Cuaca panas pada ketika ini membuatkan kebanyakan orang melakukan pelbagai cara untuk menyejukkan tubuh badan.
Ini termasuk orang utan yang terkesan dengan cuaca panas lalu bertindak melakukan pelbagai cara juga.
Tular satu hantaran di laman Facebook hasil perkongsian pengguna Arthur Chung yang memuat naik video lucu dengan situasi luar jangkaan, apabila seekor orang utan dilihat dengan selamba memasuki sebuah kafe untuk mendapatkan minuman penghilang dahaga.
Kelihatan orang utan yang dikenali sebagai “Boogie” memasuki premis makanan Keruing Cafe yang terletak di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, Sandakan, Sabah.
Orang utan bijak ini dengan gaya selambanya terus membuka peti sejuk dan memilih minuman kegemarannya.
Selepas minum sekotak air manis, Boogie duduk bersila sebentar di kafe tersebut dan berlalu pergi dengan membawa sekotak minuman yang lain.
“Disebabkan cuaca yang sangat panas hari ini, seorang tetamu yang tidak dijangka singgah di Kafe Keruing di RDC Sepilok, dan membantu dirinya secara selektif dengan apa sahaja yang terdapat di dalam peti sejuk dan pergi tanpa membayar!” kapsyen video lucu yang dirakam oleh kakitangan RDC Sepilok, Welfred Yudot berbunyi.
Arthur berkata aksi bersahaja orang utan itu adalah berikutan cuaca panas yang melanda Sepilok dan beberapa kawasan lain di Sabah.
Tambahnya lagi, ini bukan gelagat pertama kali orang utan itu datang ke kafe dan membuka peti sejuk untuk mengambil minuman bagi menghilangkan rasa dahaganya.
Tonton video di sini.