Pernahkah anda mendengar kisah tentang anak itik yang hodoh? Mengisahkan tentang seekor itik yang sering dipinggirkan oleh ibu itik dan haiwan-haiwan lain disebabkan oleh rupanya yang hodoh.
Namun, apabila anak itik ini membesar, fizikalnya berubah menjadi seekor angsa yang cantik dan membuatkannya disayangi oleh haiwan lain.
Kisah yang akan dikongsikan ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan kisah anak itik yang hodoh itu. Baru-baru ini, beberapa pelajar kolej telah menemui seekor anak kucing yang masih kecil.
Anak kucing yang malang itu ditemui di kawasan padang rumput tanpa ibunya di sisi. Lebih menyedihkan lagi, anak kucing itu kelihatan masih bayi dan belum membukakan matanya.
Simpati dengan keadaan anak kucing itu, pelajar kolej ini mengambil keputusan untuk memeliharanya di asrama secara senyap memandangkan haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan asrama.
Lelaki ini membawa anak kucing yang malang itu dan memberitahu tiga lagi rakan sebilik yang lain. Sebaik sahaja melihat keadaan anak kucing itu, ketiga-tiga mereka tidak sanggup untuk membiarkannya dan memutuskan untuk menjaga anak kucing itu sebaik mungkin.
Mereka membaluti tubuh anak kucing ini dengan tuala dan menjaganya sepanjang malam kerana khuatir anak kucing ini kesejukan.
Mereka kemudiannya mengambil inisiatif untuk mendapatkan susu kucing dan botol untuk membolehkan anak kucing ini menyusu. Menakjubkan, anak kucing yang kelaparan ini terus menghisap botol susunya sehingga habis!
Lama-kelamaan, anak kucing ini kelihatan semakin bertenaga dan telah membuka matanya untuk melihat dunia buat pertama kali.
Tidak lama kemudian, berkat pengorbanan keempat-empat rakan sebilik itu dalam menjaga kebajikan anak kucing ini, anak kucing tersebut akhirnya membesar menjadi seekor kucing yang sangat comel! Terlampau comel sehinggakan ramai yang tidak mempercayai ia adalah anak kucing yang hampir mati suatu ketika dahulu.