Pasangan pengantin baru sudah pasti dilayan bagai raja sehari dalam majlis perkahwinan mereka, tetapi bagaimana jika Raja sebenar, Ketua Utama Negara secara kebetulan berada dalam majlis itu?
Pengantin baru Dakshayni Kumaresan dan suaminya mendapati diri berada dalam situasi bagai tidak percaya pada ketika mereka menuju ke dewan besar di Shangri-la KL untuk majlis resepsi perkahwinan.

Lengkap cantik berpakaian pengantin, pasangan itu sedang dalam perjalanan memasuki ‘grand ballroom’ apabila jurugambar pengantin, Andy menghalang mereka.
Secara kebetulan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut berada di hotel ketika itu dan telah berkenan bertemu dengan Dakshayni dan suaminya.

“Baginda melihat motosikal Harley Davidson yang ayah dan bapa saudara saya sediakan untuk majlis perkahwinan dan kakitangan hotel telah menjelaskan kepadanya bahawa ia adalah untuk perkahwinan kami,” kata Dakshayni kepada media tentang bagaimana pertemuan itu berlaku tanpa dirancang.

Menurut Dakshayni, dia dan suaminya, Sangharganesh Palanivelloo sempat berbual mesra dengan Seri Paduka Baginda, puteranya, Putera Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan puterinya, Tengku Puteri Iman Afzan.

“Mereka bertanya tentang umur kami, pekerjaan kami dan dari mana kami berasal. Mereka juga berjabat tangan dan mengucapkan tahniah atas perkahwinan kami,” Dakshayni mengimbas kembali, sambil menambah Agong dan anak-anaknya sangat mesra, mengambil berat dan peramah.
“Kami berasa sangat gembira dan bertuah. Saya mempunyai ‘butterfly in the stomach’. Kami tidak dapat menahan rasa gementar apabila mendengar Agong perkenan bertemu kami. Ia adalah hadiah paling istimewa yang berlaku pada hari perkahwinan kami,” katanya.

Selepas Agong beredar, pembantunya menghampiri kakak Dakshayni untuk bertanyakan nama dan nombor telefon mereka. Agong telah menghantar hadiah perkahwinan buat pasangan pengantin baru yang bertuah ini.
“Satu peluang yang mungkin berlaku sekali seumur hidup. Sampai sekarang saya tak boleh ‘move on’,” kata Dakshayni kepada mStar.
Pilihan Editor: