26.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Utama Blog Laman 371

Empat sekolah di Sandakan, Sabah diarah tutup selepas 14 kes Covid-19 dikesan

0

KOTA KINABALU: Empat buah sekolah di Sandakan, Sabah telah diarah tutup susulan 10 orang pelajar dan empat orang guru disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang dijalankan dari 20 Januari hingga 26 Januari lalu.

Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun pada sidang media laporan harian Covid-19 di Sabah pada Jumaat,  29 Januari.

SabahPost.net

Menurutnya, jangkitan tersebut melibatkan seorang guru di Sekolah Menengah St. Mary Sandakan, tujuh orang pelajar asrama, seorang pelajar harian dan dua orang guru di SMK Elopura Bestari, seorang guru dan seorang pelajar di SMK Batu Sapi dan seorang pelajar di SMK Perempuan Sandakan.

“Empat sekolah yang terbabit telah diarahkan tutup selama 10 hari (bermula hari Rabu, 27 Januari) oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi dan membendung penularan Covid-19 di sekolah,” katanya.

Sehubungan pengumuman penutupan empat buah sekolah terbabit, Datuk Masidi Manjun memaklumkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan terus dijalankan seperti biasa bagi murid yang tidak dijangkiti.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Masidi Manjun turut menyatakan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat satu kes jangkitan yang melibatkan sebuah tadika swasta di negeri itu. Walau bagaimanapun, pihaknya masih belum mendapat kepastian sama ada pesakit tersebut adalah dari kalangan pelajar mahupun guru tadika.

Simpati lihat wanita tua makan seorang diri, tindakan tiga sekawan membuatkan wanita yang baru kehilangan suami itu gembira

0

Dalam kehidupan ini, kita sentiasa mengimpikan penamat yang bahagia misalnya hidup sehingga ke hari tua bersama insan tersayang.

Namun, harus kita ingat bahawa ajal dan maut itu adalah pasti dan kita harus sentiasa menerima hakikat bahawa bila-bila masa sahaja nyawa kita mahupun orang tersayang akan ditarik oleh Yang Maha Esa.

Oleh demikian, tidak salah sekiranya kita sentiasa berbuat baik dengan orang lain dan menceriakan hari mereka. Mungkin dengan senyuman manis yang kita berikan, dapat mengubati kesedihan seseorang yang baru kehilangan insan tersayang.

Pada 28 Januari lalu, sebuah akaun Facebook Trending World by The Epoch Times telah berkongsi satu kisah menarik yang sehingga kini meraih 11k tanda suka! Kisah tersebut adalah mengenai seorang pemuda dikenali sebagai Jamario Howard dan seorang wanita warga ema

Paparan Skrin/YouTube

Jamario yang berasal dari Lincoln, Alabama dikatakan telah pergi ke sebuah restoran yang terletak di Oxford bersama dua lagi rakannya, JaMychol Baker dan Tae Knight. Ketiga-tiga rakan ini kemudian membuat pesanan makan malam dan sementara menunggu hidangan mereka disediakan, Jamario melihat seorang wanita warga emas sedang makan seorang diri tanpa ditemani oleh sesiapa.

Jamario yang berasa tidak senang apabila melihat wanita tua itu sendirian bingkas bangun dari tempat duduknya dan menghampiri wanita berkenaan. Dia meminta izin untuk duduk bersamanya dan mereka mula berbual.

Paparan Skrin/YouTube

Ketika sedang asyik berbual, barulah Jamario tahu bahawa wanita ini telah kehilangan suami tercinta. Lebih memilukan lagi, keesokan harinya merupakan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-60!

Paparan Skrin/YouTube

Simpati dengan nasib wanita itu, Jamario sempat mengucapkan takziah sebelum mengajak wanita tua itu untuk makan bersama dia dan rakan-rakannya. Wanita ini kemudian terus bersetuju dan sangat gembira kerana Jamario sudi untuk meluangkan makan malam itu bersamanya.

Trending World by Epoch Times/Facebook

Peristiwa itu berakhir dengan banyak kenangan manis dan mereka sempat mengambil swafoto bersama sebagai tanda ingatan. Jamario memuat naik gambar berkenaan ke Facebook dengan kapsyen:
“Perkara paling penting adalah sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Wanita ini telah mengubah pandangan hidup saya dan bagaimana saya melihat orang lain. Setiap manusia mempunyai kisah tersendiri. Oleh itu, jangan menilai individu dari luaran. Saya tekankan kepada anda semua untuk pergi berjumpa dengan orang tua anda. Mereka merindui anda!!”.

Hampir mati setelah ditinggalkan ibu, anak kucing ini membesar menjadi kucing yang sangat comel berkat pengorbanan empat remaja

0

Pernahkah anda mendengar kisah tentang anak itik yang hodoh? Mengisahkan tentang seekor itik yang sering dipinggirkan oleh ibu itik dan haiwan-haiwan lain disebabkan oleh rupanya yang hodoh.

Namun, apabila anak itik ini membesar, fizikalnya berubah menjadi seekor angsa yang cantik dan membuatkannya disayangi oleh haiwan lain.

ddojoy

Kisah yang akan dikongsikan ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan kisah anak itik yang hodoh itu. Baru-baru ini, beberapa pelajar kolej telah menemui seekor anak kucing yang masih kecil.

Anak kucing yang malang itu ditemui di kawasan padang rumput tanpa ibunya di sisi. Lebih menyedihkan lagi, anak kucing itu kelihatan masih bayi dan belum membukakan matanya.

ddojoy

Simpati dengan keadaan anak kucing itu, pelajar kolej ini mengambil keputusan untuk memeliharanya di asrama secara senyap memandangkan haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan asrama.

ddojoy

Lelaki ini membawa anak kucing yang malang itu dan memberitahu tiga lagi rakan sebilik yang lain. Sebaik sahaja melihat keadaan anak kucing itu, ketiga-tiga mereka tidak sanggup untuk membiarkannya dan memutuskan untuk menjaga anak kucing itu sebaik mungkin.

Mereka membaluti tubuh anak kucing ini dengan tuala dan menjaganya sepanjang malam kerana khuatir anak kucing ini kesejukan.

ddojoy

Mereka kemudiannya mengambil inisiatif untuk mendapatkan susu kucing dan botol untuk membolehkan anak kucing ini menyusu. Menakjubkan, anak kucing yang kelaparan ini terus menghisap botol susunya sehingga habis!

Lama-kelamaan, anak kucing ini kelihatan semakin bertenaga dan telah membuka matanya untuk melihat dunia buat pertama kali.

ddojoy

Tidak lama kemudian, berkat pengorbanan keempat-empat rakan sebilik itu dalam menjaga kebajikan anak kucing ini, anak kucing tersebut akhirnya membesar menjadi seekor kucing yang sangat comel! Terlampau comel sehinggakan ramai yang tidak mempercayai ia adalah anak kucing yang hampir mati suatu ketika dahulu.

ddojoy

Ustaz Ebit Lew dan pasukan memulakan misi 10 hari salur bantuan bekalan ke pantai timur Sabah

0

Pendakwah selebriti Ustaz Ebit Lew memulakan misi 10 hari ke pantai timur Sabah yang bermula Khamis 28 Januari, bagi membawa bantuan bekalan kepada mereka yang memerlukan di empat daerah.

Pengasas Pertubuhan Kasih Umat Malaysia (PKUM) tersebut bersama misi bantuannya menaiki penerbangan ke Tawau dari Kuala Lumpur pada pagi 28 Januari dan akan terus ke Lahad Datu bagi melaksanakan program pertamanya bersama iringan pasukan polis di ibu pejabat polis daerah di sana pada sebelah petang.

Dalam postingnya di Facebook dan Instagram, usahawan dan dermawan itu berkata sebanyak 1,000 bungkusan dan set makanan, 100 kerusi roda, 75,000 pelitup muka dan 200 tablet multimedia untuk pelajar yang memerlukan telah diterbangkan ke Sabah dalam misi tersebut.

Pertubuhan Kasih Umat Malaysia | Facebook

Ketua sukarelawan PKUM Sabah Mohamad Ikhsan Helzy Sutarso berkata berdasarkan program dan rancangan awal, mereka akan menuju ke Kunak pada hari Sabtu, 30 Januari sebelum ke Semporna untuk berinteraksi dengan masyarakat di sana, dan kemudian kembali ke Tawau.

Beliau tidak dapat memberikan perincian lanjut bakal penerima kerana sukarelawan masih mengemas kini daftar, tetapi berkata mereka dijadualkan mengunjungi empat kampung di Lahad Datu dan hospital daerah di Sabah.

“Bagi alat yang digunakan oleh pelajar untuk pembelajaran dalam talian, pihak kami telah meminta bantuan pihak pentadbiran sekolah dan guru untuk mengenal pasti mereka yang benar-benar memerlukannya untuk PdPR (pembelajaran di rumah),” katanya.

“Sejak sesi sekolah dimulakan, mereka (pihak sekolah) telah dapat menentukan pelajar mana yang menghadapi kesulitan,” kata Ikhsan, sambil menambah bahawa butiran angka dibincangkan pada malam 28 Januari semasa taklimat mereka.

Ustaz Ebit Lew menerusi posting di media sosial pada 28 Januari meluahkan rasa syukur kerana pasukan sukarelawan diberi harga istimewa oleh MAS untuk penerbangan semasa misi bantuan tersebut.

Malaysia Airline | Facebook

“Kami ada berbincang berkenaan misi lain. Malaysia Airlines juga akan bergabung dalam misi amal lain, walaupun pihak mereka terkesan dengan Covid-19 itu sendiri, ”katanya dalam posting itu.

Sumbangan bekalan bantuan sebelum ini telah diterbangkan melalui tajaan syarikat penerbangan kargo MyJet Xpress dan syarikat perkhidmatan sokongan Zen Aviation.

Didoakan semoga segala urusan misi bantuan Ustaz Ebit Lew dan pasukannya di Sabah berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

Pengeluar roti Massimo umum gangguan sementara operasi kilang ekoran langkah pematuhan SOP COVID-19

0

Pengeluar jenama roti tempatan jenama Massimo, The Italian Baker Sdn. Bhd. telah mengumumkan pemberhentian sementara operasinya yang akan menganggu pengeluaran bekalan roti, selama 7 hari berikutan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kepada penularan COVID-19.

Menurut pengumuman di laman Facebook rasmi syarikat itu, “berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Klang, akan terdapat beberapa gangguan sementara dalam operasi kilang”. 

Tambah pihak mereka lagi, ini adalah sebahagian daripada langkah dan usaha mereka untuk “menerapkan langkah berjaga-jaga dan pencegahan tambahan akan risiko jangkitan COVID-19 yang bersesuaian dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Klang”.

Massimo Bread | Facebook

Kenyataan itu turut menyebut akan keprihatinan yang tinggi terhadap kesejahteraan pelanggan dan pekerja syarikat itu.

Dengan itu, pihak mereka akan mengambil semua langkah yang diperlukan dalam menguatkuasakan SOP yang telah ditetapkan, dengan bekerjasama bersama pelbagai pihak berkuasa tempatan dan kerajaan seperti KKM, MITI, dan juga majlis perbandaran tempatan.

Pihak The Italian Baker Sdn Bhd berkata operasi pengeluaran roti Massimo akan dimulakan dengan segera atau secepat mungkin, dan akan diumumkan kelak.

Massimo Bread | Facebook

Sementera itu, jurucakap Majlis Perbandaran Klang berkata pihak mereka telah menjalankan operasi pematuhan SOP ke kilang roti tersebut dan mendapati premis kilang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Pihak kami mendapati bahawa premis kilang sangat sesak, dan pekerja tidak menjaga jarak fizikal. Kilang tidak menyediakan alat pembersih tangan dan sanitizer yang mencukupi, tidak menyediakan panduan dan langkah-langkah pencegahan wabak mencukupi, bahkan persekitaran tempat kerja juga kurang bersih,” katanya.

Oleh itu, berdasarkan arahan di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988, pihak MPK dan KKM telah memerintahkan supaya operasi kilang tersebut dihentikan sementara selama 7 hari bermula 25 Januari sehingga 1 Februari.

“Adakah awak robot? Kenapa awak tak boleh faham?”. Sikap perkhidmatan pelanggan Foodpanda yang balas seperti robot buat wanita ini geram dan kelaparan

0

Menempah pesanan makanan secara atas talian merupakan satu perkara yang normal terutamanya di kawasan bandar kerana ianya mudah, menjimatkan masa serta menawarkan banyak pilihan makanan enak.

Dengan adanya platform penjualan makanan atas talian ini, menikmati makanan menjadi lebih mudah. Namun, apa perasaan anda sekiranya makanan yang ditempah telah habis dan saluran perkhidmatan pelanggan tidak memberikan kerjasama yang baik sekali gus membuatkan anda kelaparan dan marah pada masa yang sama.

Baru-baru ini, seorang pelanggan telah menempah makanan menerusi platform Foodpanda dan kecewa dengan tindakan seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan yang tidak memberikan kerjasama.

Pada awalnya, wanita ini telah menempah makanan di McDonalds namun sebaik sahaja pekerja penghantaran makanan tiba di restoran tersebut, menunya telah berubah ke menu tengahari dan hal ini membuatkan pekerja penghantaran makanan itu terpaksa meminta wanita berkenaan untuk membatalkan pesanannya.

Wanita ini kemudiannya meminta bantuan daripada pusat perkhidmatan pelanggan Foodpanda untuk membatalkan pesanannya namun jawapan yang diterima sungguh mengecewakan malah lebih menyakitkan hati lagi, pegawai perkhidmatan pelanggan tersebut seolah-olah enggan memahami situasi dan membalas seperti robot!

Meskipun berulang kali wanita ini menyatakan bahawa penghantar makanan tidak dapat menghantar makanannya kerana restoran tidak dapat menyediakan menu tersebut, pegawai perkhidmatan pelanggan tetap berkeras dan meminta supaya wanita ini menunggu makanannya tiba.

Berikut merupakan perbualan yang telah ditangkap layar oleh wanita tersebut:

Mothership

Pelanggan : Penghantar makanan telah bercakap dengan McDonalds dan mereka meminta saya untuk membatalkan tempahan
Perkhidmatan Pelanggan : Oh tidak! Mohon maaf tetapi pesanan anda akan tiba lewat disebabkan oleh jumlah pesanan yang tinggi di kawasan anda. Anda dijangkakan akan menerima pesanan pada jam 5.13 pagi. Anda adalah keutamaan kami dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mempercepatkan tempahan makanan anda!

Mothership

Pelanggan : Apa?! Penghantar makanan beritahu McDonalds minta saya untuk batalkan pesanan
Perkhidmatan Pelanggan : Saya lihat pesanan anda sedang disediakan oleh restoran.

Mothership

Perkhidmatan Pelanggan : Sila tunggu pesanan anda tiba. Jika pesanan anda tidak mencukupi, anda boleh hubungi kami semula.
Pelanggan : Saya sangat keliru. Penghantar makanan beritahu saya tidak akan dapat makanan saya tetapi anda kata saya akan dapat makanan itu.

Mothership

Pelanggan : Boleh anda bercakap dengan penghantar makanan saya? Dia beritahu menunya telah berubah.
Perkhidmatan Pelanggan : Pesanan anda tidak dibatalkan dan telah diterima oleh restoran. Pesanan anda sedang disediakan oleh restoran.

Mothership

Pelanggan : Anda dan penghantar makanan memberitahu saya dua perkara yang berbeza.
Perkhidmatan Pelanggan : Sila tunggu pesanan anda dan jika ada sebarang isu berkenaan pesanan tersebut, anda boleh hubungi kami lagi. Jangan bimbang, pesanan anda sedang disediakan.
Pelanggan : Baiklah, saya akan tunggu.

Sebaik sahaja menerima jawapan itu, wanita ini terus memaklumkan kepada penghantar makanan tersebut. Namun, penghantar makanan tersebut menegaskan bahawa pihak restoran cuma mempunyai menu untuk sarapan dan tidak boleh membatalkan pesanan yang telah dibuat. Dia turut memaklumkan bahawa hanya pelanggan sahaja yang boleh membatalkan pesanan menerusi Pusat Bantuan Foodpanda.

Jelasnya lagi, sekiranya penghantar makanan yang menekan butang untuk membatalkan pesanan, pesanan tersebut akan diberikan kepada penghantar makanan lain dan isu ini tidak akan diselesaikan.

Akhirnya, penghantar makanan ini mengambil keputusan untuk meneruskan pesanan namun bezanya, tiada makanan yang akan dihantar ke rumah wanita tersebut. Hal ini adalah bagi membolehkan wanita ini membuat tuntutan pembayaran balik dan membuat pesanan makanan yang baru.

Mothership

Perkhidmatan Pelanggan : Sila tunggu kerana pesanan anda telah diterima oleh restoran dan jika terdapat sebarang isu, anda boleh hubungi kami semula. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?
Pelanggan : Penghantar makanan akan datang tanpa membawa makanan. Anda beritahu saya cara untuk membuat tuntutan pembayaran balik.

Mothership

Perkhidmatan Pelanggan : Saya lihat pesanan anda telah diambil oleh penghantar makanan.
Pelanggan : Tanpa makanan. Dia hanya akan menghantar kerana anda tidak mahu membatalkan pesanan saya.

Mothership

Perkhidmatan Pelanggan : Sila tunggu pesanan anda dan sekiranya penghantar makanan menghantar makanan dan didapati ada yang tidak mencukupi, anda boleh hubungi kami semula.
Pelanggan : Oh tuhan, adakah awak robot? Kenapa awak tidak faham? Penghantar makanan akan datang tanpa menghantar apa-apa supaya pesanan ini lengkap.

Mothership

Perkhidmatan Pelanggan : Jika anda mahu saya membatalkan pesanan, anda akan dikenakan bayaran untuk pesanan ini.
Pelanggan : Kenapa? Saya tidak menerima makanan dan mengapa saya perlu membayarnya?
Perkhidmatan Pelanggan : Disebabkan itu saya minta anda untuk menunggu pesanan tiba.

Perkongsian ini menjadi tular dan membuatkan ramai turut sama berasa berang apabila membayangkan situasi tersebut berlaku. Peristiwa ini turut mendapat perhatian daripada Foodpanda sendiri dan wakil jurucakapnya memohon maaf di atas insiden yang mengecewakan itu.

“Kami mohon maaf di atas insiden mengecewakan yang berlaku kepada Cik Teo dan pekerja penghantaran makanan kami. Kami kini sedang meneliti perkara ini dan telah menghubungi Cik Teo untuk memperbetulkan isu ini. Kami mengambil kira maklum balas pelanggan kami dan akan mengambil langkah dalam memastikan protokol dilaksanakan oleh pasukan perkhidmatan pelanggan, penghantar makanan dan rakan niaga bagi menjamin pengalaman terbaik kepada semua orang”.

Pertemuan semula antara hidup dan mati, kisah derita keluarga penyampai berita

0

Sebelum tangkapan ini, Wang Huijuan telah melalui lapan soal siasat dalam tahanan pihak berkuasa, tetapi situasinya lebih serius lagi pada kali ini. Wang Huijuan, seorang guru yang mengajar di sekolah rendah di bandar Ninghe, Tianjin, adalah sasaran penangkapan kerajaan PKC. Polis yang menangkapnya akan diberi bonus.

Anggota polis dengan teruja berteriak ‘Guoan’ kepada yang lain di walkie-talkie, “Saya menemui seorang pengamal Falun Gong yang lain!” Dalam sekelip mata, sekumpulan polis bergerak maju dan mengiringi Wang Huijuan ke pusat tahanan setelah semua penumpang diusir keluar dari ruang menunggu.

Pasukan polis yang berada di stesen kereta api menggeledah barang-barang di dalam bagasi Wang Huijuan dan menemui brosur dan DVD di dalamnya. Bahan-bahan ini memberitahu orang awam mengenai penganiayaan PKC terhadap Falun Gong dan juga mendedahkan tohmah dan penipuan yang disebarkan di sebalik media-media bawaan mulut. Polis memintanya untuk memberitahu siapa yang mengarahkan maklumat itu disebar serta di mana ia telah dicetak dan dibuat.

(Pertama hingga ketiga dari kiri) Wang Huijuan, Li Fuyao dan Li Zhenjun menyambut ulang tahun Falun Dafa yang ke-27 dalam perarakan di Manhattan, New York pada 16 Mei, 2019 (Shi Ping/The Epoch Times)

Semasa berada di pusat tahanan, Wang Huijuan berjuang dengan keras. Polis tidak dapat mengikatnya, jadi mereka telah menarik kepalanya dan memukulnya di atas radiator. Mereka juga mengambil pembaris besi di meja lalu memukulnya ke arah kepala dan muka.

“Banyak darah yang keluar, hidung dan mulut semua berdarah, gegendang telinga juga tertusuk. Saya memikirkan satu perkara pada masa itu. Saya akan mati, tetapi saya tidak akan mengkhianati rakan pengamal yang lain walaupun saya mati. Saya tidak akan melepaskan kepercayaan saya,” kata Wang Huijuan dengan tenang, yang kini terpaksa memakai alat pendengaran ketika ditemuramah di pangsapurinya di New York.

Wang Huijuan menghabiskan tujuh tahun berikutnya di dalam penjara. Terpisah daripada suami dan anak perempuannya yang masih kecil, wanita ini telah mengalami pelbagai penganiayaan, termasuk dipaksa menjalani pendidikan semula, penyeksaan, dipukul dengan teruk, dikurung dalam bilik denda semalaman, dihadkan mendapat akses ke tandas, larangan mandi dan lain-lain.

Dalam usaha membantah penganiayaan itu, Wang Huijuan melakukan mogok lapar sebanyak dua kali. Selama tempoh itu, dia diberi makan lebih sepuluh kali, dan setiap kali itu dia menderita penderaan secara fizikal, dan pegawai penjara juga mengugut untuk memberi ancaman ke atas keselamatan peribadi anak perempuannya. 

“Mereka menggunakan segala kaedah untuk ‘mengubah pendirian’ anda. Mereka mahu anda berada terdesak dan menandatangani kertas itu yang menyatakan bahawa anda tidak akan berlatih Falun Dafa lagi,” kata Wang Huijuan. 

“Jika anda enggan menukar agama atau beralih kepercayaan, mereka akan menahan anda daripada melihat keluarga anda, anda akan diusir dari tempat kerja anda, dan rakan sekerja juga akan menerima masalah, polis akan mengenakan denda, mereka mesti mengemukakan petunjuk,” tambahnya.

Dan jika anda menandatangani perakuan transformasi itu, penyeksaan psikologi tidak akan berakhir di sana, kerana anda akan menjadi alat untuk mengubah kepercayaan para pengamal lain.

Wang Huijuan, Li Fuyao dan Li Zhenjun bergambar keluarga bersama di pangsapuri mereka di Queens, New York. Selepas mengalami penganiayaan secara kejam kerana mengamalkan Falun Gong, keluarga ini meninggalkan China dan mendapat suaka politik di Amerika Syarikat. (Samira Bouaou/Epoch Times)

Penganiayaan kejam

Dalam masa sepuluh tahun kebelakangan, Wang Huijuan dan suaminya Li Zhenjun secara berulang kali telah dipaksa mengalami pencucian otak, pendidikan semula di kem buruh paksa, dan menjalani hukuman, hanya kerana mereka menolak untuk melepaskan kepercayaan dan amalan Falun Gong.

Falun Gong diperkenalkan pada tahun 1992, yang mana para pengamal berpandukan prinsip Sejati, Baik, Sabar. Pada tahun 1998, ketika pasangan ini mula berlatih, badan Parti Komunis China melakukan tinjauan dan kaji selidik, lalu mendapati bahawa jumlah penyembuhan dan kecergasan Falun Gong yang efektif adalah sebanyak 97.9% pada tahun 1999, dan secara rasmi dianggarkan terdapat 70 juta pengamal Falun Gong di seluruh negara. Pada waktu itu, di taman-taman di seluruh China, telah dilihat kumpulan yang mengamalkan latihan dan senaman Falun Gong bersama setiap pagi.

Namun begitu, ideologi Parti Komunis adalah ateisme, dan penyebaran ajaran Falun Gong telah menimbulkan rasa cemburu dan ketakutan terhadap Jiang Zemin, Setiausaha Umum Parti Komunis China ketika itu.

Pada 20 Julai 1999, Jiang Zemin memulakan gerakan penganiayaan Falun Gong yang diperintahkan ke seluruh China. Perintah rahsia yang bertujuan untuk ‘membasmi Falun Gong dalam jangka masa tiga bulan’ dengan ‘memotong punca ekonomi, membangkitkan reputasi buruk, dan penghapusan secara fizikal’.

Jiang Zemin juga menubuhkan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan ‘Pejabat 610’ tempatan di pelbagai peringkat bandar dan wilayah. Organisasi ‘ekstra-disahkan undang-undang’ ini, menyerupai organisasi Gestapo yang diperintahkan oleh kumpulan Jiang Zemin untuk arahan dan penganiayaan Falun Gong. Terdapat kakitangan peringkat ‘keselamatan negara’ ditempatkan di kilang, sekolah dan agensi negara. Tugas mereka adalah untuk memastikan semua rakyat konsisten bersama parti.

Amnesty International mempercayai bahawa terdapat percubaan politik untuk menekan Falun Gong. Organisasi tersebut melaporkan dalam satu kenyataan pada bulan Mac 2000, “Sebilangan besar mereka yang dianiaya adalah rakyat biasa. Mereka hanya mengamalkan kebebasan terhadap kepercayaan, berpersatuan dan bermasyarakat serta hak bersuara.”

Li Zhenjun, Li Fuyao dan Wang Huijuan sedang bermeditasi di rumah mereka di New York. Ada kalanya keluarga tiga beranak ini masih tidak mempercayai mereka kini mampu menikmati kebebasan dan bersatu semula sebagai satu keluarga. (Samira Bouaou/Epoch Times)

Kehilangan zaman kanak-kanak

Fuyao baru berusia 6 tahun ketika ibu bapanya ditangkap buat pertama kali dan dihantar ke kem tahanan buruh dan pusat pendidikan semula.

“Saya keliru dan tidak memahami apa yang berlaku. Tetapi saya tahu ibu bapa saya benar. Mereka berpegang teguh kepada kepercayaan mereka,” kata Fuyao yang kini berusia 27 tahun.

Gadis kecil ini telah diuji dengan pelbagai cara. Di sekolah, dia berada di bawah pengawasan ketat gurunya dan rakan sekelas memulaukannya, bahkan merosakkan buku teksnya. Beberapa rakan sekelas menolaknya ke tanah dan memukulnya. Pada tahun-tahun ketika ibu bapanya tidak bersama dengannya, satu-satunya orang yang sering berada di sisi adalah datuk.

Lelaki tua berusia lebih tujuh puluh tahun itu bimbang akan keselamatan anak dan menantunya. Demi membayar wang tuisyen, datuknya telah membawa Fuyao sebanyak dua kali ke Biro Keselamatan Awam untuk meminta wang tunai 10,000 yuan yang telah dirampas oleh polis ketika mereka menggeledah rumahnya. Dimaklumkan bahawa wang tersebut adalah dari ‘yuran aktiviti Falun Gong’ yang tidak boleh dikembalikan.

Pada tahun kedua Wang Huijuan dipenjarakan, keluarganya juga pergi ke sekolah untuk meminta gajinya yang tertunggak, tetapi pihak sekolah memberitahu ‘kes telah selesai’ (merujuk Wang Huijuan telah ditangkap) dan gajinya telah diberikan kepada anggota polis yang menyelesaikan kes itu sebagai bonus.

Melalui ekspresi wajah Fuyao yang lembut dan damai, anda tidak dapat merasakan sedikit pun perasaan membenci ibu bapanya. Fuyao berkata dia selalu menyedari dan tahu kedua ibu bapanya tidak melakukan kejahatan, “Saya menghormati segala pengorbanan yang mereka lakukan dan mereka terus bertahan.”

Wang Huijuan berkata, memikirkan tahun-tahun hidup terpisah dengan anak perempuannya, dia masih merasakan kesakitan dalam hati yang teramat sangat.

“Setelah dibawa pergi, yang paling dibimbangkan adalah anak perempuan saya. Dia masih kecil, bagaimana dia boleh menghadapi semua ini?” kata Wang Huijuan.

Ibu ini mengingati kembali ketika Fuyao datang menemuinya di penjara, dia bertanya kepadanya, “Kamu mahu ibu berubah fikiran dan pulang ke rumah, atau berpegang teguh kepada kepercayaan dan bersuara tanpa hati nurani? Jika ibu mendedahkan kebenaran, mereka akan mendiamkan ibu.”

Wang Huijuan berkata, “Saya menangis, dan dia mengesat air mata saya dengan jari-jemarinya, dan dia berkata sambil menitiskan air mata, ‘Ibu, tetap kuatkan hati’.”

Wang Huijuan, Li Fuyao semasa kecil didukung oleh Li Zhenjun dalam gambar yang diambil pada tahun 1995. (Gambar oleh Li Zhenjun)

Terpaksa memilih

Ketika mengikuti protes di Beijing untuk membantah penganiayaan untuk pertama kali, ayah Fuyao, Li Zhenjun berasa patah hati. Ia berlaku pada Oktober 1999, di Dataran Tiananmen berhampiran Zhongnanhai. Para pengamal Falun Gong berhimpun dari seluruh negara setiap hari untuk meminta kerajaan “mengembali dan membebaskan Falun Gong yang tidak bersalah.” Ia juga merupakan tempat di mana pembunuhan beramai-ramai 4 Jun telah berlaku.

“Saya memegang anak perempuan saya pada pagi itu, dan saya menangis, memikirkan ini mungkin kali terakhir saya melihatnya.” kata Li Zhenjun. Pada waktu itu, dia adalah pengacara program berita di Biro Radio dan Televisyen Daerah Ninghe di Tianjin.

Li Zhenjun mengetahui akan bahaya protes aman. Sejak bulan Julai 1999, ribuan pengamal Falun Gong telah ditahan secara salah dan dimasukkan ke kem buruh paksa dan pusat pendidikan semula. Penyeksaan dan kematian mengejut yang menyusul sentiasa didengarinya dari semasa ke semasa.

Melalui latihan, Li Zhenjun mengalami keajaiban Falun Gong secara langsung. Dia menderita hepatitis B kronik, dan pada bulan Julai 1998, hospital memberitahu kepadanya bahawa penyakit itu tidak dapat disembuhkan. Sejak itu, dia mula berlatih dan belajar Falun Gong, dan dalam masa sebulan, tubuhnya menjadi sangat kuat.

“Saya tidak keluar untuk bersuara, siapa (untuk Falun Gong) yang bersuara? Tetapi ketika saya pergi ke Dataran Tiananmen, saya fikir diri mungkin terbunuh,” Li Zhenjun menetapkan dalam mindanya.

Pendirian ini telah mendorongnya memutuskan untuk pergi ke Dataran Tiananmen. “Falun Dafa memberi saya kehidupan kedua dan saya berhak untuk berlatih secara bebas di China. Jika saya tidak keluar untuk bersuara, siapa lagi (bagi pihak Falun Gong) yang boleh bersuara? Tetapi ketika saya pergi di Dataran Tiananmen, saya fikir diri mungkin terbunuh,” kata Li Zhenjun.

Li Zhenjun ditangkap sebaik sahaja dia melangkah menuju ke dataran. Beberapa hari kemudian, Li Zhenjun dijatuhi hukuman menjalani pendidikan semula melalui kerja buruh selama tiga tahun di kem tahanan buruh. Tanpa melalui prosedur undang-undang dan hanya seorang anggota polis mengambil sehelai kertas untuk membaca hukuman itu ke atasnya. Tiada kesalahan, tiada pertuduhan dan tiada rayuan untuk pembelaan, hanya kerana dia berlatih Falun Gong, dan apa yang menantinya adalah dipenjarakan secara salah selama bertahun-tahun.

“Saya warganegara yang baik, perkara ini tidak masuk akal,” kata Li Zhenjun.

Li Zhenjun menceritakan kembali penganiayaan yang dilakukan pihak rejim ke atasnya di China ketika temuramah di pangsapurinya di New York. (Samira Bouaou/Epoch Times)

Polis mengarahkan kakitangan dalam kem tahanan buruh mencukur rambut Li dan memaksanya mengenakan seragam kem buruh berwarna biru tua. Dia ditempatkan di dalam bilik kecil dengan 6 katil berkembar. Tiada selimut yang disediakan. Penghuni hanya terus berbaring di atas papan ringan. Sekiranya keluarga membawakan selimut, hanya selimut ini sahaja yang akan menghangatkan badan penghuninya.

“Oleh kerana tidak melihat matahari untuk jangka waktu yang lama, ramai tahanan yang menderita kudis atau kurap. Pada malam hari, terdapat banyak serangga dan pepijat di tempat tidur dan di belakang badan. Setelah digigit, ramai akan merasa gatal dan badan beruam serta timbul lebam merah. Ia tidak akan hilang selama beberapa hari. Kadang-kadang apabila saya berasa gatal di belakang badan semasa tidur, saya duduk dan melelapkan mata di tempat tidur itu dengan tangan saya, dan dapati banyak pepijat yang mati,” kata Li Zhenjun.

Setiap hari bermula jam 5 pagi, kakitangan kem tahanan buruh memanggil semua tahanan supaya bangun dan bersiap untuk bekerja. Mereka mesti mengalihkan selimut yang ada ke tempat lain dan menyembunyikannya, dan kemudian menggunakan cadar putih yang diberikan oleh polis untuk membentuk selimut itu menjadi seperti ‘blok tauhu’. Ia diletak dengan teliti di sudut hujung katil, kelihatan kemas dari luar. Anda tidak boleh duduk atau berbaring di atas katil yang telah siap dikemas. Ini adalah untuk orang yang datang memeriksa.

Makanan yang diberi pula lebih sukar untuk ditelan.

“Bangkai serangga timbul terapung di atas sup sayur-sayuran di dalam mangkuk nasi. Ini adalah daripada sayur yang dituangkan ke dalam periuk dan direbus tanpa dicuci. Bubur hanya dicampur dengan air paip. Hampir tidak ada butir beras,” cerita Li Zhenjun yang masih bersedih apabila melihat sayur-sayuran dimasak bersama terung atau lobak merah.

“Kem buruh hanya memberikan lima roti kukus sebesar penumbuk setiap hari, dan najis tikus sering dapat dilihat di keliling roti kukus. Pagi dan malam berwarna hitam, dan yang diberikan pada waktu tengah hari sedikit lebih putih,” kata Li Zhenjun.

Selama lebih dua tahun dengan menahan lapar dan menderita penyeksaan, Li Zhenjun bekerja tujuh hari seminggu, 14 jam sehari, menjahit bola sepak peringatan untuk Piala Dunia 2002 di bilik yang kotor dan tidak berkemas, tanpa sebarang bayaran.

Setelah ditahan secara salah buat pertama kali, Li Zhenjun menjadi sasaran penyeksaan semasa di soal siasat. Polis menendangnya ke lantai dan memukulnya dengan teruk berulang kali. (Minghui.net)

Dia perlu menjahit empat bola setiap hari. Tidak ada ruang untuk berunding dengan bebanan kerja ini. Sebiji bola mempunyai 32 keping kulit membentuk 20 keping bentuk heksagon dan 12 keping bentuk pentagonal. Kira-kira 1,800 jahitan perlu dijahit. Untuk setiap jahitan, kedua-dua lengan mesti diregangkan ke kedua sisi. Li Zhenjun terkena toksin daripada kulit tiruan hari demi hari, dan jarinya sering menerima jangkitan, berdarah dan bernanah, terutama ketika jari-jarinya secara tidak sengaja tertusuk jarum.

“Dari jam 6 pagi hingga sekurang-kurangnya jam 10 malam, anda hanya dibenarkan ke tandas sebanyak dua kali yang berada di tengah, dan setiap kali itu ia tidak boleh melebihi 5 minit. Saya dapat melakukannya dengan pantas. Mereka yang gagal melakukannya akan dipukul,” kata Li Zhenjun.

Di sana, tahanan yang ingin mengambil hati polis sering memukul pengamal Falun Gong dengan teruk. Li Zhenjun berkata tahanan ini biasanya yang terburuk di kem tahanan buruh. Contohnya, mereka yang memukulnya dihantar ke kem buruh untuk mewujudkan penjara peribadi dan memenjarakan orang lain selama bertahun-tahun.

Setiap malam dari jam 9 hingga 11 malam, Li Zhenjun dan pengamal Falun Gong lain dipaksa duduk di bangku kecil dan ‘belajar’ selama 2 jam tanpa mengira sama ada tempoh kerja buruh paksa telah berakhir. ‘Belajar’ itu bermaksud bahawa badan mesti berposisi duduk tegak yang tetap, dengan mata menatap lurus ke hadapan, tidak boleh bercakap atau bergerak. Jika anda melihat satu sama lain, anda akan segera mencetuskan satu pukulan yang ganas.

Fuyao hanya dapat melihat bapanya sebanyak dua kali setahun, dan dia akan sentiasa mendorong bapanya dengan kata-kata memintanya bertahan melalui perbualan halangan kaca bermikrofon.

“Fuyao sering menulis surat kepada saya dengan menyatakan, anda mesti mematuhi dan berpegang kepada prinsip anda,” kata Li Zhenjun.

Selesai menjalani tempoh wajibnya di kem tahanan buruh, Li Zhenjun ditangkap sekali lagi dan kali ini dijatuhi hukuman empat tahun penjara.

Bencana negara

Jurucakap Pusat Maklumat Falun Dafa, Levi Browde berkata jumlah keluarga dari China yang terjejas secara langsung akibat penganiayaan ini sukar untuk dikira secara tepat.

Menurut Browder dalam e-melnya pada tahun 1999, ketika penganiayaan Falun Gong dimulakan, dianggarkan seramai 70 juta hingga 100 juta orang di China berlatih Falun Gong, yang bermaksud bahawa 1 dalam setiap 13 rakyat China menjadi ‘musuh negara’.

“Tiga belas penduduk, jika anda memfitnah mereka dan membiarkan ahli keluarga anda menentang mereka, apa kesannya? Ini adalah bencana,” tulisnya.

Browder juga menyebut kebiasaan rejim PKC yang memaksa anggota keluarga untuk memberontak antara satu sama lain adalah taktik biasa. Mereka menggunakan ketakutan untuk memastikan kawalan rakyat. Taktik ini telah berulang kali dipraktik dan diperkuatkan dalam gerakan politik seperti Revolusi Budaya.

“Sampai pada tahap tertentu, penganiayaan terhadap Falun Gong hanyalah cetusan ‘kekacauan’ terbaru oleh Parti Komunis untuk menekan minda dan hati rakyat,” kata Browder.

Mengapa pengamal Falun Gong yang merupakan ibu bapa memilih untuk terus berlatih apabila mereka mempunyai pilihan untuk melindungi keluarga mereka? Browder menjelaskan, “Falun Gong mewakili jati diri mereka di peringkat kerohanian, jadi anda (PKC) meminta mereka untuk menyekat semangat mereka. Lebih-lebih lagi, walaupun dipaksa ‘mengundurkan diri’, mereka tidak akan berdiam diri. Mereka sering dipaksa untuk berdamai. Ia bukan sekadar meninggalkan siapa diri anda yang sebenar.”

Selepas dibebaskan dari penjara

Li Zhenjun, Li Fuyao dan Wang Huijuan bergambar keluarga ketika berada di Gunung Tai pada 17 Disember, 2011. (Gambar oleh Li Zhenjun)

Setelah Wang Huijuan dibebaskan, keluarga tersebut akhirnya bersatu kembali pada tahun 2009. Li Zhenjun dibebaskan dari penjara pada bulan November 2006 ketika Fuyao berusia 14 tahun.

Wang Huijuan tidak dapat kembali ke sekolah untuk mengajar, dan Li Zhenjun meninggalkan kerjayanya sebagai pengacara televisyen ketika pada pertama kali dia ditangkap.

Pasangan ini membuka syarikat perkhidmatan mengurus perkahwinan. Semasa dalam proses mengadakan acara dan majlis perkahwinan, mereka turut berkongsi pengalaman peribadi dengan orang yang mereka temui untuk memahami pertarungan menentang kebaikan dan kejahatan.

Wang Huijuan berkata mereka suami isteri tidak dihantar kembali ke penjara lagi selepas itu kerana ‘seseorang mengetahui dia dan suaminya adalah orang yang baik’, jadi mereka secara diam-diam saling melindungi. Dan mereka memutuskan untuk meninggalkan China kerana bimbang pegangan dan kepercayaan mereka akan melibatkan bahaya kepada orang lain, yang turut akan mengancam keselamatan keluarga mereka.

“Saya selalu mempunyai rasa bimbang di hati. Saya takut keluarga kami akan berpisah lagi. Kami selalu bimbang polis akan mengetuk pintu, keluarga kami akan ditangkap, dan anak perempuan kami akan ditangkap,” kata Wang Huijuan.

Selamat tiba di tanah bebas

Pada tahun 2014, mereka melihat peluang untuk melarikan diri dari China dan mencari suaka politik di Amerika Syarikat.

Semasa memohon pasport, mereka berdepan situasi gugup dan berasa udara seperti membeku. Pada pautan terakhir, imbasan cap jari secara elektronik mereka mengikut peraturan yang ditetapkan. “Kedua pegawai berdiri tegak di sana dan saling berpandangan. Kemudian salah seorang dari mereka membuat panggilan dan orang di bahagian yang satu lagi mengarahkan mereka untuk menyerahkan kami pasport,” Li Zhenjun mengimbas kembali proses itu.

Pasangan ini tiba di Amerika Syarikat pada 15 Julai 2014, dan Fuyao juga berjaya diterbangkan untuk disatukan semula dengan ibu bapanya, dari Australia.

“Ketika saya menghirup udara segar di sini, menikmati hak dan kebebasan mengamalkan kepercayaan, dan memikirkan rakan pengamal lain yang masih berada di tanah besar, hati saya masih terasa sangat berat,” kata Wang Huijuan.

Li Fuyao sedang bermeditasi di rumahnya di New York. (Samira Bouaou/Epoch Times)

“Pada ketika kami menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat, segala ketakutan kami terus hilang. Kebimbangan dan kegelisahan kami hilang, dan hati kami akhirnya tenang,” kata Wang Huijuan.

“Tetapi trauma jiwa sukar untuk dilenyapkan. Ketika saya menghirup udara segar di sini dan menikmati hak dan kebebasan mengamalkan kepercayaan, saya masih terasa berat di hati ketika memikirkan rakan-rakan yang masih berada di tanah besar,” kata Wang Huijuan.

Pada akhir tahun 2016, keluarga ini mengetahui bahawa 20 pengamal Falun Gong dari kampung halaman mereka di Tianjin telah diculik pada 7 Disember. Wang Huijuan berkata dia segera memanggil pusat tahanan setempat dan meminta polis untuk membebaskan mereka.

“Saya mengenali beberapa orang dalam untuk membantu mereka, dan saya ingin melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mereka agar mereka tidak menanggung penderitaan seperti mana yang pernah saya alami,” katanya.

Di New York, selagi mana Wang Huijuan mempunyai masa, dia akan pergi ke tempat-tempat pelancongan yang popular dan menyebarkan maklumat tentang kebenaran mengenai penganiayaan PKC terhadap Falun Gong kepada pelancong dari China.

Wang Huijuan di hadapan Empire State Building di Manhattan sambil memegang papan pameran untuk membantu para pelancong dari China memahami kebenaran mengenai penganiayaan PKC ke atas Falun Gong. (Samira Bouaou/Epoch Times)

Li Zhenjun yang berusia 47 tahun menjadi pengacara program bual bicara semasa yang popular dari The Epoch Times dan juga bertugas sebagai penyampai berita untuk NTDTV. NTD menyiarkan berita benar dan boleh dipercayai kepada masyarakat Cina di seluruh dunia melalui satelit. Kerjaya ini amat bersesuaian dengan pengalamannya sebagai pengacara dan penyampai berita.

Fuyao mengikut jejak bapanya dan menceburi bidang penyiaran, menjadi pengacara dan mempelajari penerbitan televisyen. Dia juga kini menyertai NTDTV dengan menjadi penyampai berita wanita dan pengacara program kebudayaan dan tradisional.

“Setiap kali saya berhadapan dengan laporan berita mengenai penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong di China, gambar-gambar itu membuat saya bimbang dan membangkitkan kembali kenangan yang menyakitkan. Tetapi perkara-perkara paling teruk sering berlaku, dan kami mempunyai rasa tanggungjawab untuk mendedahkan penganiayaan terhadap mereka,” kata Fuyao.

Li Zhenjun, Li Fuyao dan Wang Huijuan sedang menjalankan meditasi di pangsapuri mereka di Queens, New York. (Samira Bouaou/Epoch Times)

Keluarga ini tinggal di sebuah pangsapuri sederhana di Queens. Keluarga Li adalah keluarga bahagia, yang sangat rapat antara satu sama lain. Wang Huijuan membantu mengambil sehelai rambut gugur anak perempuannya yang jatuh di depan mata dan Li Zhenjun dengan lembut memegang tangan isterinya. Mereka saling berpandangan seolah-olah masih tidak mempercayai bahawa keluarga ini benar-benar telah bersama.

Tetapi ingatan yang menyakitkan tidak pernah pergi jauh. Wang Huijuan berkata, “Kadangkala, memikirkan pengalaman saya di penjara, saya tahu bahawa jika tidak kerana saya mengamalkan Falun Dafa, saya mungkin tidak dapat bertahan. Kesakitan yang dialami semacam itu bukan hanya fizikal. Ini adalah pelbagai jenis kesakitan yang berbeza.”

“Anda bukan orang jahat, anda masih mahu menjadi orang yang lebih baik, tetapi rejim ini memperlakukan para pengamal Falun Gong dengan cara yang paling biadab dan penuh kejahatan, yang tidak dapat dibayangkan oleh seseorang dengan hati yang baik. Untuk menghancurkan hati anda, mereka cuba menghancurkan anda sebagai manusia. Tujuannya bukan untuk membuat anda hilang akal secara fizikal, tetapi secara psikologi, ia akan membuat anda kehilangan harapan dalam hidup,” kata Wang Huijuan.

(Dari kiri) Wang Huijuan, Li Fuyao dan Li Zhenjun menyertai perarakan sambutan ulang tahun Falun Dafa yang ke-27 pada 16 Mei, 2019 di Manhattan, New York. (Shi Ping/The Epoch Times)

Menurut perangkaan Pusat Maklumat Falun Dafa, seorang pengamal Falun Gong dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan tidak sah di penjara dalam masa setiap tiga hari, dan ini hanya kes yang boleh dipercayai dengan nama yang diperiksa.

Kucing comel kantoi ‘curi makan’, pura-pura tak bersalah buat netizen terhibur

0

Lepas melakukan kesalahan, kita sudah pasti akan cuba menutup dan menghilangkan jejak tindakan kita itu bukan?

Namun seekor kucing ini nampaknya ‘terlupa’ untuk menutupi perbuatannya. Kucing comel jenis ‘tabby’ ini sememangnya suka makan.

Menurut sumber, kucing ini pernah sekali membuka peti ais untuk mencuri ikan salmon. Pasti sudah mahir mencuri makanan barangkali.

@silver_stage/Twtter

Baru-baru ini, kucing tersebut sekali lagi melakukan ‘jenayah’ curi apabila ditangkap memakan sesuatu. Kali ini, bukti terbesar ada pada mulutnya!

Inilah si pelakunya. Walaupun comot tetapi masih comel..

@silver_stage/Twtter

Ya, habis comot mulutnya sesudah memakan makanan tanpa kebenaran. Kelihatan warna kekuningan ada pada mulutnya. Apa pula yang dimakannya kali ini agaknya?

Rupa-rupanya kucing bertuah ini berjaya membuka sebekas tepung kacang soya dan menikmatinya. Patutlah comot..

@silver_stage/Twtter

Sungguhpun begitu, kucing tersebut masih tidak menyedarinya dirinya telah ‘terkantoi’ mencuri.

Masih lagi dalam keadaan yang tenang, cuba mengaburi tuannya. Bertuah betul!

Lagi restoran berdekorasi komunis China dikesan, kali ini di Johor Bahru

0

JOHOR BAHRU – Terdapat satu cawangan restoran yang menghidangkan makanan ‘hotpot’ dikenal pasti bertemakan komunis di Taman Mount Austin.

Premis tersebut yang dikenali sebagai ‘Captain Chongqing Tuzao Old Hotpot’ itu difahamkan akan disiasat oleh pihak polis.

Restoran terbabit didekorasi bertemakan komunis China dan dilaporkan papan tanda premis itu sebelum ini pernah diperbaharui selepas ditanggalkan.

Facebook

Namun imej ketenteraan komunis China masih lagi dipaparkan dan menghiasi ruangan premis tersebut.

Kerja-kerja menanggalkan kertas dinding dan hiasan berunsurkan komunis telah dijalankan oleh Majlis Bandar Raya Johor Bahru pada 3 Januari lalu.

Sebelum ini, kenyataan rasmi pihak restoran itu ada memberitahu bahawa pihak polis ada datang dan menyiasat premis mereka.

Facebook

Premis berkenaan juga memberitahu bahawa pihaknya walau bagaimanapun sudah menukar tema restoran terbabit selain menghargai keprihatinan orang ramai.

Tinjauan dibuat pada premis terbabit mendapati bahawa papan tanda mereka telah pun digantikan sementara kertas dinding sudah ditanggalkan.

Menurut sumber, premis tersebut sudah menjalankan perniagaan selama dua tahun.

Facebook

Manakala pelayan restoran digembar-gemburkan memakai uniform komunis semasa bertugas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dikhabarkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media kemudian.

Motosikal terbabas lepas langgar lubang jalan, warga emas disahkan maut

0

Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia setelah motosikal yang ditungganginya terbabas selepas melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke pusat beli belah Mid Valley.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 7:30 pagi dan mangsa, Ho Yan Fee yang berusia 75 tahun meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah.

Asisten Komisioner Zulkefly Yahya selaku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguasaan Trafik (JSPT) berkata, mangsa dalam perjalanan arah Jalan Connaught menghala ke Mid Valley.

“Motosikal mangsa dipercayai terbabas selepas terlanggar lubang pada jalan rosak di lorong tengah di laluan yang mempunyai tiga lorong, sebelum terjatuh”.

Lokasi mangsa terbabas setelah terlanggar lubang jalan/Berita Harian

Anggota pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, kes kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berpunca daripada keadaan jalan yang berlubang telah banyak kali berlaku.

Isu ini difahamkan sudah lama dibangkitkan namun nampaknya keadaan jalan masih jauh daripada penyelesaian. Semoga ia mendapat perhatian pihak sewajarnya.