Antara perkara yang mengujakan setiap kali menjelmanya apa-apa perayaan di Malaysia ialah keindahan hiasan yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun nampaknya kali ini, gabungan hiasan dua perayaan utama di sebuah pasar raya jadi bualan netizen!

Seperti kebanyakan pusat beli-belah di Malaysia, Pusat Beli-Belah Suria Sabah turut mengambil peluang menghias premis mereka sempena perayaan Krismas. Melalui laman Facebook, pihak pengurusan memuat naik beberapa keping gambar hiasan dalaman premis tersebut.
Namun yang menjadi kelainan adalah apabila Pusat Beli-Belah Suria Sabah turut menyelitkan hiasan Tahun Baru Cina memandangkan perayaan tersebut akan tiba tidak lama lagi.

Seperti kapsyen yang ditulis oleh pihak mereka, “Dua sambutan, satu mesej: semoga musim cuti anda dipenuhi dengan kasih sayang, tawa riang dan kegembiraan”, hiasan kedua-dua perayaan utama itu dapat dilihat di sana.

Pengunjung pusat beli-belah turut dilihat mengambil kesempatan merakam memori berlatarbelakangkan hiasan yang tersergam indah itu.

Hiasan tersebut mendapat pelbagai maklum balas dari warga siber. Ada yang menyokong dan ada yang melahirkan rasa kecewa.

Tinjauan di ruang komen menyaksikan warga siber yang kecewa berpendapat Pusat Beli-Belah Suria Sabah tidak seharusnya melebihkan hiasan Tahun Baru Cina sedangkan perayaan Krismas yang akan disambut dahulu.
Ini kerana keketaraan penggunaan warna merah di sana sini memperlihatkan sambutan Tahun Baru Cina seperti mendominasi premis tersebut. Tambahan pula, hiasan perayaan Tahun Baru Cina dilihat lebih banyak dan terserlah berbanding hiasan perayaan Krismas.

Terdapat juga netizen yang melahirkan rasa keliru dan tertanya-tanya sama ada mereka meraikan Krismas atau Tahun Baru Cina terlebih dahulu pada waktu ini.
Bagi warga siber yang menyokong pula, mereka melihat gabungan hiasan dua perayaan utama ini sangat menarik.

Ada juga di antara mereka yang bergurau dengan mengatakan, “Santa Claus sebenarnya menyamar menjadi Dewa Kekayaan”.
Jadi, bagaimana dengan pendapat anda pula? Adakah anda menyukai konsep hiasan yang ditampilkan oleh pusat beli-belah ini atau tidak?
Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru.
Pilihan Editor: