30.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 17, 2025
Utama Blog Laman 118

Korea Selatan lapor kes kematian pertama ‘amoeba pemakan otak’

0

Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai ‘amoeba pemakan otak’, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Isnin, 26 Disember.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan berusia dalam lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu setelah menetap selama empat bulan di sana.

“Pesakit dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya,” kata jurucakap KDCA Dr Jee Young-mee.

CDC / YouTube

“Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara,” jelas KDCA.

Ini adalah kes pertama jangkitan itu yang dilaporkan di Korea Selatan selepas Naegleria fowleri muncul di Virginia, Amerika Syarikat pada 1937.

Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup di dalam tanah dan air tawar hangat seperti mata air panas, tasik dan sungai di seluruh dunia.

Amoeba itu memasuki tubuh manusia melalui hidung dan menuju ke otak.

Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.

Sebagai langkah berjaga-jaga, KDCA telah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti berenang di kawasan di mana penyakit itu dikesan walaupun penyebaran antara manusia adalah mustahil.

Sehingga 2018, sebanyak 381 kes Naegleria fowleri telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk India, Thailand, Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, sebanyak 154 kes jangkitan ‘amoeba pemakan otak’ dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus.

Pilihan Editor:

Gabungan hiasan dua perayaan di pasar raya jadi bualan netizen!

0

Antara perkara yang mengujakan setiap kali menjelmanya apa-apa perayaan di Malaysia ialah keindahan hiasan yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun nampaknya kali ini, gabungan hiasan dua perayaan utama di sebuah pasar raya jadi bualan netizen!

Facebook

Seperti kebanyakan pusat beli-belah di Malaysia, Pusat Beli-Belah Suria Sabah turut mengambil peluang menghias premis mereka sempena perayaan Krismas. Melalui laman Facebook, pihak pengurusan memuat naik beberapa keping gambar hiasan dalaman premis tersebut.

Namun yang menjadi kelainan adalah apabila Pusat Beli-Belah Suria Sabah turut menyelitkan hiasan Tahun Baru Cina memandangkan perayaan tersebut akan tiba tidak lama lagi.

Seperti kapsyen yang ditulis oleh pihak mereka, “Dua sambutan, satu mesej: semoga musim cuti anda dipenuhi dengan kasih sayang, tawa riang dan kegembiraan”, hiasan kedua-dua perayaan utama itu dapat dilihat di sana.

Pengunjung pusat beli-belah turut dilihat mengambil kesempatan merakam memori berlatarbelakangkan hiasan yang tersergam indah itu.

Hiasan tersebut mendapat pelbagai maklum balas dari warga siber. Ada yang menyokong dan ada yang melahirkan rasa kecewa.

Tinjauan di ruang komen menyaksikan warga siber yang kecewa berpendapat Pusat Beli-Belah Suria Sabah tidak seharusnya melebihkan hiasan Tahun Baru Cina sedangkan perayaan Krismas yang akan disambut dahulu.

Ini kerana keketaraan penggunaan warna merah di sana sini memperlihatkan sambutan Tahun Baru Cina seperti mendominasi premis tersebut. Tambahan pula, hiasan perayaan Tahun Baru Cina dilihat lebih banyak dan terserlah berbanding hiasan perayaan Krismas.

Terdapat juga netizen yang melahirkan rasa keliru dan tertanya-tanya sama ada mereka meraikan Krismas atau Tahun Baru Cina terlebih dahulu pada waktu ini.

Bagi warga siber yang menyokong pula, mereka melihat gabungan hiasan dua perayaan utama ini sangat menarik.

Ada juga di antara mereka yang bergurau dengan mengatakan, “Santa Claus sebenarnya menyamar menjadi Dewa Kekayaan”.

Jadi, bagaimana dengan pendapat anda pula? Adakah anda menyukai konsep hiasan yang ditampilkan oleh pusat beli-belah ini atau tidak?

Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru.

Pilihan Editor:

Lupa kurung kucing ketika keluar, pemilik fikir habislah perabot mahogani musnah dicakar tanpa menyangka kebimbangannya bertukar ketawa

0

Kebanyakan pencinta haiwan suka memelihara kucing kerana menyangka makhluk comel ini tidak akan merobohkan rumah seperti anjing, namun sebenarnya bukan kucing tidak boleh merobohkan rumah, tetapi cara mereka merobohkan rumah adalah berbeza. 

Dan tahukah anda kucing suka menggunakan perabot sebagai bahan penggaru, kerana papan dan kayu sering menjadi kesukaannya.

Gambar lifenewsjr.com

Seorang pemilik kucing menceritakan bagaimana baru-baru ini dia terpaksa bergegas pulang kerana bimbang perabot mahogani di rumahnya dicakar kucing, tetapi bertukar geli hati pada ketika membuka pintu rumah dan melihat perabot itu.

Pemilik ini dalam hantarannya berkata bapanya membelanjakan $300,000 untuk membeli satu set perabot mahogani sebagai hiasan mewah di rumah. Pada mulanya, dia tidak menghiraukannya tetapi selepas keluar, tiba-tiba dia tersedar telah terlupa memasukkan kucing peliharaannya ke dalam sangkar kerana kucing itu sangat lincah dan suka bermain.

Fikirnya, jika kucing itu mencakar perabot mahogani ayahnya, orang tua itu mungkin akan berada dalam mood untuk merebusnya!

Gambar lifenewsjr.com

Memikirkan perkara ini, pemilik ini segera memusingkan kereta dan berpatah balik, dengan harapan dapat menyelamatkan keadaan seperti mana dalam bayangannya. 

Apabila dia bergegas pulang dan membuka pintu, dia begitu terkejut dengan pemandangan yang dilihatnya, kerana tidak menyangka gerak cemas boleh bertukar ketawa apabila melihat lokasi kucing itu berada.

“Saya melihat kucing saya Ge You berbaring dengan selesa di atas sofa kayu, dengan kepala kecilnya bersandar pada anak patung, kelihatan sangat selesa dan sangat mengantuk dengan mata tertutup,” tulisnya. Kucing itu sangat nyenyak tidurnya sehinggakan tuan datang menjenguk pun dia tidak perasan.

Gambar lifenewsjr.com

Melihat postur ini, ia betul-betul sama dengan gaya tuannya terbaring di rumah ketika bermain telefon pintar, sehingga terlelap.

Walaupun dia terbukti tidak membuat apa-apa masalah, pemilik itu tetap mengambil kucing ini dan memasukkannya ke dalam sangkar bagi mengelakkan adegan cakar-mencakar berlaku.

Gambar lifenewsjr.com

Gambar si comel berbaring itu telah dimuat naik di media sosial sehingga mendapat perhatian netizen yang memberi komen sambil tersenyum:

“Tidak mungkin kucing ini pandai mencari kelasnya yang tersendiri..”

“Selepas bertahun-tahun bekerja keras, kucing itu berkata, ‘Inilah kehidupan yang saya mahukan’.”

Apa yang penting, nasib baik tidak terjadi apa-apa kepada perabot yang mahal itu.

Pilihan Editor:

“Jangan belanja saya lagi,” Budak pemungut kotak bayar harga roti yang dimakan selama 7 tahun kepada pengurus kedai buat air mata mengalir

0

Seorang pengurus kedai roti dari Zhongli, Taoyuan di Taiwan mendedahkan dia sering membelikan roti kepada budak lelaki yang selalu datang ke kedai rotinya untuk memungut kotak kitar semula sejak dia masih kecil. Kini selepas 7 tahun berlalu sejak memberikan roti untuk alas perutnya, budak itu datang ke kedai dengan wang NT$200 sambil berkata, “Saya mahu membeli roti daripada kakak mulai hari ini. Jangan belikan saya roti lagi. Kamu juga bekerja keras..” 

Hantaran Facebook pengurus kedai roti wanita dari Zhongli, Taoyuan di Taiwan berbunyi, “Saya tidak akan melupakan budak lelaki ini ketika melihatnya buat pertama kali ketika musim sejuk. Dia memakai pakaian yang kurang sesuai dengan susuk tubuhnya, dan menarik troli berat sambil bertanya, “Kakak, bolehkah saya ambil kotak kadbod di sini?”

Pengurus itu tidak menjawab tetapi berpaling dan menuju ke dalam kedai untuk membungkus sebuku roti buat budak lelaki itu, juga mengambil semua kotak yang boleh dikitar semula untuk diberikan kepadanya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Wanita itu memberitahu, “Saya bekerja di sini, dan kamu dialu-alukan untuk datang berjumpa saya bagi mendapatkan roti pada bila-bila masa jika kamu terasa lapar. .” Selepas itu, pengurus ini juga memberitahu semua rakan sekerjanya supaya menyerahkan apa-apa barang kitar semula yang terdapat di dalam stor untuk diberikan kepada budak lelaki itu.

Pengurus kedai roti ini berkata selepas 7 tahun, walaupun budak lelaki itu telah bersekolah di menengah rendah, susuk tubuhnya masih kecil dan kurus. Baru-baru ini, ketika dia datang ke kedai roti bertanyakan kotak, wanita ini berkesempatan berbual dengannya. Tulisnya, “Sudah dekat pukul sembilan malam, tetapi dia memberitahu masih belum makan. Musim sejuk begini, dia juga tidak memakai baju tebal dan saya menasihatkannya untuk menjaga badannya dan kesihatan dengan baik..”

Tetapi 15 minit kemudian, budak lelaki itu datang semula ke kedai dengan NT$200 (RM28) dalam tangan, dan berkata kepadanya, “Kakak, saya ingin membeli roti daripada kamu mulai hari ini, jangan belanja saya lagi, kamu juga bekerja keras.. .” Pengurus kedai menerima wang itu dengan senyuman, dan masih menasihatkannya, “Hidup dengan baik bersama datuk dan nenek kamu, dan sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Selagi kedai kami masih ada di sini, kamu sentiasa dialu-alukan untuk makan roti kami.”

Facebook

Pengurus kedai roti ini melihat budak lelaki itu berlalu pulang, tanpa disedari air mata mengalir membasahi pipinya.

Hantaran kisah menyentuh hati itu segera menarik perhatian orang ramai yang prihatin dan telah menelefon kedai roti itu, bertanyakan tentang budak lelaki itu dan berharap dapat membantunya. Pengurus kedai berterima kasih atas keprihatinan semua, tetapi malangnya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarga budak lelaki itu, dan katanya mereka hanya bertemu sekali-sekala di jalanan.

“Tujuan saya memberinya roti adalah untuk membantu sarapan paginya atau menjadi makanan ringan supaya dia boleh membesar dengan baik. Terima kasih atas jasa baik anda membuktikan masyarakat kita mempunyai hati yang mulia dan hangat,” kata wanita itu.

Pilihan Editor:

Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest, Sandakan

0

Sebanyak 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di Sandakan, Sabah roboh akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak malam 24 Disember.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi 26 Disember, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan pada 25 Disember.

“Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.

“Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya kepada Bernama di Kampung Forest pada 26 Disember.

Twitter

Abdul Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah masing-masing pada malam 25 Disember sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini (26 Disember).

“Seperti mana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya.

Pilihan Editor:

Selepas mendapat upah, gelandangan ini melakukan hal yang sungguh mengejutkan majikannya

0

Seorang gelandangan begitu gembira sekali apabila ditawarkan pekerjaan oleh pemilik kedai makan. Namun, Selepas mendapat upah, gelandangan ini melakukan hal yang sungguh mengejutkan majikannya. Kisah penuh inspirasi ini dikongsi oleh Sense di Facebooknya. Mari teruskan pembacaan.

Sense

Pada suatu hari ada seorang lelaki yang tidak terurus datang ke kedai makan Sense. Dia meminta sedikit wang daripada Sense. Sense tidak memberikan wang kepada lelaki itu sebaliknya dia menasihati lelaki tersebut agar mencari pekerjaan. Kata Sense, tiada apa yang percuma.

Lelaki yang berpenampilan kusut-masai itu membalas dengan berkata, “Sebenarnya, saya melakukan banyak jenayah serius dan disebabkan itu tiada siapa yang mahu mengambil saya bekerja. Jadi sekarang saya terpaksa menjadi gelandangan dan dapatkan duit sama ada mencuri atau mengemis.”

PEXELS

Selepas mendengar kata-kata lelaki tersebut, Sense bertanya, “awak nak kerja? saya ada kerja untuk awak!”. Kebetulan ketika itu Sense kekurangan pekerja, jadi dia menawarkan pekerjaan kepada lelaki berkenaan.

Lelaki yang kasihan itu kelihatan begitu teruja dengan tawaran Sense. Dia sangat gembira kerana ada orang yang sudi mengambilnya bekerja walaupun sudah tahu kedudukannya sebagai gelandangan dan penjenayah. Dia tersenyum lebar bagai bertemu sinar harapan yang begitu cerah di hadapannya ketika itu. Sense sendiri berasa gembira melihatkan senyuman lelaki tersebut.

Tanpa berfikir panjang, lelaki itu menerima tawaran Sense, malah katanya dia sanggup melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.

PEXELS

Kini selepas dua minggu bekerja, lelaki yang tidak dinyatakan namanya itu datang bekerja tepat pada waktunya. Menurut Sense, lelaki itu membantunya membuang sampah, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.

Sense begitu gembira kerana dapat membantu lelaki tersebut mencari rezeki. Namun, selepas memberikan upah, Sense sangat terkejut dengan tindakan lelaki itu. Sense tidak menyangka bahawa lelaki itu mahu membeli makanan di kedainya dan memutuskan untuk membayarnya.

Kata lelaki itu, dia berasa lega dan bersyukur kerana akhirnya dia dapat membeli makanan dengan duitnya sendiri. Sense meraikan ketulusan hati lelaki tersebut dan memberikan potongan harga makanan kepadanya.

Dikesempatan itu, Sense mengingatkan orang ramai agar berbuat baik pada orang lain dan tidak menghakimi seseorang lebih-lebih lagi jika orang itu meminta duit. Ini kerana kita tidak tahu keadaan sebenar dan mungkin orang itu sungguh terdesak sehingga terpaksa mengemis.

Kata Sense lagi, Tuhan telah merahmati hidupnya, jadi tidak salah jika dia berkongsi rezeki dengan orang lain.

Tinjauan di ruang komen menunjukkan warganet bersetuju dan menyokong tindakan Sense yang mengambil gelandangan itu bekerja dengannya. Mereka malah mengucapkan terima kasih kepada Sense kerana berbuat baik dengan lelaki itu.

Kesimpulannya, kita hendaklah membantu orang yang memerlukan pertolongan dan tidak menjatuhkan hukuman kepada seseorang hanya dengan memandang luaran sahaja.

Pilihan Editor:

Agong dan Permaisuri berkenan tunai hajat pesakit leukemia untuk merasai masakan baginda

0

Seorang pesakit leukemia berusia 15 tahun tertunai impian zaman kanak-kanaknya apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menziarahinya pada 22 Disember lalu di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Make-A-Wish Malaysia, menganjurkan pertemuan Mya Zara Damia Faizal dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, lapor Bernama.

Dalam lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Mya supaya menjaga pemakanan dan berehat dengan sebaiknya. Baginda juga berdoa agar remaja itu cepat sembuh seperti sedia kala dan dapat kembali bersekolah untuk bertemu rakan-rakannya.

Gambar Bernama

Sementara itu, Raja Permaisuri Tunku Azizah menzahirkan hasrat untuk menunaikan impian Mya Zara untuk merasai hidangan hasil masakan daripada air tangan baginda sendiri.

Baginda berdua juga meluangkan masa lebih sejam melawat 25 pesakit kanser lain dan berinteraksi dengan ibu bapa dan kakitangan mereka di Wad Haematologi-Onkologi hospital berkenaan.

Bercakap kepada Bernama, Mya berkata beliau telah merancang untuk ke Istana Negara tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan berikutan masih dalam rawatan.

“Walaupun saya tidak boleh pergi ke Istana Negara, Permaisuri Agong bertitah baginda akan memasak sesuatu untuk saya,” kata Mya.

“Saya sangat teruja kerana saya selalu menonton di televisyen bagaimana baginda gemar memasak untuk orang ramai, dan selepas ini, saya juga akan berpeluang merasai air tangan Tunku Azizah.”

Gambar Bernama

Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan menyatakan mereka gembira dapat memenuhi hajat dan impian Mya Zara.

“Kami sering bekerjasama dengan hospital tertentu untuk memenuhi impian kanak-kanak, dan hari ini, giliran Mya,” kata Tan.

“Mya sangat gembira apabila mendapat tahu Seri Paduka berdua akan berangkat ke sini malah meminta untuk meminjam sepasang baju kurung daripada jururawat supaya kelihatan lebih cantik dan menarik,” katanya.

Pilihan Editor:

KKM sahkan semua sos pasta berkrim carbonara cendawan Prego ditarik balik

0

Kementerian Kesihatan mengesahkan semua produk sos pasta berkrim carbonara cendawan berjenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik daripada pasaran kerana terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM turut menerima notifikasi dari syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.

Public Health Malaysia / Facebook

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat itu telah mengenalpasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memaklumkan sedang memantau proses penarikan balik produk berkenaan.

Sehubungan dengan itu, para penjual di pasaran yang terbabit hendaklah menghentikan penjualan produk yang terjejas dengan serta-merta.

Manakala pengguna yang telah membeli hendaklah tidak memakan produk tersebut dan bagi yang telah memakannya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.

Orang ramai disarankan mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.

Pilihan Editor:

Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali ditemui, pasukan SAR bersyukur misi tamat

0

Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali akhirnya berjaya ditemui pada jam 4.53 petang, 24 Disember.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Eng Shao Qi ditemukan di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian sejak 23 Disember, lapor Bernama.

Twitter

Beberapa minit kemudian, sebuah trak polis yang membawa mayat mangsa dilihat meninggalkan Father’s Organic Farm, menuju ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

Penemuan mayat kanak-kanak itu menjadikan angka yang disahkan adalah 31 maut, manakala 61 terselamat yang membabitkan 92 mangsa dalam tragedi yang berlaku pada jam 2.42 pagi 16 Disember lalu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada hari kesembilan.

Twitter

Sebelum ini, dilaporkan mangsa terakhir ialah pelajar Tahun Lima SJKC Mun Choong.

Kejadian tanah runtuh itu turut meragut nyawa kakak kanak-kanak lelaki berkenaan, yang bersekolah di sekolah rendah sama, dan bapa mereka Gary Eng, yang merupakan pemilik kantin sekolah itu.

Twitter

Sementara itu, tepukan dan sorakan kegembiraan bergema di perkarangan pusat kawalan operasi bencana tanah runtuh Batang Kali, sebaik anggota mencari dan menyelamat (SAR) membawa mayat mangsa terakhir tragedi itu ke Hospital Sungai Buloh.

Semua anggota pasukan SAR, serta agensi lain yang terlibat dalam operasi itu melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kerja keras dan kejayaan menemukan kesemua mangsa yang terlibat sejak sembilan hari lalu.

Twitter

Operasi SAR yang bermula sejak 16 Disember lalu melibatkan pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Turut terbabit adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri.

Selain itu, perkhidmatan 11 anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan 11 jentera jengkaut turut digunakan sepanjang sembilan hari operasi SAR, selain bantuan pengesanan menggunakan dua peranti Ground Penetrating Radar (GPR).

Operasi SAR pada 24 Disember dimulakan pada jam 7.30 pagi membabitkan 80 anggota JBPM, ATM, APM dan SMART.

Pilihan Editor:

Gelombang COVID-19 di China: Kematian kalangan elit PKC terus meningkat

0

Segalanya bermula dengan demam panas, gejala COVID-19, yang tidak lama kemudian membawa kepada keputusan ujian positif. Yang Lianghua, bekas wartawan kanan di suara rasmi rejim komunis, China People’s Daily dan ketua pengarang edisi antarabangsa akhbar itu, kemudian terpaksa menunggu di bilik kecemasan untuk katil di hospital terkemuka Beijing, yang kebetulan sudah sesak.

Dengan campur tangan daripada eksekutif kanan media kerajaan dan pengarah hospital, Yang akhirnya dimasukkan ke unit rawatan rapi, di mana dia meninggal dunia beberapa jam kemudian. Punca kematiannya adalah jangkitan kuman di paru-paru.

Yang Lianghua merupakan salah satu daripada senarai panjang tokoh terkemuka berkaitan Parti Komunis China (PKC) yang meninggal dunia di tengah-tengah lonjakan varian Omicron yang sedang melanda China, selepas rejim itu secara tiba-tiba melonggarkan sekatan COVID-19 yang kejam selama bertahun-tahun yang telah menutup perniagaan, yang melumpuhkan ekonomi China dan menjadikannya satu cabaran buat rakyat China untuk mengekalkan kehidupan asas mereka.

Gambar oleh Kevin Frayer/Getty Images

Pusingan U secara mendadak, bagaimanapun, dibuat tanpa peruntukan sumber dan dasar untuk membantu penduduk terjejas menangani kes jangkitan yang semakin meningkat.

Sistem kesihatan negara yang kurang bersedia. Apabila virus merebak ke seluruh isi rumah, huru-hara telah meletus di hospital dan rumah pembakaran mayat, malah golongan elit China, yang terkenal dengan keistimewaan yang mereka nikmati, tidak terlepas daripada terkena tempiasnya.

Selain Yang, mereka yang telah meninggal dunia sejak beberapa minggu lalu termasuk Zhou Zhichun, bekas timbalan ketua pengarang dan naib presiden untuk China Youth Daily milik kerajaan; ahli politik Zhi Zhihong, yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Wilayah Jiangxi bagi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China; Pelakon Opera Peking berusia 39 tahun Chu Lanlan; Ahli ekonomi Marxis Hu Jun; bekas naib pengarah Suruhanjaya Sukan Negara Liu Ji; pereka maskot dari Sukan Olimpik Beijing 2008, Wu Guanying; serta berpuluh-puluh profesor terkenal di dua institusi akademik paling berprestij di China, Universiti Peking dan Universiti Tsinghua.

Beberapa pakar kesihatan terkemuka juga telah meninggal dunia, termasuk Nan Dengkun, yang dipuji sebagai perintis industri pemulihan perubatan China, dan saintis farmaseutikal terkemuka Wei Shuli.

Gambar STF/AFP /Getty Images

Angka rasmi merupakan kenyataan tidak benar

Walaupun terdapat peningkatan dalam obituari individu terkemuka yang muncul di media kerajaan, beberapa butiran disebutkan tentang punca kematian mereka.

Rejim China telah beralih kepada buku permainannya yang sudah usang mengenai angka jangkitan dan kematian COVID-19 yang sangat kurang dalam usaha untuk mengurangkan berita yang mencemarkan imej PKC. 

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan setakat ini hanya mengira segelintir kematian COVID-19, sembilan sahaja dalam tempoh tiga minggu. Hanya pesakit yang meninggal dunia akibat radang paru-paru akibat COVID-19 dan kegagalan pernafasan dimasukkan dalam angka ini. Mereka yang mempunyai punca kematian selain daripada itu adalah tidak dikira.

Tetapi mengambil kira keadaan di lapangan memberikan gambaran yang jauh lebih menggerunkan.

Rumah pengebumian di seluruh negara berjalan sepanjang masa untuk pembakaran mayat, dan pihak berkuasa kesihatan menggalakkan pengamal perubatan yang telah bersara sejak lima tahun lalu untuk menyertai semula tenaga kerja bagi mengatasi kekurangan kakitangan. 

Ramai kakitangan perubatan yang bertugas dijangkiti COVID-19. Seorang pakar bedah hospital terkemuka di Beijing memberitahu media China bahawa sekitar 70 peratus petugas kesihatan di unitnya telah jatuh sakit, termasuk dirinya sendiri, tetapi mereka terpaksa terus bekerja.

Firma penyelidikan kesihatan Arifinity yang berpangkalan di London, menganggarkan lebih 5,000 orang berkemungkinan meninggal dunia setiap hari akibat COVID-19, berdasarkan model yang diperolehi daripada data di China.

Pengiraan rasmi dari China terbukti sebagai panduan yang tidak boleh dipercayai sehinggakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebuah badan yang biasanya menahan diri daripada mengecam secara langsung rejim itu kerana kekurangan ketelusan menangani wabak, mula mendedahkan keraguan mereka.

“Di China, apa yang dilaporkan adalah bilangan kes yang agak rendah di ICU, tetapi secara anekdot ICU sedang dipenuhi,” Pengarah Program Kecemasan Kesihatan WHO Mike Ryan memberitahu pemberita pada 21 Disember.

“Saya tidak mahu mengatakan China secara aktif tidak memberitahu kami apa yang sedang berlaku. Saya fikir mereka berada di belakang lengkung,” tambahnya.

Gambar STF/AFP/Getty Images

Pembalasan

Heng He, seorang penganalisis hal ehwal China, melihat unsur metafizikal di sebalik lonjakan COVID-19 semasa. Walaupun jumlah sebenar wabak itu tidak diketahui, bilangan elit China yang terjejas adalah ketara, katanya.

Ramai daripada mereka telah menjadi pemain teras dalam struktur kuasa rejim dan begitu komited dalam diri mereka untuk menjadi ahli propaganda yang menyemarakkan imej PKC.

“Mungkin anda fikir ia bukan masalah besar, tetapi PKC adalah sindiket jenayah,” katanya kepada The Epoch Times, sambil menambah peningkatan kes baru-baru ini sepatutnya membuatkan rakyat mempertimbangkan semula hubungan mereka dengan rejim. “Mengikat nyawa seseorang dengan nasib Parti tidak akan membawa kebaikan kepada anda.”

Idea bahawa “anda menuai apa yang anda tabur,” katanya, telah berakar umbi dalam fikiran orang China sejak berzaman dahulu.

“Kepercayaan popular di China ialah perbuatan baik akan mendapat balasan yang baik dan sebaliknya, dan anda boleh melihat pembalasan itu dalam hayat kehidupan seseorang,” kata Heng.

“Itulah sebabnya orang Cina sentiasa memberi amaran agar tidak membantu sesiapa dengan perbuatan yang salah—terutamanya bab penganiayaan agama dan kepercayaan.”

Heng merujuk kepada kempen penindasan kejam rejim yang menyasarkan Falun Gong dan kepercayaan lain.

“Dalam erti kata lain, seseorang mungkin mempertimbangkan hal pembalasan ini,” katanya.

Konsep itu digambarkan dalam artikel Mac 2020 oleh Li Hongzhi, pengasas disiplin kerohanian Falun Gong.

“Tetapi pandemik seperti Virus PKC semasa (atau ‘Virus Wuhan’) datang dengan tujuan di sebaliknya, dan ia mempunyai sasaran. Ia berada di sini untuk menyingkirkan ahli-ahli Parti dan mereka yang berpihak kepadanya,” tulis Li.

“Jika ada yang ragu-ragu mengenai perkara ini, lihat sahaja negara atau orang mana yang paling teruk dilanda virus itu: mereka yang telah rapat dengan PKC. Lalu apa yang harus dilakukan oleh rakyat? Rakyat harus menjauhkan diri mereka daripada PKC dan berhenti berpihak kepada Parti.”

Gambar oleh NOEL CELIS/AFP/Getty Images

Elit dibiar tanpa pertahanan

Elit atasan PKC, yang sebahagian besarnya berjaya melindungi diri mereka daripada kesan kerosakan perintah berkurung sejak beberapa tahun lalu, mendapati diri mereka secara tiba-tiba terdedah dalam gelombang terkini.

Satu akaun di Weibo yang telah dikenal pasti sebagai milik isteri Zhao Lijian, jurucakap kementerian luar negeri yang terkenal dengan retorik hawkish dan menyebarkan maklumat salah mengenai virus—termasuk maklumat palsu mengenai virus itu dibawa masuk ke Wuhan oleh Tentera Amerika Syarikat—baru-baru ini mengadu bahawa dia tidak berjaya mendapatkan sebarang ubat antivirus, ubat antiradang atau ubat selsema.

“Berapa hari awak akan demam sehingga sembuh?” dia menulis, tanpa dikenal pasti siapa yang dia maksudkan, menurut tangkap skrin siaran yang dipadamkan. “Ke mana perginya semua ubat ini?”

Dia kemudian menambah mereka menggunakan batang popsikel untuk menurunkan suhu badan.

Gambar STF/AFP/Getty Images

Ahli ekonomi dan nasionalis Hu Angang, pengarah Pusat Kajian dan Pengajian China, yang menasihati kepimpinan komunis, baru-baru ini kehilangan bapa mertuanya akibat radang paru-paru yang disebabkan oleh COVID-19. 

Keluarga itu tidak dapat menghubungi talian perubatan selama sejam, dan kemudian terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan ambulans, menurut hantaran yang dipetik secara meluas daripada Mei Xinyu, seorang penganalisis kanan di Institut Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi di Kementerian Perdagangan China.

“Lelaki tua itu adalah ahli kanan Parti yang telah menerima pingat dari negara, tetapi hanya boleh menunggu untuk pembakaran mayat di rumah mayat hospital,” tulis Mei pada 21 Disember sambil menambah Rumah Pengebumian Babaoshan Beijing, di mana mayatnya akan dihantar, telah membakar kira-kira 200 hingga 300 mayat setiap hari. “Tiada tempat hari ini.”

Pilihan Editor: