Sebuah syarikat pengeluar makanan ringan di Batu Pahat, Johor dilaporkan kerugian RM1.9 juta selepas sistem perbankan mereka digodam.
Insiden itu telah dilaporkan kepada polis pada 5 April oleh akauntan syarikat berkenaan yang memberitahu wang syarikat secara misteri telah dipindahkan secara berkelompok kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali, lapor New Straits Times.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, siasatan awal menunjukkan sistem automatik syarikat itu dipecah masuk ketika pengilang menghantar wang kepada pembekalnya.

Wang tidak dipindahkan kepada penerima yang dimaksudkan, sebaliknya ia dihantar kepada syarikat lain tanpa pengetahuan bahagian perakaunan pengilang.
Akauntan itu berkata sistem syarikat mereka telah menyimpan semua butiran pembekal termasuk nama syarikat, nombor pendaftaran dan butiran perbankan mereka.
Walau bagaimanapun, penggodam didakwa telah mengubah maklumat perbankan yang disimpan dalam sistem, menyebabkan dana dipindahkan ke akaun lain.
Pada 27 Mac, salah seorang pembekal syarikat menelefon untuk bertanya tentang pembayaran, yang menyebabkan akauntan menyedari tentang masalah itu dan membuat pemeriksaan.

Apabila menerima panggilan itu, pekerja syarikat berkenaan meneruskan untuk menyemak rekod pemindahan syarikat pada 24 Mac tetapi mendapati sepuluh pemindahan telah dibuat kepada penerima yang tidak dikenali yang mana butiran perbankannya tidak sepadan dengan mana-mana data pra-simpan pengeluar.
Terkejut dengan penemuan itu, akauntan berkenaan terus membuat laporan polis.
Menurut Kamarul Zaman, siasatan sedang dijalankan, dan polis sedang meneliti semua kemungkinan, termasuk sama ada ia adalah “kerja orang dalam”.
Kamarul Zaman berkata seseorang yang bekerja di syarikat itu mungkin menukar butiran secara peribadi jika ia adalah perbuatan orang dalam. Namun, beliau tidak menolak isu keselamatan siber yang mungkin melibatkan penggodam luar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Kamarul Zaman turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan pemindahan wang dalam talian.
“Lebih baik berhati-hati, daripada menyesal kemudian. Jadi, sentiasa semak dulu dan seterusnya semak semula butiran sebelum memindahkan sejumlah wang,” katanya.
Pilihan Editor: