KUALA SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 11 April kini sedang memburu sekumpulan “geng rempit” yang menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berbahaya di Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ramli Kasa mengesahkan penerimaan dua rakaman video berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari.
Menerusi video yang kini berlegar di media sosial itu, rakaman menunjukkan dua daripada penunggang motosikal telah melakukan aksi ‘wheelie’ iaitu aksi yang mengangkat tayar hadapan motosikal dan dalam masa yang sama turut bersaing sesama sendiri. Aksi berbahaya yang dilakukan dalam masa yang agak panjang itu kemudiannya telah dirakam oleh salah seorang rakan penunggang yang lain.
Menerusi rakaman yang sama juga, dapat dilihat dengan jelas bahawa penunggang motosikal terbabit sedang menunggang melebihi had laju lebuh raya yang ditetapkan iaitu pada 110 km/j sedangkan pada waktu rakaman dilakukan, penunggang tersebut menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.
Menurut Ramli, kes ini seterusnya disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000.
Pihak polis ketika ini sedang giat mengesan pemilik video asal dan semua penunggang motosikal yang terlibat.
Pilihan Editor: