Lassi adalah minuman yang berasaskan yogurt untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas. Dikatakan berasal dari Punjab dan Multan di India, minuman kesegaran ini boleh diambil pada waktu sarapan atau makan tengah hari. Jika pada awal kemunculan lassi ini hanyalah bancuhan yogurt dan gula atau garam tetapi kini resipinya telah dipelbagaikan. Seorang pengguna Twitter berkongsi resipi asal lassi yang diperoleh daripada orang Nepal.

Bahan-bahan:
- Yogurt – 250 gram
- Susu – 250 gram
- Gula pasir – 2 sudu makan
- Jus lemon – 2 sudu teh
Cara membuat lassi:
Campurkan semua bahan dan kacau sehingga sebati. Minuman lassi sedia untuk diminum.
Memang mudah hendak buat minuman ini, tidak sampai lima minit pun sudah siap.

Untuk pengetahuan anda, lassi juga boleh dirujuk sebagai ‘smoothie kuno’ kerana ia merupakan smoothie yogurt pertama di dunia yang asalnya adalah campuran buah-buahan dan rempah tulen.
Pada masa kini, perisa lassi telah dipelbagaikan dan anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Antara perisa lassi yang digemari orang ramai pada masa kini ialah:
- Lassi Mangga – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah mangga segar (boleh juga menggantikan buah mangga segar dengan serbuk mangga).
- Lassi Oren – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah oren segar (boleh juga menggantikan buah oren segar dengan jus oren).
- Lassi Betik – campuran yogurt, air dan buah betik (boleh tambahkan madu jika anda suka).
- Lassi Strawberi – campuran yogurt, air dan buah strawberi segar.

Lassi ini dikatakan mampu memberi ketenangan pada perut dan minda.
Antara kebaikan lain meminum lassi pada kesihatan ialah:
- Menguatkan otot badan kerana lassi kaya dengan protein.
- Menguatkan tulang dan gigi kerana lassi kaya dengan kalsium.
- Melancarkan sistem penghadaman.
- Mampu mengurangkan tahap kolestrol dalam badan.
Ternyata lassi ini bukan sekadar minuman yang enak dan lazat tetapi ia mampu menyegarkan dan menyihatkan badan.
Selamat mencuba!
Pilihan Editor: