30.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 24, 2025
Utama Blog Laman 94

Bazar Ramadan Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang lebih 47,000kg sisa makanan sehari

0

Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaporkan membuang jumlah terkumpul 47,610kg sisa makanan setiap hari akibat item atau makanan yang tidak terjual dari bazar Ramadan.

Bazar Ramadan bertanggungjawab terhadap jumlah pembaziran makanan yang banyak berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa kini, lapor New Straits Times.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib berkata kajian telah dijalankan dan keputusan menunjukkan purata 52,900kg sampah dihasilkan setiap hari, dengan 90 peratus daripadanya adalah sisa makanan.

Gambar NST Online / YouTube

Kajian itu juga menunjukkan sampah berkenaan dihasilkan oleh sejumlah 5,694 gerai makanan, dengan setiap gerai di Kuala Lumpur menjana purata 9.5kg sisa sehari, manakala di Putrajaya purata 7.3kg sisa sehari.

Jumlah sisa makanan yang dibuang dalam sehari di Wilayah Persekutuan sahaja sudah memadai untuk memberi makan kepada 39,675 orang.

“Jika kita mengira 90% daripada 52,900kg, ia adalah 47,610kg. Jika dibahagikan dengan penggunaan makanan per kapita sehari, iaitu 1.2kg, kita boleh memberi makan kepada 39,675 orang dengan jumlah sisa makanan itu,” kata Ummi kepada New Straits Times.

Ini juga bermakna menjelang akhir Ramadan, kedua-dua wilayah itu akan membazirkan anggaran 1.4 juta kilogram makanan, yang bersamaan dengan berat 1,428 Perodua Myvi.

Infografik NST

Beliau berkata 81% daripada peniaga mendakwa mereka mengitar semula baki makanan masing-masing. Bagaimanapun, tiada bukti untuk menyokong dakwaan mereka.

Ummi menambah, hanya 16% peniaga mendakwa mampu menjual bersih kesemua makanan mereka.

Ummi menyifatkan pembaziran makanan itu berpunca daripada kurangnya perancangan daripada para peniaga, lantas menggesa semua pemilik gerai menyediakan jumlah makanan yang bersesuaian dengan saiz pelanggan yang datang.

Gambar NST

“Pada masa awal, mereka perlu melihat trend (jumlah pelanggan setiap jam),” kata pengarah itu.

“Jika perniagaan agak perlahan pada hari bekerja, contohnya, mereka boleh mengurangkan jumlah makanan yang mereka jual.”

Ummi menyarankan tindakan membungkus terlebih dahulu jumlah makanan yang ditetapkan menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan, kerana ia memaksa pelanggan membeli lebih daripada apa yang mereka boleh makan.

Gambar Mashable.com

“Anda tidak boleh beli dua kuih, kena beli lima (satu jenis). Kita nak cuba dua jenis kuih, tapi tak boleh, jadi kalau beli dua jenis kuih, kita tak boleh habiskan,” jelasnya.

Ummi memberitahu beliau telah cuba meminta seorang peniaga untuk menjual separuh daripada bahagian yang mereka tawarkan, tetapi mereka tidak membenarkannya. Beliau percaya itu adalah salah satu sikap yang tidak baik dalam perniagaan.

Ummi juga menyarankan agar semua pelanggan membawa beg dan bekas makanan sendiri yang boleh diguna semula bagi membantu mengurangkan sisa plastik.

Pilihan Editor:

Niat niaga untuk melakukan amal jariah, wanita ini kekal harga 10 sen untuk sebiji kuih sejak 20 tahun lalu

0

Pada masa ini, dengan kenaikan harga bahan mentah yang semakin meruncing dari tahun ke tahun, tidak dapat dinafikan majoriti daripada para peniaga terpaksa memutuskan untuk menaikkan harga jualan makanan untuk menampung kos bahan mentah, kos gaji pekerja, kos pengangkutan dan sebagainya.

Kosmo!

Walau bagaimanapun, bagi Roslina Saad yang berumur 54 tahun yang berniaga aneka kuih-muih di Felda Lubuk Merbau, Kedah, dia mengekalkan harga kuih-muih pada RM0.10 untuk sebiji kuih di gerai jualannya, Cucoq Sekupang.

Berdasarkan laporan oleh Kosmo!, Roslina memutuskan untuk tidak menaikkan harga kuih yang dijual sejak 20 tahun yang lalu kerana niatnya untuk melakukan amal jariah serta membantu orang ramai.

Astro Awani/YouTube

Walaupun turut mengakui tentang kos bahan mentah semakin meningkat pada masa ini, tetapi menurut Roslina, dia masih boleh mendapat keuntungan selepas menolak semua kos-kos kerana kuih-muih yang dijualnya dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.

Oleh kerana jualan kuih-muihnya yang murah, Roslina menyatakan bahawa dia boleh menghabiskan semua bahan jualan dalam masa kurang dari dua jam walaupun jumlah kuih yang dijual pada setiap hari boleh mencecah sehingga 5,000 biji.

Astro Awani/YouTube

Selain itu, Roslina turut berkongsi rasa gembiranya kerana dengan jualan harga yang rendah sebegitu, para pelanggannya boleh menikmati bermacam jenis kuih campuran walaupun hanya membayar sebanyak RM1.00 sahaja.

“Kalau beli kuih RM1, pelanggan sudah boleh dapat 10 biji kuih yang boleh dicampur,” katanya.

Memang sukar sekali untuk menemui peniaga yang mempunyai niat semurni Roslina. Dalam berniaga, dia tetap tidak mementingkan keuntungan semata-mata, malah melakukan lebih lagi untuk manfaat orang sekelilingnya. 

Pilihan Editor:

Seorang lelaki yang bermain sorok-menyorok dengan gajah liar ini buat ramai warganet teruja dan terhibur

0

Kebiasaannya, kita hanya mendengar tentang berita-berita berkaitan gajah liar yang sering mengganas, menyerang perkampungan, ‘menyerang’ kawasan perumahan akibat kawasan hutan yang semkain berkurangan dan sebagainya. Tetapi, jarang sekali kita mendengar kisah tentang haiwan ini yang boleh bergurau-senda dengan manusia.

@muhamadshaadi

Baru-baru ini, tular di laman sosial apabila @muhamadshaadi telah memuatnaik beberapa buah video yang menunjukkan seekor gajah liar yang cuba untuk bergurau dan bermain sorok-menyorok dengannhya di tapak kerjanya di Banding, Perak.

@muhamadshaadi

Dalam video pertama yang dimuatnaik pada 28 Mac lalu, dapat dilihat bahawa seekor gajah liar telah datang ke tapak kerjanya yang mempunyai puluhan tangki oksigen.

Yang menariknya, dapat disaksikan bahawa gajah tersebut terus-terus mengundur untuk memberi masa kepada @muhamadshaadi untuk mencarinya sebelum gajah itu berlari-lari anak untuk mencari @muhamadshaadi semula apabila dia mula menyorok di sebalik tangki oksigen yang tinggi. 

@muhamadshaadi

Mereka kemudiannya dilihat melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali sehingga pada satu saat, dapat didengari bahawa gajah itu mengeluarkan bunyi seakan-akan sedang ketawa dengan ‘permainan’ mereka berdua itu.

Seronok betul nampaknya mereka bermain!

Menerusi satu video yang berlainan, rakan @muhamadshaadi yang dilihat merakam kehadiran gajah yang sama ke tapak kerja mereka menunjukkan bahawa besar kemungkinan gajah itu datang semula ke tapak itu untuk mencari dan bermain dengan @muhamadshaadi. 

Sebaik sahaja melihat kelibat @muhamadshaadi dan disapa dengan “hai!” oleh @muhamadshaadi, gajah itu dilihat mengundur semula di sebalik tangki oksigen dan apabila lelaki tu mendekat, gajah itu mula berlakon seperti mahu mengejarnya.

Comel betul!

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video yang pertama telahpun menarik sehingga lebih dari 695,100 tontonan, lebih dari 32,500 sukaan dan 632 komen dari para warganet yang jelas sangat terhibur dengan gelagat dua sahabat baru ini.

@muhamadshaadi

Walaupun gajah yang seekor ini telihat jinak, namun jika anda terserempak dengan haiwan-haiwan liar sebegini, anda dinasihatkan untuk terus menyelamatkan diri dan tidak bergurau dengan mereka begini ya. Utamakan keselamatan!

Pilihan Editor:

Pakar beri amaran Malaysia perlu pertingkat siap siaga hadapi kemungkinan gempa bumi

0

Pakar memberi amaran kepada Malaysia agar meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana gempa bumi, berikutan beberapa siri gempa besar yang berlaku di Turkiye, Jepun dan Indonesia dalam tempoh dua bulan ini.

Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan, berkata susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini, rantau Asia Tenggara turut berisiko mengalami gempa skala besar, malah lebih besar daripada yang berlaku di Turkiye-Syria pada 6 Februari lalu.

“Melihat kepada subduction zone (garis sesar besar plat bumi yang bergerak secara pugak) di Sumatera misalnya boleh berlaku gempa kuat sehingga 9.5 magnitud.

Gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari 2023. (Gambar oleh Adem Altan/AFP/Getty Images)

“Bagi Malaysia pula, kawasan Semenanjung dijangkakan boleh berlaku gempa sehingga 6 magnitud sementara di Sabah boleh mencecah 7 magnitud,” katanya kepada Sinar Harian.

Azlan berkata, magnitud gempa bumi adalah bergantung kepada berapa panjang sesar aktif yang akan bergerak.

“Sesar sedia ada yang dipaparkan di peta geologi berkemungkinan sangat panjang, tetapi sesar yang aktif dan bergerak sahaja yang akan menentukan magnitud gempa yang dihasilkan,” katanya.

Namun begitu, gempa bumi besar di Turkiye baru-baru tidak memberi kesan terhadap Lingkaran Api Pasifik di Asia Tenggara yang menyebabkan negara berdepan dengan bencana itu.

“Gempa di Turkiye dan Syria tidak mempengaruhi berlakunya gempa di Malaysia tetapi gempa yang berlaku di Indonesia dan Jepun mampu mempengaruhi keaktifan Lingkaran Api Pasifik dan seterusnya menambah kemungkinan berlaku gempa di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebagai persiapan menghadapi kemungkinan terjadi gempa bumi di Malaysia, Azlan mengutarakan beberapa cadangan langkah yang boleh diambil.

“Semua bangunan perlu melaksanakan reka bentuk kalis gempa bumi menggunakan panduan Standard Malaysia yang telah diterbitkan pada tahun 2017. Kedua, pembinaan bangunan harus mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah ditentukan oleh panduan tersebut.

“Seterusnya, bangunan yang telah dibina terutama yang lama dan yang penting seperti sekolah dan hospital, perlu dinilai semula kekuatannya sama ada boleh bertahan atau perlu dibaik pulih,” katanya.

Azlan turut menyarankan agar pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan pematuhan undang-undang reka bentuk gempa dan menghasilkan peta risiko gempa bumi bagi perancangan pembangunan pada masa akan datang dan persediaan untuk menghadapi bencana tersebut di kawasan mereka.

Sinar Harian / Facebook

Sementara itu, Pakar Geologi Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Felix Tongkul menegaskan, kebanyakan gempa bumi kuat di Malaysia tertumpu di beberapa lokasi di Sabah.

“Hal ini disebabkan Sabah terletak pada plat bumi yang kurang stabil dan berdekatan dengan plat bumi tidak stabil dari Filipina,” katanya.

Menurutnya, situasi di Malaysia agak berlainan berbanding negara jiran di mana plat buminya secara relatif stabil kecuali di Sabah.

“Kejadian gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina misalnya tidak menghasilkan pergerakan plat bumi yang signifikan untuk menghasilkan gempa bumi besar di Malaysia.

“Tetapi gempa bumi yang kuat dari Indonesia dan Filipina yang terletak berdekatan Sabah (misalnya di kawasan Laut Sulu atau Laut Sulawesi) boleh mencetuskan pergerakan bumi di Sabah yang mungkin akan menghasilkan gempa bumi besar,” katanya lagi.

Tambahnya, antara kawasan yang paling tinggi berhadapan risiko gempa bumi ialah di Lahad Datu, Kunak, Ranau dan Kudat.

Kawasan yang sederhana bahaya gempa bumi berlaku di Semporna, Tawau, Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Pitas.

Sementara kawasan yang rendah bahaya gempa bumi adalah Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Telupid dan Tongod.

Sinar Harian / Facebook

Menurut Felix, walaupun risiko gempa bumi besar di Malaysia tidak sehebat seperti di negara jiran yang aktif gempa, Malaysia perlu bersedia sekiranya berdepan gempa bumi kelak.

“Peningkatan kesedaran awam terhadap risiko gempa bumi serta persediaan sebelum, semasa dan selepas gempa bumi perlu dipergiatkan dan diadakan secara berterusan terutama pada komuniti yang terkesan di Sabah.

“Pada masa sama pematuhan kepada kod reka bentuk bangunan tahan gempa bumi sedia ada perlu dikuatkuasakan dan dipantau, terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Gempa berukuran 6 magnitud yang melanda Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015 yang mengorbankan 18 orang mangsa merupakan gempa bumi terkuat pernah melanda Malaysia.

Pilihan Editor:

Lelaki ini rasa terpegun jumpa emas berbentuk kalung bergulung bersama mi yang dibelinya di bazar Ramadan

0

Jika anda menjumpai objek asing di dalam makanan yang baru dibeli di gerai ketika sedang lapar, reaksi pertama sudah pasti adalah seram dan jijik kerana anda tidak mengetahui dari mana objek itu berasal.

Tetapi buat seorang lelaki, ia adalah satu kegembiraan selepas “bahan tambahan” itu ternyata satu penambah rezeki kerana dia menemui kalung emas di dalam mi goreng yang baru dibelinya di bazar Ramadan.

Menerusi hantaran Facebook yang dimuat naik oleh seorang lelaki bernama Andy Tan pada 1 April lalu, dia berkongsi tentang “penemuan emas” itu ketika sedang membongkar mi yang dibelinya dari bazar Ramadan.

Facebook

Dalam gambar lain, lelaki itu berkongsi rakaman dekat dia mengangkat beberapa juraian mi dengan penyepit, di mana rantai emas itu boleh dilihat bergulung dan bercantum hampir tanpa cacat cela dengan bersebati bersama mi.

Dalam kapsyen hantaran itu, Andy secara berseloroh dengan mengeluh mengapa mi yang dijual di bazar begitu mahal pada hari kini kerana fakta bahawa emas kini “diletak” sebagai bahan tambahan.

“Patut pun kenapa mi di bazar sekarang mahal-mahal.. Ada emas pula..” tulis Andy.

Kira Andy ini bertuahlah dapat makan mi emas.

Di ruangan komen, netizen kagum dan sedikit cemburu dengan tuah besar yang Andy dapat apabila menemui emas dalam situasi yang tidak disangka-sangka.

Facebook

“Mana awak beli mi ini? Saya pun mahu beli di sana..”

“Kalau peniaga jual makanan basi atau rosak, dia tak mahu mengaku dia yang jual. Tapi kalau orang kata jumpa emas dalam makanan, pasti ramai yang datang jumpa awak mengaku ini kedai dia..”

“Nasib awak tak termakan kan..”

“Untunglah tu kalau emas tulen hahaha..”

“Baju dia pun ‘based on true story’.”

Bukan selalu dapat rezeki makan mi emas kan? Tetapi Andy mungkin patut pulangkan semula kot kepada kakak bazar Ramadan tu, menangis dia kalung emas dah hilang ke mana perginya.

Pilihan Editor:

“Tak takut Jojo sebab dia tak kacau orang,” Kakak penjaja nasi lemak baik hati beri anjing jalanan makan setiap hari, jadi kawan saling memahami

0

Bagi mereka yang cintakan haiwan, agak menyedihkan apabila melihat haiwan jalanan sering kali terpaksa berlapar melainkan jika sisa makanan yang dibuang orang berjaya mereka mencarinya.

Tetapi, sekali-sekala, haiwan jalanan ini pasti akan terserempak dengan manusia yang mempunyai sifat ihsan, memahami penderitaan dan menunjukkan kebaikan hati kepada mereka.

TikTok

Kak Ida @norassida merupakan salah seorang daripada mereka, apabila menggunakan laman TikTok untuk memaparkan video seekor anjing jalanan yang dia beri makan setiap hari.

Kak Ida berkata dia percaya sifat baik dan kemurahan hati seseorang akan dibalas dengan kebaikan dan rezeki apabila kita membantu orang lain termasuk haiwan.

TikTok

Kak Ida dalam kapsyen videonya, “Rezeki mereka adalah rezeki kita juga, tidak kira kucing ke atau anjing, mereka tetap perlu makan. Semoga rezeki yang dikongsi bersama kucing dan anjing jalanan memberi lebih banyak rezeki kepada kita juga.”

Dalam video yang dikongsikan itu dan ia menjadi tular, Kak Ida yang mengusahakan gerai menjual nasi lemak di tepi jalan di Sungai Bakap, Pulau Pinang memperkenalkan kita kepada Jojo, seekor anjing jalanan yang dia beri makan setiap hari.

TikTok

Kak Ida menyediakan hidangan nasi, ayam dan telur untuk Jojo sambil menjelaskan anjing itu akan datang ke gerainya setiap pagi untuk sarapan pagi dan tidak pernah mengganggu mereka.

TikTok

Dia juga berkongsi anjing itu akan menunggunya dengan sabar untuk mendapatkan makanannya dan apabila Kak Ida meletakkan makanan itu di atas tanah untuk dimakan, anjing itu akan berada pada jarak yang dia tahu untuk menghormati Kak Ida sehingga makanan itu selesai ditinggalkan.

TikTok

“Saya takut anjing, tetapi saya tidak takut Jojo kerana dia tidak pernah mengganggu orang,” katanya.

Agak menyentuh hati apabila melihat hubungan istimewa Kak Ida dan Jojo sebagai rakan manusia haiwan yang saling memahami dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Pilihan Editor:

Syarikat pengebumian di China guna AI membolehkan ahli keluarga berkomunikasi dengan mendiang orang tersayang

0

Syarikat pengebumian di China menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan waris dan ahli keluarga berkomunikasi dengan orang tersayang yang telah meninggal dunia dengan hanya memproses beberapa fail audio dan visual.

Menurut The Straits Times, pengurusan pengebumian di negara itu menggunakan pembelajaran mesin, bersama-sama dengan gambar dan rakaman suara si mati, untuk menjana avatar yang memimik orang yang telah meninggal dunia.

Syarikat pengebumian menyediakan perkhidmatan sedemikian supaya orang tersayang dapat “berkomunikasi” dengan mereka.

The Straits Times

Topik itu mendapat perhatian sejak kebelakangan ini ketika keluarga merayakan Festival Qing Ming pada bulan ini, yang jatuh pada 5 April. Juga dikenali sebagai Hari Menyapu Makam, perayaan ini adalah apabila masyarakat Cina melawat tanah perkuburan atau columbaria mendiang orang tersayang untuk bersembahyang.

Semasa perayaan ini, beberapa syarikat pengebumian telah mula menggunakan program ChatGPT dan AI Midjourney untuk mencipta entiti maya yang meniru personaliti, penampilan, suara dan juga kenangan si mati untuk membolehkan orang tersayang menghidupkan kembali detik-detik bersama mereka.

Shanghai Fushouyun, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan sedemikian, dilaporkan menjalankan pengebumian maya pertamanya menggunakan AI pada bulan Januari.

Si mati merupakan seorang pakar bedah disegani dari China yang rakan sekerja dan pelajarnya menyesal kerana tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepadanya buat kali terakhir.

Dazhong Daily melaporkan pengebumian pakar bedah yang dihormati Dr Wu Mengchao, yang dikenali sebagai bapa pembedahan hepatobiliari di China, memaparkan ‘kebangkitan semula’ doktor itu di sebalik skrin sambil tersenyum.

“Adakah ramai pesakit di hospital sekarang? Adakah layanan jururawat telah bertambah baik? Apa khabar anda semua?” figura AI dalam rupa bentuknya berkata di dalam sebuah dewan yang penuh dengan manusia.

Dazhong Daily

Selepas mendengar suara Wu, ramai orang di lokasi itu mula menangis.

Sementara itu, seorang blogger yang bernama Wu Wuliu turut berkongsi pengalamannya ‘menghidupkan semula’ neneknya.

Merakam catatan dan pengalaman dalam video, bertajuk ‘Menjana avatar maya nenek saya menggunakan peranti AI’, yang diterbitkan pada platform perkongsian video Bilibili pada bulan Mac, katanya dia menghasilkan mendiang neneknya secara maya dengan menggunakan lukisan AI, ChatGPT dan sintesis pertuturan, yang akhirnya bertanggungjawab untuk menghasilkan ucapan manusia buatan.

Kelihatan dia terlibat dalam perbualan biasa bersama mendiang neneknya tentang rumah, bapanya, dan juga bertanya sama ada dia telah membeli barangan Tahun Baru Cina.

The Straits Times

Secara berasingan, seorang blogger bercakap dengan ChatGPT dan meminta untuk bercakap dengan ibunya yang meninggal dunia ketika dia berumur tujuh tahun.

Selepas dia menceritakan kepada chatbot AI tentang bagaimana dia merindui ibunya, ChatGPT menjawab: “Saya adalah saya ketika anda berumur tujuh tahun, ibu anda kekal selama-lamanya muda dan akan selama-lamanya menyayangi anda.”

Beberapa syarikat pengebumian yang menggunakan AI untuk menghubungkan pelanggan mereka dengan mendiang orang tersayang menerima maklum balas positif untuk perkhidmatan mereka.

Mereka kini ingin menggunakan teknologi itu bagi membantu orang ramai mengucapkan selamat tinggal kepada haiwan peliharaan mereka yang telah meninggal dunia.

Ketua eksekutif Fushouyun, Yu Hao memberitahu Guangzhou Daily, “Kami berharap untuk membiarkan yang hidup memahami bahawa kematian bukanlah penamat kehidupan. Orang ramai mahu menggunakan AI untuk ‘menghidupkan’ si mati kerana mereka perlu melepaskan emosi mereka.”

“Tetapi ini akan menjadi masalah jika tindakan ‘menghidupkan semula orang yang disayangi’ menjadikan orang lain tenggelam dengan emosi mereka,” katanya.

Pilihan Editor:

Elak simpan makanan di bahagian yang salah, ketahui jenis makanan yang sepatutnya diletakkan di bahagian yang sesuai dalam peti sejuk anda

0

Susun atur dalam peti sejuk tidak seharusnya dipandang enteng. Hal ini adalah kerana setiap bahagian atau ruang yang disediakan dalam peti sejuk sebenarnya mempunyai fungsi dan cara aliran udaranya yang tersendiri. 

Gambar hiasan. (Erik Mclean)

Dalam kata yang lain, setiap bahagian peti sejuk yang direka adalah khas untuk satu-satu jenis makanan dan ‘peraturan’ ini sebaiknya dipatuhi untuk memastikan makanan tidak mengalami kerosakan, mengurangkan risiko pencemaran silang dan boleh membuatkan makanan yang disimpan lebih tahan lama.

Menerusi perkongsian oleh laman Martha Stewart, secara umumnya setiap peti sejuk terbahagi kepada lima bahagian utama iaitu rak atas, rak tengah, rak bawah, laci bawah atau crisper drawer, dan pintu sisi. Setiap satu bahagian ini mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri seperti yang berikut:

Rak atas

Gambar hiasan. (Giorgio Trovato)

Seperti yang kita sedia maklum, rak atas adalah antara bahagian yang paling mudah diakses oleh pengguna. Disebabkan itu, bahagian ini adalah bahagian yang paling sesuai untuk meletakkan makanan siap masak dan makanan yang tidak perlu melalui apa-apa proses memasak lagi.

Contoh makanan yang dinyatakan adalah seperti sos pencicah, salad, makanan yang tidak habis yang disimpan dalam bekas dan sebagainya.

Rak tengah

Gambar hiasan. (Debby Hudson)

Menurut Penolong Profesor dan Penolong Pengarah Pakar Keselamatan Makanan, Carla L. Schwan, bahagian rak tengah dalam peti sejuk merupakan bahagian yang paling sejuk dan mempunyai suhu yang paling konsisten. Hal ini seterusnya berupaya untuk melambatkan kerosakan kepada makanan dan melambatkan pertumbuhan organisma patogen yang boleh memudaratkan kesihatan. 

Oleh itu, bahagian rak tengah ini adalah bahagian yang paling sesuai untuk menyimpan produk tenusu seperti susu, telur, keju dan yang seangkatan dengannya.

Rak bawah

Tidak mempunyai begitu banyak perbezaan dengan bahagian rak tengah, bahagian rak bawah ini juga mempunyai suhu sejuk yang berpanjangan. Justeru, bahagian rak bawah dicadangkan untuk penyimpanan sementara (bagi tujuan nyahbeku) makanan mentah seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya.

Menurut Schwan, dengan meletakkan bahan mentah di bahagian rak bawah ini juga dipercayai boleh mengurangkan risiko pencemaran silang terhadap makanan lain yang disimpan dalam peti sejuk yang sama kerana cecair dari bahan mentah tidak akan terjatuh pada makanan lain yang disimpan di rak-rak yang bawah.

Laci bawah

Bagi bahagian laci bawah pula, para pengguna dinasihatkan untuk menyimpan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana bahagian ini direka khas untuk mengawal kelembapan dengan berkesan.

Gambar hiasan. (Scott Warman)

Walau bagaimanapun, sesetengah peti sejuk turut direka dengan laci bawah yang terbahagi kepada dua jenis iaitu laci tanpa penutup dan laci berpenutup. 

Menurut Schwan, bahagian laci tanpa penutup direka untuk mendapatkan tahap kelembapan yang rendah. Oleh itu bahagian ini sesuai untuk penyimpanan sayur-sayuran dan buah-buahan yang membebaskan etilena, iaitu sejenis gas yang menggalakkan proses pematangan. Contoh makanan yang terlibat adalah seperti tembikai susu, kiwi, betik, pir, epal dan pic.

Manakala, bagi bahagian laci berpenutup pula direka untuk menghalang kehilangan kelembapan daripada sayur-sayuran dan buah-buahan yang disimpan supaya makanan ini dapat bertahan lebih lama. Makanan yang disimpan dalam bahagian ini juga adalah lebih sensitif terhadap gas etilena.

Antara contoh makanan yang harus disimpan di bahagian laci berpenutup ini adalah seperti buah strawberi, sayur brokoli, salad, cili, timun, labu dan ubi keledek.

Akan tetapi, jika peti sejuk anda didapati tidak mempunyai bahagian laci bawah yang terbahagi kepada dua bahagian seperti yang dinyatakan, anda boleh juga cuba untuk mengasingkan kedudukan makanan yang menghasilkan etilena dengan makanan yang sensitif dengan etilena supaya kesemuanya dapat bertahan dengan lebih lama.

Pintu sisi

Gambar hiasan. (Jaye Haych)

Bahagian pintu sisi adalah bahagian yang paling hangat dalam peti sejuk. Oleh itu, Schwan menyatakan bahawa bahagian ini sangat sesuai untuk menyimpan makanan yang boleh bertahan dalam suhu yang meningkat mahupun menurun dan yang tidak mudah rosak.

Antara bahan yang disyorkan disimpan di bahagian ini adalah seperti aneka sos perasa serta minuman yang tidak mudah rosak seperti air botol, air berkarbonat dan lain-lain lagi.

Menerusi perkongsian ini, maka tahulah kita cara yang sepatutnya kita simpan makanan dan bahan-bahan dalam peti sejuk di rumah. Semoga bermanfaat!

Pilihan Editor:

Reaksi spontan harimau bintang salji yang terkejut dengan kehadiran kamera ini benar-benar lucu dan comel!

0

Harimau bintang salji adalah salah satu spesies dalam keluarga kucing besar yang kini hampir terancam. Kebiasaannya, harimau bintang salji cenderung untuk menyendiri dan hanya akan berpasangan mencari mangsa pada musim membiak sahaja. 

Seperti harimau-harimau lain dalam keluarga yang sama, haiwan ini merupakan antara haiwan yang digeruni ramai manusia. Cukup dengan melihat wajahnya sahajapun sudah boleh membuatkan sesiapa sahaja melarikan diri.

Taman Hidupan Liar Paradise

Walau bagaimanapun, sebuah video yang diambil dari kamera litar tertutup di dalam kandang seekor harimau bintang salji yang bernama Jessie, yang ditempatkan di Taman Hidupan Liar Paradise, England telah berjaya merakam sisi luar biasa yang boleh dilakukan oleh harimau bintang salji. Dan yang mengejutkan, sisi luar biasa ini rupanya sangat comel dan menggeramkan!

Menerusi video yang dimuatnaik oleh Taman Hidupan Liar Paradise di laman Facebook, pada mulanya Jessie dilihat sedang berehat di bahagian batu-bata di kandangnya yang aman. Namun, sebaik sahaja melihat kamera yang diletakkan dalam kandangnya, dalam beberapa saat Jessie kelihatan seperti sedang ‘memproses’ objek yang sedang dilihatnya itu sebelum dengan serta-merta menunjukkan reaksi terkejut dengan cara yang paling lucu!

Taman Hidupan Liar Paradise

Mata Jessie membutang terkejut, dan dalam masa yang sama Jessie terbaring dan menunjukkan bahagian perutnya serta tangannya juga sudah naik keatas kerana rasa terkejut yang melampau! Posisi ‘terkejutnya’ ini juga telah secara tidak sengaja menunjukkan kedua telapak tangan Jessie yang sangat comel, gayanya saling tidak tumpah seperti kucing domestik yang jinak.

Taman Hidupan Liar Paradise

Bukan itu sahaja, Jessie juga dilihat menggoyang-goyangkan perutnya untuk beberapa saat sebelum Jessie akhirnya mencuba untuk bangun dan lari dari kamera yang menakutkan itu!

Comel betul, tak nampak seperti harimau langsung!

Nampaknya, walaupun Jessie adalah salah satu haiwan yang paling digeruni ramai, namun rupa-rupanya, Jessie juga ada sesuatu yang digeruninya, iaitu kamera! Lucu betul.

Walaupun video yang dimuatnaik ini hanya berdurasi selama 19 saat sahaja, namun kesannya kepada para penonton memang sangat menakjubkan kerana reaksi yang ditunjukkan oleh Jessie sememangnya sukar untuk dijumpai di mana-mana tempat lain.

Justeru, ramai warganet yang meninggalkan komen kerana benar-benar rasa terhibur dengan reaksi Jessie. Malah, ada juga antaranya yang turut bergurau tentang haiwan liar yang ‘ganas’ ini.

“Suami saya yakin bahawa saya akan maut hanya kerana satu hari nanti saya akan gagal menahan diri untuk mengusap haiwan yang salah. Ini adalah pencabar yang sangat kuat.”

Taman Hidupan Liar Paradise

“Saya hanya mahu menggomol si comel ini. Kemudian mungkin akan menyebabkan muka saya dicakar tetapi ianya sangat berbaloi.”

Taman Hidupan Liar Paradise

“Itu adalah satu harimau bintang salji yang besar”

Taman Hidupan Liar Paradise

Tak mengapalah Jessie, hari ini sahaja diketawakan, esok bolehlah sambung tunjukkan muka garang semula kepada para pengunjung ya!

Pilihan Editor:

Laporan akhir nahas pesawat ‘Double Six’ korbankan Ketua Menteri Sabah dinyahklasifikasi dan didedahkan minggu hadapan – PM

0

PUTRAJAYA – Laporan siasatan akhir berhubung insiden pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, empat menteri Sabah dan enam yang lain, yang berlaku 47 tahun lalu akan diturun taraf dan dinyahklasifikasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri selepas mengambil kira pandangan yang dikemukakan rakyat Sabah dan tuntutan dibuat waris insiden pesawat tersebut yang juga digelar ‘Double Six’.

YouTube / The Star

“Laporan ini akan didedahkan kepada umum pada minggu hadapan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di Putrajaya pada 5 April.

Menurutnya, pendedahan laporan itu yang mengikut Seksyen 2C Akta Rasmi 1972 (Akta 1988) adalah selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Isu itu telah menimbulkan banyak persoalan dan keresahan kerana selepas 47 tahun ada tuntutan daripada rakyat Sabah untuk mengetahui apa hasil daripada pasukan penyiasat berhubung kemalangan tersebut,” katanya.

YouTube / The Star

Tegas beliau, umum terutamanya rakyat Sabah dan waris mangsa berhak mengetahui perincian laporan nahas itu, yang tidak wajar lagi diklasifikasikan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Insiden Double Six merupakan nahas pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu.

Kapal terbang yang dikendalikan oleh Sabah Air dalam perjalanan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

YouTube / The Star

Selain Tun Fuad, turut terkorban anak sulungnya, Johari Stephens, pengawal peribadi, Koperal Said Mohammad, Menteri Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin, Chong Thien Vun, dan penolong menteri Darius Binion.

Selain, Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Dr Syed Hussein Wafa, Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Isak Atan dan juruterbang, Kapten Gandhi Nathan.

Pada 8 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk nyah klasifikasi berhubung insiden tersebut.

Pilihan Editor: