Peringatan untuk semua sekali lagi! Jangan gunakan campuran peluntur dan pembersih tandas untuk mencuci tandas.
Shihua Daily melaporkan seorang wanita dari Thailand berkongsi pengalamannya di TikTok, yang mengingatkan semua supaya tidak mengikuti petua dalam talian untuk “mencuci tandas dengan menggunakan peluntur yang dicampur dengan cecair pembersih tandas”. Cara yang digunakan ini hampir membunuhnya!
Wanita itu menyebut dalam hantarannya dia melihat dalam talian yang mengajar menggunakan peluntur dan pembersih tandas untuk mencuci tandas: “Ia telah ditulis di internet yang peluntur boleh membantu menghilangkan bakteria dan kotoran, jadi saya menuangkannya, dan kemudian menuangkan pula cecair pembersih tandas.”

Akibatnya, campuran itu mengeluarkan bau yang sangat kuat sehingga menyebabkan dia terjatuh dan pitam, ia sangat tajam dengan bau yang tidak menyenangkan.
Pada masa itu, wanita itu bertahan selama kira-kira setengah jam, dengan terus mencuci tandas di dalam ruang yang sempit, dan kemudian mengalami gejala seperti dada menjadi ketat dan sesak nafas, yang telah menakutkannya lantas mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Doktor menegaskan amalan ini akan merosakkan sistem pernafasan, jadi jangan lalai. Jika anda menghidunya dalam jangka masa yang lama, ia boleh menyebabkan edema pulmonari, radang paru-paru, dan secara serius boleh membahayakan nyawa yang membawa kematian. Tindakan itu boleh memudaratkan jika diambil mudah atau tidak diendahkan.
Hantaran wanita itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata berterima kasih kepadanya kerana telah memberi peringatan kepada mereka. Ramai yang mengatakan jika tidak diberikan peringatan itu, mereka tidak akan tahu dan sedar bahawa perbuatan sedemikian boleh mengundang bahaya.
Ingat jangan sesekali campurkan dua cecair ini ketika mencuci tandas kerana ia akan mengeluarkan gas beracun yang memang membahayakan nyawa anda.
Pilihan Editor: