Ini adalah kisah yang patut dicontohi dari Madhya Pradesh, India di mana ibu berusia 25 tahun telah menjadi lambang keberanian apabila dia dengan hanya bersenjatakan tangan telah bergelut dengan seekor harimau demi menyelamatkan nyawa anak lelakinya.
Seekor harimau telah menerkam anak kecil berusia 15 bulan itu ketika ibu ini sedang menemani anaknya untuk membuang air. Apa yang cuba dielakkan untuk berakhir sebagai tragedi, juga menjadi satu tindakan dengan kisah keberanian apabila Archana Choudhary memutuskan untuk tidak berputus asa demi menyelamatkan anaknya dalam apa juga keadaan.
Kejadian itu berlaku di perkampungan Rohania di daerah Umaria di Madhya Pradesh. Kawasan itu berada di bawah hutan rizab simpanan harimau Bandhavgarh ketika Archana bertarung dengan seekor harimau yang sesat sedang membenamkan giginya ke dalam tempurung kepala anak lelakinya.
Ibu ini dengan beraninya telah melompat ke atas harimau itu untuk menyelamatkan anak lelakinya. Dia berlawan dengan harimau yang berbahaya dengan hanya menggunakan tangannya.
“Harimau itu cuba melarikan budak itu tetapi penduduk kampung yang mendengar jeritan ibunya telah bergegas menyelamatkannya dan harimau itu kemudian telah menyelinap masuk ke dalam hutan,” kata pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava kepada AFP.
“Wanita itu dimasukkan ke hospital dan kini dia sedang pulih, dan anak kecilnya juga dalam keadaan stabil,” katanya.
Archana mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan luka di tangan, pinggang, tubuh belakang dan perutnya manakala anak lelakinya mengalami luka yang dalam di bahagian kepala.
The Times of India melaporkan, operasi mencari harimau berkenaan sedang dijalankan supaya haiwan itu tidak kembali ke kawasan kampung, dan penduduk kampung diberi amaran untuk berada di dalam rumah pada waktu malam demi menjaga keselamatan.
Peningkatan konflik haiwan-manusia di seluruh Asia Selatan dilihat semakin banyak berlaku berikutan hutan semakin menghilang akibat pengembangan bandar.
Menurut angka kerajaan, hampir 225 orang terbunuh dalam serangan harimau antara 2014 dan 2019 di India manakala data menunjukkan, lebih daripada 200 harimau dibunuh oleh pemburu haram atau mati akibat renjatan elektrik antara 2012 dan 2018.
India adalah habitat kepada kira-kira 70 peratus harimau di dunia dan jumlah harimau pada 2018 dianggarkan sekitar 2,967 ekor.
Pilihan Editor: