30.3 C
Kuala Lumpur
Friday, July 25, 2025
Utama Blog Laman 93

TMJ dan keluarga sedang berenang di depan rumah, sejam kemudian ‘sahabat’ si buaya turut berenang sama ‘tumpang lalu’

0

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarganya baru-baru ini terselamat daripada ‘tetamu tidak diundang’ ketika sedang beriadah di pantai.

Menerusi perkongsian di Twitter dan Instagram, Tunku Ismail berkongsi pengalaman yang dilaluinya ketika sedang beriadah di hadapan kediamannya.

Katanya, sejam selepas mandi manda di pantai bersama keluarga, kelihatan seekor buaya berenang di lokasi sama Tunku Ismail mandi sebelum itu.

@HRHJohorII/Twitter

“Nak ‘share’ cerita sikit. Saya pergi ‘swimming’ depan rumah…

“1 jam kemudian ada sahabat (buaya) lalu,” tulisnya sambil berkongsi video dan gambar buaya itu.

Malah, Tunku Ismail turut berkongsi selepas beberapa hari ‘terserempak’ dengan buaya, datang pula haiwan lain seperti memerang dan burung di kawasan rumah.

“Beberapa hari lepas buaya. Hari ini memerang pula datang melawat. Petang tadi burung masuk rumah.

“Macam-macam haiwan datang melawat saya,” katanya sambil meletakkan emoji termenung memikirkan sebab kehadiran tetamu tidak diundang itu.

Dalam ciapan itu, Tunku Ismail turut berkongsi gambar bersama Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Ibrahim di laut, selain satu video berdurasi 26 saat memaparkan buaya berkenaan yang sedang berenang di laut.

@HRHJohorII/Twitter

Difahamkan, lokasi kejadian adalah di hadapan Istana Flinstone di Mersing.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Pembohong dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin, berkata pihaknya akan menyiasat lebih lanjut berhubung penemuan yang dimaksudkan.

“Buaya biasanya akan bergerak dari suatu muara sungai dan masuk ke muara sungai lain melalui pesisir pantai.

“Kami akan siasat lebih lanjut berkaitan penemuan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Pilihan Editor:

Australia rampas heroin bernilai RM790juta dalam penghantaran kapal dari Malaysia

0

Australia rampas heroin bernilai RM790juta yang dihantar dari Malaysia melalui sebuah kapal yang berlayar dari sini ke Brisbane.

Polis Persekutuan Australia dalam satu kenyataan berkata rampasan itu dibuat oleh Pasukan Sempadan Australia pada 13 Mac lalu, ketika mereka mendapati dadah tersebut disembunyikan dalam dua blok konkrit seberat 500 kilogram setiap satu.

Menurut polis, pemeriksaan menunjukkan barangan (blok konkrit) itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar. Kapal dari Malaysia yang membawa barangan itu tiba di Brisbane pada hari kejadian.

Pegawai ABF yang memeriksa kontena itu berjaya mengesan ratusan paket dadah di dalam blok simen. Ujian yang dijalankan ke atasnya kemudian menunjukkan ia adalah paket heroin seberat kira-kira 350 gram setiap satu.

Selepas pemeriksaan itu, pihak berkuasa membenarkan barangan tersebut dihantar ke lokasi penghantaran yang terletak di Brendale, Utara Brisbane, pada 28 Mac.

Risikan yang dilakukan pada 29 Mac mendapati seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa untuk mengambil barangn tersebut. Kemudian, dia bergerak ke Sydney dan menghantar barangan tersebut ke bangsal perindustrian di Mount Druitt pada 30 Mac.

Lelaki terbabit yang berusia 55 tahun kembali ke bangsal semula pada keesokan harinya dengan peralatan untuk memecahkan konkrit tersebut. Polis bagaimanapun terus memberkas lelaki berkenaan ketika dia meninggalkan bangsal pada keesokan paginya.

Penyiasat polis kemudian mengeluarkan beberapa waran geledah bagi perniagaan dan rumah di New South Wales dan Queensland dan Mount Druitt, Blacktown, Auburn, Cecil Park dan Constitution Hill di NSW.

Dalam operasi geledah itu, polis merampas barang kemas yang dianggarkan bernilai Dolar Amerika Syarikat 700,000 serta peralatan elektronik dari rumah lelaki berkenaan.

Manakala di lokasi lain, barang-barang yang dirampas adalah telefon bimbit, wang tunai, cakera keras, buku nota dan bahagian lain barangan yang dicipta semula.

Ekoran kejadian ini, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke memberi jaminan bahawa kementerian akan menyiasat pelabuhan yang digunakan oleh kartel untuk menghantar barang terlarang yang disifatkan oleh Australia sebagai penghantaran kedua terbesar yang mengandungi heroin yang pernah dikesan.

Bagaimanapun, Loke berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kes berkenaan.

“Adalah satu kesalah serius menggunakan pelabuhan kita untuk menghantar kargo yang mengadnugi barang terlarang,” kata Loke.

Pilihan Editor:

Kapten bot ini didekati sendiri oleh ikan paus untuk perkhidmatan membuang kutu pada kulit ikan paus. Menakjubkan!

0

Ikan paus adalah salah satu mamalia terbesar yang hidup di lautan. Dan, seorang kapten pemerhati di perairan Ojo de Liebre, Mexico, Paco Jimenez Franco adalah salah seorang daripada peminat setia ikan paus sejak dua dekad yang lalu.

Perkongsian oleh laman The Dodo baru-baru ini menunjukkan bagaimana penantian Franco selama ini bukanlah satu kerja yang sia-sia apabila seekor ikan paus mulai mendekati bot Franco untuk ‘meminta pertolongannya’.

Jerome Evangelio

Mungkin kerana telah terbiasa dengan kehadiran Franco di kawasan perairan itu yang pada mulanya hanya dedikasikan untuk melihat salah satu hidupan terhebat di dunia ini, ikan paus di perairan itu pada suatu hari telah mendekati Franco dan mengeluarkan sebahagian dari kepalanya dari permukaan air untuk ‘menemui’ Franco.

Disebabkan itu, Franco yang teruja menyedari bahawa di bahagian kulit ikan paus itu mempunyai banyak kutu-kutu ikan paus yang merupakan parasit biasa yang sering melekat di pelbagai bahagian badan ikan paus secara amnya.

Jerome Evangelio

Walaupun dikatakan tidak diketahui sama ada kehadiran kutu itu mengganggu ikan paus itu ataupun tidak, tetapi Franco telah memutuskan untuk mencabut beberapa kutu ikan paus itu dari kulit ikan paus berkenaan. 

Dan yang mengejutkan, selepas kejadian itu, ikan paus itu tidak malu lagi untuk datang bertemu dengan Franco untuk sesi mencabut kutu-kutu di badannya.

“Sebaik sahaja saya mencabut kutu yang pertama, ikan paus itu mendekati saya sekali lagi supaya saya boleh terus berbuat demikan,” kata Franco.

Jerome Evangelio

Bukan itu sahaja, Franco juga berkongsi bahawa sejak kali pertama ‘sesi cucian’ itu dilakukan, ikan paus yang sama dan beberapa ekor ikan paus yang lain turut datang berkali-kali mendekati botnya untuk mendapatkan perkhidmatan percuma itu.

Ini benar-benar pengalaman yang tidak ternilai!

Walaupun secara amnya sesiapapun adalah dilarang untuk menyentuh mamalia lautan ini, namun bagi kes istimewa sebegini yang mana ikan paus itu sendiri secara sukarela mendekatinya, hal ini adalah dikecualikan.

“Saya telah belajar, dengan melihat gelagat mereka, mereka mempunyai keluhuran tertentu dalam diri mereka. Ikan paus memang luar biasa,” akui Franco mengakhiri temubualnya.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Keluarga warga emas yang meninggal dunia akibat memakan ikan buntal gesa pihak berkuasa ambil tindakan

0

KLUANG – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia pada 8 April lalu setelah dua minggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi dekat Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom selepas dilaporkan tanpa diketahui telah memakan ikan buntal. Mendiang Ng Chuan Sing, 84 tahun, telah membeli, memasak dan memakan ikan terbabit bersama dengan isterinya, mendiang Lim Siew Guan, 83 tahun, yang telah meninggal pada hari yang sama tragedi itu berlaku.

New Straits Times

Menurut laporan, pasangan ini telah memakan ikan beracun itu pada 25 Mac lalu sebelum keduanya mengalami kesukaran bernafas dan dikejarkan ke hospital. 

Menurut anak perempuan warga emas ini, Ng Ai Lee, 51 tahun, ikan buntal tersebut telah dibeli dengan harga RM18 sekilo daripada seorang penjual ikan bergerak yang datang singgah di rumah jagaan orang-orang tua. Disamping itu, Ng turut mendakwa bahawa kedua ibu bapanya tidak pernah membeli dan memakan ikan buntal sebelum ini dan mereka tidak mengetahui bahawa ikan tersebut merupakan ikan beracun.

“Ini merupakan kali pertama ibu bapa saya memakan ikan buntal. Mereka tidak akan sesuka hati membelinya kerana mereka adalah orang yang berhati-hati dan mementingkan kesihatan.

Ng Ai Lee

“Peniaga ikan itu berkata bahawa selama ini dia telah menjual ikan buntal namun pelanggannya tidak apa-apa. Peniaga itu juga mengatakan bahawa keracunan itu mungkin disebabkan oleh makanan lain atau kesihatan ibu bapa saya,” ulas Ng lanjut.

Sehubungan itu, Ng menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan pembekal ikan beracun agar perkara sebegini tidak berulang kembali.

“Kami amat mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menguatkuasakan akta sedia ada di mana Seksyen 13a Akta Makanan daripada KKM serta P.U. 104 LKIM secara jelas melarang penjualan atau penyediaan bahan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia,” katanya.

Sejak tahun 1985, direkodkan 58 kes keracunan ikan buntal telah berlaku di Malaysia dan 18 kes daripadanya telah menyebabkan kematian.

Pilihan Editor:

Kes ‘basikal lajak’: Mahkamah Rayuan lepas dan bebas Sam Ke Ting 

0

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membebaskan kerani Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja dalam kes “basikal lajak” di Johor Bahru pada 18 Februari 2017.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Ia sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 April tahun lalu.

Twitter

Mahkamah Rayuan memutuskan pertuduhan terhadap Sam Ke Ting adalah cacat.

Hakim berkata rayuan itu perlu dibenarkan dan tiada isu berbangkit mengenai prima facie.

Hakim Hadhariah berkata Hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokus kepada pemandu sahaja.

“Saya hendak menyebut bahawa sudah meneliti alasan penghakiman majistret yang membebaskan Ke Ting sebelum Mahkamah Tinggi ketepikan keputusan itu. Saya mendapati alasan penghakiman itu adalah komprehensif.

“Saya setuju itu adalah hujahan lisan sebab beliau (majistret) menilai keterangan pendakwaan daripada semua sudut, sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam alasan penghakiman hanya fokus kepada pemandu kereta saja. Hakim macam tidak mempertimbangkan langsung mengenai basikal lajak.

“Kena adil, sebab itu majistret membuat penilaian maksimum. Keputusan majistret adalah betul kerana mengatakan kemalangan itu memang mustahil dielakkan sebab situasi merbahaya diwujudkan oleh penunggang basikal lajak,”

Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Ke Ting, 28, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.

Penghakiman majistret betul, mustahil kemalangan dapat dielakkan.

Hadhariah berkata berdasarkan penghakiman majistret, mustahil kemalangan itu dapat dielakkan dan satu cara untuk tragedi itu tidak berlaku adalah kereta terbang melalui penunggang basikal lajak.

Katanya, kenyataan itu nampak kelakar tetapi ia adalah tepat.

“Tiada cara hendak elakkan kemalangan kerana kita bukan bercakap mengenai satu atau dua basikal, tetapi 30 hingga 40 basikal maka penghakiman dan alasan penghakiman majistret adalah betul, kita perlu hormatinya.

“Alasan ringkas yang saya nyatakan untuk memudahkan pihak-pihak faham kenapa rayuan ini harus dibenarkan. Dalam kes ini, pertuduhan tidak betul dan cacat serta sabitan juga tidak betul. Jadi kedua-duanya tidak mengikut undang undang.

“Itu adalah hak perayu di bawah undang-undang, pertuduhan dan sabitan mesti betul. Atas alasan ini saja rayuan perayu dibenarkan, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022 atas sabitan dan hukuman diketepikan, perayu dibebas dan dilepaskan.

“Kamu (Ke Ting) sekarang adalah orang yang bebas dan wang jaminan dikembalikan,” katanya di akhir penghakiman.

Sam Ke Ting diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Harvinderjit Singh, Farhan Read, Guok Ngek Seong dan Faizal Mokhtar. Timbalan pendakwa raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Syafiq Ghazali hadir untuk pendakwaan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding mahkamah, Ke Ting secara suci hati menyatakan permohonan maaf kepada ibu bapa dan ahli keluarga lapan remaja yang maut dalam kemalangan itu.

Ke Ting berkata beliau mengakui permohonan maafnya tidak akan mengembalikan semua remaja terbabit dan mungkin tidak akan membawa ketenangan kepada ibu bapa mereka.

“Saya akan bawa perasaan bersalah ini sehingga hujung nyawa,” katanya.

Peguam Sam Ke Ting, Hisyam Teh Poh Teik turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa sambil berkata, “Walaupun pasukan meraikan dan menghargai penghakiman Mahkamah Rayuan, kami masih rasa simpati terhadap mangsa tragedi malang itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mereka.”

Pilihan Editor:

Dr Noor Hisham akan bersara wajib bulan ini selepas 35 tahun berkhidmat

0

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersedia untuk bersara pada bulan ini selepas berkhidmat kepada negara selama 35 tahun, dengan beberapa tahun terakhir perkhidmatannya adalah antara yang paling mencabar dalam kerjayanya yang cemerlang.

Bapa kepada enam anak itu berkata, beliau tidak sabar untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas akan berundur pada 21 April, iaitu hari dirinya mencecah 60 tahun dan umur persaraan wajib bagi anggota perkhidmatan awam.

“Persaraan adalah babak kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” kata anak jati Selangor itu kepada The Star.

Gambar The Star

Ditanya sama ada beliau akan menikmati tempoh bersaranya kerana beliau dikenali sebagai seorang yang bekerja keras, Dr Hisham menjawab: “Biar saya bersara dahulu dan saya akan berkongsi dengan anda pengalaman saya kemudian.”

Mengetuai Malaysia memerangi penularan wabak COVID-19, Dr Noor Hisham amat diingati kerana membantu mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan yang melumpuhkan sebahagian besar dunia sejak 2020.

Rakyat Malaysia yang bersyukur mengabadikan ketua perubatan terkenal negara itu menerusi lukisan mural.

“Ia adalah bahagian yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan perubatan saya untuk mengendalikan wabak dan memimpin cabaran sehingga kita (kini) hampir kembali normal,” katanya.

Ia bukanlah satu-satunya kemuncak kerjaya cemerlangnya.

Dr Noor Hisham berkata beliau turut berbangga dengan penghormatan yang diberikan bagi menyampaikan syarahan berprestij Martin Allgower di Kongres Pembedahan Dunia di Krakow, Poland, pada 2019 di hadapan 2,000 pakar bedah global.

Kuliah berkenaan bagi memperingati Prof Allgower, seorang pakar bedah terkenal di peringkat antarabangsa yang merupakan pengerusi Jabatan Pembedahan di Universiti Basel di Switzerland dari 1967 hingga 1983.

Satu lagi pencapaian penting adalah membantu perjalanan panjang Malaysia ke arah mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan Hepatitis C menjelang 2030 dan menangani isu keterjangkauan akses dan ekuiti.

Noor Hisham Abdullah / Facebook

“Ada banyak lagi detik yang lebih menggembirakan dan memuaskan dalam kerjaya saya. Ini termasuk mewujudkan laluan selari dalam 15 kepakaran dan banyak lagi inisiatif berimpak tinggi Kementerian Kesihatan dengan hasil terbaik dan pada kos yang berpatutan,” tambahnya.

Dr Noor Hisham sendiri adalah seorang pakar bedah terkenal yang merintis jalan di pelbagai peringkat global termasuk sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global Persatuan Pembedahan Antarabangsa Malaysia (ISS) yang pertama dari 2017 hingga 2021 dan sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap WHO pertama mengenai Pencegahan Kecemasan Kesihatan, Kesediaan dan Respons, iaitu jawatan yang dilantik pada Disember tahun lalu.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan sedemikian.

Dr Noor Hisham menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 sebelum memegang jawatan sebagai pakar bedah am pada 1994 dan berkhidmat sebagai pakar bedah am Hospital Putrajaya pada 2004.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013. Sebelum itu, Dr Noor Hisham memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (perubatan) Kesihatan sejak 1 Feb 2008.

Walaupun menerajui kementerian sebagai penjawat awam tertinggi, Dr Noor Hisham berkata beliau tidak pernah melupakan panggilannya sebagai pakar bedah.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pembedahan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum menyambung pengajian dalam bidang pembedahan dan latihan endokrin di beberapa universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.

“Selain menjadi pentadbir, saya juga seorang pakar bedah endokrin payudara. Saya sentiasa seorang pakar bedah, dilatih sebagai seorang pakar bedah dan dikenali sebagai pakar bedah,” tambahnya.

Noor Hisham Abdullah / Facebook

Walaupun beliau telah mencapai pelbagai kejayaan dalam profesionnya, Dr Noor Hisham berkata masih ada satu perkara yang beliau ingin lihat – merealisasikan Kertas Putih Kesihatan, yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem kesihatan negara secara holistik serta melaksanakan pembaharuan sistematik utama serta menangani semua isu penjagaan dan perkhidmatan kesihatan. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata Kertas Putih itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun.

“Pembentangan kertas putih ini adalah kritikal dan akan menandakan titik permulaan perjalanan negara ke arah pembaharuan kesihatan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata pendapat dan idea pelbagai pihak berkepentingan telah diusahakan secara konsisten dan kerjasama sektor swasta dan NGO adalah penting dalam memastikan kejayaan reformasi penjagaan kesihatan.

Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi membolehkan kementerian mengambil pegawai perubatan adalah antara cadangan dalam Kertas Putih Kesihatan, katanya.

“Adalah penting untuk meletakkan proses pengambilan pegawai perubatan di bawah Kementerian Kesihatan bagi menyelesaikan isu doktor kontrak dan jawatan tetap,” katanya.

Pada masa ini, proses pengambilan pekerja bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan dari segi peruntukan.

Gambar The Star

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak kebimbangan dan rasa tidak puas hati termasuk ancaman mogok berhubung isu yang tidak dapat diselesaikan berhubung doktor kontrak seperti kekurangan jaminan pekerjaan, kadar bayaran semasa on-call yang rendah, masa kerja yang panjang dan masalah buli.

Sistem doktor kontrak telah diperkenalkan pada tahun 2016 bagi mengatasi lebihan graduan perubatan di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata perbincangan mengenai penjagaan kesihatan, transformasi organisasi dan kewangan untuk Kementerian Kesihatan telah berlangsung selama bertahun-tahun dan kini tiba masanya untuk perubahan yang serius.

“Terdapat hampir 40 tahun perbincangan tetapi tiada tindakan walaupun banyak kajian telah dilakukan.

“Saya ingin melihat kandungan Kertas Putih Kesihatan dilaksanakan dan direalisasikan supaya sistem kesihatan dapat diperkukuhkan,” tambahnya.

Pilihan Editor:

Ketahui dua cara mudah yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan hasil kupasan telur rebus yang licin dan sempurna

0

Makanan yang berasaskan telur rebus bukanlah suatu menu yang janggal buat penduduk di Malaysia. Tidak kira bangsa, setiap dari kita mempunyai salah satu resipi kegemaran yang menggunakan telur rebus sebagai bahan utama masakan.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan hasil kupasan telur rebus yang sempurna sememangnya tidak mudah jika kita tidak mempunyai tip yang betul.

Gambar hiasan. (Mustafa Bashari)

Seorang ibu beranak dua dari Jepun, sebelum ini pernah berkongsi tip yang berguna bagi semua warganet untuk mendapatkan kupasan telur rebus yang licin, tidak memakan masa yang banyak untuk mengupas dan yang paling penting, boleh memudahkan tugas di dapur.

Berdasarkan kiriman video di laman Instagramnya, @abemomo_gram, wanita ini berkongsi dua cara mudah untuk mengupas telur rebus.

@abemomo_gram

Cara yang pertama ditunjukkan adalah dengan mengetuk sedikit di mana-mana bahagian telur rebus, dan kemudiannya telur itu hanya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bekas berpenutup yang berisi sedikit air untuk memudahkan proses kupasan.

@abemomo_gram

Kemudian, bekas itu hanya perlu ditutup dan digoncang untuk beberapa ketika dan apabila anda membuka penutup bekas itu, telur rebus sudah sedia terkupas dan anda hanya perlu membuang keseluruhan kulit telur itu.

Tetapi jangan lupa untuk menggoncang bekas itu dengan cermat ya! Jika tidak telur rebus itu pecah pula.

@abemomo_gram

Cara pertama yang ditunjukkan dalam video ini boleh digunakan untuk dua biji telur dan keatas.

Tetapi jika anda tidak mempunyai bekas, anda juga boleh melakukannya dengan menggunakan tangan sahaja.

@abemomo_gram

Cara-caranya adalah dengan mengetuk telur rebus di permukaan yang rata seketika, cukup untuk memecahkan sedikit bahagian kulit telur rebus. Kemudian, anda boleh terus menggolekkan telur rebus di atas permukaan yang rata sebanyak beberapa kali sehingga anda dapat merasakan bahawa kulit telur rebus itu sudah menjadi ‘longgar’.

@abemomo_gram

Siap! Kini tiada lagi masalah telur rebus yang ‘bercompang-camping’ setelah dikupas.

Untuk demonstrasi yang lebih lengkap, rujuk video ini.

Nampak mudah dan sangat membantu betul tip yang dikongsikan ini. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Bapa misali ini rela memakai jam tangan penguin ke tempat kerja demi memuaskan hati anak perempuannya

0

Kini, kita dapat melihat trend penggayaan jam tangan sebagai salah satu aksesori, bukannya sebagai satu alat untuk menunjukkan masa seperti fungsi asal penciptaannya. Hal ini dipercayai disumbangkan oleh perkembangan teknologi terkini yang berlumba-lumba untuk menyertakan ciri paparan masa dalam setiap gajet ciptaan, sehinggakan jam tangan yang ‘asli’ terlihat sebagai aksesori semata.

Gambar hiasan. (Amin Hasani)

Malah pada masa ini, ada juga yang melihat jam tangan sebagai salah satu penanda aras kekayaan seseorang. Semakin mahal harga dan jenama jam tangan, maka semakin tinggilah ‘tahap’ seseorang itu. Mereka hanya perlu menggayakan jam tangan tersebut, tanpa perlu memperkenalkan diri.

Walau bagaimanapun, seorang bapa dari Jepun ini telah membuat satu ‘pembaharuan’ dalam trend pemakaian jam tangan. Hal ini adalah kerana dia yang merupakan seorang lelaki dewasa yang berkerjaya, telah menggayakan seutas jam tangan berbentuk penguin ke tempat kerjanya.

@kosodatezamurai

Namun, di sebalik penggayaan jam tangan yang comel ini, terselitnya satu kisah comel yang sangat mencuit hati.

Lelaki itu, yang menggunakan nama @kosodatezamurai pada tahun 2021 ada memuat naik satu gambar di laman sosialnya yang menceritakan tentang kisah jam tangan penguinnya itu.

“Saya menerima seutas jam tangan penguin daripada anak perempuan saya sebagai hadiah hari lahir, dan dia mendesak saya untuk memakainya pada hari ini, jadi saya memakainya,” tulis @kosodatezamurai.

Menerusi gambar yang dimuatnaik, dapat dilihat bagaimana @kosodatezamurai yang sudah siap memakai pakaian kerja yang kemas, dilengkapi dengan jam tangan penguin yang comel berwarna hijau dan biru. Nampak sedikit janggal, tetapi tetap bergaya! Setidak-tidaknya di mata si anaknya.

“Ianya lebih tebal dan lebih menyerlah berbanding Panerai,” gurau @kosodatezamurai dalam ciapannya.

Walaupun harga jam tangan ini tidak seberapa, tetapi yang pastinya jam tangan ini mempunyai lebih banyak memori indah yang boleh membuatkan si ayah ini tersenyum mengenangkan anak perempuannya.

Menerusi kiriman tersebut, @kosodatezamurai menerima banyak komen daripada warganet yang turut terhibur dengan telatah anak perempuannya itu yang memaksa ayahnya untuk bergaya seperti kanak-kanak. 

“Lebih cool dan mempunyai lebih nilai berbanding jam tangan Rolex,”

“Ini adalah pilihan yang tidak boleh dielak!”

“Ia bernilai lebih dari 800,000 utas jam tangan jenama Panerai. Ianya tidak ternilai.”

“Terbaik, anak perempuan anda akan menyukainya juga!”

“Saya tidak pernah melihat jam tangan yang sangat dicemburui seperti ini,”

@kosodatezamurai

Comel betul jam tangan berbentuk penguin ini. Dan @kosodatezamurai sangat bertuah kerana menerimanya sebagai hadiah hari lahir yang pasti tidak akan dilupakan selama-lamanya!

Pilihan Editor:

Guna campuran “peluntur dan pembersih tandas” untuk cuci tandas, wanita ini dihantar ke hospital akibat sesak nafas dan hampir maut

0

Peringatan untuk semua sekali lagi! Jangan gunakan campuran peluntur dan pembersih tandas untuk mencuci tandas.

Shihua Daily melaporkan seorang wanita dari Thailand berkongsi pengalamannya di TikTok, yang mengingatkan semua supaya tidak mengikuti petua dalam talian untuk “mencuci tandas dengan menggunakan peluntur yang dicampur dengan cecair pembersih tandas”. Cara yang digunakan ini hampir membunuhnya!

Wanita itu menyebut dalam hantarannya dia melihat dalam talian yang mengajar menggunakan peluntur dan pembersih tandas untuk mencuci tandas: “Ia telah ditulis di internet yang peluntur boleh membantu menghilangkan bakteria dan kotoran, jadi saya menuangkannya, dan kemudian menuangkan pula cecair pembersih tandas.”

Gambar ViralCham!

Akibatnya, campuran itu mengeluarkan bau yang sangat kuat sehingga menyebabkan dia terjatuh dan pitam, ia sangat tajam dengan bau yang tidak menyenangkan. 

Pada masa itu, wanita itu bertahan selama kira-kira setengah jam, dengan terus mencuci tandas di dalam ruang yang sempit, dan kemudian mengalami gejala seperti dada menjadi ketat dan sesak nafas, yang telah menakutkannya lantas mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Gambar ViralCham!

Doktor menegaskan amalan ini akan merosakkan sistem pernafasan, jadi jangan lalai. Jika anda menghidunya dalam jangka masa yang lama, ia boleh menyebabkan edema pulmonari, radang paru-paru, dan secara serius boleh membahayakan nyawa yang membawa kematian. Tindakan itu boleh memudaratkan jika diambil mudah atau tidak diendahkan.

Hantaran wanita itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata berterima kasih kepadanya kerana telah memberi peringatan kepada mereka. Ramai yang mengatakan jika tidak diberikan peringatan itu, mereka tidak akan tahu dan sedar bahawa perbuatan sedemikian boleh mengundang bahaya.

Ingat jangan sesekali campurkan dua cecair ini ketika mencuci tandas kerana ia akan mengeluarkan gas beracun yang memang membahayakan nyawa anda.

Pilihan Editor:

Syarikat di Batu Pahat kerugian RM1.9 juta selepas maklumat perbankan diceroboh penggodam

0

Sebuah syarikat pengeluar makanan ringan di Batu Pahat, Johor dilaporkan kerugian RM1.9 juta selepas sistem perbankan mereka digodam.

Insiden itu telah dilaporkan kepada polis pada 5 April oleh akauntan syarikat berkenaan yang memberitahu wang syarikat secara misteri telah dipindahkan secara berkelompok kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali, lapor New Straits Times.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, siasatan awal menunjukkan sistem automatik syarikat itu dipecah masuk ketika pengilang menghantar wang kepada pembekalnya.

Gambar NST

Wang tidak dipindahkan kepada penerima yang dimaksudkan, sebaliknya ia dihantar kepada syarikat lain tanpa pengetahuan bahagian perakaunan pengilang.

Akauntan itu berkata sistem syarikat mereka telah menyimpan semua butiran pembekal termasuk nama syarikat, nombor pendaftaran dan butiran perbankan mereka.

Walau bagaimanapun, penggodam didakwa telah mengubah maklumat perbankan yang disimpan dalam sistem, menyebabkan dana dipindahkan ke akaun lain.

Pada 27 Mac, salah seorang pembekal syarikat menelefon untuk bertanya tentang pembayaran, yang menyebabkan akauntan menyedari tentang masalah itu dan membuat pemeriksaan.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Apabila menerima panggilan itu, pekerja syarikat berkenaan meneruskan untuk menyemak rekod pemindahan syarikat pada 24 Mac tetapi mendapati sepuluh pemindahan telah dibuat kepada penerima yang tidak dikenali yang mana butiran perbankannya tidak sepadan dengan mana-mana data pra-simpan pengeluar.

Terkejut dengan penemuan itu, akauntan berkenaan terus membuat laporan polis.

Menurut Kamarul Zaman, siasatan sedang dijalankan, dan polis sedang meneliti semua kemungkinan, termasuk sama ada ia adalah “kerja orang dalam”.

Kamarul Zaman berkata seseorang yang bekerja di syarikat itu mungkin menukar butiran secara peribadi jika ia adalah perbuatan orang dalam. Namun, beliau tidak menolak isu keselamatan siber yang mungkin melibatkan penggodam luar.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Kamarul Zaman turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan pemindahan wang dalam talian.

“Lebih baik berhati-hati, daripada menyesal kemudian. Jadi, sentiasa semak dulu dan seterusnya semak semula butiran sebelum memindahkan sejumlah wang,” katanya.

Pilihan Editor: