27.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 16, 2025
Utama Blog Laman 105

Cikgu ini amat disayangi semua anak murid, salam peluk cium macam ibu sendiri

0

Peranan guru adalah penting dalam membentuk generasi masa hadapan kerana seorang guru berkewajiban mendidik anak bangsa menjadi insan berguna yang mampu memberi jasa bakti kepada masyarakat.

Prinsip ini dipegang Gaithiry Chandra Segaran, 28 tahun, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, Kuala Lumpur dan sudah berkhidmat di sekolah berkenaan selama hampir tiga tahun.

Gambar mStar

Melalui satu video tular di TikTok, Gaithiry dilihat dikerumuni anak muridnya yang mahu bersalaman dan memeluk cium, malahan ada yang bergurau dengan ‘cekik mesra’ sehingga ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia hubungan anak murid-guru yang akrab ini.

“Sebagai seorang guru, hubungan dua hala antara anak murid dengan kita sangat penting. Kita tak boleh biar hanya guru sahaja yang bercakap dan anak murid kena mendengar sepanjang masa.

Instagram

“Kalau nak jadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu menarik, pertama sekali kita kena pastikan anak murid itu selesa untuk berbual dengan kita.

“Sejak kecil lagi cita-cita saya memang hendak  jadi seorang guru, saya suka kerjaya ini dan sayang anak murid saya,” kata Gaithiry kepada mStar.

Instagram

Gaithiry yang merupakan guru kelas tahun satu memberitahu beliau perlu belajar untuk mendekati anak muridnya memandangkan mereka masih baharu di alam persekolahan.

“Saya dipertanggungjawabkan mengajar empat kelas untuk subjek Bahasa Melayu dan Matematik dengan setiap bilik darjah ada 40 lebih anak murid.

“Jadi apabila kita mengajar murid umur tujuh tahun ni, kita kena tahu macam mana nak tangani dan berkomunikasi dengan mereka.

“Saya cuba kenali mereka dengan lebih dekat, maka dari situ kita boleh jadi rapat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” kata Gaithiry yang merupakan guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Ulu Kinta, Perak.

Instagram

Guru ini memuji kesemua anak muridnya yang sentiasa berkelakuan baik.

“Saya memang kagum melihat anak murid saya, mereka ini walaupun umur baru tujuh tahun tapi sudah tahu macam mana nak menghormati cikgu-cikgu dan orang yang lebih tua dari mereka.

“Saya tak boleh cari apa-apa kelemahan dalam diri mereka. Mereka dengar apa yang kita cakap. Tak melawan. Dari segi sikap memang A+.

“Tapi seperti biasa la… sebab mereka masih kanak-kanak, ada juga kenakalan tu dan ada yang manja.

“Kita sebagai seorang guru kena tahu macam mana hendak kawal mereka dengan cara yang sepatutnya,” ujar Gaithiry.

Menyentuh mengenai kaedah pengajaran pula, Gaithiry berkata perkara paling utama baginya adalah untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang menyeronokkan.

Instagram

“Dalam kelas saya ni ada berpuluh-puluh murid, ada yang diakui bijak, cepat tangkap apa yang diajar dan ada juga yang memerlukan perhatian lebih daripada guru.

“Tapi pokok pangkalnya, kita sebagai guru kena cuba untuk tarik minat murid dalam kelas itu, jadikan suasana seronok. Bila kita dah dapat tangkap mereka punya perhatian, barulah mereka akan fokus.

“Contohnya untuk subjek Matematik, murid pun tahu subjek ini bosan dan susah. Jadi saya sebagai seorang guru kena ada daya usaha, bukan hanya masuk kelas, bawa ‘marker’ dan menulis di papan putih

“Sebab itu dalam video TikTok boleh tengok saya bawa bahan bantu mengajar dalam kelas untuk berinteraksi dengan murid. Saya akan buat aktiviti supaya minda mereka berada dalam kelas itu,” terang Gaithiry.

Gaithiry juga sedar disebabkan usahanya untuk mendekati anak murid, dia kini mendapat tempat istimewa di hati mereka.

Instagram

“Saya sebagai seorang India memang kagum bila anak murid semua datang berebut untuk bersalam dengan saya, rasa macam persekitaran baru.

“Yang paling teruja bila dekat mana pun anak murid jumpa saya, mereka akan datang hendak peluk saya. Sampai guru-guru lain pun ada yang cemburu.

“Mereka bertanya mengapa anak murid ni semua asyik nak peluk Cikgu Gaya je. Perkara macam ni la yang buatkan saya semangat datang sekolah mengajar,” kata Gaithiry.

Walaupun begitu, Gaithiry tidak menafikan video tular yang dikongsikannya mendapat kecaman sesetengah warga maya kerana dikatakan mendedahkan wajah anak muridnya.

“Jadi saya nak beritahu kepada mereka di luar sana, ibu bapa anak murid memang benarkan saya untuk buat video macam itu walaupun nampak wajah anak mereka.

Instagram

“Mereka sangat menyokong. Dulu video saya pun ada masuk ‘for you page’ (fyp), ibu bapa cakap ia okay kalau video itu berniat baik. Lain la kalau video itu saya pukul anak orang ke dan sebagainya.

“Pihak ibu bapa pun tak ada masalah dengan perkara ini. Jadi sepatutnya tiada isu juga tentang video ini. Video itu cuma menunjukkan anak murid memberikan kasih sayang kepada gurunya.

“Tujuan saya muat naik video dekat TikTok tu pun sebab nak dijadikan sebagai inspirasi kepada yang lain. Jadikan pembakar semangat kepada mereka. Supaya jangan takut untuk menceburi bidang perguruan,” kata Cikgu Gaithiry kesayangan semua anak murid ini.

Pilihan Editor:

Bunuh ngeri model Abby Choi kerana pertikaian wang, tiga tangkapan dilakukan polis Hong Kong

0

Polis Hong Kong telah membuat tiga tangkapan kerana membunuh dan mengerat model berusia 28 tahun selepas pertikaian kewangan dengan keluarga bekas suaminya, kata pihak berkuasa pada Sabtu, 25 Februari.

Sebahagian mayat pempengaruh terkenal Abby Choi, yang minggu lalu muncul di muka depan majalah fesyen digital L’Officiel Monaco, ditemui di sebuah rumah kampung yang didirikan sebagai tapak penyembelihan, kata polis.

“Kami masih mencari kepala,” kata Penguasa Alan Chung kepada media, selepas mendedahkan bahawa anggota badan seorang wanita telah ditemui di dalam peti sejuk.

Tangkap Skrin Instagram Abby Choi

Rumah itu dilengkapi dengan gergaji elektrik dan pengisar daging yang telah digunakan untuk mengisar daging manusia, kata Chung.

“Dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia” ditinggalkan di tempat kejadian, tambahnya.

Bapa, ibu dan abang kepada bekas suami Choi, yang masih bebas telah ditangkap dan akan menghadapi tuduhan membunuh, tambahnya.

“Kami percaya mangsa dan keluarga bekas suaminya mempunyai banyak pertikaian kewangan melibatkan jumlah yang besar.

“Seseorang tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengendalikan asetnya, yang menjadi motif untuk pembunuhan,” kata Chung.

The Star/Facebook

Choi pertama kali dilaporkan hilang pada hari Rabu, 22 Februari.

Dia didakwa kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga bekerja sebagai pemandunya. Polis berkata, keluarga itu sebelum ini berbohong untuk mengelirukan penyiasat.

Rumah kampung itu telah disewa baru-baru ini dan tidak dilengkapi perabot, yang menguatkan motif bahawa ia dibina bagi tujuan membuang dan melupuskan mayat Choi, tambah Penguasa Alan Chung.

Pilihan Editor:

Pasangan pengantin baru terima kejutan seumur hidup bila Agong perkenan bertemu mereka sebagai tetamu istimewa

0

Pasangan pengantin baru sudah pasti dilayan bagai raja sehari dalam majlis perkahwinan mereka, tetapi bagaimana jika Raja sebenar, Ketua Utama Negara secara kebetulan berada dalam majlis itu?

Pengantin baru Dakshayni Kumaresan dan suaminya mendapati diri berada dalam situasi bagai tidak percaya pada ketika mereka menuju ke dewan besar di Shangri-la KL untuk majlis resepsi perkahwinan.

@nextchapter_my/Instagram

Lengkap cantik berpakaian pengantin, pasangan itu sedang dalam perjalanan memasuki ‘grand ballroom’ apabila jurugambar pengantin, Andy menghalang mereka.

Secara kebetulan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berada di hotel ketika itu dan telah berkenan bertemu dengan Dakshayni dan suaminya.

@nextchapter_my/Instagram

“Baginda melihat motosikal Harley Davidson yang ayah dan bapa saudara saya sediakan untuk majlis perkahwinan dan kakitangan hotel telah menjelaskan kepadanya bahawa ia adalah untuk perkahwinan kami,” kata Dakshayni kepada media tentang bagaimana pertemuan itu berlaku tanpa dirancang.

@nextchapter_my/Instagram

Menurut Dakshayni, dia dan suaminya, Sangharganesh Palanivelloo sempat berbual mesra dengan Seri Paduka Baginda, puteranya, Putera Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan puterinya, Tengku Puteri Iman Afzan.

@nextchapter_my/Instagram

“Mereka bertanya tentang umur kami, pekerjaan kami dan dari mana kami berasal. Mereka juga berjabat tangan dan mengucapkan tahniah atas perkahwinan kami,” Dakshayni mengimbas kembali, sambil menambah Agong dan anak-anaknya sangat mesra, mengambil berat dan peramah.

“Kami berasa sangat gembira dan bertuah. Saya mempunyai ‘butterfly in the stomach’. Kami tidak dapat menahan rasa gementar apabila mendengar Agong perkenan bertemu kami. Ia adalah hadiah paling istimewa yang berlaku pada hari perkahwinan kami,” katanya.

@nextchapter_my/Instagram

Selepas Agong beredar, pembantunya menghampiri kakak Dakshayni untuk bertanyakan nama dan nombor telefon mereka. Agong telah menghantar hadiah perkahwinan buat pasangan pengantin baru yang bertuah ini.

“Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya tak boleh ‘move on’,” kata Dakshayni kepada mStar.

Pilihan Editor:

Maklum penyakit arwah adik Zarif tidak boleh diubati, petugas hospital sebak beri pelukan terakhir buatnya

0

Seorang ibu bernama Anna baru-baru ini berkongsi kenangan di laman Instagram yang memaparkan hari-hari terakhir bersama arwah anaknya, Zarif yang meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. 

Dalam paparan video yang amat menyedihkan, jururawat di Hospital Tuanku Azizah di Kuala Lumpur dilihat menangis dan memeluk Allahyarham Zarif sebelum mengucapkan selamat tinggal kepadanya selepas keluar dari hospital.

Instagram

Mereka telah sedia maklum bahawa penyakit arwah tidak boleh dirawat dan tiada lagi ubat tertinggal yang boleh membantu. Anna membawa anak lelakinya pulang dan 9 hari kemudian, Zarif meninggal dunia.

Bermula hampir 3 tahun lalu pada Mei 2020, Anna memutuskan untuk berkongsi hantaran perjalanan getir arwah anaknya berjuang melawan penyakit, tetapi kali ini beliau memberi dedikasi khas kepada petugas barisan hadapan hospital sebagai tanda penghargaan kerana menjaga Allahyarham Zarif dengan begitu baik sekali.

Instagram

“Terima kasih jururawat yang dikasihi atas penjagaan dan kasih sayang anda terhadap Zarif,” kata Anna.

Dalam hantarannya, Anna turut memberitahu rawatan dialisis Zarif bermula pada 2018, dan anaknya perlu menjalani proses itu 3 kali seminggu. Setiap sesi akan mengambil masa kira-kira 4 jam.

Bagi seorang kanak-kanak, proses itu bukan sahaja memakan masa bahkan begitu sukar memandangkan toleransi kanak-kanak menjalani rawatan jauh lebih lemah berbanding orang dewasa.

Instagram

“Kesan sampingannya seperti sakit kepala, muntah, kejang perut dan kaki dengan Zarif perlu dipantau secara teliti semasa proses itu,” jelas Anna.

Ibu cekal ini menambah jururawat di hospital itu juga telah menjadi sebahagian daripada keluarga Zarif, dan ia bukan sahaja kerana kemahiran dan kesabaran mereka melayan arwah bahkan jumlah masa yang dihabiskan bersama anak syurga ini.

Anna memaklumkan arwah anaknya disahkan menghidap PUV (Posterior Urethral Valve), dan penyakit itu dikesan sejak Zarif masih dalam kandungan.

PUV adalah panyakit yang menganggu saluran keluar air kencing Zarif. Air kencing akan berpatah balik dari pundi kencing ke salur ureter dan buah pinggangnya dan ia menyebabkan buah pinggang membengkak lalu menyebabkan kerosakan kepada buah pinggangnya,” jelas Anna.

Instagram

Anna menambah, walaupun dengan proses pembedahan pembetulan, kerosakan pada buah pinggang tidak dapat dipulihkan, dan arwah mempunyai fungsi buah pinggang 70:30. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Zarif berumur 10 tahun, dan arwah dimasukkan ke ICU selepas rebah pada 31 Disember 2017.

Salam takziah buat Anna sekeluarga dan terima kasih kepada para petugas hospital yang telah bertungkus lumus menjaga Allahyarham adik Zarif dengan terbaik di sepanjang 12 tahun hayatnya.

Pilihan Editor:

Lato-Lato sebabkan cermin keretanya pecah, wanita rayu permainan ini diharamkan terus

0

Hari ini, permainan yang hangat diperkatakan di kalangan masyarakat adalah Lato-Lato. Bukan sekadar kanak-kanak yang suka bermain lato-lato, bahkan orang dewasa juga turut serta untuk sama-sama teringin mencuba.

Walaupun begitu, masih ramai yang tidak tahu akan kesan dan bahaya permainan dengan bunyi menjengkelkan yang berasal dari Indonesia ini.

Beberapa risiko keselamatan juga perlu dihadapi semasa bermain permainan ini, menyebabkan ada negara sudah mengharamkan permainan ini berada dalam masyarakat seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Mesir.

TikTok

Baru-baru ini, tular apabila video luahan seorang wanita mengenai permainan tersebut yang telah mendapat perhatian ramai.

Beliau berasa amat kecewa apabila mendapati cermin keretanya pecah angkara permainan lato-lato.

TikTok

Wanita itu berkongsi di TikTok yang mendedahkan keadaan cermin keretanya yang dilihat pecah dan retak akibat terkena lato-lato.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas terkena permainan yang dimainkan oleh seorang kanak-kanak. 

TikTok

Pada awalnya, didapati ada dua kesan hentakan pada cermin bahagian hadapan.

Namun, selepas mencari punca apa yang menyebabkan ia berlaku, wanita ini kemudian menjumpai permainan lato-lato yang berada di bawah keretanya.

Kecewa dengan apa yang berlaku, wanita ini berharap agar permainan itu diharamkan di Malaysia kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah.

TikTok

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut meluahkan rasa marah mereka melalui komen masing-masing mengenai permainan tersebut:

“Sesiapa yang mahu larang anak-anak main lato-lato, kita kumpul, stres betul bunyi dia..”

“Pergi ke laut hendak tenangkan fikiran, datang budak-budak main lato-lato tidak berhenti..”

“Rimas bunyi lato-lato pergi kenduri pun bunyi lato-lato sana sini sakit kepala dengar.”

“Bunyi dia yang sangat-sangat mengganggu emosi..”

Permainan yang lebih banyak mendatangkan kerugian dan mudarat sepatutnya diharamkan.

Pilihan Editor:

Pengantin perempuan belanja RM2,800 sewa kereta kuda, penuhi impian menjadi ‘Cinderella’ semalaman

0

Ramai gadis muda berimpian untuk mengadakan perkahwinan bertema kisah dongeng, tetapi berapa ramai yang benar-benar dapat memenuhi impian itu?

Pasangan pengantin baru dari Johor ini berjaya merealisasikannya.

Gambar Sin Chew Daily

Sin Chew Daily melaporkan seorang pengantin perempuan di Kluang berjaya melakar impiannya untuk menjadi seorang puteri selama sehari dan berubah menjadi ‘Cinderella’ apabila membelanjakan RM2,800 untuk menyewa kereta kuda.

Kereta kuda itu membawa pengantin perempuan dan suaminya ke lokasi majlis perkahwinan mereka. Nampaknya, jumlah bayaran sewa RM2,800 agak berpatutan!

Gambar Sin Chew Daily

Berbanding memilih kereta perkahwinan mewah yang tipikal, pengantin perempuan membuat sedikit kajian untuk memenuhi impiannya dan akhirnya menemui gerabak yang sesuai di Melaka dan membawanya ke Kluang untuk resepsi perkahwinannya.

Pedati itu dibuat dengan besi dan dihiasi dengan bunga-bunga kecil yang cantik ala ‘pumpkin’, malahan kereta kuda itu datang dengan ‘pemandu’ untuk memimpin seekor kuda.

Gambar Sin Chew Daily

Selepas acara perkahwinan, ‘pemandu’ tersebut telah meletakkan gerabak di pintu masuk tempat resepsi perkahwinan mereka, di mana ramai tetamu dan orang awam yang lalu lalang dengan segera merebut peluang untuk bergambar di hadapan kereta kuda itu.

Gambar Sin Chew Daily

Semoga mana-mana pasangan yang berimpian mengadakan acara perkahwinan dengan tema pari-pari dan puteri raja, bolehlah buat perancangan majlis seperti ini. Sewa kereta kuda pun tidaklah mahal. 

Tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan ini.

Pilihan Editor:

“Ini untuk awak, warna rambut balik,” Agong tepuk dahi bila kena ‘prank’ dengan pak cik berambut Naruto

0

Dikenali sebagai Raja berjiwa rakyat dan sentiasa mesra, tidak hairanlah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah amat disayangi rakyat jelata.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia menemui satu lagi sebab untuk menyayangi Agong mereka apabila gelagatnya yang lucu dan comel ketika berkunjung ke Pulau Tioman mencuri perhatian ramai.

TikTok

Dalam satu rakaman video TikTok yang tular, Agong dilihat sempat bergurau senda dengan seorang pak cik yang memakai rambut palsu watak anime Naruto.

Seri Paduka Baginda pada mulanya sedang memberikan sampul hijau dan kuning yang mengandungi sumbangan kepada rakyat jelata apabila lelaki ‘berambut perang’ telah menarik perhatiannya.

TikTok

“Ini untuk awak, warna rambut balik,” gurau Baginda, dengan tidak mengetahui yang rambut perang pak cik itu sebenarnya adalah rambut palsu.

TikTok

Apabila lelaki itu mendedahkan dia sebenarnya tidak mewarnakan rambutnya yang perang, Agong terus ketawa dan bertitah, “Rambut betul ke? La, topi rupanya sayalah yang kena tipu!” 

Sambil Agong menepuk dahinya dan spontan ketawa.

TikTok

Orang ramai yang berada bersama Seri Paduka Baginda turut ketawa bersama-sama sambil menyaksikan Agong kesayangan mereka yang sempoi dan comel berinteraksi dengan pak cik berambut Naruto itu.

Akhirnya, Agong dan pak cik Naruto bergambar kenangan bersama.

TikTok

Aksi mencuit hati yang mendapat perhatian para netizen yang memuji keperibadian Seri Paduka Baginda sebagai sangat dekat di hati rakyat jelata. 

“YDPA sangat comel. Boleh bergurau dengan orang awam.” 

“Agong sempoi je..”

“Daulat Tuanku, kena ‘prank’ pula.”

Pilihan Editor:

Anak gorila yang hanya rasa selamat berada dalam dakapan penjaganya yang satu ini

0

Ikatan perhubungan kasih sayang manusia dan haiwan bukan sekadar terhad kepada haiwan peliharaan anjing dan kucing sahaja. Walaupun haiwan itu hidup di alam liar dan dianggap berbahaya tetapi mereka juga tetap boleh membina hubungan dengan manusia. 

Ini dibuktikan apabila anak gorila yang yatim piatu tidak mahu berenggang dengan penjaganya selepas diselamatkan. Contoh hubungan kasih sayang antara manusia dan haiwan liar yang tidak mengenal sempadan.

Seekor anak gorila yang dinamakan Bobga, telah dibawa ke Pusat Hidupan Liar Limbe, sebuah tempat perlindungan hidupan liar di Cameroon, Afrika ketika dia baru berusia beberapa minggu.

Facebook

Bobga kehilangan ibu dan bapa akibat pemburuan haram dan dia dijual sebagai haiwan peliharaan di pasaran gelap. 

Peluangnya untuk hidup sangat tipis, tetapi syukur, gorila kecil ini diselamatkan tepat pada masanya apabila dia dijaga oleh kakitangan di pusat perlindungan dan pemuliharaan haiwan Limbe.

Disebabkan masa silamnya yang sangat buruk, Bobga berkeras untuk tidak mempercayai manusia. 

Facebook

Namun, semuanya berubah apabila dia bertemu dengan Alvin Muma, seorang sukarelawan di Pusat Hidupan Liar Limbe. Dia tidak lama kemudian menemui cinta dalam diri Alvin dan menyedari manusia juga ada yang berhati teramat baik dan penyayang. 

Alvin tidak tahu apa-apa yang akan boleh menggantikan kasih sayang dalam sebuah keluarga gorila dengan sifat mereka, tetapi dia cuba sedaya upaya untuk membuatkan Bobga berasa selesa dan gembira.

Facebook

Hubungan kasih sayang yang erat dan manis antara kedua-duanya telah berjaya dirakam dalam beberapa siri gambar yang menyentuh hati. Laura Craddock, penyelaras Pengumpulan Dana dan Komunikasi pusat itu, mengambil gambar dan berkongsinya di platform media sosial. 

Dalam beberapa gambar, Bobga boleh dilihat memeluk Alvin sambil berasa amat selesa tidur dalam pelukannya. Momen ini mencairkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Facebook

“Adalah penting buat seekor gorila yatim piatu, seperti Bobga, untuk berasa selamat dan terjamin dalam dakapan penjaganya dan gambar-gambar ini merakam detik-detik belaian kasih sayang yang manis dan lembut antara Bobga dengan salah seorang penjaganya yang berdedikasi, Alvin,” kata Craddock.

“Mencari makan, bermain, mempelajari kemahiran sosial, merangsang rasa ingin tahu, memanjat dan belajar dandanan kesemuanya adalah elemen penting dalam pemulihannya,” jelasnya.

Facebook

Tambah Craddock, “Kami menyediakan peluang kedua kepada haiwan yang tidak berdaya ini, mendidik masyarakat setempat tentang perlindungan alam sekitar dan menyediakan pekerjaan alternatif kepada komuniti bekas pemburu. Momen kelembutan perhubungan istimewa antara Bobga dengan salah seorang penjaganya yang berdedikasi.”

Ikatan perhubungan manusia-haiwan liar yang sangat comel dan menyentuh hati.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Ratusan burung hitam berkepala kuning tiba-tiba rebah dari langit timbulkan persoalan misteri

0

Ratusan ekor burung hitam berkepala kuning dilaporkan tiba-tiba rebah dari langit dalam kejadian di Chihuahua, Mexico pada 7 Februari lalu.

CBS News melaporkan kejadian aneh berkenaan berlaku kira-kira pukul 5 pagi melibatkan sekumpulan burung yang sedang berhijrah ke Mexico dari utara Kanada.

Twitter

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan sekumpulan ratusan burung berwarna hitam tiba-tiba jatuh ke atas sebuah rumah.

Media tempatan, Reporte Cuauhtémoc melaporkan pakar pada awalnya percaya burung-burung itu mungkin mati disebabkan terhidu asap toksik.

Mereka juga menyangka kawanan burung berkenaan mungkin mati akibat terkena kabel janakuasa elektrik sekaligus terkena renjatan.

Tetapi difahamkan misteri terus menyelubungi fenomema aneh tersebut, malah ada pakar cuba mencadangkan pelbagai penjelasan dengan apa yang telah berlaku.

Twitter

Pada 9 Februari, stesen radio tempatan La Ranchera de Cuauhtémoc berkata beberapa pakar percaya burung-burung itu jatuh kerana telah hilang kestabilan.

Ia didakwa hilang kestabilan ketika sedang terbang secara tiba-tiba sebelum bertembung antara satu sama lain dan terjatuh ke tanah serta-merta.

Bagaimanapun ada pakar lain berpendapat kumpulan burung itu tiba-tiba rebah disebabkan faktor ancaman daripada haiwan pemangsa lain atau burung pemangsa lebih besar.

Seorang pakar ekologi, Richard Broughton berkata burung-burung itu tiba-tiba terjatuh mungkin dipercayai berpunca daripada ancaman burung pemangsa.

Twitter

Teori itu disokong dengan hujah iaitu burung pemangsa biasanya akan membentuk satu gerakan pusaran yang mencengkam sebelum menghalau mangsanya ke tanah.

Menyebabkan burung-burung yang berada di kawasan rendah akan hilang arah dan terus terhempas ke tanah.

“Ini kelihatan seperti burung pemangsa misalnya peregrine atau helang telah mengejar kawanan burung jalak sehingga menyebabkan ia terpaksa terbang ke kawasan yang lebih rendah sehingga terhempas.

“Anda boleh melihat mereka bertindak seperti gelombang pada mulanya dan seolah-olah disiram dari atas (pergerakan burung jatuh dari langit),” jelasnya.

Facebook

Walaupun kejadian itu dianggap pelik namun difahamkan ia bukanlah kali pertama pernah berlaku.

Kejadian hampir serupa melibatkan kira-kira 200 ekor burung jatuh dari langit di Pembrokeshire, Wales pada tahun lalu.

Kejadian misteri itu sempat disaksikan oleh seorang lelaki yang bekerja di kawasan berhampiran.

Dia mendakwa terdengar bunyi seperti dentuman yang kuat apabila melihat sekumpulan burung mendarat di atas keretanya secara tiba-tiba.

Facebook

“Ia seperti terdapat ratusan burung di langit dan tiba-tiba ia jatuh ke tanah. Ia bukanlah sesuatu yang pernah saya alami sebelumnya,” jelasnya.

Malah, situasi sama berlaku di Delta, British Columbia, pada 2018 apabila kira-kira 200 anak burung jatuh ke tanah.

Perkhidmatan Hidupan Liar Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Kanada berkata kumpulan burung itu dikejar oleh seekor burung lebih besar sehingga menyebabkan 42 ekor daripadanya terbunuh.

Pilihan Editor:

Obor-obor beracun Portuguese Man o’War dikesan di pantai Terengganu, pengunjung diberi amaran tidak menyentuh

0

Tidak semua hidupan laut yang berwarna-warni dan cantik selamat untuk didekati atau boleh disentuh dengan sesuka hati.

Baru-baru ini, laman Facebook Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan memberi amaran kepada orang ramai khususnya pengunjung pantai tentang kehadiran obor-obor beracun Portuguese Man o’War di pantai Bukit Keluang di Besut, Terengganu.

Facebook

“Portuguese Man o’War (Physalia physalis) atau Obor-obor api beracun telah ditemui terdampar di sepanjang pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu. Diharap semua pengunjung dapat memberi kerjasama untuk berhati-hati dan tidak menyentuh obor-obor beracun ini,” tulis mereka.

Walaupun obor-obor ini jarang membawa maut kepada manusia, adalah tidak digalakkan untuk pengunjung pantai itu menyentuhnya kerana sengatannya amat menyakitkan dan berbisa walaupun haiwan itu sudah mati.

Facebook

“Sesungutnya yang panjang memberikan sengatan yang menyakitkan, yang berbisa dan cukup kuat untuk membunuh ikan atau, jarang sekali, manusia.”

“Berbeza dengan penampilannya, Portuguese Man o’War bukanlah obor-obor sebenar tetapi sejenis siphonophore, yang sebenarnya bukan satu organisma multiselular tunggal (obor-obor sebenar adalah organisma tunggal), tetapi organisma kolonial yang terdiri daripada haiwan individu khusus (daripada yang sama spesies) dikenali zooid atau polip,” tambah mereka dalam hantaran itu.

Facebook

Walaupun obor-obor yang berwarna biru cantik ini hanya terdampar atau sudah mati di pantai, tidak bermakna ia tidak boleh menyengat.

Facebook

Sebelum ini, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melaporkan menemui obor-obor beracun berkenaan di pantai Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Facebook

Saiz haiwan tersebut yang kecil dan lutsinar membuatkannya sukar untuk dilihat dan ia boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kehadirannya di pantai.

Pengunjung pantai berkenaan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati.