26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 80

Penganalisis bimbang PKC menggunakan Hong Kong untuk mengelak sekatan luar negara terhadap pemindahan organ

0

Sejak Lo Chung-mau, Setiausaha Kesihatan Pihak Berkuasa Hospital Hong Kong, menyatakan harapannya pada Disember 2022 untuk mengintegrasikan hospital Hong Kong ke dalam Sistem Tindak Balas Pemindahan Organ China (COTRS), bilangan individu yang membatalkan pendaftaran penderma organ mereka meningkat pesat dalam bulan yang sama.

Pengulas mengesyaki Parti Komuniti China cuba menggunakan Hong Kong untuk “mengantarabangsakan perniagaan pemindahan organnya” sambil mengelak sekatan negara luar terhadap pemindahan organ di China.

Warga Hong Kong yang baru-baru ini membatalkan pendaftaran penderma organ mereka dengan berkata masalah memburuk adalah apabila kerajaan memutuskan untuk memulakan kenyataan kepada media pada 22 Mei.

Kad penderma organ Hong Kong (Gambar Big Mack / The Epoch Times)

Kerajaan Hong Kong mengkritik segelintir rakyat yang menyeru orang ramai untuk membatalkan pendaftaran pendermaan organ mereka.

Ia juga menyalahkan individu yang tidak mempercayai mekanisme perkongsian organ antara China dan Hong Kong, yang percaya bahawa mekanisme itu tidak melindungi atau menjamin organ warga Hong Kong daripada jatuh ke tangan orang istimewa dan berkepentingan di Tanah Besar.

Memudahkan pemindahan organ warga asing

Pengulas Politik Shi Shan dari The Epoch Times menjelaskan dalam programnya bahawa pihak berkuasa merancang untuk membawa dan menukar organ antara China dan Hong Kong. Shi Shan juga menyebut tanah besar adalah sukar difahami dan berahsia kepada kebanyakan perkara yang telah menimbulkan pelbagai keraguan di kalangan warga Hong Kong.

China diharamkan dalam pemindahan organ di luar negara

Shi Shan menegaskan sistem pemindahan organ di tanah besar China dikatakan bermasalah, menyebabkan kebanyakan negara asing menggubal undang-undang dan melarang rakyat mereka mendapatkan pemindahan organ yang tidak diketahui asal usulnya di luar negara.

Sebagai contoh, sebaik sahaja pesakit menerima pemindahan organ di China, penjagaan kesihatan atau insurans kerajaan Israel tidak akan mengiktiraf prosedur atau menyediakan rawatan susulan untuk sebarang penolakan selepas pembedahan pemindahan.

Pengembangan perniagaan pemindahan organ PKC ke Hong Kong

Shi percaya pelbagai sekatan telah memberi kesan kepada perniagaan pemindahan organ China; dengan mengesyaki “sistem perkongsian organ” antara Hong Kong dan China adalah rancangan jahat Parti Komunis China untuk menggunakan Hong Kong sebagai saluran bagi mengembangkan perniagaan pemindahan organnya.

“Banyak negara telah mengehad dan menyekat Parti Komunis China, menyukarkan rejim untuk membuat wang. Tetapi Hong Kong masih belum disekat atau dihadkan oleh negara asing. Jadi organ yang diambil dari Tanah Besar boleh dialih ke hospital Hong Kong untuk pemindahan.”

Shi Shan menambah China boleh menghantar doktor dan pasukan perubatan ke hospital lain untuk pemindahan organ dalam pelbagai cara. Oleh itu, beliau mengesyaki PKC berhasrat untuk menyediakan pembedahan kepada warga asing untuk mendapatkan pertukaran asing.

Dr. Jacob Lavee, pakar bedah pemindahan jantung terkenal dan profesor Sekolah Perubatan di Universiti Tel Aviv di Israel, membincangkan sistem perkongsian pendermaan organ antara China dan Hong Kong kepada The Epoch Times pada Mei 2023.

Dr. Lavee berkata ia mungkin bermakna menyeret Hong Kong untuk mendapatkan organ yang dituai daripada orang hidup.

Dr. Lavee juga menasihatkan negara-negara Barat untuk berganding bahu dalam usaha diplomatik dan ekonomi untuk memerangi kekejaman dan penggunaan organ yang dituai di Hong Kong.

Mengharamkan organ yang meragukan

Israel menguatkuasakan undang-undang pada April 2014 yang melarang semua warga Israel daripada menjalani pembedahan pemindahan organ di luar negara daripada sumber yang tidak diketahui atau menyalahi undang-undang.

Kerajaan Israel juga melarang syarikat insurans daripada membayar rakyat yang mempunyai prosedur pemindahan organ yang dilakukan di luar negara.

Usaha Dr Lavee adalah di sebalik kejayaan perundangan larangan Israel. Menurut laman web berita A.S. Axios.com, Dr. Lavee mula mengetahui tentang China menuai organ ke atas tahanan hidup pada tahun 2005.

Pada masa itu, salah seorang pesakitnya terbang ke China dua minggu lebih awal untuk menjalani pembedahan pemindahan jantung.

Beliau mengimbas kembali soalan, “Siapa yang boleh menjamin anda untuk menerima jantung pada hari tertentu? Seseorang perlu mati pada hari yang tepat dan tertentu untuk itu berlaku.”

Selepas pesakit tiba di China, dia menerima pemindahan jantung pada hari yang tepat dan dijanjikan kepadanya, mendorong kepada termeterai undang-undang larangan itu yang didesak oleh Lavee.

Dunia vs Penuaian organ hidup PKC

Pelbagai penyiasatan antarabangsa telah mengesahkan penuaian organ rejim sejak skandal itu meletus pada 2006.

David Matas, seorang peguam hak asasi manusia antarabangsa, membicarakannya dengan Jan Jekielek, editor kanan The Epoch Times, mengenai isu penuaian organ hidup, “Masalahnya bukan kekurangan bukti. Sebaliknya, terlalu banyak.”

Matas ialah salah seorang penyiasat yang menyediakan laporan 2006 dan 2016 mengenai dakwaan pengambilan organ hidup ke atas pengamal Falun Gong di China dan pengarang bersama Bloody Harvest/The Slaughter—An Update.

Laporan Kilgour—Matas menyimpulkan pengambilan organ secara paksa pada skala besar-besaran oleh Parti Komunis China ke atas ahli Falun Gong.

Amerika Syarikat

Pada 27 Mac, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan Akta Hentikan Pengambilan Organ Paksa 2023 untuk menyekat kakitangan yang terlibat dalam pemerdagangan organ dan pengambilan organ hidup, dengan hukuman sivil maksimum sehingga AS$250,000, penalti jenayah sehingga AS$1 juta dan 20 tahun penjara.

Rang undang-undang itu menunggu kelulusan daripada Senat Amerika Syarikat dan ditandatangani oleh Presiden.

Kanada

Pada 14 Disember 2022, Parlimen Kanada sebulat suara meluluskan Akta S-223, rang undang-undang untuk memerangi pengambilan dan pemerdagangan organ manusia secara haram

Di samping, Israel, Taiwan, Itali, Sepanyol, dan United Kingdom telah melarang perjalanan bagi tujuan pemindahan organ.

Korea Selatan

Pada 6 Mac 2020, Korea Selatan meminda Akta Pemindahan Organ Dalaman Korea. Pindaan itu berkuat kuasa pada 8 Oktober 2020, yang menetapkan mana-mana orang yang menerima pemindahan organ ke luar negara mesti menyerahkan dokumen dan maklumat yang diperlukan mengenai pembedahan kepada Kementerian Kesihatan dan Kebajikan dalam tempoh 30 hari selepas kembali ke Korea.

Eropah

Majlis Eropah meluluskan Konvensyen Majlis Eropah untuk Membanteras Pemerdagangan Organ Manusia pada tahun 2014.

Konvensyen ini menetapkan pemerdagangan organ adalah satu kesalahan jenayah, dan mana-mana pelakunya akan dihukum.

Negara-negara yang menandatangani Konvensyen termasuk Switzerland, Norway, Perancis, Belgium, Albania, Croatia, Republik Czech, Montenegro, Latvia, Malta, Portugal, Moldova dan Slovenia.

Taiwan

Pada 12 Jun 2015, Taiwan meluluskan Pindaan Akta Pemindahan Organ Manusia, yang menetapkan bahawa pemindahan organ haruslah percuma atau diberikan tanpa ganjaran.

Pesalah akan dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda NT$1.5 juta. Sekiranya doktor didapati terlibat sebagai perantara, lesen mereka boleh dibatalkan sebagai penalti maksimum.

Pada masa itu, Yu Mei-nu, ahli perundangan Parti Kemajuan Demokratik, menyatakan ramai orang akan pergi ke tanah besar China untuk menerima pemindahan organ secara haram kerana kekurangan organ di Taiwan.

Yu berkata, Parti Komunis China telah menjalankan aktiviti organ perantara dan perniagaan tukar beli tidak wajar yang diambil daripada pengamal Falun Gong. Beliau berharap pindaan undang-undang itu dapat menghentikan perantara dan pemerdagangan organ yang dahsyat.

Tiada lantikan semula untuk doktor Taiwan

Pada 10 Jun 2023, Hospital Kristian Changhua Taiwan mengumumkan dua doktor daripada pasukan pemindahan organnya telah berulang kali melawat China untuk menjalankan pembedahan pemindahan tanpa melaporkan kepada hospital, yang telah melanggar ketelusan dan kebolehkesanan sumber organ serta kontrak kepada etika perubatan.

Selepas mempertimbangkan dengan teliti prinsip etika perubatan, pihak hospital memutuskan untuk tidak melantik semula kedua-dua doktor itu.

Hospital itu menekankan bahawa walaupun orang Tibet, Uyghur, dan ahli gereja keluarga Kristian adalah subjek dalam misi penuaian organ secara langsung oleh PKC, sasaran utama rejim tertumpu kepada pengamal Falun Gong.

Tiada kepercayaan terhadap sistem pemindahan organ PKC

Ketika warga Hong Kong membatalkan kad penderma organ, Pengulas Urusan Semasa Cho Ka-chiu mengulas pada program dalam taliannya bahawa trend itu berpunca daripada ketidakpercayaan dan syak wasangka warga Hong Kong terhadap China.

“Sekiranya penduduk tanah besar yang miskin memerlukan pemindahan jantung tetapi tidak mampu untuk menjalani pembedahan, ia bukan kerana Hong Kong enggan menderma. Tanah besar yang enggan merawat.”

Cho menambah organ itu mungkin berakhir di tangan orang kaya dan orang yang berkuasa.

“Apabila sistem pemindahan organ disepadukan dan dikongsi, jika kanak-kanak meninggal dunia di Hong Kong, adakah terdapat mekanisme untuk memastikan kanak-kanak Hong Kong yang memerlukan mendapatkan organ tersebut terlebih dahulu?”

Cho mempersoalkan jika rejim akan mengutamakan agenda politiknya.

“Adakah rejim itu akan bertindak sewenang-wenangnya kepada anak seseorang yang berkuasa dan tidak menghiraukan seorang kanak-kanak di Hong Kong yang menunggu pemindahan?”

Batalkan budaya pendaftaran penderma organ

Warga Hong Kong Encik H (Nama Samaran) mendaftar sebagai penderma organ dalam sistem Hong Kong pada awal 2019.

Dalam temu bual bersama The Epoch Times pada 1 Jun, Encik H berkata beliau telah berhasrat untuk menjadi penderma organ sejak zaman persekolahannya bertahun-tahun lalu.

Dia memaklumkan hasratnya kepada keluarga dan akan membawa kad pendaftaran pendermanya ke mana-mana.

Encik H sentiasa fikir dia melakukan perkara yang betul dengan mendaftar, terutamanya selepas panggilan telefon daripada Jabatan Kesihatan untuk mengesahkan pendaftarannya pada tahun 2019.

Encik H yang masih muda tidak teragak-agak untuk menjadi penderma organ kerana percaya bahawa orang yang memerlukan patut mendapatkan organ penting dengan lebih cepat.

Pada penghujung tahun 2022, Hong Kong mengalami pemindahan organ pertama dari tanah besar.

Seorang bayi perempuan berusia 4 bulan, Tsz-hay, mengalami ‘dilated cardiomyopathy’ dan kegagalan jantung akut. Keadaan bayi perempuan itu kekal kritikal dan tidak berdaya walaupun ada rayuan orang ramai untuk menderma jantung oleh ahli keluarga dan hospital kanak-kanak.

Lo Chung-mau, Setiausaha Kesihatan Pihak Berkuasa Hospital Hong Kong, berkata di blognya bahawa beliau telah menghubungi dan meminta bantuan daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan PKC dan Pentadbiran Am Kastam. Lo menggesa pemindahan jantung yang lancar antara dua tempat untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak berusia empat bulan itu jika mana-mana jantung boleh didapati daripada penderma yang mati otak di China tanpa penerima yang sesuai di Tanah Besar.

Pada masa itu, media kerajaan, Agensi Berita Xinhua, mendakwa kerajaan Beijing sangat prihatin terhadap permintaan itu.

Jabatan Tindak Balas Kecemasan Perubatan Suruhanjaya Kesihatan dan jabatan antarabangsa bekerjasama dengan sokongan penuh daripada pihak berkuasa kastam di China.

Jabatan-jabatan tersebut meminta Sistem Tindak Balas Pemindahan Organ China mewujudkan hab penyelarasan perhubungan dan perancangan kecemasan.

Akhirnya, pemindahan jantung anak kecil itu berjaya melalui kerjasama 65 profesional perubatan dan pengurusan dari Hong Kong dan China.

Agensi Berita Xinhua, pada masa itu, berkata jantung itu diberikan oleh seorang kanak-kanak mati otak di China “secara percuma.”

Jurucakap kerajaan juga memetik Lo Chung-mau, berharap “hospital Hong Kong boleh dimasukkan ke dalam COTRS berdasarkan kisah kejayaan Tsz-hay.”

Encik H tidak terfikir untuk membatalkan pendaftaran penderma organnya ketika itu, kerana dia tidak fikir perkara itu membimbangkannya atau tiada keperluan mendesak.

Beliau menambah amat mengetahui sejarah pemindahan organ yang terkenal di China.

“Rekod PKC yang menganiaya orang adalah jelas. Pada hakikatnya, saya juga dapat merasakan keterlaluan mereka yang berkuasa di China.”

Encik H mempersoalkan: Bagaimanakah tempat seperti itu boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pendermaan organ yang “adil” atau “percuma”?

Gambar Hiasan / Pixabay

Kerajaan Hong Kong mengkritik warga yang mengecam

Dalam siaran berita 22 Mei, kerajaan Hong Kong mengkritik orang yang menggesa untuk membatalkan daftar penderma organ.

Menyedari laporan media yang menggembirakan, Encik H memutuskan untuk melihat “betapa gilanya kerajaan boleh bertindak.”

Encik H memetik kerajaan: Sebilangan kecil individu memutar belit nilai murni dan penumpuan altruistik dalam pendermaan organ di Internet.”

“Perbuatan itu sama sekali bertentangan dengan semangat berkasih sayang tidak mementingkan diri dalam pendermaan organ; Sesetengah individu juga secara sewenang-wenangnya memperlekehkan kepentingan membina cadangan penubuhan mekanisme bantuan bersama untuk pemindahan oleh kedua-dua tempat, sudah pasti menghina hubungan yang tidak dapat dipisahkan antara warga Hong Kong dan tanah besar serta pelbagai pendermaan organ secara suci hati dan tindakan bantuan daripada tanah besar.”

“Sesetengah individu tidak menghiraukan sama sekali kesejahteraan pesakit yang menunggu pemindahan organ di dua tempat itu, dan perkembangan pendermaan organ dan pemindahan serta sistem pengagihan untuk pemindahan di tanah besar telah disalahtafsirkan.”

Selepas membaca kata-kata itu, Encik H segera membatalkan pendaftaran penderma organnya secara dalam talian.

“Walaupun sumbangan saya tidak dianggap hebat, saya tidak akan membenarkan kerajaan merosakkannya seperti ini.”

Seorang rakan Encik H, yang sedang menunggu pemindahan paru-paru, memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi penderma organ ‘cadaveric’ selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, rancangan PKC untuk memasukkan Hong Kong dalam mekanisme perkongsian organnya akhirnya mengalahkan sifat budiman yang dibinanya selama ini.

“Tidak kira apa yang dijanjikan kerajaan. Sejak bila kata-kata kerajaan boleh dipercayai? Sama seperti apa yang dikatakan tentang “Satu Negara, Dua Sistem” dan kebebasan media?”

Encik H menambah masalahnya terletak pada kekurangan ketelusan dalam cara tanah besar mengendalikan perniagaan. Jadi dia membatalkan kad pendermanya sebelum “mekanisme gotong-royong dan perkongsian untuk pemindahan organ” bermula.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk mendaftar semula untuk pendermaan organ, Encik H dengan tegas berkata, “Tidak. Sekurang-kurangnya tidak di Hong Kong. Melainkan saya berpindah dari Hong Kong dan bermula semula dalam sistem yang boleh dipercayai.”

Pilihan Editor:

Pendaki bertuah jadi saksi fenomena ‘Golden Halo’ yang menyerupai ‘sigah’ Kadazandusun dan Murut di puncak Kinabalu

0

Gambar fenomena indah ‘golden halo’ atau lingkaran emas menyerupai ‘sigah’ atau tanjak bagi etnik Kadazandusun dan Murut yang mengelilingi satu daripada puncak di Gunung Kinabalu, Sabah menjadi tular di media sosial.

Lingkaran itu yang terhasil daripada biasan cahaya matahari dirakam seorang malim gunung yang kebetulan berada di kawasan puncak Gunung Kinabalu ketika fenomena itu berlaku pada kira-kira jam 6 pagi, 14 Jun.

Gambar ihsan Daverond Dolius

Daverond Dolius, 23, dari Kota Belud menyaksikan fenomena yang berlaku ketika matahari terbit dan merakamnya sebelum memuat naik di laman Facebook yang kemudian menarik perhatian netizen.

Beliau mengesahkan gambar berkenaan adalah asli dan bukan disunting berikutan bentuk dan warnanya yang unik, lebih-lebih lagi dilihat mengelilingi satu daripada puncak yang ada di Gunung Kinabalu.

Katanya, fenomena itu dirakam berdekatan kawasan Gurkha Hut, iaitu antara puncak dan laluan untuk latihan pendakian altitud tinggi bagi pendaki berpengalaman yang mahu menawan gunung lebih tinggi daripada Kinabalu.

Facebook

“Ia adalah kejadian sebenar dan saya ada videonya. Saya merakam gambar itu dari Low’s Peak ketika matahari terbit pada kira-kira jam 6 pagi.

“Ketika itu ada kira-kira 100 pendaki. Pendaki yang saya iring juga mengambil gambar fenomena berkenaan,” kata Daverond yang berpengalaman sebagai malim gunung selama 6 tahun. 

Gambar ihsan Daverond Dolius

Sehingga hari ini, perkongsiannya di laman Facebook mendapat perhatian lebih 400 kali selain menerima pelbagai maklum balas netizen yang kebanyakannya menyatakan ketakjuban terhadap fenomena itu yang disifatkan jarang-jarang dapat disaksikan.

Selain disamakan dengan imej ‘sigah’, ada netizen turut menyamakannya dengan imej naga emas, rantai leher dan corak pada leher beruang matahari.

Pilihan Editor:

“Jumpa cinta kami semula,” Kekasih lama sekolah tinggi akhirnya bergelar suami isteri selepas 63 tahun berpisah merindui satu sama lain

0

Cinta itu tidak mengenal masa dengan buktinya pasangan kekasih lama Eddie Lamm dan Caroline Reeves, yang bersekolah tinggi di Tennessee, Amerika Syarikat pada tahun 1950-an, merindui satu sama lain, namun mempunyai hala tuju yang berbeza demi masa depan, lalu mereka terpisah tetapi kemudian bertemu semula. 

Tidak pula menyangka mereka masih berjodoh selepas 63 tahun kemudian, Lamm meneruskan usahanya tanpa putus asa dan membuat lamaran perkahwinan kepada Reeves dan akhirnya berjaya. 

@CBSMornings/Twitter

Pasangan kekasih yang sudah memasuki usia 80-an, akhirnya berkahwin dan sah bergelar suami isteri hingga akhir hayat.

CBS Mornings melaporkan pada tahun 1956, Lamm dan Reeves merupakan pasangan kekasih yang bercinta di sekolah tinggi. Lamm bergurau Reeves adalah cinta pandang pertama pada masa itu, dan Reeves mendedahkan Lamm merupakan budak lelaki paling comel dalam sekolah mereka. 

@CBSMornings/Twitter

Walau bagaimanapun, pada tahun 1959, selepas tamat sekolah tinggi, Lamm memohon menyertai Kor Latihan Pegawai Tentera Simpanan Universiti Tennessee, dan bersedia menyertai Tentera Udara untuk menjadi juruterbang pesawat tentera. Ekoran sibuk dengan cita-citanya, Lamm telah berpisah dengan Reeves tanpa memberi kata-kata perpisahan secara yang betul.

Lamm teringat pada malam perpisahan itu, dia memandu Reeves pulang ke rumah dengan keretanya. Selepas memberi ciuman selamat tinggal, Reeves keluar dari kereta dan terus beredar. Reeves mendedahkan dia menangis sepanjang malam itu kerana tidak menerima cincin pasangan. Selama 21 tahun tanpa khabar berita daripada Lamm, Caroline Reeves dinobat Miss Nashville Tennessee pada tahun 1959, bekerja sebagai pereka dalaman, penulis majalah, dan menulis 3 novel.

@CBSMornings/Twitter

Perkara yang paling kebetulan ialah kedua-duanya berkahwin dengan pasangan masing-masing pada tahun 1961. Isteri Lamm meninggal dunia akibat sakit pada 2021. Reeves pertama kali bercerai pada 1980-an, dan selepas berkahwin semula, suaminya meninggal dunia pada 2001.

Kedua-dua kekasih lama ini ada memikirkan masa silam percintaan mereka dari semasa ke semasa dan masa terus berlalu. Mereka mengetahui keadaan masing-masing melalui kenalan, tetapi tidak pernah berhubung.

@CBSMornings/Twitter

Akhirnya, pada April 2022, Eddie Lamm yang tinggal di California, tiba-tiba ingin menghubungi Caroline Reeves. 

Dia mencuba 9 kali sebelum dapat membuat panggilan yang betul tanpa putus asa. Kemudian Lamm terbang ke Nashville untuk melawat Reeves. 

@CBSMornings/Twitter

Selepas memandu untuk menjemputnya, mereka berhenti di gudang FedEx dan kedua-duanya keluar dari kereta, melompat kegembiraan, berpelukan dan berciuman melepaskan kerinduan.

Lamm kemudian memujuk Reeves untuk berpindah ke California supaya mereka boleh tinggal bersama, bertunang dahulu dan akhirnya melamar dengan sempurna 3 bulan kemudian selepas pertemuan semula itu. 

@CBSMornings/Twitter

Selepas 63 tahun, kedua-dua pasangan cinta pertama sekolah tinggi ini akhirnya bersama. Eddie Lamm kini berusia 85 tahun, dan Caroline Reeves baru sahaja melepasi hari jadinya yang ke-82.

Mereka hanya dapat ketawa sambil berkata kedua-duanya berasa lebih muda selepas berkahwin. “Kami jumpa cinta kami semula,” kata Eddie dan Caroline.

@CBSMornings/Twitter

“Kami telah bertanya kepada Tuhan mengapa semua ini ditakdirkan (merujuk kedua-duanya bersatu semula dan berjodoh), dan kini kami tahu semuanya berlaku supaya kami dapat menjaga satu sama lain,” kata pasangan cinta sejati ini.

Kalau sudah jodoh tidak ke mana, maka percayalah untuk tidak berputus asa dengan cinta anda.

Pilihan Editor:

Perjalanan tren tertunda 30 saat gara-gara seekor kucing di Jepun dicekup mahu menaiki kereta api tanpa tiket

0

Kucing merupakan antara haiwan paling menarik di dunia. Selalunya, mereka hanya mahu menggunakan kecomelan sambil tidak mahu mendengar apa yang anda katakan, dan si bulus sudah pasti akan terus melakukan segala-galanya dengan sesuka hatinya. 

Dan ada ketikanya mereka bertindak seperti merasakan diri itu seperti manusia tanpa peraturan dengan gaya yang melucukan.

Baru-baru ini, seekor kucing di Jepun menjadi  tular selepas ditangkap kamera CCTV stesen kereta api kerana melakukan kesalahan.

@c61_20/Twitter

Pengguna Twitter @c61_20 berkongsi seekor kucing kacukan putih dan oyen mahu menaiki kereta api di Laluan Kamaishi iaitu laluan kereta api luar bandar di Wilayah Iwate, pada pagi 10 Jun.

Menerusi gambar yang dimuat naik, nampaknya kakitangan kereta api mahu menghalang kucing itu daripada memasuki gerabak dan dia kelihatan telah meletakkan tapak tangannya bagi menghalang kucing itu dan berkata padanya yang si bulus patut berhenti.

Nampaknya kucing itu tidak mempunyai tiket kereta api tetapi tetap berdegil mahu masuk, menyebabkan kakitangan kereta api terpaksa menggunakan ‘kekerasan’ bagi menghalau kucing itu daripada memasuki gerabak. 

@c61_20/Twitter

Pergelutan antara pak cik tren dan si comel degil itu telah menyebabkan kereta api tertunda perjalanannya selama 30 saat!

Mungkin dia sudah biasa berulang-alik ke tempat kerja setiap hari seperti orang lain, tetapi kali ini stesen kereta api mengesannya dan ada pula orang kacau daun menghalangnya.

Hendak buat macam mana, naik kereta api pun mana boleh ‘free’ kenalah beli tiket kan.

Pilihan Editor:

CAAM beri penjelasan video tular budak pergi sekolah naik helikopter yang mendarat di padang kawasan perumahan

0

Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang budak pergi ke sekolah dengan menaiki helikopter.

Video itu telah dirakam oleh orang awam tidak dinamakan yang dipercayai merupakan penduduk di kawasan perumahan Bukit Bandaraya Seksyen U11, Shah Alam.

Sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang budak ke sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park, Shah Alam.

Twitter

Susulan itu, kes ini telah mendapat perhatian pihak polis dan dirujuk ke Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menyerahkan kepada CAAM untuk siasatan sama ada pengendali pesawat itu memiliki permit sah apabila ia mendarat di kawasan perumahan itu pada 17 April lalu.

“Helikopter berkenaan mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya, Seksyen U11, Setia Eco Park.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” kata Mohd Iqbal dalam kenyataannya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai rujukan agensi lain (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, menerusi laporan NST, CAAM ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendaratan itu berkata, helikopter tidak memerlukan pelepasan dari menara kawalan trafik udara untuk mendarat di luar lapangan terbang.

Twitter

“Helikopter boleh mendarat di mana-mana saja dengan syarat ia adalah kawasan lapang dan selamat untuk mendarat. Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan kelulusan daripada pemilik tanah,” kata jurucakap itu ketika dihubungi.

“Penduduk perlu membuat aduan kepada CAAM jika mahu perkara itu disiasat. Sehingga kini tiada aduan dibuat kepada kami mengenai kejadian di Shah Alam,” katanya.

Namun mereka telah memulakan siasatan awal selepas menerima laporan daripada pihak polis.

“Kita perlu menyemak terlebih dahulu kesasihan semua lesen untuk pesawat dan juruterbang juga sama ada terdapat sebarang salah laku atau tidak.

“Hanya selepas itu kita boleh memutuskan sama ada mereka perlu dipanggil untuk mendapatkan penjelasan. Kami akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja kami mengetahui perkara lebih lanjut,” kata jurucakap itu kepada FMT.

CAAM berkata, adalah penting juruterbang menjalankan penilaian risiko keselamatan atau mendapat kebenaran daripada pemilik tanah mengikut arahan penerbangan awam yang berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021.

“Ini adalah penting untuk keselamatan juruterbang dan kru, bahkan juga orang awam yang tinggal di kawasan pendaratan dengan prosedur yang betul. Ia mesti dilakukan dengan berhati-hati tanpa alasan kerana ia mungkin satu-satunya perkara yang menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

Difahamkan menerusi maklumat penduduk di kawasan itu, ia adalah kali kedua helikopter terbabit mendarat di situ, dengan kali pertama tidak dirakam oleh penduduk setempat.

Pilihan Editor:

Lelaki masuk hutan untuk melarikan diri daripada tekanan, minta bantuan pasukan penyelamat 6 hari kemudian

0

Pada awal bulan ini, Mohamad Suhairy Mohamed, menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Terminal Meru Raya di Ipoh, Perak ekoran dikatakan mengalami stres di tempat kerja dan mahu mendapatkan ketenangan.

Lelaki berusia 41 tahun itu membuat keputusan tergesa-gesa untuk melarikan diri daripada segala-galanya dengan mahu mencuba tinggal di dalam hutan.

Dia memasuki hutan tebal di Hutan Simpan Meru dan menghabiskan beberapa hari di sana.

Hutan Simpan Negeri Perak (Gambar Hiasan)

Walau bagaimanapun, hutan belantara yang luas terbentang ternyata terlalu hebat cabarannya untuk Suhairy dan dia kemudian telah tersesat.

Hilang dalam hutan belantara, dan tidak dapat mencari apa-apa untuk dimakan, lelaki itu semakin stres lalu meminta bantuan pasukan penyelamat pada hari keenam.

Suhairy diselamatkan awal pagi Ahad, 10 Jun, selepas menghubungi talian kecemasan 999 dan dia diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, lapor Bernama.

Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengesan lokasi Suhairy.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.44 malam Sabtu, 9 Jun lalu dan bergegas ke lokasi yang dinyatakan Suhairy.

Tiada sambungan Internet. Tetapi nasib Suhairy amat baik apabila dia boleh dihubungi melalui telefon pintarnya.

“Mangsa menghubungi JBPM untuk mendapatkan bantuan kerana mengalami sesak nafas,” kata Sabarodzi.

“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi menghubungi mangsa, yang berkata dia mendengar kehadiran jentera bomba dari dalam hutan,” tambahnya.

Sabarodzi berkata, Suhairy ditemui pada 2.46 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berikutan penyelamatannya, pihak berkuasa mengetahui lelaki berusia 41 tahun itu, yang berasal dari Cheras, mempunyai sejarah skizofrenia dan halusinasi.

Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan, Suhairy telah dirujuk kepada pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu tetapi dia berhenti mengambil ubat pada Januari tahun ini.

Yahaya berkata, lelaki itu memberitahu polis bahawa dia mahu tinggal bersendirian, sambil menambah dia adalah anak yatim piatu yang tinggal sendirian sejak menamatkan sekolah menengah pada 1999.

Selepas diselamatkan, lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

Suhairy kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pihak polis telah menasihatinya untuk tidak melakukan perkara yang akan mendatangkan kemudaratan selepas ini.

Pilihan Editor:

Pengamal Malaysia rai ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa di khalayak awam

0

Tanggal 13 Mei 2023 merupakan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia dan Hari Falun Dafa Sedunia yang ke-24. Ia juga merupakan hari lahir pengasas Falun Dafa, Li Hongzhi.

Pengamal Falun Gong dari seluruh Malaysia menghantar ucapan selamat dan keberkatan tulus ikhlas mereka kepada Guru Li Hongzhi, dan berterima kasih kepada Guru kerana memberikan kesihatan dan kemantapan kerohanian kepada semua pengamal, dan berterima kasih kepadanya kerana membawa keindahan Falun Dafa kepada para pengamal tempatan.

Dunia menyambut ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Dafa di Malaysia mengucapkan selamat hari lahir kepada Guru di Kuala Lumpur. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal dari Pulau Pinang mengucapkan selamat ulang tahun kepada Guru. (Gambar oleh The Epoch Times)
Pengamal dari Johor mengucapkan selamat ulang tahun kepada Guru. (Gambar oleh The Epoch Times)

Kuala Lumpur meraikan Hari Falun Dafa Sedunia

Sempena ulang tahun ke-31 Falun Dafa disebarkan ke seluruh dunia, pada pagi 6 Mei, pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan acara dan Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar di Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia dan hari lahir Guru Li Hongzhi. Para pengamal berkongsi keindahan Sejati, Baik, Sabar hasil ajaran Falun Dafa kepada orang awam.

Sebelum acara dimulakan, pengamal Falun Gong mengadakan latihan berkumpulan di hadapan Dataran Taman Titiwangsa, pemandangan yang menakjubkan dan damai. Walaupun pengamal Falun Gong dari semua lapisan masyarakat dan kumpulan umur yang berbeza mempunyai pengalaman yang berbeza untuk mendapatkan Fa, mereka semua boleh berjalan bersama dengan bertafakur dan memperoleh kesihatan fizikal serta sublimasi kerohanian.

Selepas latihan pada hari itu, pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian naga, gendang pinggang dan persembahan pasukan pari-pari untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia bersama dengan disaksikan orang ramai. Beberapa orang awam yang berada di lokasi berkenaan telah duduk berdekatan untuk menikmati persembahan, malahan bertepuk tangan.

Sepasang adik-beradik yang tinggal di Rawang yang terletak di utara Selangor kebetulan telah berkunjung ke Taman Titiwangsa untuk berjoging pada hari itu. Beberapa wanita yang mempelajari latihan qigong turut tertarik dengan suasana damai pengamal Falun Gong, dan berhenti untuk mengetahui kebenaran tentang Falun Gong dan kisah penganiayaan ke atas pengamalnya di China.

Pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Gong berlatih senaman di Taman Titiwangsa untuk meraikan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pada 6 Mei 2023, pengamal Falun Gong berlatih di Taman Titiwangsa untuk meraikan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian naga di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong membuat persembahan pari-pari di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)
Pengamal Falun Gong mempersembahkan tarian gendang pinggang di Taman Titiwangsa untuk meraikan Hari Falun Dafa Sedunia. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)

Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar, orang awam mengetahui kebenaran

Pada masa yang sama, pengamal Falun Gong juga mengadakan Pameran Seni Sejati-Baik-Sabar pada hari itu. Bermula dengan pengenalan hasil seni lukisan, orang ramai mengetahui tentang penganiayaan PKC terhadap pengamal Falun Gong, sambil mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai Falun Gong.

Pengamal Falun Gong memberi penjelasan dan kebenaran kepada orang ramai. (Gambar oleh Steven/The Epoch Times)

Sazali, yang tinggal di Kuala Lumpur, bekerja sebagai penganalisis data yang kebetulan melalui pameran seni itu. Selepas diperkenalkan dan mengetahui kebenarannya, beliau sangat menyokong pengamal Falun Gong dan bimbang tentang penganiayaan yang dialami oleh mereka. Beliau dengan segera berkata disebabkan bilangan orang yang hadir adalah terhad, beliau berharap pengamal Falun Gong dapat menggunakan media sosial untuk menyebarkan kebenaran dengan lebih pantas dan memberitahu seluruh Malaysia seterusnya ke seluruh dunia tentang penganiayaan itu.

Seorang lagi pengunjung yang bernama Irfan, mengetahui kebenaran tentang Falun Gong dan penganiayaannya selepas melawat pameran seni itu. Kesan paling mendalam Irfan mengenai pameran itu ialah “tiga perkataan, Sejati, Baik, Sabar”. Ia juga adalah pertama kali Irfan mendengar tentang Falun Gong dan kebenaran mengenai penganiayaan Falun Gong. Beliau juga mengambil bahan dan risalah yang memberi penjelasan mengenai kebenaran kisah itu daripada pengamal Falun Gong untuk memahami lebih lanjut. “Ia adalah langkah yang baik, jadi kamu semua perlu teruskan,” kata Irfan.

Irfan berkata beliau menyokong Falun Gong. (Gambar oleh Steven / The Epoch Times)

Terus membangkitkan kesedaran lebih ramai orang

Normah seorang penjawat awam, selepas menyaksikan pameran seni itu, berkata hasil seni itu tersusun dengan baik dan boleh memberi inspirasi kepada ramai orang. Penganiayaan terlalu kejam, bagaimana mungkin perkara seperti ini berlaku pada abad ini. Katanya, acara ini tersusun dengan rapi dan boleh memberitahu lebih ramai orang tentang penganiayaan terhadap Falun Gong. Mungkin masih ramai orang yang tidak mengetahui tragedi itu sedang berlaku.

Beliau mengetahui hari itu merupakan ulang tahun ke-31 pengenalan Falun Dafa kepada dunia. Di sini, Normah mengucapkan tahniah kepada pengamal Falun Gong. Harapannya agar pengamal Falun Gong dapat terus bangkit dan memberi kesedaran ini kepada lebih ramai orang dan menyebarkannya kepada awam.

Penganiayaan mesti dihentikan serta-merta

Amy juga seorang penjawat awam, berkunjung ke taman itu bersama suami dan bayinya yang berusia 9 bulan untuk bersiar-siar. Dalam temu bual selepas melihat pameran itu, beliau berkata apabila melihat lukisan “Golden Lotus”, dirinya berasa sebak.

Amy berkata penganiayaan terhadap Falun Gong mesti dihentikan dengan segera. (Gambar oleh Steven / The Epoch Times)

Beliau berkata pernah mendengar tentang penganiayaan Falun Gong sebelum ini, tetapi hanya dalam sekali imbas dan tidak mempedulikannya. “Sekarang saya terkejut apabila mengetahui PKC telah menganiaya ramai pengamal Falun Gong. Penganiayaan ini mesti dihentikan serta-merta,” katanya.

Amy turut menyatakan sokongannya kepada pengamal Falun Gong dan berharap mereka boleh terus menyebarkan kesedaran ini kepada semua rakyat Malaysia bersama masyarakat di seluruh dunia.

Pilihan Editor:

Lagu tema J-drama era 90-an “Poison” terbukti dapat menenangkan bayi dan menghentikan tangisannya, pakar akustik jelaskan kenapa

0

Bayi menangis adalah perkara biasa tetapi bagaimana jika dia tidak mahu berhenti? Dan untuk menenangkannya, kini si ibu sudah tahu caranya dengan bersyukur dan berterima kasih kepada lagu ‘Poison’. Lagu hits dendangan pelakon popular Jepun era 90-an Takashi Sorimachi, bintang utama drama “Great Teacher Onizuka” (GTO).

Maka, agak mengejutkan siapalah yang boleh menyangka lagu tema Great Teacher Onizuka sebenarnya amat bagus untuk menenangkan bayi merengek?

Ken Net Channel/YouTube

Jika anda dibesarkan pada penghujung tahun 90-an atau awal 2000, atau peminat anime Jepun, anda mungkin tahu tentang francais yang terkenal “Great Teacher Onizuka”. Dianggap sebagai manga shonen klasik dari era itu, ia cukup berjaya untuk melahirkan bukan sahaja anime TV dalam 43 episod di Jepun, tetapi juga filem dan J-drama popular 12 episod pada tahun 1998.

Dan hasilnya, lagu hits untuk drama itu, “POISON” oleh Takashi Sorimachi, yang juga memainkan watak Teacher Onizuka telah mendapat tempat yang istimewa di hati peminat sehingga hari ini.

Takashi Sorimachi dalam Great Teacher Onizuka (GTO)

Tanpa menyangka 25 tahun kemudian, lagu itu menerima kebangkitan semula dalam bentuk demografi luar jangkaan iaitu di kalangan ibu bapa bayi dan anak kecil yang suka menangis. 

Terdapat khabar angin lagu “Poison” dapat menghentikan tangisan bayi yang tidak mahu berhenti. Agensi pengurusan Takashi Sorimachi, Ken-on telah menyiasat khabar angin ini melalui saluran YouTube mereka Ken Net Channel, dan ia nampaknya terbukti benar!

Ken Net Channel/Youtube

Seperti yang dipaparkan dalam video itu, “Poison” menenangkan bayi yang menangis bukan sahaja di Jepun, tetapi di seluruh dunia. 

Lima keluarga dari Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat, Brazil, dan United Kingdom telah diberikan lagu “Poison” dan mereka diminta memainkannya apabila anak kecil menangis, dan merakamkan reaksi si kecil.

Ken Net Channel/YouTube

Terbukti semua bayi, yang berumur antara empat bulan hingga dua tahun, berhenti menangis apabila mendengar lagu “Poison” dendangan Sorimachi itu, malahan ada yang tersenyum dan bertepuk tangan.

Ken Net Channel/YouTube

Sorimachi sendiri terkejut apabila melihat tindak balas kesemua bayi tersebut setelah mendengar lagunya.

Katanya, dia pernah mendengar khabar angin ini apabila salah seorang rakan memberitahunya lagu itu amat ajaib dapat menghentikan tangisan bayi tetapi dia tidak pernah melihatnya sendiri. 

Ken Net Channel/YouTube

Walaupun berasa kagum dengan keputusan itu, Sorimachi dengan merendah diri berkata bukan suaranya yang menyebabkan bayi-bayi itu berhenti menangis tetapi disebabkan oleh melodi pembukaan awal lagu itu.

Ternyata, tekaan Sorimachi sebahagiannya betul. Seorang pakar akustik telah ditanya mengapa lagu “Poison” mempunyai kesan segera kepada bayi. Ketua Makmal Akustik Jepun bernama Suzuki menjelaskan struktur lagu “Poison” bukan sahaja berkesan untuk menghentikan bayi yang menangis, tetapi mengekalkan mereka untuk bertenang dan tidak lagi mahu merengek.

Ken Net Channel/YouTube

Nampaknya, bayi biasanya berhenti menangis atas dua sebab: sama ada mereka dirangsang, atau mereka berasa tenang. “Poison” nampaknya melakukan kedua-duanya.

Riff gitar pembukaan lagu itu mempunyai turun naik berulang yang nampaknya sangat merangsang bayi, dan frekuensi tinggi muzik itu, yang digambarkan dalam baris berbentuk v di carta analisis akustik intro lagu itu, dengan mudah menarik perhatian mereka.

Ken Net Channel/YouTube

Sebaliknya, nada suara Sorimachi yang rendah dan tidak berubah ketika menyanyikan lirik pembukaan turut menenangkan mereka, itulah yang menghalang bayi-bayi itu daripada terus menangis apabila kejutan awal telah hilang.

“Hakikat bahawa ia dapat menenangkan dan merangsang emosi bayi menjadikan lagu ini satu komposisi yang sangat menarik. Saya tidak sangka anda boleh melakukan sesuatu yang sangat berkesan,” kata Suzuki.

Ken Net Channel/YouTube

Suzuki berpendapat lagu itu hanya akan memberi kesan kepada kanak-kanak berumur antara tiga bulan hingga dua tahun, kerana kanak-kanak yang lebih besar cenderung mempunyai sebab yang lebih kompleks untuk menangis dan biasanya tidak begitu mudah untuk ditenangkan.

Sorimachi sendiri berkata mungkin perkara menjadi lebih baik untuk mengetahui perkara ini semasa anak-anak remajanya masih kecil. “Anak perempuan sulung saya dulu selalu menangis,” katanya, sambil menambah dia sering bangun pada pukul dua pagi, dan terpaksa membawa anak perempuannya ke dalam kereta dan memandu pada awal pagi untuk menenangkannya kerana anak kecilnya suka menangis tidak berhenti.

Ken Net Channel/YouTube

Jadi, apabila bayi anda menangis atau merengek atas perkara biasa selepas ini, apa kata pasang sahaja lagu “Poison” di YouTube atau Spotify dan lihat sama ada ia berkesan? Dan jika mereka menangis kerana mahu tidur, anda juga mungkin boleh mencuba kaedah ini.

Mana tahu, mungkin kedua-duanya dapat membantu.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

4 kanak-kanak hilang 40 hari daripada pesawat terhempas ditemukan masih hidup dalam hutan tebal Amazon

0

Empat kanak-kanak Orang Asli terselamat dalam nahas pesawat di Amazon yang mengorbankan tiga orang dewasa dan kemudian berkeliaran sendirian di dalam hutan tebal itu selama 40 hari sebelum ditemukan masih hidup oleh tentera Colombia.

Para pegawai di negara Amerika Selatan itu mengumumkan operasi mencari dan menyelamat mereka berakhir pada 9 Jun dengan membawa khabar yang menggembirakan bercampur kisah suka duka ketika pasukan mencari dan penyelamat mula panik apabila menyusuri hutan hujan tropika penuh mencabar dalam usaha menjejaki empat kanak-kanak itu. 

Facebook

Ketika kesemua kanak-kanak itu menerima rawatan di hospital tentera di Bogota pada 9 Jun, masih tidak jelas bagaimana ajaib dan cekalnya adik-beradik itu, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan, terselamat dan berjaya bertahan hidup di dalam hutan tebal.

Kanak-kanak itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy (13 tahun), Soleiny Jacobombaire Mucutuy (9 tahun), Tien Noriel Ronoque Mucutuy (4 tahun), dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy (11 bulan), ditemui dalam keadaan dehidrasi, malnutrisi, dan jangkitan. 

Mereka dijangka menjalani rawatan lanjut selama dua minggu di hospital, tetapi ada yang sudah boleh bercakap dan mahu melakukan lebih daripada sekadar berbaring di atas katil, iaitu mahu mengikut ahli keluarga pulang.

Facebook

Manuel Ranoque, bapa kepada dua anak kecil, memberitahu pemberita di luar hospital pada 11 Jun, yang anak sulung daripada empat beradik itu, Lesly Jacobombaire Mucutuy memberitahunya bahawa ibu mereka masih hidup selama kira-kira empat hari selepas pesawat itu terhempas pada 1 Mei di hutan Colombia.

Ranoque berkata sebelum meninggal dunia, ibu mereka mungkin memberitahu untuk pergi meninggalkan lokasi nahas itu dan nampaknya mereka akur berbuat demikian untuk terus hidup, namun tidak memberikan butiran lebih lanjut.

Fidencio Valencia, bapa saudara salah seorang kanak-kanak itu, memberitahu media Noticias Caracol mereka mula bercakap dan salah seorang berkata mereka bersembunyi di dalam akar dan batang pokok besar untuk melindungi diri mereka di kawasan hutan tebal yang dipenuhi ular, haiwan buas dan nyamuk, sambil berkata empat kanak-kanak itu sangat keletihan.

Facebook

“Mereka sekurang-kurangnya ada makan, sedikit, tetapi mereka sudah boleh makan,” katanya selepas melawat mereka di hospital tentera di Bogota, Colombia. Sehari sebelum itu, Menteri Pertahanan Iván Velásquez berkata kesemua kanak-kanak itu mengalami kekurangan air dan tidak boleh menelan makanan lagi.

Empat kanak-kanak itu dalam perjalanan bersama ibu mereka dari perkampungan Amazon Araracuara ke San Jose del Guaviare apabila pesawat itu terhempas. Pesawat Cessna satu enjin itu membawa tiga orang dewasa dan empat kanak-kanak itu apabila juruterbang mengisytiharkan mengalami kecemasan akibat kegagalan enjin. 

Pesawat kecil berkenaan hilang dari radar tidak lama kemudian dan pencarian intensif mangsa yang terselamat bermula dengan apa yang digelar sebagai Operasi Harapan.

Facebook

Pihak berkuasa dan ahli keluarga berkata kanak-kanak itu terselamat dengan memakan ubi kayu dan bijirin hutan, serta beberapa kebiasaan dan pengetahuan yang dipelajari daripada ahli keluarga mereka dengan memakan akar kayu dan buah-buahan hutan hujan tropika yang merupakan kunci kepada kelangsungan hidup mereka. Kanak-kanak berkenaan adalah ahli suku Orang Asli Huitoto.

Selama 40 hari itu, pasukan penyelamat mengikuti petunjuk seperti botol bayi, jejak kaki kanak-kanak di atas lumpur, sisa buah-buahan yang dijamah kanak-kanak dan lampin yang ditinggalkan.

Selepas diselamatkan, mereka dibawa dengan helikopter ke Bogota dan kemudian dirawat ke hospital tentera, di mana Presiden Gustavo Petro, pegawai kerajaan dan tentera, serta ahli keluarga bertemu dengan kanak-kanak itu pada hari Sabtu, 10 Jun.

Facebook

Video tentera udara yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan sebuah helikopter menggunakan tali khas untuk menarik anak-anak itu ke udara kerana ia tidak dapat mendarat di hutan hujan tebal di mana mereka ditemui. Tentera memuat naik gambar mereka di Twitter yang menunjukkan sekumpulan tentera dan sukarelawan bergambar dengan kanak-kanak itu, yang dibalut dengan selimut terma. Salah seorang tentera memegang botol menyusukan anak kecil berusia 11 bulan.

Jeneral Pedro Sanchez, yang bertanggungjawab mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata kanak-kanak itu ditemui 5 kilometer dari lokasi nahas dalam pembukaan hutan kecil. Beliau berkata pasukan penyelamat telah melalui dalam jarak 20 hingga 50 meter dari tempat kanak-kanak itu ditemui beberapa kali tetapi melewati mereka. 

Dua minggu selepas nahas itu, pada 16 Mei, pasukan pencari menemui pesawat itu di kawasan hutan hujan yang tebal dan menemui mayat tiga orang dewasa di dalamnya, tetapi kesemua kanak-kanak tidak ditemui.

Gambar oleh John Vizcaino / AP

Askar yang menaiki helikopter menggugurkan kotak makanan ke dalam hutan, dengan harapan ia dapat membantu kanak-kanak berkenaan untuk terus bertahan. Pesawat yang terbang di atas lokasi pencarian melepaskan suar untuk membantu kru mencari dalam hutan pada waktu malam, dan penyelamat menggunakan pembesar suara yang merakam mesej oleh nenek adik-beradik berkenaan untuk menyuruh mereka kekal berkumpul di satu tempat. 

Tentera Colombia menghantar 150 askar dengan anjing pengesan ke kawasan itu, di mana kabus dan hutan tebal mengehadkan penglihatan. Puluhan sukarelawan dari suku Orang Asli turut menyertai operasi pencarian.

Twitter

“Sebagai Orang Asli, kami telah dilatih untuk mencari jejak di tengah-tengah hutan. Kami membuktikan kepada dunia bahawa kami berjaya menemui pesawat itu… kami menemui kanak-kanak ini,” kata bapa empat beradik itu, Manuel Ranoque.

Kerajaan Colombia cuba menamatkan konflik dalaman di negara itu, dengan menekankan kerja sama erat antara tentera dan masyarakat Orang Asli dalam mencari dan menemukan kesemua kanak-kanak itu.

Pilihan Editor:

Anak bangga peroleh 6A dalam SPM tetapi sedih bila lihat reaksi bapanya yang kecewa tiada semua A+

0

Kadang kala kita tidak tahu apa yang berada dalam fikiran ibu bapa ketika menunjukkan reaksi kecewa apabila anak-anak tidak dapat merealisasikan apa yang diharapkan dengan kehendak mereka. 

Walaupun sebenarnya mereka sendiri bukannya manusia yang sempurna.

Seorang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 6A 2B 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini meluahkan rasa sedih apabila bapanya kecewa dengan keputusan peperiksaannya itu dengan tidak langsung mengucapkan tahniah.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Pelajar tersebut yang cemerlang memperoleh 6A daripada sembilan mata pelajaran yang diambil meluahkan rasa kecewanya di laman sosial.

“Bapa saya kecewa gila muka dia waktu saya tunjuk dan dia tak kata ‘congratulation’ pun. Tak apa sedih sikit saja.

“Alhamdulillah, ‘hanya Allah yang tahu bagaimana perjuangan saya’,” katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian guru pelajar tersebut, Cikgu_Anep di laman Twitter miliknya berkata, dia berasa sedih apabila melihat perkongsian bekas pelajarnya itu.

“Sedih betul saya tengok ‘story’ bekas pelajar saya ini,” katanya dalam ciapan itu.

Menurut Cikgu Anep, pelajar tersebut merupakan seorang pelajar yang memiliki keperibadian terpuji.

“Seorang pelajar yang baik. Menghormati guru, rajin belajar, sentiasa beri kerjasama dalam kelas. Bagus saja keputusan dia tapi itulah,” katanya.

Facebook

Justeru, Cikgu Aneb menasihati ibu bapa di luar sana supaya sentiasa menghargai hasil titik peluh dan kerja keras anak-anak. 

“Ibu bapa, tolonglah, saya merayu. Jadilah pemangkin anak-anak bukan menjatuhkan,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, beberapa warganet turut berkongsi pengalaman serupa dengan pelajar tersebut, sambil turut memberi kata-kata semangat dan pujian.

“Dapat 4A untuk UPSR, kena bebel satu yang dapat B dan dapat 3A untuk PMR tiada ucapan tahniah.”

“Masih kena bebel kata saya patut dapat lagi banyak A. Sejak hari itu, saya berhenti untuk buat mereka bangga. Putus asa..”

“Tahniah dik, tidak mengapa. Bapa adik tidak puji, biar kami semua puji. Semoga menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.. Tahniah atas usaha kamu.”

Apa-apa pun, keputusan SPM yang diperolehi itu bukanlah penentu seseorang itu telah berjaya atau gagal dalam kehidupan memandangkan terdapat pelbagai cabaran yang anak-anak ini perlu tempuhi kelak.

Pilihan Editor: