Hari ini, permainan yang hangat diperkatakan di kalangan masyarakat adalah Lato-Lato. Bukan sekadar kanak-kanak yang suka bermain lato-lato, bahkan orang dewasa juga turut serta untuk sama-sama teringin mencuba.
Walaupun begitu, masih ramai yang tidak tahu akan kesan dan bahaya permainan dengan bunyi menjengkelkan yang berasal dari Indonesia ini.
Beberapa risiko keselamatan juga perlu dihadapi semasa bermain permainan ini, menyebabkan ada negara sudah mengharamkan permainan ini berada dalam masyarakat seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Mesir.
Baru-baru ini, tular apabila video luahan seorang wanita mengenai permainan tersebut yang telah mendapat perhatian ramai.
Beliau berasa amat kecewa apabila mendapati cermin keretanya pecah angkara permainan lato-lato.
Wanita itu berkongsi di TikTok yang mendedahkan keadaan cermin keretanya yang dilihat pecah dan retak akibat terkena lato-lato.
Difahamkan, insiden itu berlaku selepas terkena permainan yang dimainkan oleh seorang kanak-kanak.
Pada awalnya, didapati ada dua kesan hentakan pada cermin bahagian hadapan.
Namun, selepas mencari punca apa yang menyebabkan ia berlaku, wanita ini kemudian menjumpai permainan lato-lato yang berada di bawah keretanya.
Kecewa dengan apa yang berlaku, wanita ini berharap agar permainan itu diharamkan di Malaysia kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut meluahkan rasa marah mereka melalui komen masing-masing mengenai permainan tersebut:
“Sesiapa yang mahu larang anak-anak main lato-lato, kita kumpul, stres betul bunyi dia..”
“Pergi ke laut hendak tenangkan fikiran, datang budak-budak main lato-lato tidak berhenti..”
“Rimas bunyi lato-lato pergi kenduri pun bunyi lato-lato sana sini sakit kepala dengar.”
“Bunyi dia yang sangat-sangat mengganggu emosi..”
Permainan yang lebih banyak mendatangkan kerugian dan mudarat sepatutnya diharamkan.
Pilihan Editor: