Seorang pencinta ayam goreng menghabiskan 18 tahun makan Kentucky Fried Chicken (KFC) di 24 negara. Beliau berpendapat ayam goreng KFC terbaik adalah di Mongolia.
Jacky Tan, seorang perunding pemasaran berusia 41 tahun dari Singapura, mendapati rasa ayam goreng asli KFC di negara berbeza sememangnya berbeza, dan memutuskan untuk memulakan pencariannya untuk “KFC terbaik di dunia” dengan menjelajah ke seluruh dunia bermula pada tahun 2005, lapor Independent.
Jacky dan pasangannya, Michelle berbulan madu di Sepanyol, dan beliau sempat makan ayam goreng itu di Barcelona, tetapi berkata KFC di Sepanyol adalah yang paling teruk pernah dirasainya, diikuti oleh Hong Kong dan Australia.

“KFC Sepanyol sangat kering dan hambar, ia seperti makan getah. Perkara terbaik hanya minumannya,” katanya.
Terus terang Jacky mengakui telah memakan lebih 1,000 ketul ayam goreng KFC semasa proses “penyelidikan” itu, dan beliau percaya ayam goreng yang dibelinya selepas beratur selama sejam di Ulaanbaatar, ibu negara Mongolia, adalah ayam goreng KFC terbaik pernah dirasainya.
Selepas Mongolia, kegemaran Jackie ialah KFC di terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town di Afrika Selatan.
Turut dalam senarai 10 ayam goreng KFC terbaiknya ialah Sri Lanka, Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura, Chile, Filipina dan Korea Selatan.

Apabila Jackie dalam perjalanan perniagaan, beliau akan merasai KFC tempatan bersama Michelle. Kedua-duanya melawat KFC di pelbagai negara untuk memesan ayam goreng asli dan menilai setiap KFC berdasarkan piawaian “TaF-CA” mereka sendiri (singkatan untuk Rasa, Kesegaran, Kerangupan dan Aroma).
“Jika ayam goreng tidak memenuhi kriteria ‘rasa’ pertama, contohnya kerana ia terlalu masin atau terlalu hambar – maka saya tidak mahu terus makan baki ayam goreng itu,” katanya.
Jacky berkata, keluarganya tidak kaya, jadi KFC adalah makanan “mewah” baginya, dan beliau mesti menyimpan wang yang cukup jika mahu makan KFC ketika kecil.

Walaupun beliau sudah pasti merasai lebih banyak KFC daripada orang kebanyakan, dengan lebih daripada 25,000 lokasi KFC di 145 negara, masih terdapat banyak tempat ayam goreng itu yang tinggal untuk beliau mencubanya.
Jacky juga menyedari tidak semua orang akan bersetuju dengan ‘ranking dunia’ ayam goreng KFCnya, dan berkata terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan.
“Ranking pertama adalah berdasarkan pendapat peribadi pada masa saya merasa makanan, kedudukan terendah mungkin tidak mewakili standard negara itu atau hanya kerana restoran makanan segera itu sendiri,” jelasnya.
Pilihan Editor: