Adakah anak-anak anda bermain dengan mainan mereka selama sebulan, kemudian melupakannya dengan sepenuhnya?
Adakah rumah anda dipenuhi dengan mainan yang sudah bosan dimainkan oleh anak-anak anda?
Video ini mungkin boleh membuat anda dan anak-anak mempertimbangkan untuk mendermakannya kepada kanak-kanak yang memerlukannya, daripada membiarkan diri berasa tidak prihatin untuk terus membuangnya.

Untuk pengetahuan anda, biasanya ada mainan yang dibuang berada dalam keadaan baik dan sempurna yang berpotensi untuk mencari rumah buat kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik.
Penang Kini baru-baru ini berkongsi video seorang bapa yang menemui mainan di tempat pembuangan sampah, membawanya pulang dan membersihkannya seperti keadaan baru dibeli untuk anak-anaknya bermain.

Kapsyen video di Facebook itu berbunyi, “Pengorbanan seorang ayah, tidak pernah berputus asa untuk membahagiakan anak-anak.”

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat sedang mencuci troli mainan berwarna merah jambu dengan sabun selepas menemuinya di tempat pembuangan sampah.
Dia kemudian memberikan mainan yang sudah bersih itu kepada anak-anaknya, yang jelas amat gembira menerima mainan itu daripada ayah mereka, walaupun tahu bahawa mainan itu bukan yang baru dibeli.

“Apa yang insan ini mahukan, hanya senyuman dan keceriaan di wajah anak kecil. Biarlah dia cekal dan bersusah payah mencari rezeki, asalkan keluarganya bahagia dan cukup makan.”
“Hargai ayah kita selagi mereka masih ada..” tulis Penang Kini.

Ramai bapa penyayang dan terbaik di luar sana tidak kira apa status mereka, sanggup berkorban melakukan apa sahaja demi kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak.
Hargai kehadiran bapa anda di sisi dan balas jasa mereka apabila anda berkemampuan untuk berbuat demikian.
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: