Kini, kita dapat melihat trend penggayaan jam tangan sebagai salah satu aksesori, bukannya sebagai satu alat untuk menunjukkan masa seperti fungsi asal penciptaannya. Hal ini dipercayai disumbangkan oleh perkembangan teknologi terkini yang berlumba-lumba untuk menyertakan ciri paparan masa dalam setiap gajet ciptaan, sehinggakan jam tangan yang ‘asli’ terlihat sebagai aksesori semata.
Malah pada masa ini, ada juga yang melihat jam tangan sebagai salah satu penanda aras kekayaan seseorang. Semakin mahal harga dan jenama jam tangan, maka semakin tinggilah ‘tahap’ seseorang itu. Mereka hanya perlu menggayakan jam tangan tersebut, tanpa perlu memperkenalkan diri.
Walau bagaimanapun, seorang bapa dari Jepun ini telah membuat satu ‘pembaharuan’ dalam trend pemakaian jam tangan. Hal ini adalah kerana dia yang merupakan seorang lelaki dewasa yang berkerjaya, telah menggayakan seutas jam tangan berbentuk penguin ke tempat kerjanya.
Namun, di sebalik penggayaan jam tangan yang comel ini, terselitnya satu kisah comel yang sangat mencuit hati.
Lelaki itu, yang menggunakan nama @kosodatezamurai pada tahun 2021 ada memuat naik satu gambar di laman sosialnya yang menceritakan tentang kisah jam tangan penguinnya itu.
“Saya menerima seutas jam tangan penguin daripada anak perempuan saya sebagai hadiah hari lahir, dan dia mendesak saya untuk memakainya pada hari ini, jadi saya memakainya,” tulis @kosodatezamurai.
Menerusi gambar yang dimuatnaik, dapat dilihat bagaimana @kosodatezamurai yang sudah siap memakai pakaian kerja yang kemas, dilengkapi dengan jam tangan penguin yang comel berwarna hijau dan biru. Nampak sedikit janggal, tetapi tetap bergaya! Setidak-tidaknya di mata si anaknya.
“Ianya lebih tebal dan lebih menyerlah berbanding Panerai,” gurau @kosodatezamurai dalam ciapannya.
Walaupun harga jam tangan ini tidak seberapa, tetapi yang pastinya jam tangan ini mempunyai lebih banyak memori indah yang boleh membuatkan si ayah ini tersenyum mengenangkan anak perempuannya.
Menerusi kiriman tersebut, @kosodatezamurai menerima banyak komen daripada warganet yang turut terhibur dengan telatah anak perempuannya itu yang memaksa ayahnya untuk bergaya seperti kanak-kanak.
“Lebih cool dan mempunyai lebih nilai berbanding jam tangan Rolex,”
“Ini adalah pilihan yang tidak boleh dielak!”
“Ia bernilai lebih dari 800,000 utas jam tangan jenama Panerai. Ianya tidak ternilai.”
“Terbaik, anak perempuan anda akan menyukainya juga!”
“Saya tidak pernah melihat jam tangan yang sangat dicemburui seperti ini,”
Comel betul jam tangan berbentuk penguin ini. Dan @kosodatezamurai sangat bertuah kerana menerimanya sebagai hadiah hari lahir yang pasti tidak akan dilupakan selama-lamanya!
Pilihan Editor: