Pada masa ini, penggunaan mesin basuh bukan lagi jatuh dalam kategori kemahuan, sebaliknya kini penggunaannya sudah boleh dikategorikan sebagai satu keperluan bagi setiap isi rumah. Walau bagaimanapun, penggunaan mesin basuh yang kerap akhirnya akan menyebabkan mesin basuh menjadi kotor, dan lebih teruk, mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Di internet, kita boleh mencari pelbagai jenis cara dan petua yang boleh dilakukan untuk membersihkan semula mesin basuh supaya pakaian yang dicuci akan menjadi betul-betul bersih dan tidak dibasuh dalam mesin yang berbau hapak.
Seorang warganet bernama Billy Sarris sebelum ini ada berkongsi tip yang digunakan olehnya untuk mencuci mesin basuh dengan cara yang paling mudah.
Berdasarkan video yang dimuatnaik oleh Sarris di laman TikTok menerusi akaun @billysarris2.0, Sarris berkongsi bahawa selepas dia mencuci beberapa helai cadar dalam mesin basuh dirumahnya, dia mendapati bahawa mesin yang digunakan itu mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan sebaik sahaja pintu mesin dibuka.
Disebabkan itu, tahulah dia bahawa kini mesin basuhnya itu sebenarnya yang perlu dicuci terlebih dahulu, sebelum mesin basuh itu digunakan untuk bekerja mencuci pakaian yang lain pula.
Cara yang ditunjukkan oleh Sarris sangat mudah, apa yang perlu dilakukan adalah masukkan dua biji tablet cucian (rujuk gambar di atas) ke dalam mesin basuh dan tutupkan pintu mesin basuh. Kemudian, pasangkan fungsi mesin basuh pada air cucian yang paling panas yang ada, misalnya untuk mesin basuh yang ditunjukkan oleh Sarris, dia menggunakan fungsi air cucian pada suhu 90°C dan jalankan mesin basuh seperti biasa dalam tempoh masa lebih kurang 40 minit.
Di pertengahan cucian, Sarris juga sempat menunjukkan hasil cucian mesin basuh yang mengeluarkan air yang sangat kotor dengan warna yang keruh dalam masa lebih kurang 15 minit sahaja cucian itu dilakukan.
“Lihat sahajalah semua kekotoran itu tetapi tunggu nanti (hasilnya),” kata Sarris dalam video berkenaan.
Selepas lebih 40 minit mesin basuh dijalankan ketika proses cucian, Sarris seterusnya menunjukkan keadaan dalam mesin basuh itu yang dipenuhi dengan buih-buih yang berwarna putih sebelum air yang memenuhi ruang mesin basuh itu akhirnya kelihatan jernih.
Tamat sahaja sesi cucian itu, Sarris dengan bangganya menunjukkan keadaan dalaman mesin basuh yang bersih berkilat dan menurutnya, mesin itu kini “berbau segar”.
Memang mudah sungguh tip cucian mesin basuh yang dikongsikan oleh Sarris. Jom cuba!
Pilihan Editor: