30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 136

Hanya guna tiga bahan, jom buat sendiri serbuk asam boi

0

Makan buah-buahan macam jambu dan mangga memang menjilat jari bila ditaburkan dengan serbuk asam boi. Rasa masam-masam manis yang buat semua orang terliur.

Hendak dapatkan serbuk asam boi sebenarnya mudah sahaja bila anda biasa membeli di kedai dan pasaraya, tetapi pada kali ini, apa kata anda cuba membuatnya sendiri di rumah.

Caranya membuatnya senang sahaja kerana hanya menggunakan tiga bahan, dan sambil itu anda pun boleh berjimat. Ikuti perkongsian Puan Siti Khadijah di laman Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN) seperti berikut:

Facebook

Resipi serbuk asam boi

Bahan-bahan:

  • Asam boi
  • Gula pasir
  • Serbuk buah plum
Facebook

Cara-cara penyediaan:

1. Asingkan biji daripada asam boi.

Facebook

2. Kisar halus (pengisar kering). Letak dalam satu bekas.

Facebook

3. Kisar gula dan serbuk plum. Kisar halus juga.

Facebook

4. Satukan dengan asam boi yang sudah di kisar tadi. Gaul sebati.

Facebook

5. Masukkan dalam satu bekas dan selepas itu goncang-goncangkankan tiga bahan tadi. 

Serbuk asam boi siap!

Facebook

Tidak perlu tambah garam sebab asam boi sudah ada rasa masin. Boleh rasa dahulu jika terasa hendak tambah garam.

Jika hendak rasa manis lagi boleh tambah gula. Hendak masin lagi boleh tambah garam. Boleh agak-agak ikut selera masing-masing. 

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi apam nasi jadi gebu lembut, buat sendiri hasilnya serupa macam selalu beli

0

Di rumah selalu ada lebihan nasi, jadi hari ini teringin hendak buat apam nasi. Cara membuat apam nasi itu sebenarnya ringkas dan mudah sahaja jika anda tahu tekniknya.

Selalu juga ramai yang mengadu hasilnya tidak menjadi, dengan kata apam kecut dan bantat atau tak naik menggebu kejadiannya macam yang kita selalu beli dekat luar. 

Jadi sebenarnya orang kata mudah saja hendak buat, tetapi setelah beberapa kali percubaan dan tidak menjadi juga, maka ramai yang berputus asa.

Facebook

Perkongsian oleh pengguna Facebook Janna Hanie ini mungkin boleh menjadi panduan untuk anda yang sudah berputus asa tidak dapat buat apam nasi gebu gebas seperti yang diharapkan, kerana menurut Janna ada satu bahan sebenarnya yang anda perlu elak untuk letak.

Ikuti resipi untuk dapatkan apam nasi gebu:

Facebook

Bahan-bahan:

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula (kalau tidak suka manis, boleh kurangkan)
  • 1 cawan air
  • 1 sudu makan yis (separuh peket yis kering)

Cara membuat:

1. Kisar nasi, gula, air sampai halus.

2. Kemudian campur dengan tepung gandum, tepung beras dan yis. Gaul sebati.

3. Perap adunan sampai naik sekali ganda baru masukkan dalam acuan dan kukus (Janna perap 1 jam sahaja).

4. Jika hendak hasil apam yang gebu dan pecah, kukus guna api besar.

Facebook

Tips dapatkan apam nasi yang cantik

  • Acuan jangan sapu minyak.
  • Isi adunan penuh acuan.
  • Kukus 10 minit (acuan kecil), kalau acuan besar (kukus lebih sikit masa dalam 15 hingga 20 minit).
Facebook

Ingat jangan putus asa, buat apam nasi kena sampai jadi. Bila sudah jadi akan selalu hendak buat lagi. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi lassi daripada orang Nepal, minuman kesegaran untuk menenangkan perut dan minda

0

Lassi adalah minuman yang berasaskan yogurt untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas. Dikatakan berasal dari Punjab dan Multan di India, minuman kesegaran ini boleh diambil pada waktu sarapan atau makan tengah hari. Jika pada awal kemunculan lassi ini hanyalah bancuhan yogurt dan gula atau garam tetapi kini resipinya telah dipelbagaikan. Seorang pengguna Twitter berkongsi resipi asal lassi yang diperoleh daripada orang Nepal.

Bahan-bahan:

  • Yogurt – 250 gram
  • Susu – 250 gram
  • Gula pasir – 2 sudu makan
  • Jus lemon – 2 sudu teh

Cara membuat lassi:

Campurkan semua bahan dan kacau sehingga sebati. Minuman lassi sedia untuk diminum.

Memang mudah hendak buat minuman ini, tidak sampai lima minit pun sudah siap.

PEXELS

Untuk pengetahuan anda, lassi juga boleh dirujuk sebagai ‘smoothie kuno’ kerana ia merupakan smoothie yogurt pertama di dunia yang asalnya adalah campuran buah-buahan dan rempah tulen.

Pada masa kini, perisa lassi telah dipelbagaikan dan anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Antara perisa lassi yang digemari orang ramai pada masa kini ialah:

  • Lassi Mangga – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah mangga segar (boleh juga menggantikan buah mangga segar dengan serbuk mangga).
  • Lassi Oren – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah oren segar (boleh juga menggantikan buah oren segar dengan jus oren).
  • Lassi Betik – campuran yogurt, air dan buah betik (boleh tambahkan madu jika anda suka).
  • Lassi Strawberi – campuran yogurt, air dan buah strawberi segar.
PEXELS

Lassi ini dikatakan mampu memberi ketenangan pada perut dan minda.

Antara kebaikan lain meminum lassi pada kesihatan ialah:

  • Menguatkan otot badan kerana lassi kaya dengan protein.
  • Menguatkan tulang dan gigi kerana lassi kaya dengan kalsium.
  • Melancarkan sistem penghadaman.
  • Mampu mengurangkan tahap kolestrol dalam badan.

Ternyata lassi ini bukan sekadar minuman yang enak dan lazat tetapi ia mampu menyegarkan dan menyihatkan badan.

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Parlimen bubar, negara ditadbir kerajaan sementara

0

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang 10 Oktober 2022.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Twitter

Negara kini ditadbir oleh kerajaan sementara dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Beliau berkata, tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

“Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Fathi berkata, antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Berikutan itu, beliau berkata, Perdana Menteri dan ahli Kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

Selain itu, Muhammad Fathi berkata, kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik ketika tempoh berkempen dalam PRU.

Bagi Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

Pilihan Editor:

Bapa angsa pikul tanggungjawab ‘besarkan 7 anak sendirian’ selepas ibu angsa jatuh sakit dan pergi buat selama-lamanya

0

Ramai yang berkunjung ke Charles River Esplanade di Boston, Amerika Syarikat untuk melihat pemandangan alam semula jadi yang indah dan kehadiran angsa-angsa yang cantik.

Beberapa ekor angsa yang bertandang juga nampaknya memutuskan lagun di taman itu adalah habitat yang sesuai untuk memulakan keluarga. 

Charles River Esplanade/Twitter

Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kakitangan Esplanade di taman itu untuk menemui seekor ibu angsa yang sedang bertelur.

Angsa yang cantik bertelur di sarang yang dibina bersama pasangannya si bapa angsa di tepi tasik, dan si ibu berjaya menetaskan 7 ekor anak angsa yang comel.

Charles River Esplanade/Twitter

Ramai pencinta burung dan hidupan liar datang ke taman itu untuk memerhatikan perkembangan anak angsa kecil, tetapi malangnya, pada suatu hari, kakitangan Esplanade mendapati ibu angsa berterusan menggeleng-gelengkan kepalanya dan tidak dapat berdiri, dan dia nampaknya sedang jatuh sakit.

Apabila mereka memaklumkan kepada petugas perlindungan haiwan Boston Animal Control dan mereka telah datang untuk membantu merawatnya, semuanya telah terlambat dan ibu angsa itu telah pergi buat selama-lamanya.

Owed To Nature / Facebook

Angsa adalah haiwan yang sangat berdedikasi, dan spesis burung yang sangat setia kerana hanya mempunyai satu pasangan dalam hidupnya. Oleh itu, selepas ibu angsa meninggal dunia, bapa angsa pasti mengalami pelbagai penderitaan, tetapi dia tetap cekal memilih untuk tinggal di habitat asalnya dan menjaga tujuh ekor anak-anaknya sendirian.

Charles River Esplanade/Twitter

Ini tidak kira bagaimana keadaannya, dan ia adalah satu tanggungjawab buat si bapa selepas si ibu meninggalkan mereka secara tiba-tiba.

Charles River Esplanade/Twitter

Sungguh membanggakan apabila bapa tunggal ini menjaga anak-anak angsa yang masih kecil dengan sepenuh hatinya.

Ramai yang tersentuh hati apabila melihat bapa angsa berenang bersama anak-anaknya yang comel itu di tasik, dan sesekali bertindak sebagai perahu untuk si kecil duduk di belakangnya. 

Charles River Esplanade/Twitter

Kasih sayang bapa angsa ini sungguh menghangatkan hati anda sehingga tidak perasan air mata boleh mengalir melalui pipi.

Di bawah perlindungan berhati-hati si bapa angsa, tujuh ekor angsa kecil telah beransur-ansur membesar dengan baik, untuk menjadi kuat dan tabah tanpa kehadiran belaian ibu tempat bermanja.

Charles River Esplanade/Twitter

Melihat bapa angsa dengan penuh kasih sayang dan cinta sejati kepada pasangannya, juga amat bertanggungjawab membesarkan anak-anak seorang diri, ia benar-benar spontan boleh membuat seseorang menjadi sebak, hiba dan mengesat air mata.

Kasih sayang bapa yang benar-benar hebat dan amat menyentuh hati!

Pilihan Editor:

Sebuah ‘bilik comel’ tersembunyi bawah gerai bergerak, anak kecil patuh menemani ibu bapanya mencari rezeki

0

Alkisah di Taiwan seperti mana juga di Malaysia, ramai yang mengeluh bukan mudah untuk mencari wang demi menyara keluarga, terutamanya buat ibu bapa yang sibuk membuka gerai dengan bekerja sendiri, menjadi peniaga kecil setiap hari.

Jika yang berpendapatan kecil, mereka tidak mampu membayar pengasuh atau menempatkan anak-anak di pusat jagaan kanak-kanak, jadi ibu bapa ini tiada pilihan melainkan membawa anak-anak bersama semasa bekerja. 

Seperti yang dipaparkan dalam gambar yang tular di Facebook ini, seorang peniaga jalanan terpaksa menyediakan satu ruang penyimpanan di bawah gerai bergerak, dengan meletakkan tilam nipis, kusyen dan selimut di bahagian bawah, sebagai ganti menjadi ‘bilik comel’ buat anak kecilnya.

Facebook

Kanak-kanak itu dikatakan berusia 3 tahun, dilihat sedang berbaring di dalam bilik kecil bawah gerai yang comel, dan selepas gambar ini didedahkan, ia telah mendapat perhatian ramai warganet di Taiwan.

Muat naik dua gambar telah dikongsikan di laman kumpulan Facebook, yang memaparkan seorang dewasa sedang sibuk berniaga dan melayan pelanggannya di gerai menjual makanan ringan, sementara bahagian bawah amat mengejutkan apabila terlihat seorang kanak-kanak kecil sedang tidur dibawahnya. 

Warganet yang memuat naik gambar itu amat terkejut melihat seorang kanak-kanak kecil, dengan baik dan tidak banyak kerenah diam berbaring di dalam kabinet di bawah gerai bergerak, menghisap puting, kadang-kadang terpinga-pinga tidak memahami pekerjaan ibu bapanya yang sedang sibuk.

Terlihat juga dia duduk dengan senyap dan bermain sendiri, tidak menangis atau meragam, diam memerhati dan menemani ibu bapanya berniaga di gerai jalanan. Amat senang menjaganya kerana dia anak yang baik.

Dalam dunia kecil yang eksklusif untuk kanak-kanak ini, ibu bapanya sangat bertimbang rasa ketika meletakkan tilam nipis dan empuk bersama selimut di bawah kabinet keras, dan juga menambah kusyen dengan corak bintang kecil di sisi untuk mengelakkan kanak-kanak itu daripada terhantuk papan yang keras ketika bergerak tanpa sedar semasa sedang tidur. Kapsyen gambar itu, “Bersama ibu bapanya, ini adalah rumah..”

Facebook

Gambar itu telah menarik perhatian warganet di Taiwan dengan komen mereka:

“Pemandangan indah, erti kerja keras..” 

“Ramai peniaga jalanan yang menjaga anak-anak mereka seperti ini. Saya fikir sekurang-kurangnya ibu bapa ini bertanggungjawab, dan kebanyakan kanak-kanak juga dapat bermain dengan selamat di bawah perhatian ibu bapa, tiada kanak-kanak yang menderita dan boleh merasai serta memahami kerja keras ibu bapa, yang mana satu perkara yang baik.”

Sambil ramai warganet yang memberi komen pernah merasai pengalaman membesar dengan cara didikan ibu bapa yang sama:

“Apabila melihat gambar ini, saya teringat keluarga saya pernah berniaga, dan saya juga tidur di bawah gerai jalanan..”

“Semasa kecil, ibu bapa saya berniaga di pasar, dan saya menjadikan tapak gerai sebagai tempat bermain, keluarkan kotak kadbod dan permainan lalu berseronoklah! Hidup sederhana yang biasa-biasa itu adalah kebahagiaan.”

Apakan daya, ibu bapa kita tidak mampu mengupah pengasuh. Sekurang-kurangnya kita tahu dan sentiasa ingat di dalam hati sehingga dewasa yang mereka amat bertanggungjawab untuk menjaga kita dengan baik.

Pilihan Editor:

Bapa temui mainan terbuang dan mencucinya bersih bagi memastikan anak-anak gembira dapat bermain

0

Adakah anak-anak anda bermain dengan mainan mereka selama sebulan, kemudian melupakannya dengan sepenuhnya? 

Adakah rumah anda dipenuhi dengan mainan yang sudah bosan dimainkan oleh anak-anak anda?

Video ini mungkin boleh membuat anda dan anak-anak mempertimbangkan untuk mendermakannya kepada kanak-kanak yang memerlukannya, daripada membiarkan diri berasa tidak prihatin untuk terus membuangnya.

Facebook

Untuk pengetahuan anda, biasanya ada mainan yang dibuang berada dalam keadaan baik dan sempurna yang berpotensi untuk mencari rumah buat kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik.

Penang Kini baru-baru ini berkongsi video seorang bapa yang menemui mainan di tempat pembuangan sampah, membawanya pulang dan membersihkannya seperti keadaan baru dibeli untuk anak-anaknya bermain.

Facebook

Kapsyen video di Facebook itu berbunyi, “Pengorbanan seorang ayah, tidak pernah berputus asa untuk membahagiakan anak-anak.”

Facebook

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat sedang mencuci troli mainan berwarna merah jambu dengan sabun selepas menemuinya di tempat pembuangan sampah.

Dia kemudian memberikan mainan yang sudah bersih itu kepada anak-anaknya, yang jelas amat gembira menerima mainan itu daripada ayah mereka, walaupun tahu bahawa mainan itu bukan yang baru dibeli.

Facebook

“Apa yang insan ini mahukan, hanya senyuman dan keceriaan di wajah anak kecil. Biarlah dia cekal dan bersusah payah mencari rezeki, asalkan keluarganya bahagia dan cukup makan.”

“Hargai ayah kita selagi mereka masih ada..” tulis Penang Kini.

Facebook

Ramai bapa penyayang dan terbaik di luar sana tidak kira apa status mereka, sanggup berkorban melakukan apa sahaja demi kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak.

Hargai kehadiran bapa anda di sisi dan balas jasa mereka apabila anda berkemampuan untuk berbuat demikian.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Ibu berani bertarung nyawa lawan seekor harimau yang cuba membaham anak lelakinya berusia 15 bulan

0

Ini adalah kisah yang patut dicontohi dari Madhya Pradesh, India di mana ibu berusia 25 tahun telah menjadi lambang keberanian apabila dia dengan hanya bersenjatakan tangan telah bergelut dengan seekor harimau demi menyelamatkan nyawa anak lelakinya.

Seekor harimau telah menerkam anak kecil berusia 15 bulan itu ketika ibu ini sedang menemani anaknya untuk membuang air. Apa yang cuba dielakkan untuk berakhir sebagai tragedi, juga menjadi satu tindakan dengan kisah keberanian apabila Archana Choudhary memutuskan untuk tidak berputus asa demi menyelamatkan anaknya dalam apa juga keadaan.

Kejadian itu berlaku di perkampungan Rohania di daerah Umaria di Madhya Pradesh. Kawasan itu berada di bawah hutan rizab simpanan harimau Bandhavgarh ketika Archana bertarung dengan seekor harimau yang sesat sedang membenamkan giginya ke dalam tempurung kepala anak lelakinya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ibu ini dengan beraninya telah melompat ke atas harimau itu untuk menyelamatkan anak lelakinya. Dia berlawan dengan harimau yang berbahaya dengan hanya menggunakan tangannya.

“Harimau itu cuba melarikan budak itu tetapi penduduk kampung yang mendengar jeritan ibunya telah bergegas menyelamatkannya dan harimau itu kemudian telah menyelinap masuk ke dalam hutan,” kata pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava kepada AFP.

“Wanita itu dimasukkan ke hospital dan kini dia sedang pulih, dan anak kecilnya juga dalam keadaan stabil,” katanya.

Archana mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan luka di tangan, pinggang, tubuh belakang dan perutnya manakala anak lelakinya mengalami luka yang dalam di bahagian kepala.

Facebook

The Times of India melaporkan, operasi mencari harimau berkenaan sedang dijalankan supaya haiwan itu tidak kembali ke kawasan kampung, dan penduduk kampung diberi amaran untuk berada di dalam rumah pada waktu malam demi menjaga keselamatan.

Peningkatan konflik haiwan-manusia di seluruh Asia Selatan dilihat semakin banyak berlaku berikutan hutan semakin menghilang akibat pengembangan bandar.

Menurut angka kerajaan, hampir 225 orang terbunuh dalam serangan harimau antara 2014 dan 2019 di India manakala data menunjukkan, lebih daripada 200 harimau dibunuh oleh pemburu haram atau mati akibat renjatan elektrik antara 2012 dan 2018.

India adalah habitat kepada kira-kira 70 peratus harimau di dunia dan jumlah harimau pada 2018 dianggarkan sekitar 2,967 ekor.

Pilihan Editor:

Gambar ibu melindungi anaknya daripada hujan lebat dengan menggunakan meja lipat begitu menghangatkan hati

0

Kasih sayang seorang ibu selalunya tidak bersyarat dan tidak pernah ada had kerana seorang ibu akan sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya, dalam apa jua keadaan.

Sebuah laman Facebook 收风吹水 baru-baru ini berkongsi gambar menyentuh hati memaparkan seorang ibu membawa meja lipat semata-mata untuk melindungi anaknya daripada hujan. 

Kanak-kanak itu baru pulang dari sekolah dan turun dari kereta, apabila ibunya sudah menunggu betul-betul di luar kereta untuk memastikan anak kesayangan yang bertuah itu tidak terkena hujan.

Facebook

Tidak jelas lokasi kejadian menghangatkan hati ini di mana dan bila ia berlaku. Tetapi konteks imej itu sendiri mendapat perhatian warganet, sementara ada yang memperkatakan bagaimana ibu ini begitu kreatif menggunakan meja lipat sebagai alternatif untuk payung, 

Tetapi kebanyakan mereka menyerlahkan satu perkara yang sama – kasih sayang ibu itu sememangnya tiada batasan dan tidak pernah bersyarat.

Warganet yang tersentuh dengan adegan kasih sayang sejati itu mempunyai cara tersendiri untuk menggambarkan perasaan mereka.

Facebook

“Kasih sayang seorang ibu adalah yang terbaik.”

“Melindungi anak daripada cuaca buruk. Begitulah mulianya kasih sayang seorang ibu.”

“Kasih sejati tidak peduli apa yang orang lain fikirkan.”

“Demi anak-anak, seorang ibu sanggup memikirkan apa sahaja, ini adalah betapa mulianya kasih seorang ibu.”

“Adegan menyentuh hati yang menggambarkan kasih sayang seorang ibu. Tiada apa yang dapat menggambarkannya dengan sempurna.”

“Selagi ia dapat menyempurnakan tugas, proses itu tidak penting. Selagi kanak-kanak itu dilindungi, membawa meja lipat bukan masalah, tidak mengapa.”

Begitulah kasih sayang seorang ibu, dan pengorbanan mereka tidak akan pernah berhenti walaupun anak-anak telah dewasa. Jadi hargailah kehadiran ibu bapa anda selagi mereka masih ada.

Pilihan Editor:

Seorang lelaki disahkan menghidap kanser selepas pendandan rambutnya menyedari terdapat tahi lalat tidak normal di leher

0

Apabila pendandan rambut Nicholas Smithson memberitahu melihat tahi lalat yang kelihatan berbahaya pada lehernya, ia sudah terlambat kerana kini lelaki berusia 38 tahun itu hanya tinggal enam bulan sahaja untuk hidup.

Pembuat dandang dari Rockhampton, Queensland, Australia itu berkata pendandan rambutnya menggesa untuk dia memeriksa tahi lalat itu.

Tetapi apabila dia berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai tahi lalat itu, mereka memberitahunya ‘tiada apa yang perlu dibimbangkan’.

Gambar oleh Daily Mail

Nicholas memberitahu The Courier Mail yang dia berjumpa dua orang doktor dalam masa 11 hari selepas menyedari pertumbuhan tahi lalat itu meningkat dua kali ganda – hanya untuk dinafikan yang ia tidak berbahaya.

Nicholas kemudian memutuskan untuk pergi berjumpa pakar kulit yang akan mengambil biopsi dengan segera.

Keputusan menunjukkan pertumbuhan itu adalah nodular melanoma dan ia telah merebak melepasi tahi lalat hitam ke nodus limfanya.

Lelaki ini berkata doktor menjelaskan ‘senario kes terburuk’ selepas menemui kanser itu, yang membuatnya terkejut.

“Saya masih ingat saya melihat pasangan saya dan berkata, ‘Saya akan mati, ini akan membunuh saya’,” kata Nicholas.

“Kami pulang ke rumah dan hanya merenung dinding kosong dan saya mula menangis,” katanya.

Nicholas kemudian segera ke Brisbane untuk menjalani pembedahan leher dua hala, yang memakan masa selama 10 jam untuk mengeluarkan nodus limfa di lehernya.

Gambar oleh Daily Mail

Sebelas hari kemudian Nicholas melihat pertumbuhan lain di belakang telinganya.

Imbasan PET menunjukkan dia mula diserang kanser dan tidak lagi boleh mengharapkan rawatan yang membawa kepada penawar dan penyembuhan.

Pada bulan Ogos, doktor memberitahu berita sedih yang Nicholas Smithson hanya mempunyai masa enam bulan untuk hidup.

“Ia seperti dalam filem apabila seorang dimaklumkan berita buruk, mereka hanya pegun bagai tidak percaya,” katanya.

Dia mengakui telah menelefon rakan-rakan secara rawak dengan harapan mendapatkan ketenangan, malahan bertanya kepada pengarah pengebumian tempatan jika ada bukti kehidupan akhirat.

Nicholas sentiasa mahu melancong jadi rakan-rakannya telah memulakan GoFundMe untuk membantunya ‘menjalani kehidupan bermakna’ sebelum dia meninggal dunia.

Mereka telah mengumpul AUD$17,000 (RM51,000) selepas menetapkan matlamat AUD$5000 (RM15,000) untuk membantu pembuat dandang itu menandakan beberapa hajat dalam ‘bucket list’ nya.

Nodular Melanoma boleh merebak ke organ utama dalam masa tiga bulan, menurut Healthline.

Gambar oleh Daily Mail

Apakah tanda-tanda nodular melanoma?

Berjumpa dan dapatkan nasihat doktor dengan segera jika anda mempunyai benjolan kulit, pertumbuhan, tahi lalat atau lesi yang:

  • Lebih besar daripada kebanyakan tahi lalat atau bintik-bintik biasa pada badan anda.
  • Dulu rata tetapi kini ia tinggi atau lebih tebal daripada dahulu.
  • Berbentuk kubah atau mempunyai ketulan yang keras sama ada satu warna (hitam, coklat, merah, merah jambu atau berwarna daging) atau campuran warna (seperti biru-hitam, coklat-merah).
  • Mempunyai sama ada permukaan licin atau kasar, berkerak telah berubah dalam penampilan yang gatal atau berasa seperti sengatan.
Gambar oleh Daily Mail

Nodular melanoma adalah bentuk kanser kulit yang berkembang pesat dan agresif. Ia biasanya muncul sebagai benjolan atau luka pada kulit yang tegang dan mungkin berwarna atau tidak. Ia mungkin tidak didiagnosis sehingga ia berada di peringkat lanjut kerana kelajuan ia boleh berkembang. Oleh itu, pemeriksaan kulit di rumah adalah alat penting dalam mendiagnosis dan merawat kanser kulit seperti nodular melanoma lebih awal.

Jika anda melakukan pemeriksaan kulit dan mendapati sesuatu yang mencurigakan, atau jika anda mengalami sebarang gejala luar biasa, seperti keletihan, loya, sakit kepala, demam atau penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, jangan teragak-agak untuk membuat temu janji dengan profesional penjagaan kesihatan untuk peperiksaan. Doktor yang pakar boleh membantu anda untuk menentukan sama ada ujian atau rawatan lanjut diperlukan.

Pilihan Editor: