Perhatian kepada warga Jenjarom, Selangor. Adakah anda membeli sebungkus garam dengan tanda “X” semalam? Anda dinasihatkan supaya jangan memakannya!
Sebuah kedai runcit di Jenjarom, Selangor iaitu A Po Seafood and Herbs Store sedang mencari pelanggan yang membeli satu beg disangka sebungkus garam yang bertanda ‘X’, kerana beg ini mengandungi Boraks, iaitu sejenis serbuk putih halus untuk membuat kaca dan bahan pembersih yang tidak boleh dimakan!
Pemilik kedai itu memuat naik satu hantaran di Facebook, dengan harapan dapat menggunakan kuasa warga maya untuk mencari pelanggan yang dimaksudkan.
Pemilik kedai memberitahu seorang pelanggan pergi ke kedai berkenaan di Pasar Jenjarom pada pagi Sabtu untuk membeli garam masakan secara pukal, tetapi pekerja baharu tersilap mengambil boraks dan menjualnya sebagai garam kepada pelanggan itu.
Pihak kedai turut menunjukkan gambar bungkusan serbuk berwarna putih dengan tanda pangkah adalah boraks yang telah tersalah jual kepada seorang pelanggan.
Pemilik kedai berharap agar pelanggan yang membeli bungkusan boraks ini tidak memakannya dan mengembalikannya semula dengan secepat mungkin.
“Boraks biasanya digunakan sebagai agen pembersih. Ia boleh menyebabkan keracunan makanan jika seseorang termakannya,” katanya dalam hantaran itu.
Pemilik kedai juga menjelaskan mereka mendapat tahu bahawa terdapat satu bungkusan boraks telah hilang di gudang, dan selepas bertanya, mereka menyedari seorang pekerja baru menyangka ia adalah garam dan menjualnya kepada pelanggan.
Pihak kedai juga berkata mereka telah membuat laporan polis. Sehingga tengah hari, pelanggan masih belum tampil memulangkan boraks berkenaan. Kedai tersebut memberitahu akan mengemas kini perkembangan terbaru secepat mungkin.
Sin Chew Daily melaporkan pemilik kedai mengesyaki boraks itu dijual kepada pelanggan Cina, tetapi ia juga mungkin dijual kepada bangsa lain, jadi hebahan segera itu turut dikeluarkan dalam Bahasa Melayu.
Pemilik turut memohon maaf bagi pihak pekerjanya atas kecuaian mereka menjual boraks yang berbahaya sekiranya dimakan.
Boraks atau sodium tetraborat adalah campuran garam mineral konsentrasi tinggi. Ia biasanya berwarna putih atau mempunyai warna kuning, biru, kelabu, hijau dan lain-lain.
Boraks lazim digunakan dalam pembuatan beberapa jenis makanan. Namun, boraks banyak digunakan dalam sektor industri kimia dan pembuatan, iaitu sebagai campuran bahan pembuat produk pembersih dan pengawet kayu. Ia boleh didapati dalam racun serangga, antiseptik, racun herba, pembasmi kuman, sabun, kaca dan bahan lain.
Pengambilan boraks boleh menyebabkan keracunan makanan. Dalam kes ringan, gejala seperti hilang selera makan dan senak perut mungkin berlaku. Dalam kes yang serius, gejala keracunan seperti gangguan sistem peredaran darah, kekejangan dan gangguan saraf mungkin berlaku, sehingga paling teruk boleh menyebabkan kematian.
Pilihan Editor: