KOTA KINABALU: Empat buah sekolah di Sandakan, Sabah telah diarah tutup susulan 10 orang pelajar dan empat orang guru disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang dijalankan dari 20 Januari hingga 26 Januari lalu.
Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun pada sidang media laporan harian Covid-19 di Sabah pada Jumaat, 29 Januari.
Menurutnya, jangkitan tersebut melibatkan seorang guru di Sekolah Menengah St. Mary Sandakan, tujuh orang pelajar asrama, seorang pelajar harian dan dua orang guru di SMK Elopura Bestari, seorang guru dan seorang pelajar di SMK Batu Sapi dan seorang pelajar di SMK Perempuan Sandakan.
“Empat sekolah yang terbabit telah diarahkan tutup selama 10 hari (bermula hari Rabu, 27 Januari) oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi dan membendung penularan Covid-19 di sekolah,” katanya.
Sehubungan pengumuman penutupan empat buah sekolah terbabit, Datuk Masidi Manjun memaklumkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan terus dijalankan seperti biasa bagi murid yang tidak dijangkiti.
Dalam sidang media yang sama, Datuk Masidi Manjun turut menyatakan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat satu kes jangkitan yang melibatkan sebuah tadika swasta di negeri itu. Walau bagaimanapun, pihaknya masih belum mendapat kepastian sama ada pesakit tersebut adalah dari kalangan pelajar mahupun guru tadika.