Sifat ingin tahu kanak-kanak tidak bersalah dan tidak dapat berfikir dengan baik seperti mana orang dewasa yang sepatutnya memberi bimbingan, kadangkala boleh membawa kepada situasi tidak dijangka yang berbahaya.
Seperti contoh, satu video mendebarkan yang menunjukkan dua orang kanak-kanak bermain di atas balkoni tidak berpagar di luar tingkap sebuah kondominium di Taman Setapak, Kuala Lumpur telah menjadi tular di media sosial sejak 25 Oktober.

Dalam video itu, kelihatan kanak-kanak berusia dua dan empat tahun sedang berehat dan bermain di atas belebas tingkap. Pada satu ketika, salah seorang kanak-kanak itu berdiri kemudian duduk semula sehingga mencemaskan jiran sedang merakam video itu, serta jiran-jiran lain yang memerhatikan mereka.
Video itu juga menimbulkan kebimbangan orang ramai dengan keselamatan dua kanak-kanak itu.

Ibu bapanya didapati melakukan kecuaian ketika menjaga kanak-kanak itu.
Susulan insiden, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu berada di dalam rumah ketika kejadian.
“Mereka mendakwa tidak menyedari kejadian itu,” kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Justeru, polis menahan pasangan suami isteri itu kerana disyaki melakukan kecuaian ketika menjaga anak-anak mereka.
“Laporan polis dibuat oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak (2001),” katanya.
“Pasangan itu telah disoal siasat dan dibenarkan pulang manakala pegawai penyiasat telah melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya,” jelasnya.

Menurut Ashari, jika sabit kesalahan pasangan itu akan didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, polis turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu merupakan satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak.
Pilihan Editor: