungan hidup mereka. Kanak-kanak berkenaan adalah ahli suku Orang Asli Huitoto.

Selama 40 hari itu, pasukan penyelamat mengikuti petunjuk seperti botol bayi, jejak kaki kanak-kanak di atas lumpur, sisa buah-buahan yang dijamah kanak-kanak dan lampin yang ditinggalkan.

Selepas diselamatkan, mereka dibawa dengan helikopter ke Bogota dan kemudian dirawat ke hospital tentera, di mana Presiden Gustavo Petro, pegawai kerajaan dan tentera, serta ahli keluarga bertemu dengan kanak-kanak itu pada hari Sabtu, 10 Jun.

Facebook

Video tentera udara yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan sebuah helikopter menggunakan tali khas untuk menarik anak-anak itu ke udara kerana ia tidak dapat mendarat di hutan hujan tebal di mana mereka ditemui. Tentera memuat naik gambar mereka di Twitter yang menunjukkan sekumpulan tentera dan sukarelawan bergambar dengan kanak-kanak itu, yang dibalut dengan selimut terma. Salah seorang tentera memegang botol menyusukan anak kecil berusia 11 bulan.

Jeneral Pedro Sanchez, yang bertanggungjawab mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata kanak-kanak itu ditemui 5 kilometer dari lokasi nahas dalam pembukaan hutan kecil. Beliau berkata pasukan penyelamat telah melalui dalam jarak 20 hingga 50 meter dari tempat kanak-kanak itu ditemui beberapa kali tetapi melewati mereka. 

Dua minggu selepas nahas itu, pada 16 Mei, pasukan pencari menemui pesawat itu di kawasan hutan hujan yang tebal dan menemui mayat tiga orang dewasa di dalamnya, tetapi kesemua kanak-kanak tidak ditemui.

Gambar oleh John Vizcaino / AP

Askar yang menaiki helikopter menggugurkan kotak makanan ke dalam hutan, dengan harapan ia dapat membantu kanak-kanak berkenaan untuk terus bertahan. Pesawat yang terbang di atas lokasi pencarian melepaskan suar untuk membantu kru mencari dalam hutan pada waktu malam, dan penyelamat menggunakan pembesar suara yang merakam mesej oleh nenek adik-beradik berkenaan untuk menyuruh mereka kekal berkumpul di satu tempat. 

Tentera Colombia menghantar 150 askar dengan anjing pengesan ke kawasan itu, di mana kabus dan hutan tebal mengehadkan penglihatan. Puluhan sukarelawan dari suku Orang Asli turut menyertai operasi pencarian.

Twitter

“Sebagai Orang Asli, kami telah dilatih untuk mencari jejak di tengah-tengah hutan. Kami membuktikan kepada dunia bahawa kami berjaya menemui pesawat itu… kami menemui kanak-kanak ini,” kata bapa empat beradik itu, Manuel Ranoque.

Kerajaan Colombia cuba menamatkan konflik dalaman di negara itu, dengan menekankan kerja sama erat antara tentera dan masyarakat Orang Asli dalam mencari dan menemukan kesemua kanak-kanak itu.

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI