Setiap jenis ikan punya harga yang tersendiri. Ada yang murah dan mampu dibeli oleh orang ramai tetapi ada juga jenis ikan yang sangat mahal harganya sehingga hanya mampu dinikmati oleh mereka yang benar-benar berduit sahaja.
Beberapa jenis ikan boleh menjadi sangat mahal terutamanya jika mendapat permintaan tinggi.
Baru-baru ini, dilaporkan seorang lelaki, Mohd Abidin Abd Rani, dari Pulau Pinang berjaya menangkap ikan kerapu seberat 27.5kg dan hasilnya dia memperoleh RM1,237 selepas menjualnya kepada penjual ikan.
Dia dikatakan hanya mengambil masa sekitar 5 minit sahaja untuk menunggu umpannya mengena. Ketika itu dia sedang memancing di salah sebuah jeti di bawah Jambatan Pulau Pinang pada malam Rabu (2 Februari) apabila berjaya menangkap ikan kerapu itu.
Menurut Abidin dia menggunakan sardin putih sebagai umpan dan hanya menunggu sekitar 5 minit sebelum umpannya dimakan ikan kerapu tersebut.
Memandangkan kerapu yang mengena pada umpannya hampir seberat 30kg jadi ia bukan tugas yang mudah untuk menarik ikan itu naik ke darat. Untuk 15 minit pertama selepas umpannya mengena, Abidin berkata dia berasa seperti ‘bermain tarik tali dengan seekor lembu kerana kerapu tersebut cukup besar.’
Dia walau bagaimanapun bijak mengatur strategi untuk ‘menenangkan’ ikan tersebut. Jika ikan tidak ditenangkan ada kemungkinan tali pancing akan putus apabila tersangkut pada batu atau objek di dalam air.
Masalah lain muncul ketika dia cuba menarik ikan itu menggunakan pukat tetapi ikan tersebut terlalu berat untuk ditarik. Dia kemudian terpaksa meminta bantuan seorang pemandu bot untuk menarik ikan itu naik ke atas botnya.
Hampir tengah malam barulah ikan itu berjaya ditarik naik dengan bantuan empat orang rakannya. Dia juga tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan penjual ikan yang menawarkan harga RM45 sekilogram.
Tetapi ini bukanlah kerapu terbesar yang pernah ditangkap di kawasan itu. Pada Julai 2018, seorang nelayan berhasil menangkap ikan kerapu seberat 200kg dan menjualnya di pasar Cecil Street dengan pada harga RM10,865.50!
Antara keunikan negara kita ialah kepelbagaian bangsa, agama dan kaum. Hal ini membolehkan kita melihat dan mengenal adat dan budaya yang berbeza daripada setiap orang. Apa yang lebih menarik kita juga boleh turut sama menyertai mereka menyambut perayaan mereka yang sememangnya sangat unik dan meriah!
Apabila muncul sahaja Tahun Baru Cina perkara yang paling ditunggu-tunggu ialah untuk melihat persembahan tarian singa. Tarian ini biasanya dilakukan di kawasan-kawasan lapang yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di pusat membeli-belah.
Buat kita yang tidak pernah melakukan tarian ini pasti banyak persoalan di dalam kepala. Antara soalan yang sering membuat kita terfikir ialah bagaimana penari-penari boleh menari dengan melompat dari tiang ke tiang dan tidak jatuh. Semestinya, hanya mereka yang terlatih yang boleh melakukan aksi seperti itu.
Baru-baru ini sebuah persembahan singa yang dilakukan di Imago Mall, Kota Kinabalu telah menjadi tular kerana mereka memaparkan aksi yang agak berbeza. Apa yang berlau ialah penari-penari tarian itu menunjukkan seolah-olah mereka terjatuh sebelum melakukan aksi yang cukup mengagumkan.
Singa melompat dari tiang ke tiang dan kaki belakangnya seolah-olah jatuh dari salah satu tiang, namun penonton dapat melihat bagaimana badan singa yang seolah-olah terjatuh itu dipusingkan ke bahagian bawah sebelum singa tersebut melakukan pendaratan.
Aksi tersebut pada mulanya agak mendebarkan kerana ramai yang memikir singa tersebut memang betul-betul terjatuh. Namun, siapa sangka itu semua hanyalah ‘trick’ penari semata-mata untuk mewujudkan elemen kejutan pada akhir persembahan mereka.
Buat sebilangan pasangan pengantin baru pastinya berasa malu dan kekok untuk menyentuh pasangan masing-masing terutama sejurus selepas bernikah. Walaupun mereka saling mengenali tetapi untuk diminta pegang tangan pun terkadang sangat sukar dilakukan dek kerana malu terutama apabila dilihat ramai tetamu yang hadir.
Seperti sebuah video yang tular ini apabila pengantin perempuan kelihatan sangat segan ketika disuruh memegang tangan suaminya buat pertama kali untuk mengambil gambar.
Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial TikTok oleh @cokolatpahit, kelihatan pasangan pengantin baru itu baru saja selesai majlis akad nikah mereka di sebuah masjid.
Namun, si isteri dilihat tersipu-sipu malu dan agak kekok apabila disuruh memegang tangan suaminya. Dia juga sempat menutup wajahnya dengan bunga tangan kerana malu dilihat orang ramai.
Apa yang lebih melucukan lagi, ibu kepada pengantin secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan memaksa mereka untuk berpegangan tangan membuatkan pengantin perempuan bertambah malu lalu tergelak.
Telatah lucu pengantin perempuan telah menarik perhatian ramai netizen di TikTok. Rata-rata memuji sikap pengantin perempuan yang kelihatannya seperti seorang yang menjaga batas sejak sebelum kahwin lagi.
Video tular tersebut telah ditonton lebih daripada 800 ribu kali dan menerima sekitar 42 ribu ‘like’ serta menerima hampir 3000 komen daripada pengguna laman sosial tersebut.
Dalam satu video tular yang lain, pasangan pengantin baru ini juga nampaknya alami perasaan malu yang sama terutama buat pengantin perempuan.
Ketika suaminya mahu memegang tangannya untuk mengambil gambar dia kelihatan sangat segan dan kekok. Apa yang melucukan dia seolah-olah mahu menjauhkan diri dengan suaminya dan tidak mahu terlalu dekat.
Gelagat spontannya telah membuatkan ramai yang tersenyum-senyum. Nampaknya dia masih belum bersedia walaupun untuk memegang tangan suami sendiri.
RABAT- “SAYA berdoa agar Rayan dapat dikeluarkan dari dalam perigi itu dalam keadaan sihat dan selamat. Oh Tuhan, permudahkankanlah urusan ini.
“Harap pihak berkuasa dan pasukan penyelamat dapat menyelamatkan anak lelaki saya,” kata si ibu, Wassima Kharchich dalam sebak.
Demikianlah suara dan harapan seorang ibu yang mahu si anak kembali ke pangkuannya selepas empat hari terpisah dalam kejadian yang begitu tragis.
Kanak-kanak lelaki yang dikenal pasti sebagai Rayan, lima tahun itu dilaporkan bermain berhampiran perigi itu yang terletak di utara pekan Tamrout, 100 kilometer dari Chefchaouen.
Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh sedalam 32 meter menerusi satu saluran sempit dalam perigi berkenaan pada hari Selasa lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Jabatan Perlindungan Awam Maghribi dilakukan sejak Selasa lalu dan bakal ditamatkan pada bila-bila masa.
Sebelum kejadian, bapa Rayan, Khalid Agoram dikatakan sedang membaiki perigi apabila kanak-kanak itu terjatuh.
Ibunya, Wassima berkata seluruh keluarga keluar untuk mencari Rayan setelah dia didapati hilang.
“Kemudian kami menyedari bahawa dia telah jatuh ke dalam perigi. Saya masih menaruh harapan bahawa dia akan dikeluarkan dalam keadaan hidup,” tutur Wassima kepada media Maghribi dengan linangan air mata.
Tragedi yang berlaku di perkampungan Ighran itu menjadi tular di pelbagai platform media sosial di seluruh dunia.
Dalam beberapa hari, berita mengenai Rayan meraih perhatian dunia. Hantaran di media dengan ‘hashtag’ #SaveRayan dan video strim langsung pasukan penyelamat dikongsikan termasuk di Facebook dan Twitter.
Situasi cemas anak kecil itu sudah berlanjutan melebihi 72 jam. Kedudukan Rayan sudah berjaya dikesan dan kamera telah dipasang di bahagian dasar perigi yang didudukinya.
Menerusi video, Rayan kelihatan lemah manakala tubuhnya diselaputi debu. Alat bantuan pernafasan oksigen disalurkan kepada Rayan bersama makanan dan minuman.
Sehingga kini, misi untuk menyelamatkan Rayan masih diteruskan dan hanya perlu menggali beberapa meter sahaja lagi ke tempat keberadaan Rayan.
Pasukan penyelamat dikatakan hampir berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu namun berdepan risiko tanah yang mungkin runtuh seterusnya mengancam nyawa Rayan.
Menurut laporan terkini dari Arab News, pihak penyelamat dilaporkan telah membuat perancangan akhir untuk menggali perigi tersebut secara melintang dan menyediakan beberapa paip konkrit untuk memperdalam terowong menuju ke tempat Rayan terperangkap.
Menurut agensi berita rasmi Maghribi, MAP, lima jentolak digunakan untuk menggali secara menegak hingga kedalaman lebih 31 meter.
Pada hari Jumaat, mereka mula menggali terowong mendatar untuk mencapai kedudukan Rayan terperangkap. Pakar kejuruteraan topografi juga telah dipanggil untuk mendapatkan bantuan.
Memetik The New York Times, dua orang penyelamat menggali secara manual beberapa inci terakhir menuju ke kedudukan Rayan.
Sebuah helikopter dilaporkan sudah bersiap sedia berada di kawasan itu untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital sebaik sahaja dibawa keluar.
Sehingga kini seluruh dunia mendoakan agar kanak-kanak ini berjaya diselamatkan. #SaveRayan
Penganiayaan selama beberapa dekad oleh Parti Komunis China terhadap kumpulan kerohanian Falun Gong adalah antara “demonstrasi kejahatan yang paling hina”, dan ia mesti berakhir, menurut Perwakilan Republikan Scott Perry (R-Pa.).
“Dalam kekejaman tiada tandingan rejim Komunis China, layanan terhadap pengamal Falun Gong mesti berada di antara demonstrasi kejahatan yang paling teruk dan paling hina yang pernah diselaraskan oleh kerajaan terhadap sekumpulan orang tertentu,” kata Perry kepada The Epoch Times dalam e-mel.
“Ini mengambil kira kekurangan sifat kemanusiaan amat mengejutkan yang mesti dihadapi. Ia mesti berakhir,” tambahnya.
Ahli Kongres Rep. Scott Perry (R-Pa.) (Gambar oleh Kevin Dietsch / Getty Images)
Pada pertengahan Disember, Perry memperkenalkan Akta Perlindungan Falun Gong (H.R.6319) dalam usaha untuk mengenakan sekatan ke atas pegawai Parti Komunis China (PKC) yang terlibat dalam penganiayaan kumpulan kerohanian itu. Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan menandakan langkah perundangan pertama di Amerika Syarikat untuk mempertanggungjawabkan pesalah hak asasi manusia.
Ahli kongres itu menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai “penting untuk mempertahankan nilai intrinsik dan maruah semua pengamal Falun Gong yang mengalami penganiayaan oleh Parti Komunis China.”
Diperkenalkan sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, undang-undang itu juga berfungsi untuk menonjolkan “kekasaran dan kekejaman” rejim autoritarian itu dan membantu menghalang Beijing daripada mengeksport penyalahgunaan kuasanya ke seluruh dunia, kata Perry.
‘Tidak terbayang ngeri’
Salah satu komuniti amalan kerohanian terbesar di China, disiplin meditasi Falun Gong telah menjadi subjek utama kepada kempen kejam oleh rejim komunis yang bertujuan untuk menghapuskan amalan itu dan penganutnya.
Sejak 1999, berjuta-juta pengamal telah ditahan ke kem buruh paksa atau kemudahan tahanan lain, dan ratusan ribu mengalami penyeksaan, menurut anggaran dari Pusat Maklumat Falun Dafa.
Pengamal yang ditahan juga telah menjadi mangsa penuaian organ secara paksa yang dibenarkan oleh kerajaan, yang disifatkan oleh Perry sebagai tindakan yang “tidak dapat dibayangkan, mengerikan dan biadab”.
China telah menjadi destinasi utama untuk pelancongan pemindahan organ kerana keupayaan hospital untuk mendapatkan organ dengan lebih cepat daripada negara maju dengan sistem pendermaan organ yang mantap. Organ-organ penting boleh diperolehi dalam masa beberapa hari di China —walaupun pesakit biasanya menjangkakan untuk menunggu berbulan-bulan atau bertahun-tahun di tempat lain.
The Epoch Times sebelum ini melaporkan mengenai pesakit berusia 24 tahun yang menerima padanan penderma untuk empat jantung dalam masa 10 hari pada tahun 2020.
Demonstrasi penuaian organ ke atas pengamal Falun Gong semasa di Vienna, Austria pada 1 Oktober 2018. (Gambar oleh JOE KLAMAR/AFP/Getty Images)
“Sekarang anda tertanya-tanya dengan kehairanan bagaimana mereka boleh lakukannya? Adakah kerana mereka mempunyai populasi yang begitu besar? Tetapi lihat, ada bekalan tanpa had,” Perry berkata dalam program “Capitol Report” terbitan NTD.
Untuk mengekalkan “bekalan” ini, sejumlah besar tahanan kerohanian yang tidak terkira—terutamanya pengamal Falun Gong yang dipenjarakan—telah dibunuh hidup-hidup untuk mendapatkan organ mereka, lapor tribunal rakyat bebas yang diputuskan pada 2019.
“Ia tidak dapat dibayangkan,” tulis Perry dalam e-mel, sambil menyatakan bahawa dalam beberapa kes, mangsa tidak dibius semasa penuaian organ secara paksa.
Tindakan konkrit
Kebimbangan mengenai pengambilan organ secara paksa, yang pertama kali didedahkan pada tahun 2006 apabila beberapa pemberi maklumat mendekati The Epoch Times yang mengemukakan laporan mengenai amalan itu, kemudian menjadi semakin lantang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kongres Amerika Syarikat dan Parlimen Eropah telah menerima pakai resolusi yang menentang amalan itu, begitu juga dengan senarai negara lain yang semakin meningkat, dengan yang terkini Belgium dan Austria. Beberapa daerah dan negeri di Amerika Syarikat telah meluluskan resolusi dalam usaha untuk mengekang pelancongan pemindahan organ ke China.
Tetapi Perry mahukan lebih daripada sekadar kenyataan.
Pelaku perlu diambil kira untuk dipertanggungjawab, dan latihan serta kerjasama dengan doktor pemindahan organ di China harus dihentikan, katanya.
Penggubal undang-undang menunjukkan sikap berdiam diri mengenai isu ini oleh badan hak asasi manusia antarabangsa. “Majlis Hak Asasi Manusia yang bermasalah” Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih belum membuat pendirian secara rasmi mengenai layanan terhadap Falun Gong, katanya, walaupun beberapa pakar dan pelapor khas telah mengeluarkan kenyataan pada Jun tahun lalu dengan mengatakan mereka “amat cemas.”
Rejim China sebahagian besarnya telah mengelak penyiasatan terhadap kempennya dengan menekan dan memadam suara-suara kritikal, yang meninggalkan “apa yang Parti Komunis mahu anda lihat,” kata Perry.
Para pengamal Falun Gong dalam perarakan memperingati ulang tahun ke-22 penganiayaan rejim China ke atas Falun Gong di Washington pada 16 Julai, 2021. (Gambar oleh Samira Bouaou/The Epoch Times)
“Ini adalah peperangan harian bagi Parti Komunis China terhadap Barat,” tambahnya.
Ditekan berkaitan pencabulan hak asasi manusia, tindak balas rejim biasanya bersilih ganti antara sekatan balas dendam, ugutan, dan bahan perbincangan propaganda. Pada Mei lalu, Beijing menyenarai hitam bekas pegawai kebebasan beragama Amerika Syarikat berikutan langkah Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas bekas ketua keselamatan China yang menyelia penganiayaan Falun Gong.
Mempertahankan perintah antarabangsa
Penganiayaan terhadap Falun Gong tidak berkurangan menjelang Sukan Olimpik Beijing.
Pada 14 Januari, mahkamah Beijing menjatuhkan hukuman penjara sehingga lapan tahun kepada 11 pengamal Falun Gong, dengan memetik bahan yang mereka berikan kepada The Epoch Times untuk menjelaskan tindak balas rejim terhadap pandemik pada awal 2020.
Kempen berat Beijing terhadap Falun Gong sesuai dengan corak penindasannya yang lebih luas, kata Rep. Mary Miller (R-Ill.), penaja bersama rang undang-undang itu.
“Parti Komunis China menganiaya sesiapa sahaja yang tidak menyembah Parti Komunis dan menjadi kerajaan zalim sebagai kuasa tertinggi dalam hidup mereka,” katanya kepada The Epoch Times dalam e-mel.
“Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya mendakap kerajaan China yang menindas pada ketika China menolak penyiasatan mengenai asal-usul coronavirus Wuhan dan memenjarakan komuniti Kristian dan minoriti lain seperti Uyghur dan Falun Gong,” tegasnya.
Ahli Kongres Rep. Mary Miller (R-IL). (Gambar oleh Anna Moneymaker/Getty Images)
Setakat ini rang undang-undang itu mempunyai empat penaja bersama, semuanya dari pihak Republikan. Perry berkata beliau telah bercakap dengan penggubal undang-undang Demokrat dan cuba menambah langkah akauntabiliti tentang pengambilan organ ke dalam ‘America COMPETES’, rang undang-undang Dewan yang menyeluruh di mana pada asalnya bertujuan untuk mempromosikan daya saing Amerika Syarikat dengan China, tetapi rakan-rakan Demokratnya “tidak akan membenarkan pindaan itu untuk didengari.”
“Adakah kita berdiri dengan hak kemanusiaan?” katanya dalam wawancara bersama NTD. “Ini sepatutnya mudah dalam negara yang berpecah belah di mana tidak banyak perkara yang kita persetujui. Sudah tentu, saya tidak boleh bayangkan yang kita tidak bersetuju mengenainya.”
Scott Perry melihat membela mangsa penganiayaan oleh China sebagai lebih daripada melakukan “perkara yang betul dan baik.”
Ia mengenai mempertahankan perintah antarabangsa yang rejim “berniat untuk menghapuskan … satu yang benar-benar tidak serasi dengan pencabulan hak asasi China,” tulisnya dalam e-mel.
“Alternatif PKC untuk diterima diperingkat antarabangsa secara meluas ialah sistem ‘mungkin membuat betul’ di mana apa-apa sahaja boleh dibenarkan—walaupun pencabulan maruah manusia yang teruk – jika pelakunya cukup kuat untuk menghapuskan sebarang perbezaan pendapat secara fizikal. Inilah sebab mengapa kita mesti terus menentang pencabulan hak asasi manusia Republik Rakyat China dan mengasingkan mereka di pentas dunia di mana sahaja kita boleh,” katanya.
“Apa yang menjejaskan kumpulan teraniaya di China hari ini boleh menjejaskan orang lain di seluruh dunia pada hari esok dan kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku,” tambah Perry.
Dokumen Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) yang menerangkan sebab agensi itu meluluskan vaksin COVID-19 Moderna telah dialih keluar dari laman web agensi itu pada 2 Februari.
Agensi itu melalui ‘Summary Basis for Regulatory Action’ menawarkan lebih banyak perincian tentang cara pengawal selia mencapai keputusan untuk kelulusan vaksin, dan ini termasuk rujukan analisis tidak diterbitkan yang mendapati kadar keradangan jantung selepas vaksinasi adalah lebih tinggi daripada mana-mana agensi Amerika Syarikat yang pernah ditemui sebelum ini.
Selepas The Epoch Times menyemak dokumen itu dan menghantar soalan mengenainya kepada jurucakap FDA, ia telah hilang dari laman web agensi itu.
Ibu Pejabat FDA Amerika Syarikat di White Oak, Maryland pada 29 Ogos 2020 (Gambar oleh Andrew Kelly/Reuters)
“Kami menyedari isu berkenaan dan berharap dokumen disiarkan semula secepat mungkin,” kata seorang jurucakap kepada The Epoch Times dalam e-mel pada 3 Februari.
Diminta mengulas lanjut mengenai isu itu melalui telefon, jurucakap itu berkata, “Saya menghubungi pengguna laman web. Saya sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi maklumat untuk memberitahu anda.”
The Epoch Times telah menyerahkan permintaan Akta Kebebasan Maklumat untuk dokumen itu dan beberapa analisis tidak diterbitkan yang dirujuk di dalamnya, termasuk analisis-meta FDA.
Barbara Loe Fisher, presiden Pusat Maklumat Vaksin Kebangsaan, sebuah organisasi bukan keuntungan yang menyokong persetujuan dengan pemberitahuan, memberitahu The Epoch Times dalam e-melnya, “orang awam berhak menyemak bukti yang digunakan oleh FDA untuk melesenkan vaksin mRNA baharu sebagai selamat dan berkesan.”
“Kurangnya ketelusan hanya menimbulkan rasa kurang percaya kepada agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi kesihatan awam. FDA perlu segera mengeluarkan semua maklumat yang berkaitan dengan kejadian myocarditis dan kejadian buruk lain yang serius selepas vaksinasi mRNA COVID-19, sama ada maklumat tersebut telah diberikan kepada agensi oleh pengeluar vaksin atau ditemui melalui analisis dalaman bagi data tambahan yang dikumpul oleh pegawai persekutuan,” tulis Fisher.
Meta-analisis FDA meneliti data empat pangkalan data tuntutan penjagaan kesihatan dan menganggarkan, dalam kalangan lelaki berusia 18 hingga 25 tahun, kadar myocarditis yang mendapatkan suntikan siri pertama Moderna ialah 148 setiap sejuta lelaki yang divaksin.
Angka itu lebih tinggi daripada anggaran kerajaan lain, termasuk laporan analisis Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang diserahkan kepada ‘Vaccine Adverse Event Reporting System’. Analisis mendapati kira-kira 10.7 kes bagi setiap sejuta lelaki berusia 18 hingga 24 tahun yang mendapat suntikan pertama Moderna dan 56 kes bagi setiap sejuta dalam kalangan mereka yang menerima suntikan kedua Moderna.
‘Myocarditis’ ialah sejenis keradangan jantung yang dialami oleh individu yang menerima vaksin hasil teknologi messenger RNA (mRNA) pada kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan. Ia juga berlaku dalam kalangan individu yang dijangkiti virus PKC (Parti Komunis China), yang menyebabkan COVID-19.
Suntikan Moderna, sejenis vaksin mRNA, diberikan dalam siri utama dua dos. Dos diberikan dengan jarak tempoh kira-kira sebulan.
FDA meluluskan vaksin Moderna pada 31 Januari tanpa mengadakan perbincangan rapi dengan panel penasihat vaksin pakarnya, trend yang semakin meningkat dalam agensi itu.
Jawatankuasa penasihat vaksin CDC dijadualkan bermesyuarat pada 4 Februari untuk menyemak data mengenai suntikan vaksin Moderna.
Agenda (pdf) untuk mesyuarat itu menyatakan seorang saintis Moderna akan membentangkan data keselamatan dan keberkesanan vaksin keluaran syarikat itu, diikuti oleh penyelidik CDC yang akan membincangkan kemas kini mengenai keradangan jantung selepas vaksinasi dan rangka kerja risiko manfaat berdasarkan maklumat daripada analisa terkini.
Penyelidik di United Kingdom mendapati pada Disember 2021 bahawa lelaki dan wanita di bawah 40 tahun lebih berkemungkinan mengalami keradangan jantung selepas suntikan kedua Moderna berbanding terdedah kepada COVID-19 itu sendiri.
Saham Meta telah kehilangan lebih satu perlima daripada nilainya kerana syarikat itu sedang bergelut untuk mengekalkan pengguna.
Syarikat tersebut difahamkan merekodkan kerugian ekoran kekurangan pengguna pertama kali berlaku dalam sejarah sepanjang 18 tahun syarikat, Meta Platforms (sebelum ini Facebook) beroperasi.
Pengurangan itu menurun kepada 1.929 bilion pengguna harian daripada 1.93 bilion pengguna pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan pengguna di seluruh Whatsapp dan Instagram juga tidak memberangsangkan, mengakibatkan harga saham turun sebanyak 20 peratus, menjadikan syarikat kehilangan hampir $200 bilion dalam nilai pasaran. Ia merupakan satu nilai yang melebihi nilai pasaran gabungan platform teknologi besar lain seperti Twitter, Pinterest dan Snapchat.
Hasil bagi suku pertama dijangka antara $27 bilion dan $29 bilion, menurut laporan pendapatan yang diterbitkan pada 2 Februari, manakala penganalisis menjangkakan jumlah itu mencecah $30.15 bilion.
Walaupun ini melibatkan antara 3 peratus dan 11 peratus pertumbuhan tahun ke tahun, syarikat menjangkakan pertumbuhan pada suku pertama akan dipengaruhi oleh ‘angin kencang’ terhadap kedua-dua kesan dan pertumbuhan harga.
Golongan muda sebahagian besarnya telah beralih daripada ‘bergaul’ dengan jenama itu dan cenderung kepada platform yang lebih interaktif. Facebook juga mempunyai reputasi untuk menapis perspektif hak pusat daripada saluran media utama kepada pengaruh individu.
Penindasan dan penapisan maklumat sambil mempromosikan sudut pandangan tertentu tidak membantu dengan peningkatan ketidakpercayaan terhadap platform. Penurunan penglibatan Facebook telah disertai dengan peningkatan beberapa platform alternatif, seperti Gab, Parler, MeWe, Telegram, dan Rumble serta pelbagai lagi.
Penjenamaan semula Facebook kepada Meta tidak menghapuskan isu teras yang melanda syarikat, walaupun gergasi teknologi itu menunjukkan cabaran makroekonomi seperti inflasi kos dan gangguan rantaian bekalan yang mempengaruhi belanjawan pengiklan, selain kadar pertukaran mata wang asing dan perubahan peraturan kepada iOS Apple.
Aplikasi Ketelusan Penjejakan Apple telah mengurangkan penyasaran tepat pengguna Apple dengan melumpuhkan pengesahan jualan atau muat turun dan ciri pengenalpastian lain.
“Kami percaya impak iOS secara keseluruhan adalah halangan kepada perniagaan kami pada 2022”, kata Ketua Pegawai Kewangan Meta, Dave Wehner pada panggilan dengan penganalisis selepas laporan pendapatan suku keempat syarikat itu.
“Ia adalah pada susunan $10 bilion, jadi ia adalah halangan yang cukup besar untuk perniagaan kami”.
Alasan lain yang diberikan oleh syarikat untuk prestasi yang mengecewakan adalah kesukaran untuk menjana wang daripada ‘Instagram Reels’, yang menyebabkan lebih ramai pengguna mengalihkan perhatian mereka. Menurut syarikat itu, Reels menghasilkan wang pada kadar yang lebih rendah daripada Suapan (Feed) dan Cerita (Story).
Saham Twitter juga jatuh lebih 7 peratus, manakala Snapchat jatuh hampir 20 peratus. Pinterest juga turun lebih daripada 10 peratus, tetapi telah berjaya mengambil sebahagian daripada nilainya semasa perdagangan awal pagi 3 Februari lalu.
Meta telah melabur lebih daripada $10 bilion dalam membina platform 3Dnya, infrastruktur berkaitan dan mengupah lebih ramai pekerja, yang turut menyumbang kepada peningkatan kos syarikat. Tenaga kerja Meta melonjak sebanyak 23 peratus pada 2020, mengakhiri 2021 dengan 71,970 pekerja.
“Saya digalakkan oleh kemajuan yang kami capai tahun lalu dalam beberapa bidang pertumbuhan penting seperti Reels, perdagangan dan realiti maya dan kami akan terus melabur dalam perkara ini dan keutamaan utama lain pada 2022 sambil kami berusaha ke arah membina ‘metaverse’ ,” kata Mark Zuckerberg dalam laporan itu.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, khasnya daripada pencemaran iaitu sampah.
Namun realiti sebenarnya, manusia masih lagi kurang kesedaran untuk menjaga kebersihan dan alam sekitar walaupun cara hidup kita sudah semakin maju mengikut peredaran masa.
Apatah lagi jika di kawasan tarikan pelancong, sudah semestinya ia perlu sentiasa dipelihara. Baru-baru ini, tular keadaan di Dataran Bagan Datuk, Perak yang begitu menyedihkan.
Ini kerana, sesetengah pengunjung difahamkan telah meninggalkan sisa sampah seperti cawan plastik, bekas makanan, beg plastik dan sebagainya, menjadikan lokasi itu kotor.
Menurut akaun Viral Perak di Facebook, sampah-sampah itu walau bagaimanapun akan diangkat oleh pekerja kontrak pembersihan. Namun ia mencerminkan sikap sebenar pengunjung.
“Sedih betul.. Buat tempat cantik-cantik tapi yang datang (yang buang sampah merata) adab tak berapa nak cantik”, tulis akaun berkenaan.
“Memanglah nanti pihak Majlis datang bersihkan tapi sikap tu jagalah sikit. Tong sampah bukannya tiada”.
Malah, akaun itu turut menambah bahawa dengan keadaan sampah sedemikian, maka ia akan membantutkan niat pengunjung lain untuk bergambar dengan mercu tanda tersebut.
Ternyata perkongsian itu membuatkan ramai pengguna Facebook yang lain menyuarakan kekesalan dan rasa tidak puas hati dengan tabiat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Semuanya bermula daripada diri kita sendiri, kita yang menentukan dan memutuskan tindakan apa yang kita lakukan. Justeru, jadilah individu yang bertanggungjawab.
Buanglah sampah ke tempat sepatutnya. Jika tiada tong sampah disediakan, simpan dahulu sehingga anda jumpa tong sampah.
Ya, ia sememangnya mudah dan tidak perlu diingatkan setiap masa. Namun yang mudah itulah sering diambil ringan oleh kebanyakan daripada kita.
Ayuh sama-sama kita berubah demi persekitaran yang bersih, malah turut jadi contoh ikutan generasi akan datang~
Wanita kerdil yang pernah tular kerana kisah perkahwinannya dikhabarkan telah selamat melahirkan bayi sulung seberat 2.35 kilogram.
Dengan ketinggian sekitar 118 cm, Syakila Norazma Amira, 28, telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 25 Januari lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu.
Bagi Syakila sendiri, kehamilan itu merupakan satu kejutan besar kerana tidak menyangka berpeluang menimang cahaya mata berikutan fizikalnya yang berbeza. Sebelum mengandung, dia telah menerima banyak komen daripada orang yang mengatakan bahawa dia mungkin tidak dapat melahirkan bayi kerana pertumbuhan fizikalnya. Namun, apa yang dia lakukan hanyalah percaya pada dirinya.
Menerusi perkongsian Syakila Norazma Amira, 28, yang tular di media sosial baru-baru ini, dia terpaksa bersalin secara pembedahan.
“Saya terpaksa masuk hospital lebih awal dari tarikh sepatutnya saya bersalin. Doktor cakap baby dalam perut besar. Kalau tunggu lagi lama takut risiko bahaya kepada baby,” katanya.
Wanita yang mesra disapa Yaya itu berkata tarikh bersalinnya dijadualkan pada 25 Februari 2022, namun terpaksa bersalin sebulan lebih awal iaitu pada 25 Januari.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kita faktor saiz badannya yang kecil iaitu ketinggian 118cm dengan berat 20kg serta faktor keselamatan bayi yang pada ketika itu beratnya sudah melebihi 2kg.
“Banyak sebab kenapa saya terpaksa operate untuk bersalin bukannya beranak secara normal. Salah satunya sebab ketinggian saya tak boleh menampung saiz baby.”
Walaupun bersalin lebih awal, dia tetap bersyukur kerana anaknya tiada apa-apa masalah kecuali penyakit kuning.
Dia bertemu suaminya, Muhammad Azri Zaidi, yang 8 tahun lebih muda daripadanya menerusi permainan dalam talian, PUBG pada Ramadhan 2020, sebelum mereka berkahwin pada 18 Mac 2021.
Azri mendedahkan bahawa keperibadian dan keyakinan isterinya telah membuatkannya tertarik. Azri juga tidak pernah memandang saiz fizikalnya sebagai satu kecacatan.
“Dia tidak seperti orang lain, tetapi dia sempurna di mata saya. Kami mengisi kekosongan antara satu sama lain dan saya sering mengabaikan apa yang orang katakan tentang kami, asalkan kami berdua gembira,” ujarnya.
Syakila juga berkata, dia dapat merasakan keikhlasan suaminya itu kerana tidak pernah bercakap buruk tentang penampilan fizikalnya. Suaminya juga sangat matang walaupun memiliki jarak usia yang jauh. Bukan itu sahaja, malah keluarga Azri juga menerima Syakila dengan baik sekali.
Bagi kebanyakan orang di bandar, KFC (Kentucky Fried Chicken) boleh dikatakan menjadi makanan hampir setiap minggu atau hari. Namun bagi mereka yang berada di luar bandar, tidak semua orang mampu menikmatinya malahan tidak pernah menjamahnya pun buat seumur hidup.
Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Syed Sheh, Kupang di Kedah berkongsi kisahnya baru-baru ini di media sosial, apabila membawa 30 anak muridnya yang belum pernah makan KFC ke restoran makanan segera itu untuk menikmatinya.
Guru Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Muzik, Ismaniza Fahida Ismail berkata pada mulanya beliau hanya ingin menarik minat semua anak muridnya untuk hadir penuh ke sekolah dan menyiapkan kerja sekolah dengan berjanji akan memberi ganjaran makan KFC apabila mereka menunaikan tanggungjawab dan tugasan diberikan.
“Mereka nampak kurang minat buat kerja sekolah, jadi saya janji siapa buat kerja nanti saya belanja dan kebetulan semua buat. Jadi saya tanya secara rawak apa yang mereka teringin hendak makan dan 90 peratus jawab KFC,” jelas Cikgu Ismaniza kepada mStar.
“Dari situ saya mula tanya setiap seorang sebab saya hairan mengapa mereka jawab KFC dan 98 peratus cakap mereka tidak pernah makan apatah lagi masuk KFC, yang biasa makan pun sebab orang bagi dekat rumah,” katanya.
Jawapan kesemua anak muridnya telah menyentuh hati Cikgu Ismaniza sekali gus teringat zaman kanak-kanaknya.
“Masa mereka cakap tak pernah makan, sakit dada saya sebab teringat kisah saya masa kecil dulu pun macam ni, hanya dapat makan daripada ihsan orang. Saya pun kenal KFC masa umur 18 tahun, waktu belajar di maktab perguruan bila kawan-kawan yang ajar makan.”
“Sebagai guru saya tahu latar belakang mereka, ada ayah meninggal, bercerai, ada yang yatim piatu, jadi dari situ nikmat hidup pasti kurang, jadi saya berazam untuk bawa mereka makan di KFC,” kata guru ini yang menetap di Baling.
Cikgu Ismaniza membelanja kombo besar KFC di Baling untuk 30 orang anak muridnya yang berada dalam tahun dua, tiga dan lima.
“Masa sampai KFC, ada mereka yang terlompat-lompat seronok sampai ada terketar tangan sebab gembira. Paling sedih tengok mereka jadi teruja tengok sos keluar dari pam, semua bunyi ‘wow’ sebab hairan.”
“Lepas tu ada yang tanya kenapa tak letak botol sos, masa tu kita tahu mereka memang tidak pernah masuk KFC,” kongsi Cikgu Ismaniza.
Apabila ada orang yang bertanya, mengapa Cikgu Ismaniza tidak membeli sahaja KFC itu dan membawanya ke sekolah kerana sama sahaja semua anak muridnya boleh makan.
Jawapan Cikgu Ismaniza, “Perkara yang orang anggap mudah sebenarnya menjadi harapan besar murid-murid. Mereka tidak pernah makan KFC. Itu impian mereka. Mungkin ada yang rasa ini benda remeh. Tetapi bagi mereka KFC itu sesuatu yang mahal dan sukar dicapai, ibu bapa mereka akan kata beli beras lebih baik daripada KFC.”
Di akhir jamuan kombo besar di KFC Baling itu, murid-murid Cikgu Ismaniza menunjukkan sikap pemurah untuk berkongsi rezeki dan kebahagian mereka dengan ahli keluarga lain di rumah.
“Saya rasa sangat bangga bila mereka kata hendak bawa balik kongsi, dari sini kita tahu sikap anak murid kita. Saya sengaja beli kombo besar sebab saya tahu orang susah kalau dapat makan sedap mereka tak sabar hendak bagi ahli keluarga lain rasa,” kata guru ini yang memahami situasi anak-anak muridnya.