26.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 9, 2026
Utama Blog Laman 175

Sanggup jalan selama 3 jam untuk masuk sekolah menengah, guru kongsi keazaman pelajarnya

0

Tidak semua orang bertuah untuk memiliki segala-galanya dalam hidup. Ada yang perlu bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu. Kadangkala untuk mendapatkan keperluan sehari-harian juga sukar. Apa yang lebih mencabar ada yang perlu bersusah payah untuk mendapatkan pendidikan yang merupakan hak setiap orang.

Kemiskinan dan kepayahan hidup walau bagaiamanpun tidak menjadi penghalang untuk terus berusaha. Ianya sukar tetapi tidak bermakna impian yang ada perlu dikuburkan selamanya. Jadi, untuk merealisasikan impian itu, seorang murid di Sabah ini sanggup berjalan kaki selama tiga jam untuk ke sekolahnya.

Kisah penuh pengajaran dan insipirasi ini diceritakan oleh seorang guru di laman Facebooknya. Menurut guru tersebut bekas anak muridnya yang berumur 13 tahun itu sanggup berjalan bersendirian di antara bukit selama tiga jam hanya untuk dia ke sekolah menengahnya di kampung jiran.

Dalam catatan Facebook yang tular, guru Sekolah Kebangsaan St Theresa Inobong, Fera Erna Bonis berkongsi bekas pelajarnya, Ayon Manson, yang pernah mengajarnya di sekolah rendah, sanggup menempuh perjalanan sejauh 14km dengan berjalan kaki.

Menurut Fera Ayon berjalan kaki dari rumahnya di Terian yang terletak jauh di daerah Penampang untuk pergi ke sekolahnya di Sugud.

“Dikala ramai yang mengeluh beg sekolah berat.. Demi sebuah impian, adik Ayon ex student sya dulu d sk terian sanggup berjalan kaki 3jam seorang diri, dengan mengalas beg yg berisi buku teks dan beberapa keperluan lain dari terian ke sugud, untuk urusan persekolahan pada esok hari.. semoga segala urusan kita dipermudahkan..”

Guru itu kemudian menjelaskan bahawa Ayon hampir memutuskan untuk berhenti belajar di peringkat menengah kerana keluarganya menghadapi masalah kewangan ditambah lagi dengan keadaan geografi untuk ke sekolah setiap hari.

Berasal daripada keluarga miskin, Fera berkata Ayon terpaksa memilih antara tinggal di rumah untuk membantu ibu bapanya atau bersekolah seperti kanak-kanak berusia 13 tahun yang lain, yang akan memakan belanja yang banyak untuk menampung kos pengangkutan dan makanan.

Menurut Fera lagi dia sebenarnya kenal dengan keluarga Ayon dan pada suatu hari, dia bertanya Ayon tentang rancangannya selepas itu dan sekolah menengah mana dia akan masuk.

“Apabila saya mendapat tahu bahawa dia mungkin tidak dapat pergi ke sekolah menengah atas sebab kewangan, saya bertanya kepadanya satu soalan iaitu ‘adakah kamu mahu terus ke sekolah?’ dan dia berkata ‘ya’,” kata Fera kepada The Star dalam satu temu bual.

Kemudian, Fera memberitahu Ayon bahawa jika dia serius, dia akan membantunya tetapi dia perlu mencari jalan untuk keluar dari kampung, dan membawa apa yang diperlukan seperti pakaian.

Perkara yang lain pula akan diuruskan oleh guru itu.

“Ibu saya yang tinggal berhampiran kediaman keluarga Ayon menelefon tidak lama selepas itu dan memberitahu bahawa Ayon telah meninggalkan rumahnya dan sedang berjalan keluar dari kampung, kira-kira 14km dari jalan utama,” kata Fera.

Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik itu terpaksa meredah jalan tanah yang berlumpur dan licin akibat musim hujan. Dia juga terpaksa mendaki bukit semata-mata untuk ke jalan besar.

“Saya segera mengambil kereta saya, dan mula memandu ke kampung dari tempat saya berada, yang agak jauh,” kata Fera sambil menambah dia terserempak dengan budak lelaki itu ketika dia sudah separuh jalan mendaki bukit selepas mendaki selama tiga jam.

Dia mengambil gambar Ayon di telefon bimbitnya dan memuat naik ke laman Facebooknya, dengan kapsyen ringkas menjelaskan keazaman Ayon bagi mencapai impiannya untuk masuk ke sekolah menengah.

Mengetahui jarak yang perlu ditempuhi Ayon, guru itu berkata dia terkejut kerana pelajar itu sanggup berjalan bersendirian selama berjam-jam semata-mata untuk masuk ke sekolah.

Foto Ayon yang dimuat naiknya menjadi ‘viral’ dalam masa beberapa hari dan turut menarik perhatian pelakon tempatan, Adrian Edy, yang pergi ke Terian untuk bertemu pelajar itu.

Adrian berkongsi di Facebook bahawa dia membawa Ayon untuk membeli peralatan sekolah seperti pakaian sekolah, pakaian sukan, kasut sekolah, alat tulis, dan buku kerja.

“Saya suruh dia ambil apa sahaja yang dia mahu, tetapi dia anak yang baik, dia pemalu dan sopan, dan memberitahu saya bahawa saya sudah cukup berbelanja untuknya dan dia hanya akan mengambil apa yang dia perlukan,” kata pelakon asal Sabah itu.

Adrian juga mendapat tahu Ayon adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan ibunya seorang suri rumah dan bapanya seorang petani yang baru menjadi pengawal keselamatan.

“Mereka benar-benar menjalani kehidupan yang kurang bernasib baik,” dia memerhati dan terharu dengan sikap Ayon untuk tidak mengambil lebih daripada yang diperlukan.

Dia juga membelikan Ayon sebuah basikal, sesuatu yang selalu diinginkan olehnya tetapi tidak mampu dibelikan oleh orang tuanya. Adrian juga sempat memberikan kata-kta semangat dan galakkan supaya Ayon terus belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impiannya menjadi seorang bomba.

Sementara itu, menurut Fera ramai lagi yang telah menghubunginya untuk menderma semua jenis keperluan kepada Ayon, dan mereka telah menerima bantuan yang mencukupi setakat ini.

Fera berkata, dia dan suaminya sudah mengatur kemasukan Ayon ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin di Penampang, dan juga telah mendapat tempat di asrama sekolah itu, jadi dia tidak perlu berjalan jauh atau risau tentang makanan.

“Jutaan Terima kasih kepada SMK Datuk Peter Mojuntin dan kerjasama daripada PPD Penampang kerana prihatin dan menerima dengan baik rayuan permohonan daripada adik Ayon untuk tinggal di asrama…”

“Ribuan terima kasih juga kepada puan Nora Arin kerana telah menguruskan pembayaran yuran sekolah untuk adik Ayon.. dan Mr Adrian Edy untuk segala urusan pembelian kelengkapan persekolahan dan kelengkapan asrama adik Ayon…”

“Terima kasih juga kepada my husband, JG Mini Farm dan uncle saya Boybuayan Boybuayan sanggup dorang kasi tinggal kerja untuk tolong saya jalan ke sana ke mari mengurus. Terima kasih juga atas semua yg mendoakan urusan ini berjalan dengan lancar.. Anda semua hebat… Semoga adik Ayon terus maju jaya..”

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Anak termasuk dalam longkang ketika hujan, cara anjing minta bantuan buat ramai kagum

0

Ramai pasti yang bersetuju jika dikatakan anjing adalah antara haiwan yang paling bijak di dunia. Selain memiliki deria bau yang tinggi, spesies ini juga selalu mempunyai fikiran seperti manusia sehingga mereka tahu jika mereka atau sesiapa di sekeliling mereka berada dalam bahaya.

Tidak hanya itu, mereka juga memiliki sifat penyayang yang tinggi. Mereka juga sangat setia terutama kepada tuan mereka. Ada yang setia berada di sisi tuan mereka sejak kecil sehinggalah tuan mereka meninggal dunia. Siapa kata haiwan tiada perasaan?

Selain itu, spesies ini juga sangat menyayangi anak-anaknya dan selalu ada untuk melindungi mereka. Misalnya seperti yang dilakukan oleh ibu anjing di dalam video ini yang jelas menunjukkan dia risau akan keadaan anak-anaknya yang dalam kesusahan itu.

Menurut sebuah video yang tular di TikTok baru-baru ini menunjukkan seekor ibu anjing datang kepada seorang pemuda untuk memberitahu sesuatu. Dapat mengagak apa yang terjadi pemuda ini terus mengikuti anjing tersebut.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @hezrazenky, anjing tersebut sedang meminta bantuan seorang pemuda untuk menyelamatkan anaknya yang terperangkap di dalam longkang.

Apa yang menarik perhatian ramai adalah apabila anjing tersebut kelihatan sangat pandai untuk menunjukkan arah di mana keberadaan anak-anaknya itu.

Rupa-rupanya kedua-dua ekor anaknya berada di dalam longkang dan sedang berusaha untuk naik semula ke atas. Keadaan menjadi bertambah sukar kerana air terus mengalir di dalam longkang memandangkan hujan turun ketika itu.

Apa yang lebih melucukan ialah apabila pemuda itu terus membebel kepada anjing tersebut. Sejak anjing itu meminta bantuannya sehinggalah anak-anaknya diselamatkan, pemuda tersebut terus berleter seolah-olah anjing itu faham dengan kata-katanya. Anak-anak anjing itu walau bagaimanapun akhirnya berjaya diselamatkan.

Sehingga kini video tular tersebut telah ditonton lebih daripada 3.4 juta kali dan menerima hampir 350,000 ‘like’ di laman sosial itu.

Netizen juga sempat meninggalkan komen yang memberitahu mereka kagum dengan anjing tersebut yang bijak mendapatkan bantuan. Ada juga yang terhibur dengan bebelan lelaki itu ketika menyelamatkan anak-anak anjing tersebut.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pasangan pemandu sorak melakukan gaya akrobatik untuk penggambaran perkahwinan di pusat bandar Singapura

0

Pasangan pengantin warga Singapura mengambil peluang untuk mengabadikan kenangan mereka dalam bentuk gambar di pusat bandar Singapura. Memilih Jalan Orchard sebagai latarbelakang sesi penggambaran, pasangan ini telah melakukan gaya akrobatik sinonim dengan karier mereka sebagai pemandu sorak.

Pengantin perempuan, Denise Alexis berkongsi video penggambaran pada hari tersebut bermula daripada perancangan dan penyelarasan di kawasan penggambaran, persiapan rapi untuk mengelakkan sebarang kesilapan semasa melakukan aksi akrobatik sehinggalah babak mengambil gambar dengan menggunakan apa sahaja cahaya yang tersedia pada waktu senja. Hampir 300 000 pengikut Denise melalui akaun TikTok @denisealexis mengikuti perkongsian penggambaran itu.

Pasangan itu dibantu oleh sebuah kumpulan pembantu yang sangat menyokong. Mereka mempersiapkan pasangan pengantin itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan keseronokan. Mereka bersiap-siap di Jalan Orchard, bersedia untuk melakukan penggambaran yang mengujakan.

Taklimat ringkas diberikan agar setiap orang tahu peranan masing-masing.

Pengantin perempuan memakai kasut yang lebih sesuai supaya dia dapat melakukan gaya akrobatik dengan lebih baik dan kemas. Beginilah bagaimana pasangan pengantin mengambil tempat dan bersedia untuk merakam gambar.

Pengantin lelaki begitu gagah mengangkat dan menahan pengantin perempuan dengan sebelah tangannya sahaja. Ya, bukan semua orang boleh melakukannya. Tanpa ilmu, tidak mungkin seseorang itu dapat melakukan aksi seperti mereka.

Selama 2 saat mereka bertahan dan gambar dirakam dengan begitu baik. Pasti hasilnya sangat mengagumkan!

Selepas itu, mereka merakam pelbagai gaya dengan berlatarbelakangkan suasana di Jalan Orchard.

Pelbagai aksi dan momen bernilai yang berjaya mereka rakam pada hari tersebut. Semuanya dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku memandangkan Jalan Orchard tidak sunyi daripada kenderaan dan orang ramai.

Cahaya senja ditambah dengan cahaya daripada kenderaan yang lalu-lalang serta lampu daripada bangunan-bangunan yang terdapat di sekitar Jalan Orchad menjadikan gambar-gambar mereka nampak unik dan indah.

Terdapat orang awam yang lalu-lalang ketika sesi penggambaran itu mengambil peluang untuk merakam gambar pasangan pengantin ini. Kebetulan kenalan pasangan pengantin itu lalu di kawasan itu dan sesi penggambaran yang menarik itu telah berjaya dirakam oleh dashboard camera keretanya. Kedengaran sorokan kegembiraan apabila pengantin lelaki itu berjaya mengangkat pengantin perempuan dengan sebelah tangannya sahaja.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Sijil peperiksaan yang hilang boleh didapatkan semula

0

Bagi apa-apa jenis permohonan pekerjaan pasti bakal majikan meminta pemohon melampirkan dokumen-dokumen peribadi untuk rujukan termasuklah sijil peperiksaan. Pemohon bukan sahaja diminta untuk melampirkan salinan dokumen tersebut bahkan mereka juga diminta mengemukakan salinan asal dokumen bagi mengesahkan dokumen salinan berkenaan. Namun, jika sijil peperiksaan hilang, bagaimana hendak memberitahu bakal majikan? Bolehkah mereka menerima permohonan kerja tanpa lampiran sijil asal? Mari ikuti perkongsian Khairul Fahmi di Facebook mengenai cara untuk mendapatkan salinan sijil peperiksaan yang baharu.

Jika anda kehilangan mana-mana sijil peperiksaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, anda bolehlah membuat permohonan salinan sijil yang baharu melalui laman web e-Lembaga Peperiksaan di pautan https://elp.moe.gov.my.

Pertama sekali yang perlu anda lakukan ialah, daftar akaun dengan menggunakan emel anda sendiri yang masih aktif.

Selepas itu, login dan pilih salinan keputusan.

Dibahagian keputusan, klik butang (+) tersebut. Untuk makluman, jika anda pernah memohon salinan sijil peperiksaan sebelum ini, anda akan dapat melihat sejarah carian tersebut di situ.

Menurut Khairul Fahmi, pemohon perlu memilih jenis keputusan yang mereka mahukan. Dia juga mengingatkan bahawasanya pemohon hanya akan menemukan sijil peperiksaan di bawah KPM sahaja, sijil selain daripada itu tidak ada.

Paparan seterusnya ialah, pemohon akan dapat melihat bilakah pemohon menduduki tarikh peperiksaan yang lepas.

Akhir sekali, anda bolehlah memilih untuk mengambil sendiri sijil baharu itu atau meminta mereka mengeposkannya. Untuk bayaran pula, anda bolehlah berbuat demikian secara atas talian dengan mengikut arahan seterusnya. Tunggu dokumen anda sampai ke tangan anda.

Ternyata begitu mudah sekali permohonan sijil peperiksaan baharu ini. Masalah untuk melampirkan sijil asal pun selesai. Jika anda memerlukan sijil peperiksaan tersebut, segeralah membuat permohonan di laman web yang telah dinyatakan di atas.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Ibu tunggal gigih membesarkan empat anak dengan hasil mengumpul barangan kitar semula

0

Walaupun dipandang rendah termasuk diherdik dengan kata-kata kesat, ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39 tahun terus berusaha gigih mengumpul barangan lusuh untuk kitar semula sebagai pertukaran dengan wang tunai demi membesarkan empat anak perempuannya.

Umi Nur Faizah atau lebih dikenali sebagai Umi berkata, dia terpaksa bekerja dalam persekitaran dianggap umum sebagai kotor, menjijikkan dan berbau busuk sejak lebih lima tahun lalu, dengan mengumpul barangan terpakai menggunakan kereta sorong di sekitar Kawasan Perindustrian Malim di Melaka.

“Biasalah ada orang yang kasihan melihat saya mengutip barang terpakai, ada pula yang menyindir kerana saya mencari kotak kosong dan ada yang mengatakan kerja saya ‘paiseh’ (memalukan)…kerana saya menyelongkar sampah,” kata Umi.

Gambar oleh The Star

“Tetapi saya hanya perlu telan semua itu…apa yang lebih penting adalah mencari nafkah yang jujur ​​untuk membesarkan anak-anak,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya sepanjang Ramadan, dia akan mula mencari kotak dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan pendapatannya bergantung kepada jenis barangan terpakai yang berjaya dikutip.

Katanya, dia sering membawa pulang hanya RM10 walaupun bekerja sepanjang hari tetapi ia boleh mencecah sehingga lebih RM100 sehari sekiranya bernasib baik terjumpa besi, aluminium atau tembaga.

Umi berkata, dia berhadapan dengan kesusahan yang dilalui setiap hari bersama empat orang anak perempuannya dengan fikiran terbuka dan akan sentiasa mengutamakan keperluan berbanding keinginan atau kehendak mereka.

Gambar oleh Bernama

“Saya terpaksa hidup dengan pendapatan yang saya perolehi dalam sebulan tidak kira ia mencukupi atau tidak..kita tidak boleh melihat atau membandingkan dengan kehidupan orang lain kerana ia tidak akan pernah cukup,” katanya.

“Saya bersyukur kerana anak saya memahami dengan apa yang mereka lalui dan tidak pernah meminta, merungut atau cerewet tentang makanan,” kata Umi yang juga bekerja sebagai pembantu gerai makan dengan pendapatan RM50 sehari.

Beliau berkata, dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun sering menemaninya mengumpul barangan terpakai manakala dua lagi berusia 13 dan 15 tahun terpaksa dihantar ke sekolah agama di Alor Gajah, kira-kira 27 kilometer dari Malim, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan dan perhatian yang lebih baik.

Umi berkata empat anaknya menerima bantuan RM650 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala Majlis Agama Islam Melaka memberi bantuan makanan RM200 dan RM50 setiap seorang kepada tiga anaknya.

Gambar oleh Harian Metro

Ibu tunggal ini berkata dia amat berhati-hati dengan perbelanjaan harian mereka demi memastikan bantuan itu digunakan dengan sebaik mungkin terutama untuk membayar sewa rumah dan membeli barangan dapur serta keperluan mereka.

Menyentuh mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, Umi berkata, sehingga kini, dia tidak mampu membeli pakaian baru untuk anak-anak dan dirinya tetapi lebih mementingkan untuk memastikan makanan dan keperluan harian adalah mencukupi.

“Memang sedih tetapi tidak berbaju raya baru, itu tidak bermakna kami tidak boleh menyambut raya seperti orang lain…anak-anak saya faham kami dalam keadaan susah,” tambahnya.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bihun kering terbenam dalam kuku tidak sengaja, gadis ini tidak sangka perit sakitnya membawa ke hospital

0

Biasa ketika berada di dapur, orang yang memasak kadang-kadang terdedah kepada kecederaan seperti tangan terkena pisau, tertusuk tulang ikan, ayam dan duri udang atau ketam, terkena air dan minyak panas yang memang boleh rasa sakit berbisa.

Jadi ketika berada di dapur untuk memasak atau urusan dapur memang selalu kena berhati-hati.

Tetapi tidak sangka pula untuk berada dalam senarai berhati-hati itu kini termasuk bihun kering.

Facebook

Baru-baru ini, tular di TikTok seorang wanita muda dikenali Cik Shaa@sweetsecrettt21 menceritakan kisahnya yang dia terpaksa ke hospital akibat kuku ibu jari kanannya telah tertusuk dan terbenam bihun kering.

Kejadian itu berlaku ketika dia sedang mencuci pinggan mangkuk di dapur, dan serpihan bihun terbenam itu telah membuatkan isi kukunya menjadi bisa, ngilu dan terus sakit.

Facebook

Walaupun berasa sakit, dia masih boleh meneruskan aktiviti hariannya seperti biasa.

Namun, gadis ini mula menjadi bimbang apabila melihat kuku ibu jari itu mula bernanah dan rasanya telah berdenyut-denyut kesakitan.

Facebook

Maka untuk tidak membiarkan luka itu membawa mudarat dan membahayakan kesihatannya, Cik Shaa telah bergegas ke klinik sebelum akhirnya hospital untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan bihun kering itu daripada kukunya.

Facebook

“Tunggu lima jam, buat x-ray. Doktor bagi dua pilihan, cabut kuku atau tahan sakit untuk cucuk tiga ubat bius pada jari. Jadi saya pilih nombor dua,” kata Cik Shaa kepada mStar.

Facebook

“Doktor korek, darah mengalir tapi nasib baik tak rasa. Lepas itu dia ambil jarum yang keluarkan air, dia cucuk dekat dalam saluran yang buatkan bihun tersangkut itu terkeluar sendiri,” kongsinya.

Akhirnya serpihan bihun berjaya dikeluarkan dan Cik Shaa kata kesakitan masih dirasai selepas kesan ubat bius itu hilang.

Facebook

“Jadi hati-hatilah semua walaupun basuh pinggan. Jangan jadi macam saya, malu je nangis dekat klinik dan hospital sampai tersedu-sedu,” nasihatnya.

Facebook

Video TikTok yang tular itu meninggalkan komen yang menarik perhatian warganet serta perkongsian mereka dengan pengalaman yang hampir serupa:

“Jangan malu awak, saya pun pernah kena bedah kuku ibu jari sebab terselit rambut lepas tu kuku patah separuh, asalnya sebab ada darah beku.”

“Dulu pernah terkikis kerak nasi, memang perit rasa. Nasib tak tercucuk masuk sampai dalam je..”

“Aduh baru rancang nak makan bihun, kena hati-hati ni, bahaya betul.. Cepat sembuh awak!”

Facebook

“Macam kelakar sebab bihun tapi takutnya, cepat sembuh!”

“Kena hati-hatilah lepas ni kalau hendak basuh pinggan, kena pakai sarung tangan.. Bab menangis tersedu-sedu dekat klinik sebab jari sakit, saya pun ada pengalaman. Cepat sembuh!”

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Cara kompos yang mungkin menyelamatkan alam sekitar, dengan jangan terus membuang sisa makanan begitu sahaja

0

Kira-kira satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan dan kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan dibuang setiap hari sepanjang bulan Ramadan pada tahun lalu.

Kajian turut melaporkan pembaziran makanan dijangka meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan lain.

Apakah ada jalan penyelesaian kepada masalah lebihan makanan atau sisa makanan khususnya di bulan Ramadan selain dibuang begitu sahaja?

Gambar Hiasan / Pixabay

National Geographic melaporkan, sisa makanan tersebut boleh dikomposkan untuk menjadi baja berbanding dengan hanya dilupuskan.

Pakar berpandangan tindakan mengompos sisa makanan sama ada ia dilakukan di kawasan sekitar rumah atau di kemudahan komuniti mampu mengurangkan sampah dan mampu menangani perubahan iklim.

Apa yang berlaku dalam longgokan kompos?

Pada skala kecil di halaman belakang rumah atau kawasan kejiranan anda, longgokan kompos harus terdiri daripada tiga perkara iaitu sisa makanan, air dan bahan kering berkayu.

Sebagai contoh, sisa hiasan halaman seperti daun, rumput atau pokok yang dikategorikan mengandungi karbon yang tinggi.

Sementara itu, sisa makanan yang dipanggil sebagai ‘hijau’ pula mengandungi nitrogen yang tinggi.

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagaimana longgokan sisa menjadi kompos?

Jika sisa sampah tersebut berada di kawasan rumah, anda harus mengacau atau mencampurkan longgokan sisa tersebut secara berkala dan pastikan ia lembap.

Kedua-dua langkah tersebut akan mempercepatkan proses penguraian.

Pengadukan membolehkan oksigen mencapai kepada semua sudut dan celah, dan kelembapan menjamin kemandirian mikroorganisma yang memerlukan kelembapan untuk hidup.

Sebab yang paling biasa mengapa timbunan kompos di kawasan belakang rumah tidak berjaya adalah kerana ia terlalu kering.

Semburan air untuk memastikan kelembapan timbunan sisa terbuang mampu membantu penghasilan kompos yang baik.

Bagaimanapun, tidak semua sisa makanan disyorkan untuk dilonggokkan di belakang rumah.

Sisa-sisa buah-buahan dan sayur-sayuran biasanya selamat untuk dibuang ke dalam longgokan, tetapi daging atau tenusu yang tidak dimakan lebih cenderung berbau dan menarik perhatian binatang perosak.

Lebihan makanan tersebut juga mengandungi tahap lemak yang lebih tinggi, menyebabkan ia mengambil masa yang lebih lama untuk diuraikan.

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagaimana pengkomposan membantu alam sekitar?

Pada 2018, Amerika Syarikat menghasilkan hampir 300 juta tan sampah atau kira-kira 4.9 paun (2.22 kilogram) setiap orang.

Selepas kertas, makanan adalah kategori sisa kedua tertinggi yang terdiri daripada kira-kira 21 peratus daripada sisa buangan.

Sebagai contoh, San Francisco, yang mewajibkan pengkomposan di seluruh bandar pada 2009 telah dapat mengalihkan 80 peratus atau 2.5 juta tan sisanya dari tapak pelupusan setiap tahun.

Majlis Pertahanan Sumber Asli mendapati undang-undang pengkomposan San Francisco telah mengurangkan 90,000 tan metrik karbon dioksida setiap tahun, di mana jumlah pelepasan itu bersamaan kira-kira 20,000 kenderaan penumpang.

Gambar Hiasan / Pexels

Selain mengurangkan kadar pelepasan gas atau sinaran di tapak pelupusan, kompos menjadikan tanah lebih sihat.

Ia juga membantu mengikat zarah tanah bersama-sama dan menampung lebih banyak air.

Tanah yang lebih baik membantu menyokong pembesaran tumbuhan yang sihat, yang boleh membantu mengasingkan karbon daripada atmosfera.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

‘Bantal’ paling comel dan gebu, kalau begini setiap hari memang susah untuk bangun pagi!

0

Antara nikmat memiliki haiwan peliharaan ialah dapat bermain dengan mereka setiap hari. Sepenat atau seletih mana pun hari kita jika pulang sahaja ke rumah dan melihat haiwan peliharaan terkadang boleh hilang letih bekerja. Mereka jugalah tempat kita meluahkan perasaan walaupun kita tidak adakah mereka faham atau tidak apa yang kita katakan.

Tidak hanya itu, pagi-pagi kita akan sering ditemani mereka yang ceria. Bayangkan muka mata sahaja kita melihat si comel di sisi katil dengan wajah ceria mereka. Bagi sesiapa yang memiliki haiwan yang gemuk dan gebu pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk memeluk mereka seperti bantal setiap pagi!

Itulah yang sering dilakukan oleh seorang kanak-kanak di Jepun yang sangat sayang akan kucing peliharaannya, Luca. Dikhabarkan dia akan memeluk Luca setiap malam sehingga kedua-duanya tertidur dengan nyenyak.

Gambanya memeluk Luca telah dimuat naik ke Twitter oleh ibu bapanya dengan kapsyen berbunyi, “adegan setiap pagi.” Foto tersebut jelas menunjukkan kanak-kanak itu sedang lena bersama Luca seolah-olah si kucing itu adalah alat permainannya yang tidak mahu dilepaskannya langsung.

Kucing berbaka Ragdoll bernama “Luca” yang berusia 6 bulan itu dikatakan baru sahaja dijaga oleh keluarga tersebut beberapa bulan lalu. Ketika itu dia masih sangat kecil. Sejak dijaga oleh keluarga itu, hubungannya dan tuan kecilnya yang baru bersekolah rendah itu menjadi sangat akrab dan rapat.

Setiap hari mereka akan bermain dan meluangkan bersama. Tidak hanya itu, mereka juga seringkali tidur bersama. Untuk merekodkan perkembangan Luca, tuannya telah membuka sebuah akaun Twitter untuk kucing tersebut. Di situ, tuannya dapat berkongsi kehidupan hariannya yang comel dan lucu.

Baru-baru ini pemilik Twitter tersebut ada berkongsi gambar yang telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan netizen. Hal ini kerana gambar yang dimuat naik menunjukkan anak bongsunya sedang memeluk Luca dengan erat pada suatu pagi.

Anak bongsunya kelihatan sedang tidur nyenyak bersama Luca yang ada dalam pelukannnya. Rupa-rupanya kanak-kanak itu memang selalu memeluk Luca pada waktu malam sehingga kedua-dua mereka tertidur.

Netizen yang melihat gambar tersebut memuji hubungan istimewa yang dimiliki oleh kedua-dua mereka. Ramai yang seronok melihat keakraban antara tuan kecil ini dengan kucing kesayangannya itu. Apa yang memberi komen memberitahu bahawa kanak-kanak ini akan membesar dengan baik kerana dia sangat sayang akan kucingnya. Ada juga netizen yang mengatakan mereka berdua kelihatan seperti adik-beradik.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Jangan panik, ikuti langkah-langkah ini jika kereta anda dilanggar dari belakang

0

Kemalangan boleh terjadi kepada sesiapa pun. Kadangkala kita sudah sangat berhati-hati, kesemua peraturan dipatuhi- menggunakan tali pinggang keselamatan, memandu pada had laju yang dibenarkan dan tidak melanggar lampu isyarat merah. Namun, terkadang nasib tidak menyebelahi apabila kita yang menjadi mangsa kecuaian pemandu lain sehingga kereta kita pula yang dilanggar dari belakang.

Kemalangan disebabkan orang lain adalah sesuatu yang biasa berlaku- tidak kira kecil atau besar. Ya, apa yang berlaku memang boleh mengundang marah. Mana tidaknya, kita sudah mengikut semula peraturan, tetapi kerana kecuaian orang lain kita pula yang menjadi mangsa.

Namun begitu, walaupun anda berada dalam keadaan tidak bersalah, tidak bermakna anda boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada individu tersebut. Ada jalan penyelesaian jika anda terlibat dalam kemalangan seperti itu. Ada cara baik yang boleh dilakukan dan tidak melibatkan kekerasan.

Jangan panik dan bersabar dahulu. Ikuti langkah-langkah yang dikongsi oleh Community Roda Johor – CRJ jika ada terlibat dalam situasi seperti ini. Bawa bertenang dan semoga semuanya berjalan lancar.

1. Jika ada orang langgar kereta anda dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang.

2. Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.

3. Jangan ambil sebarang alatan yang merbahaya seperti stearing lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dan sebagainya, kerana anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.

4. Ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang langgar anda tadi.

5. Apabila pemandu kenderaan yang langgar anda tadi keluar daripada kenderaannya, sapa lah dia dengan baik. Kalau pun anda tidak mampu untuk senyum dengannya, janganlah terus maki hamun kepadanya.

6. Tanyakan kepadanya dengan baik kenapa dia langgar kereta anda tadi? Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan satu sama lain.

Kawal kemarahan anda, jangan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

7. Kalau boleh minta tengok daripada pemandu yang langgar kereta anda tadi kad pengenalan atau lesen memandunya. Ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya.

8. Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan paksa dia mengaku atau paksa dia bayar wang kepada anda. Bagitahu kepadanya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.

9. Jika dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda. Sekali lagi diingatkan, tidak perlu meminta wang daripadanya. Terus ajak dan bawa dia ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kerosakan kereta anda.

Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguh walaupun anda ada urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.

10. Jangan lupa ambil nombor telefon atau kad perniagaannya supaya mudah untuk anda menghubunginya nanti.

11. Jika dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, tidak mengapa, jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah dapat segala info berkenaan kenderaan dan dirinya.

12. Terus pergi buat laporan polis di balai polis berhampiran.

13. Dengan laporan polis tadi, pergi ke JPJ dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan yang langgar kereta anda tadi.

14. Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan mintak mereka uruskan 3rd party claim untuk membaiki kerosakan kereta anda.

Mudah bukan, tidak perlu gaduh-gaduh dan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah anda dan boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah. Negara kita kan ada undang-undang. Patuhilah undang-undang yang telah ditetapkan.

Sumber: Facebook | Community Roda Johor – CRJ

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Sabah rai penerbangan antarabangsa pertama selepas 2 tahun dengan tangisan kesyukuran

0

Ketibaan AirAsia AK 1794 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut dengan meriam air selepas 2 tahun terhenti akibat pandemik Covid-19. Penerbangan antarabangsa pertama yang berlepas dari Singapura itu dinaiki 119 penumpang yang mana 30 peratus daripadanya adalah rakyat Singapura. Pesawat berkenaan tiba di Sabah pada jam 2.30 petang pada Sabtu.

Huziah Siwis, 35 dari Telupid, Tongod berkata sejak dia menjadi pembantu dapur di Singapura pada 2019, dia hanya berhubung dengan keluarganya melalui telesidang secara atas talian.

“Saya masih tidak boleh percaya, tangan saya menggigil. Saya tidak dapat pulang ke rumah sejak 2019 kerana pandemik Covid-19 dan sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di rumah di Sabah.

“Saya mengambil cuti selama dua minggu yang akan saya gunakan terutama untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini, kakak saya dan suaminya datang untuk menyambut kepulangan saya dan air mata kegembiraan menitis sebaik sahaja saya ternampak dia,” katanya kepada wartawan ketika bertemu di KKIA.

Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu dengan beberapa kelonggaran diberikan termasuklah pembukaan semula sempadan negara selepas ia ditutup selama dua tahun sejak pandemik Covid-19.

Hendry Andus, 28, anak bongsu daripada tiga beradik dari Inanam berkata hasratnya untuk melaungkan “Kami sudah pulang!” menjadi kenyataan apabila dia akhirnya dapat mendakap dan memeluk ahli keluarganya.

“Ia adalah satu cabaran bagi mereka yang bekerja di luar negara seperti kami, manakala negara lain mungkin lebih baik tetapi tiada apa yang dapat dibandingkan dengan negeri Sabah dan Malaysia kita sendiri. Seperti yang orang katakan ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ kami masih memilih tanah air sendiri,” kata Henry yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura sejak 2017.

Jacques Franck, 70, seorang pelancong dari Perancis berkata dia gembira kerana akhirnya dapat menikmati percutiannya di Sabah.

“Saya sentiasa sayangkan Sabah dan telah datang ke sini bertahun-tahun untuk bercuti, sudah tentu saya berasa sedih apabila saya tidak dapat datang ke sini, tetapi kini saya merancang untuk menikmati keindahan pantai dan hutan di sini,” kata pesara ini.

Sementara itu, Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata kerajaan Sabah bertungkus-lumus bersama semua pihak untuk memastikan Sabah sentiasa menjadi tempat pertama dalam hati dan pemikiran pelancong dan pengembara.

“Selamat pulang kepada rakyat Sabah kita sendiri, manakala untuk pelancong dan pengembara, selamat datang ke tanah air kami dan nikmatilah penginapan anda di sini,” katanya ketika menyambut kedatangan 119 penumpang menerusi penerbangan AK 1794.

Singapura akan terus menjadi pasaran utama dan hab penting bagi Sabah berikutan kembalinya penerbangan antarabangsa terus antara Kota Singa dan Kota Kinabalu.

“Saya ingin memuji AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang membuka penerbangan antarabangsa untuk Sabah, ini adalah peristiwa penting untuk semua yang terlibat.

“Singapura adalah pasaran yang sangat penting buat Sabah kerana ia menjadi fokus pasaran kami untuk bertahun-tahun sekarang dan ia juga hab terpenting untuk Sabah kerana ia menghubungkan pasaran tumpuan kami yang lain di seluruh dunia ke Sabah,” kata Joniston.

Mengambil maklum akan kecintaan rakyat Singapura terhadap alam semula jadi, menyelam dan pengembaraan, dia berkata rakyat Singapura kini mungkin tidak sabar untuk melancoing ke Sabah dan menikmati keghairahan mereka sekali lagi dengan pengembalian semula laluan Singapura-Kota Kinabalu.

Joniston berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah merancang beberapa inisiatif promosi untuk menarik rakyat Singapura pulang ke Sabah.

Dari 22-28 April, beliau berkata Lembaga Pengarah dan Pemain Industri Sabah akan menghadiri Pameran Digital Pelancongan Malaysia.

“Melalui Pameran ini, pengguna Singapura akan disajikan dengan banyak pilihan produk pelancongan dan penginapan. Kami juga menerima sokongan padu daripada pemain industri Sabah di mana mereka menonjolkan pakej popular mereka seperti hidupan liar, alam semula jadi dan pengembaraan.

“Mengimbas kembali masa pra-pandemik, Pameran ini telah berjaya menarik ramai rakyat Singapura ke Sabah dan kami yakin trend ini akan kembali kerana pada masa ini, pertanyaan dari Singapura mengenai pakej pelancongan Sabah sudah mula mencurah-curah,” kata Joniston.

Smart Locals, salah satu penerbit dalam talian terkemuka Singapura akan menghubungkan platform acara itu kepada kempen digital Sabah untuk membantu pemain pelancongan negeri itu berjaya di Pameran Digital Travel Malaysia, tambahnya.

Menurut Joniston, syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Sabah melalui pelancongan dan hospitaliti sejak kehadirannya pada 2001.

“Saya gembira mengetahui bahawa AirAsia telah mengembangkan tawarannya melangkaui penerbangan dan kini menjadi rumah kepada beberapa usaha niaga e-dagang yang berkembang maju, iaitu platform sehentinya, AirAsia Super App.

“Selaras dengan peralihan kepada fasa endemik, saya percaya bahawa penyambungan semula penerbangan antarabangsa ini datang pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancongan dan penduduk tempatan di Sabah, yang telah teruja menjangka dan meracang perjalanan mereka,” katanya.

Sebelum pandemik Covid-19, Sabah menerima 126,000 penumpang melalui Singapura. Rakyat Singapura menyumbang 34,000 daripada jumlah itu.

Sementara itu, ketua pegawai komersial AirAsia (syarikat penerbangan), Tan Mai Yin menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu kini mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dan Kota Kinabalu, dengan penerbangan harian bermula pada 29 April.

“Kami juga sedang mengkaji penerbangan terus dari Thailand, Filipina dan Indonesia ke Kota Kinabalu. Kami teruja dengan perkara ini dan kami akan mengumumkan kemaskini selanjutnya,” katanya.

Menurut Tan lagi, mereka menjangkakan laluan terus dari Thailand dan Filipina akan bermula pada separuh pertama tahun ini, dengan selebihnya mengikuti pada separuh masa kedua.

Turut hadir pada majilis itu ialah setiausaha tetap kementerian pelancongan negeri Datuk Mohd Yusrie Abdullah; Timbalan pengerusi Pelancongan Malaysia Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan Pengarah Pelancongan Malaysia Sabah Ednie Rahma Ab Rahim.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: