Sifat ingin tahu kanak-kanak tidak bersalah dan tidak dapat berfikir dengan baik seperti mana orang dewasa yang sepatutnya memberi bimbingan, kadangkala boleh membawa kepada situasi tidak dijangka yang berbahaya.
Seperti contoh, satu video mendebarkan yang menunjukkan dua orang kanak-kanak bermain di atas balkoni tidak berpagar di luar tingkap sebuah kondominium di Taman Setapak, Kuala Lumpur telah menjadi tular di media sosial sejak 25 Oktober.
Dalam video itu, kelihatan kanak-kanak berusia dua dan empat tahun sedang berehat dan bermain di atas belebas tingkap. Pada satu ketika, salah seorang kanak-kanak itu berdiri kemudian duduk semula sehingga mencemaskan jiran sedang merakam video itu, serta jiran-jiran lain yang memerhatikan mereka.
Video itu juga menimbulkan kebimbangan orang ramai dengan keselamatan dua kanak-kanak itu.
Justeru, polis menahan pasangan suami isteri itu kerana disyaki melakukan kecuaian ketika menjaga anak-anak mereka.
“Laporan polis dibuat oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (2001),” katanya.
“Pasangan itu telah disoal siasat dan dibenarkan pulang manakala pegawai penyiasat telah melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya,” jelasnya.
Menurut Ashari, jika sabit kesalahan pasangan itu akan didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, polis turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu merupakan satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak.
Mary Joy Mandane-Ortiz, pensyarah di Bicol University College of Engineering, Filipina meminta pelajarnya untuk membuat topi anti-penipuan untuk dipakai pada hari peperiksaan. Ortiz memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelajarnya untuk menyediakan topi tersebut. Pada hari peperiksaan, para pelajar tampil dengan pelbagai perisai bagi mengelakkan daripada ditiru rakan sekelas. Melihat pada penampilan mereka, nampaknya rakan sekelas memang tiada langsung peluang untuk mengintai jawapan.
Dikhabarkan, Ortiz mendapat inspirasi untuk melakukan pendekatan tersebut daripada sebuah universiti di Thailand yang sebelum ini meminta para pelajar memakai ‘topi keledar anti-menipu’ semasa peperiksaan mereka. Idea tersebut merupakan cadangan salah seorang pelajar universiti berkenaan.
Ortiz begitu terharu dengan sambutan yang ditunjukkan oleh para pelajarnya yang tampil dengan pelbagai gaya menarik. Ini kerana, peperiksaan pertengahan penggal kejuruteraan boleh memberi desakan dan tekanan namun para pelajar masih mampu menceriakan suasana peperiksaan tersebut.
Ortiz mengambil gambar para pelajar dan memuat naiknya di Facebook miliknya. Tidak disangka, hantaran tersebut mendapat maklum balas positif daripada orang ramai termasuklah media tempatan.
Ada pelajar yang memakai topi yang dihasilkan mengikut kreativiti masing-masing dan ada juga pelajar yang menggunakan apa sahaja yang mereka ada.
Contohnya seperti pelajar ini. Dia hanya berpayung! Biasanya orang-orang tua pasti akan marah kalau kita buka payung dalam rumah kerana katanya nanti ular akan masuk. Tetapi bagi pelajar ini, payunglah perisai paling mudah bagi mengelakkan dirinya ditiru pada hari peperiksaan.
Tiada idea untuk membuat topi anti-penipuan? Guna sahaja topi keledar seperti pelajar ini. Selesai masalah!
“Nak tiru tak boleh, nak lolipop boleh.”
Mengambil semangat untuk mendapat keputusan cemerlang, replika sijil dan topi segi empat siswazah menjadi perisai anti-penipuan buat pelajar ini.
Boleh nampak ke tu?
“Mak, jangan buang beg kertas. Saya nak buat topi anti-penipuan.”
“Peperiksaan memang memberi tekanan, tapi saya mesti terus tersenyum!”
“Saya bukannya nak pergi ke ladang lebah. Saya nak pergi jawab peperiksaan ni.”
Walau bagaimanapun, Ortiz mengingatkan agar pelajar seharusnya belajar dan mengulangkaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh dan bukannya menipu ketika peperiksaan.
Mungkin para guru dan pensyarah di negara kita boleh menggunakan idea topi anti-penipuan pada pelajar mereka. Selagi tidak menyusahkan dan tiada unsur penipuan, apa salahnya? Pasti para pelajar akan kurang berasa tertekan untuk menghadapi peperiksaan. Apa-apa pun, jujurlah pada diri sendiri ketika menjawab soalan peperiksaan. Usaha tangga kejayaan.
Antara jenis denda di zaman sekolah yang akan diingati sampai bila-bila ialah berdiri di atas kerusi, ditarik bauk, berdiri di tempat duduk masing-masing sepanjang waktu kelas, berdiri di luar kelas, kutip sampah di kawasan sekolah dan lain-lain. Dan kita tahu tujuan cikgu mengenakan denda tersebut adalah untuk mengajar murid-murid supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah. Itu di zaman sekolah, ketika di zaman kolej, lain sedikit dendanya.
Baru-baru ini seorang pemuda berkongsi di TikTok mengenai dirinya di denda menari oleh pensyarahnya kerana dia lewat masuk ke kelas.
Menerusi video tersebut, kelihatan rakan-rakan sekelasnya bersorak sebelum dia memulakan persembahannya.
Sebaik sahaja lagu ‘How You Like That’ nyanyian artis Korea bermula, pemuda itu terus menari dengan bersungguh-sungguh.
Pemuda tersebut kelihatan begitu bersahaja menari seolah-olah sedang membuat persembahan sendiri. Dia juga kelihatan tidak kekok menari di hadapan pensyarahnya.
Menariknya, pensyarah tersebut turut menikmati persembahan daripada pemuda tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata netizen turut terhibur dengan gelagat pemuda tersebut.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini mengusulkan agar syarikat penerbangan membayar ganti rugi dengan cara pembayaran asal kepada penumpang sekiranya jadual penerbangan asal ditunda.
Berdasarkan satu kenyataan pada pertengahan Oktober lalu, MAVCOM berkata cadangan pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) itu dibuat bagi membela nasib penumpang yang tertindas.
Antara cadangan tersebut termasuklah perlindungan mengenai bayaran balik, kelayakan penumpang, pas perjalanan dan penyingkiran penerbangan yang dibatalkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan.
Ini bermakna, syarikat penerbangan perlu membayar ganti rugi sepenuhnya kepada penumpang dengan cara pembayaran asal jika penerbangan ditangguhkan.
Menurut BERNAMA, pengerusi ekskutif Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, tindakan tersebut adalah untuk meningkatkan hak pengguna penerbangan. Mereka bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan tersebut dilaksanakan.
Sejak 2016, MACPC mengkehendaki syarikat penerbangan untuk membayar balik pengembara sekiranya penerbangan mereka dibatalkan atau berubah dengan begitu ketara. Namun begitu, melalui MACPC 2022, MAVOM mencadangkan agar penumpang dibayar mengikut cara pembayaran asal.
Cadangan baharu ini dilihat dapat menghapuskan ketidaktekalan syarikat penerbangan dalam membayar ganti rugi kepada penumpang.
Selain itu, peruntukan baharu turut dicadangkan untuk melindungi pengguna yang telah membayar wang tiket penerbangan atau pas perjalanan terlebih dahulu tetapi syarikat penerbangan gagal memenuhi perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Contohnya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran atau isu perlesenan.
Semoga nasib penumpang yang tertindas terbela dengan terlaksananya usul baharu ini.
Menjadi seorang bapa yang baik adalah dengan berusaha memenuhi segala keperluan anak-anak, bersama rasa penuh tanggungjawab termasuk sanggup berkorban apa sahaja.
Kisah rider Grab mencari rezeki sambil menggendong anak dalam cuaca panas menjadi tular beberapa bulan lalu setelah dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok @abamskhai.
Ketika itu Khairul Fazki@abamkhai sedang dalam perjalanan ke destinasinya apabila terlihat seorang penunggang motosikal menggendong anaknya yang baru berusia setahun, dan bapa ini gigih mencari rezeki dengan Grab Food.
Berasa prihatin dengan nasibnya, Khairul telah menghampiri lelaki tersebut untuk bertanyakan keadaannya dan apa yang membuatkan dia terpaksa membawa anak kecil ketika sedang bekerja, dalam keadaan cuaca panas terik.
“Masa tu saya naik motor. Daripada jauh nampak dia dan kelihatan ada kaki kecil yang terjuntai. Jadi saya potong motor dia untuk melihat lebih dekat.
“Saya dapati penunggang itu adalah seorang lelaki, sebelah tangan pegang handle motor, sebelah tangan lagi menutup kepala seorang anak kecil daripada terkena panas matahari.
“Waktu tu dalam pukul 1.30 tengah hari. Saya panggil ke tepi untuk temuramah sebentar. Jadi saya turut buat video, dan kongsi ke TikTok untuk tunjukkan kehebatan seorang bapa.
“Saya cuma hendak sampaikan mesej tidak semua orang boleh buat macam dia. Saya kongsikan video itu sebagai motivasi,” kata Khairul.
Bapa ini memaklumkan dia mempunyai tiga orang cahaya mata dan menetap di Jinjang, Kuala Lumpur. Katanya, sudah sebulan dia bekerja sebagai rider dengan membawa anak kecil selepas isterinya mula bekerja.
“Isteri keluar pukul sembilan, lepas tu saya mula bekerja. Kadang-kadang sampai petang, kalau tidak hujan lambat sikit la,” jelas penghantar makanan yang bernama Amirul itu.
Jelas Amirul, anak kecilnya itu akan diberi makan nasi ketika bekerja dan hanya meminum susu setelah mereka pulang ke rumah.
“Kalau dekat rumah sahaja minum susu. Isteri baru bekerja. Dulu dia tidak kerja. Dekat sebulan sudah bawa anak bekerja. Anak ada tiga orang, seorang mak jaga, yang satu lagi sekolah,” tambahnya.
“Orang lain sanggup bersusah payah mencari rezeki, kenapa kita tidak mahu berusaha lebih sedikit?” komen seorang netizen.
Sambil ramai memberi komen bahawa mereka berasa terharu dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi bapa penyayang bernama Amirul ini, serta ingin menghulurkan bantuan sekiranya keluarga ini memerlukan.
Kadang-kadang kita merasakan masalah yang sedang dihadapi amat besar, sedangkan terdapat orang lain melalui kesukaran dan dugaan dalam kehidupan yang jauh lebih besar berbanding kita.
Seorang pengguna TikTok dikenali Zulfitri Basir baru-baru ini berkongsi video dan kisah sedih disebaliknya yang membuatkan rata-rata netizen berubah sebak.
Zulfitri menceritakan bagaimana dia membantu seorang pak cik yang juga warga emas di sebuah stesen minyak pada waktu Maghrib.
Dalam video TikTok itu, pak cik yang tangannya berbalut dengan sedikit membongkok bertanya kepada Zulfitri bila tibanya waktu azan kerana dia ingin menunaikan solat Maghrib.
Sementara menunggu waktu Maghrib, mereka sempat berbual-bual. Difahamkan warga emas itu bertanyakan di mana mesin ATM berhampiran yang boleh mengeluarkan wang RM30 kerana dia ingin membeli minyak hitam motosikal.
“Tiba-tiba seorang pak cik dalam keadaan bongkok sambil tangan berbalut seperti patah menyapa saya. ‘Maghrib masuk pukul berapa?’ Saya menjawab, ‘7.01 minit pak cik. Lagi 6 minit masuklah. Bolehlah kita berjemaah sekali pak cik..’ Kemudian pak cik itu duduk bawa kerusi dekat dengan saf saya.”
“Pak cik ini tiba-tiba tanya, selain dari dekat sini, mana ada mesin ATM. Dekat Petronas itu ada tetapi tidak boleh keluar RM30. Saya pun beritahu dekat pak cik itu. Dekat depan sana ada, tetapi tidak pasti boleh keluar duit RM30 ke tidak..”
Rupa-rupanya, pak cik itu sudah menunggu anaknya yang sedang belajar di universiti sejak pukul 5.00 petang lagi untuk memasukkan sedikit wang yang dipinjam dari rakannya kerana anaknya juga turut tidak mempunyai wang.
Tersentak mendengar kisah warga emas ini, Zulfitri kemudian menawarkan diri untuk membantu pak cik berkenaan.
“Kemudian pak cik itu cakap, tadi sudah telefon anak. Dia dekat universiti. Dia bagi RM30 sahaja untuk balik rumah. Tadi telefon dia sebab hendak suruh masukkan sedikit lagi duit.”
“Hendak beli minyak hitam. Sebab motor bocor pula. Anak kata tiada duit sekarang, kena pinjam duit kawan. Jadi sebab yang itu pak cik tengah tunggu ini dari pukul 5.”
“Kalau kawan dia bagi pinjam bolehlah beli minyak hitam dengan isi minyak balik Kajang. Kemudian saya pun cakap, ‘Tak apa pak cik, kita solat dulu, kejap lagi minyak hitam pak cik itu saya belikan. Jangan risau, pak cik dalam rumah Allah. Allah akan bantu pak cik’.”
Pak cik itu turut memberitahu yang dia merupakan veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru pulang daripada melawat isterinya yang menghidap kanser tahap tiga di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Katanya, mereka suami isteri dikurniakan empat orang cahaya mata dan tiga daripadanya sedang belajar di universiti tempatan manakala seorang lagi masih bersekolah.
Lebih menyedihkan, pak cik ini baru terlibat dalam kemalangan dan tangannya patah sehingga menyebabkan ia tidak berapa kuat untuk memegang.
“Tangan dia patah, hari ini dia buka simen. Jadi tangan dia masih tidak berapa kuat. Dia kata dulu bekerja dekat stesen minyak. Sebab PKP, dia kena berhenti sebab kontrak. Jadi sekarang dia tidak bekerja.”
“Saya pergi dekat motosikal dia. Tengok motor itu ada minyak hitam tumpah sikit-sikit. Dia cakap hendak bawa balik Kajang je. Lepas itu, nanti ada duit dia hendak baiki perlahan-lahan. Takut kalau kering minyak hitam, makin teruk motor tu..”
Apabila ditanya sama ada sudah makan atau tidak, pak cik itu berkata dia belum makan sejak pagi tadi.
“Jadi saya cakap ambillah apa-apa hendak makan. Dia ambil sandwic dan air susu pisang. Kemudian saya tanya dia hendak apa-apa lagi, cakap sudah cukup. Ini pun sudah bersyukur.”
Sebelum beredar, Zulfitri sempat menghulurkan sedikit sumbangan meskipun pada awalnya ia telah ditolak oleh pak cik tersebut. Kata pak cik itu, dia sudah cuba meminta pertolongan keluarga dan anak-anak.
“Selepas itu saya meminta diri. Saya pun hulurkan sedikit sumbangan. Pak cik bawa motor elok-elok. Dia pada mulanya tolak duit saya. Saya cakap, pak cik doakan yang elok-elok untuk saya. Saya tidak tahu apa dosa saya. Tetapi Allah hantar pak cik hari ini sebab hendak bersihkan dosa saya. Doakan saya dan keluarga,” tulis Zulfitri.
Kisah yang mengundang rasa simpati dan sebak melihat kepayahan serta ketabahan pak cik yang sudah berusia ini melalui liku-liku kehidupan penuh cabaran.
Sukatan pelajaran sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini telah digunakan sejak tahun 2017. Menurut Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin, sukatan pelajaran tersebut adalah hasil kajian dan cadangan beberapa pihak termasuk guru-guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Walau bagaimanapun, sukatan pelajaran sekolah rendah akan dinilai semula selepas tamat kitaran tahun ini.
Menurut Radzi, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melakukan penilaian semula sukatan pelajaran sekolah rendah memandangkan tempoh pusingan penggunaannya hampir tamat.
Kata Radzi lagi, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baharu. Ini kerana apabila suatu sukatan pelajaran itu diperkenalkan, ia akan melalui satu pusingan. Sukatan pelajaran semasa yang digunakan adalah dari tahun 2017 hingga tahun 2022.
Untuk makluman orang ramai, KPM juga bersikap terbuka dengan segala pandangan dan idea daripada semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dalam menentukan sukatan pelajaran yang akan digunakan kelak.
Radzi turut menasihatkan agar isu membabitkan sukatan pelajaran sekolah tidak dipolitikan oleh mana-mana pihak. Ini kerana ia membabitkan pendidikan pelajar di negara ini.
Jelas Radzi lagi, terdapat pihak tertentu yang cuba menjadikan sukatan pelajaran sebagai isu politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November depan.
Oleh itu, sekiranya ada di antara anda yang mempunyai cadangan atau idea mengenai sukatan pelajaran anak-anak, bolehlah mengemukakannya di saluran yang betul.
Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Johor Bahru atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adik lelakinya pada 19 Oktober lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya, yang berusia 16 tahun, yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Johor Bahru pada jam 1.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.
Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh, iaitu peguam, Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.
“Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri. Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan, yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap bulan sekali.
Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.
Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.
Dua beradik itu terlebih dahulu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum si kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur, yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan leher, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas sebuah helikopter yang dinaiki enam orang terhempas di Cameron Highlands, Pahang, pada jam 1.15 tengah hari, 26 Oktober.
Helikopter itu dipercayai terhempas di hutan Brinchang selepas berlepas dari Kampung Gawin di Gua Musang, Kelantan. Ia dalam perjalanan ke Tanjung Rambutan, Perak, lapor New Straits Times.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata unit SAR pertama telah mendarat dan dihantar ke lokasi nahas dalam tempoh 19 minit selepas menerima pemberitahuan.
Pesawat itu dipercayai helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dan dikendalikan oleh syarikat swasta, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.
Mereka yang berada di dalam helikopter berkenaan adalah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk seorang doktor dan dikendalikan seorang juruterbang.
Bernama melaporkan kesemua lima penumpang dan juruterbang selamat, memetik Ketua Polis Pahang.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun seorang mengalami patah tulang paha, menurut laman Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang. Mereka menerima rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata kepada Sinar Harian, kesemua mangsa ditemui selamat selepas lokasi helikopter itu berjaya dikenal pasti berhampiran Big Red Brinchang, kira-kira jam 3.51 petang.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa yang terdiri tiga wanita dan tiga lelaki telah dilakukan dengan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Pasukan Multiskill (Must) yang dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron, termasuk anggota pasukan Storm dan Must dibantu 25 anggota bomba dari JBPM Perak.
CAAM berkata siasatan ke atas insiden itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Bekas Canselor Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu selepas kedua-dua pesaingnya terkeluar daripada perlumbaan kepimpinan Parti Konservatif.
Rishi Sunak, 42 tahun dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri baharu Britain pada 25 Oktober selepas menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham dan menerima titah untuk membentuk kerajaan.
Beliau bukan sahaja menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di United Kingdom, malah merupakan pemimpin termuda meneraju pentadbiran negara dalam tempoh lebih 200 tahun.
Perdana Menteri Britain yang baharu Rishi Sunak menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham, London dan menerima titah untuk membentuk kerajaan. (Gambar The Royal Family/ Twitter)
Terdahulu, Penny Mordaunt, ketua Dewan Rakyat, menulis di Twitter beberapa minit sebelum pencalonan ditutup pada jam 2 petang 24 Oktober bahawa beliau telah memutuskan untuk menarik diri dan Rishi Sunak kini mendapat “sokongan penuhnya”.
Satu-satunya pencabar lain, bekas Perdana Menteri Boris Johnson, telah terkeluar daripada perlumbaan pada petang 23 Oktober, yang mengakui beliau tidak dapat menyatukan parti.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kepada negara itu, Sunak berkata beliau “merendah diri dan berbesar hati” untuk dipilih sebagai ketua Parti Konservatif.
“Ia adalah keistimewaan terbesar dalam hidup saya untuk peluang berkhidmat kepada parti dan memberi kembali kepada negara yang saya terhutang terlalu banyak,” katanya.
Sunak memberi amaran United Kingdom akan berhadapan “cabaran ekonomi yang amat mendalam.”
“Kita kini memerlukan kestabilan dan perpaduan, dan saya akan menjadikannya perkara keutamaan untuk membawa parti kami dan negara bersama,” katanya.
Rishi Sunak, yang tewas kepada Perdana Menteri Liz Truss dalam pertandingan kepimpinan Tory hanya enam minggu lalu, mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Konservatif.
Dalam kenyataannya ketika mengumumkan tawaran kepimpinannya yang diperbaharui pada hari Ahad, beliau menegaskan akan memimpin dengan “integriti, profesionalisme, dan akauntabiliti,” dalam percubaan yang jelas untuk membezakan dirinya dengan dua Perdana Menteri terdahulu, yang kedua-duanya keluar dari 10 Downing Street dalam keadaan memalukan.
Truss tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan selepas keseluruhan program ekonominya, berdasarkan pemotongan cukai yang tidak dibiayai secara besar-besaran, dibatalkan berikutan reaksi negatif daripada pasaran kewangan, yang menyaksikan pound jatuh mendadak berbanding dolar AS dan kos pinjaman meningkat dengan ketara bagi kedua-dua kerajaan dan isi rumah seluruh United Kingdom.
Kesengsaraan ekonomi Truss sebahagian besarnya telah diramalkan oleh Sunak dalam kempen kepimpinan terakhir, di mana beliau menggelar wawasan ekonominya sebagai “kisah dongeng yang menghiburkan” dan berkata janjinya untuk pemotongan cukai yang tidak dibiayai pada masa inflasi yang semakin teruk adalah tidak bertanggungjawab, berbahaya dan tidak konservatif. Sunak meramalkan pemotongan cukai akan membawa kepada lonjakan kadar gadai janji—ramalan yang kemudiannya disahkan oleh pasaran.
Gambar oleh Jeff J Mitchell/Getty Images
Boris Johnson terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas peletakan jawatan lebih daripada 50 menteri kerajaan, berikutan beberapa skandal, termasuk didenda oleh polis kerana menghadiri perhimpunan haram di 10 Downing Street semasa perintah berkurung COVID-19. Peletakan jawatan Sunak sebagai canselor dipercayai memainkan peranan penting dalam mencetuskan pembongkaran kerajaan Johnson.
Tetapi integriti Sunak sendiri telah sebersih mana. Reputasinya dicemari awal tahun ini berikutan pendedahan bahawa isterinya, Akshata Murthy, yang merupakan anak kepada jutawan India, NR Narayan Murthy mempunyai status ‘non-domiciled’ untuk tujuan pembayaran cukai.
Beliau juga terlibat dalam skandal “Partygate” dan didenda, bersama Johnson dan isterinya, Carrie, oleh Polis Metropolitan kerana menghadiri parti hari jadi Perdana Menteri, yang diadakan dengan melanggar peraturan perintah berkurung.