Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas sebuah helikopter yang dinaiki enam orang terhempas di Cameron Highlands, Pahang, pada jam 1.15 tengah hari, 26 Oktober.
Helikopter itu dipercayai terhempas di hutan Brinchang selepas berlepas dari Kampung Gawin di Gua Musang, Kelantan. Ia dalam perjalanan ke Tanjung Rambutan, Perak, lapor New Straits Times.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata unit SAR pertama telah mendarat dan dihantar ke lokasi nahas dalam tempoh 19 minit selepas menerima pemberitahuan.
Pesawat itu dipercayai helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dan dikendalikan oleh syarikat swasta, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.
Mereka yang berada di dalam helikopter berkenaan adalah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk seorang doktor dan dikendalikan seorang juruterbang.
Bernama melaporkan kesemua lima penumpang dan juruterbang selamat, memetik Ketua Polis Pahang.
Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun seorang mengalami patah tulang paha, menurut laman Facebook Bomba & Penyelamat Negeri Pahang. Mereka menerima rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata kepada Sinar Harian, kesemua mangsa ditemui selamat selepas lokasi helikopter itu berjaya dikenal pasti berhampiran Big Red Brinchang, kira-kira jam 3.51 petang.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa yang terdiri tiga wanita dan tiga lelaki telah dilakukan dengan bantuan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Pasukan Multiskill (Must) yang dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat melibatkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron, termasuk anggota pasukan Storm dan Must dibantu 25 anggota bomba dari JBPM Perak.
CAAM berkata siasatan ke atas insiden itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Pilihan Editor: