Pengeluar jenama roti tempatan jenama Massimo, The Italian Baker Sdn. Bhd. telah mengumumkan pemberhentian sementara operasinya yang akan menganggu pengeluaran bekalan roti, selama 7 hari berikutan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kepada penularan COVID-19.
Menurut pengumuman di laman Facebook rasmi syarikat itu, “berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Klang, akan terdapat beberapa gangguan sementara dalam operasi kilang”.
Tambah pihak mereka lagi, ini adalah sebahagian daripada langkah dan usaha mereka untuk “menerapkan langkah berjaga-jaga dan pencegahan tambahan akan risiko jangkitan COVID-19 yang bersesuaian dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Klang”.
Kenyataan itu turut menyebut akan keprihatinan yang tinggi terhadap kesejahteraan pelanggan dan pekerja syarikat itu.
Dengan itu, pihak mereka akan mengambil semua langkah yang diperlukan dalam menguatkuasakan SOP yang telah ditetapkan, dengan bekerjasama bersama pelbagai pihak berkuasa tempatan dan kerajaan seperti KKM, MITI, dan juga majlis perbandaran tempatan.
Pihak The Italian Baker Sdn Bhd berkata operasi pengeluaran roti Massimo akan dimulakan dengan segera atau secepat mungkin, dan akan diumumkan kelak.
Sementera itu, jurucakap Majlis Perbandaran Klang berkata pihak mereka telah menjalankan operasi pematuhan SOP ke kilang roti tersebut dan mendapati premis kilang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Pihak kami mendapati bahawa premis kilang sangat sesak, dan pekerja tidak menjaga jarak fizikal. Kilang tidak menyediakan alat pembersih tangan dan sanitizer yang mencukupi, tidak menyediakan panduan dan langkah-langkah pencegahan wabak mencukupi, bahkan persekitaran tempat kerja juga kurang bersih,” katanya.
Oleh itu, berdasarkan arahan di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988, pihak MPK dan KKM telah memerintahkan supaya operasi kilang tersebut dihentikan sementara selama 7 hari bermula 25 Januari sehingga 1 Februari.