33.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 8, 2026
Utama Blog Laman 173

Kerajaan bakal umum beberapa lagi kelonggaran SOP dalam Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19

0

PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan status negara yang kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Insya-Allah dari semasa ke semasa, KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk kita kembali seperti normal.

“Tetapi biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini hari ini, 22 April lalu.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di Malaysia hanya berkata: “Tunggu minggu depan.”

Beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata meskipun negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, masyarakat masih perlu mematuhi SOP dan langkah kesihatan awam yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.

“Ini adalah sangat penting sebab kalau kita lihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini, kita semakin berjaya.

“Kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun serta kadar kematian akibat COVID-19 dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun,” katanya.

Berhubung isu MySejahtera yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh semalam, Khairy berkata beliau sedia dipanggil semula untuk memberi keterangan lebih lanjut kepada PAC.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan (oleh Wong), saya jelas dengan keterangan saya… kalau dia ingin panggil semula, panggillah,” katanya.

Semalam, Wong berkata kerajaan ‘kelihatan seperti keliru’ siapa yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.

Sementara itu, Khairy berkata pembukaan Institut Endokrin Hospital Putrajaya, iaitu yang pertama di Malaysia, tidak lama lagi bakal meningkatkan perkhidmatan perubatan endokrinologi di negara ini.

Endokrinologi merupakan bidang kepakaran yang memfokus kepada diagnosis dan rawatan gangguan berkaitan hormon di dalam badan.

Institut Endokrin Hospital Putrajaya akan dilengkapi dengan 220 katil pesakit serta pelbagai kemudahan lain antaranya bilik bedah pintar hibrid dan tiga bilik pembedahan am.

Pada 2017, Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kerajaan memperuntuk RM365 juta untuk membina Institut Endokrin bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

Pada majlis hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman menandatangani dokumen penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya dengan disaksikan oleh Khairy. – BERNAMA

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bahaya bantal anti golek kepada bayi, maut mengintai tatkala penjaga lalai

0

Tidak dinafikan ada ibu bapa sendiri mahupun penjaga yang menjaga bayi bersifat terlalu melindungi dengan meletakkan banyak bantal di keliling bayi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan bayi daripada jatuh tergolek tetapi mereka sebenarnya tidak tahu dan sedar tindakan tersebut berbahaya untuk bayi lebih-lebih lagi jika menggunakan bantal anti golek.

Public Health Malaysia

Menurut Public Health Malaysia di Facebook, tular video rakaman ‘babycam’ di media sosial berkenaan bayi yang lemas tertekap bantal anti golek. Bayi tersebut cuba meronta, tetapi nafas tidak panjang menyebabkan bayi tersebut sukar untuk menangis. Mujurlah si bapa tergerak hati untuk masuk ke bilik dan dengan pantas mengalihkan bantal tersebut. Jika tidak, pasti nyawa si bayi sudah melayang.

Kenyataan yang pahit untuk ditelan ialah setiap tahun kira-kira 4,000 kematian mengejut dalam kalangan bayi direkodkan berlaku di negara barat. Menurut Institut Kesihatan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan Eunice Kennedy Shriver (NICHD), kejadian yang melibatkan bayi itu berlaku semasa waktu tidur akibat sesak nafas atau punca yang tidak diketahui. Manakala Malaysia pula dalam satu kajian menunjukkan 2% daripada post mortem kanak-kanak yang dilakukan telah meninggal dunia disebabkan kematian mengejut.

Apakah punca kematian mengejut dalam kalangan bayi? Mari sama-sama kita perhatikan kerana mungkin kita sendiri melakukannya.

  • Tidur mengiring
  • Tidur meniarap
  • Tidur penuh dengan bantal
  • Tidur dalam keadaan tempat tidur tidak rata
  • Tidur bersama ibu bapa
PEXELS

Lantaran kematian mengejut yang berpunca daripada penggunaan bantal, FDA telah memberikan amaran khas kepada ibu bapa agar tidak meletakkan bayi dalam dalam ‘sleep positioners’ atau menggunakan bantal anti golek. Produk bayi ini boleh menimbulkan risiko kecederaan serius kepada bayi termasuk risiko lemas.

Tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah pengeluar telah mengiklankan ‘sleep positioners’ mereka menghalang daripada berlakunya Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), penyakit refluks gastroesophageal (GERD), di mana asid perut kembali ke esofagus atau sindrom kepala rata (plagiocephaly), ubah bentuk yang disebabkan oleh tekanan pada satu bahagian tengkorak.

PEXELS

Ibu bapa atau penjaga perlu tahu bahawa:

  • FDA tidak pernah mengakui dakwaan kononnya ‘sleep positioners’ menghalang atau mengurangkan risiko SIDS.
  • FDA sebelum ini telah menjelaskan beberapa ‘sleep positioners’ bayi berisiko GERD atau sindrom kepala rata.
  • Pada tahun 2010, FDA menyedari bahawa ‘sleep positioners’ bayi dipasarkan dengan dakwaan kalis SIDS. FDA telah memaklumkan pengeluar untuk menghentikan pemasaran produk ini dan meminta mereka menyerahkan maklumat untuk mendapatkan kelulusan daripada FDA.
  • FDA tidak menggalakkan pengguna daripada membeli sebarang produk yang mendakwa dapat mengurangkan risiko SIDS. Produk-produk ini tidak terbukti dapat menghalang daripada SIDS berlaku.
  • Sentiasa merujuk pakar kesihatan sebelum menggunakan sebarang produk baharu untuk bayi anda.

FDA bercadang untuk mengambil tindakan terhadap pengeluar produk yang membuat tuntutan perubatan yang tidak terbukti tentang produk mereka. Apa yang perlu dan boleh anda lakukan daripada bahagian anda ialah, jangan menggunakan ‘sleep positioners’ bayi demi keselamatan bayi anda.

Untuk mengurangkan risiko kematian bayi yang berkaitan dengan tidur, termasuk sesak nafas secara tidak sengaja dan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), Akademik Pediatrik Amerika mengesyorkan supaya bayi tidur terlentang, diletakkan di atas permukaan yang kukuh dan kosong. Permukaan ini tidak boleh mengandungi objek lembut, mainan, bantal atau peralatan tempat tidur longgar.

PEXELS

Nasihat keselamatan untuk menidurkan bayi menurut FDA ialah:

  • Jangan sesekali menggunakan ‘sleep positioners’ bayi. Menggunakan produk jenis ini untuk memegang bayi di sisi atau belakangnya adalah berbahaya.
  • Jangan sesekali meletakkan bantal, selimut, cadar longgar, gebar selesa atau ‘quilt’ di bawah badan bayi atau dalam katil bayi. Produk-produk ini boleh mendatangkan bahaya. Bayi tidak memerlukan bantal. Pakaian yang mereka pakai itu sudah cukup untuk memanaskan badan mereka, tidak perlu selimut atau lain-lain kain.
  • Sentiasa pastikan katil bayi kosong. Ini bermaksud, anda juga tidak boleh meletakkan mainan atau objek lembut di dalam kawasan katil bayi.
  • Sentiasa letakkan bayi dalam keadaan telentang. Ingat, cara menidurkan bayi secara selamat ialah ABC – Alone on the Back in a bare Crib (bersendirian telentang di dalam katil bayi)

Oleh itu, beringatlah sebelum terkena. Sediakan payung sebelum hujan dan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Cara lain untuk memantau keadaan dan memastikan bayi anda selamat ketika tidur ialah dengan memasang kamera litar tertutup. Laburkan sedikit wang anda demi keselamatan bayi anda.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Restoran makanan Malaysia di Melbourne cari ‘cef roti canai’, tawar gaji cecah RM200,000 setahun

0

Adakah anda mempunyai pengalaman melambung dan menebar roti canai dengan baik? Dan berimpian tinggal di luar negara seperti terbuka hati kepada idea untuk tinggal di Australia? Jika ya, mungkin anda boleh mempertimbangkan kekosongan jawatan dengan gaji lumayan yang sedang ditawarkan oleh restoran RotiBar dari Malaysia yang berpangkalan di Melbourne, Australia. 

Seperti yang dikongsi melalui laman pencari kerja Seek 25 hari lalu, restoran itu kini sedang mencari calon yang sesuai sebagai ‘Cef Roti Canai’ memandangkan rancangan pengembangan perniagaan restoran makanan Malaysia itu baru-baru ini, dan sanggup membayar antara AUD$60,000 (RM191,297) hingga AUD$63,000 (RM200,862) setahun untuk jawatan itu.

Tangkap Skrin Seek

Jika anda membuat kiraan, gaji yang ditawarkan adalah AUD$5,000 (RM15,941) hingga AUD$5,416.58 (RM17,269) sebulan. Anggaran gaji Seek sendiri menunjukkan gaji sebulan itu adalah sepadan dengan kadar pasaran semasa yang ditawarkan untuk chef yang bekerja di kawasan Melbourne, dengan gaji tahunan antara AUD$55,000 (RM175,355) hingga AUD$70,000 (RM223,180).

Bukan setakat gaji yang besar, restoran ini juga akan menyediakan penginapan dan makanan untuk kakitangan, di samping menawarkan penajaan yang berpotensi kepada pemohon yang layak. 

Instagram

Mengikut penyenaraian, calon sepatutnya mempunyai pengalaman sebagai ‘penebar roti canai’, kemahiran yang ditekankan oleh restoran itu sebagai sangat penting. Memandangkan skop kerja yang spesifik, maka boleh difahami ia satu tugas yang sangat serius berkemahiran tinggi.

Latihan akan disediakan untuk meningkatkan kepakaran pembuat roti yang memohon dan berjaya, supaya ia boleh mencapai ‘standard’ yang ditetapkan oleh restoran.

Instagram

Restoran RotiBar menyajikan makanan asli dari Malaysia yang menerima pengiktirafan dan reputasi baik oleh masyarakat setempat dan warga tempatan Australia.

Mendakwa menyajikan beberapa ‘masakan Malaysia terbaik’ di sepanjang Little Collins Street, semakan pantas di laman Instagram RotiBar menunjukkan restoran itu menawarkan pelbagai hidangan kegemaran warga Malaysia, termasuk Nasi Daun Pisang dan juga Nasi Minyak Ayam Masak Merah untuk bulan Ramadan.

Instagram

Pemilik restoran juga merupakan rakyat Malaysia, yang telah mengambil tanggungjawab untuk berkongsi budaya makanan Malaysia dengan warga Australia, sambil giat mempromosikan makanan Malaysia di platform media sosial mereka.

Instagram

Jadi, bagi mereka yang berkemahiran boleh melambung tinggi dan menebar roti canai dengan baik atau terbaik, bolehlah mencuba temu duga iklan jawatan kosong ini di Australia. Lumayan gajinya.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Guru dedikasi tetap gigih mengajar walaupun alami masalah kesihatan, sentuh hati semua

0

Tugas guru dipandang mulia kerana ia bukan profesion yang mudah kerana golongan ini mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.

Pengorbanan dan jasa guru amat besar ertinya yang sememangnya tidak ternilai harganya.

Baru-baru ini tular sebuah video TikTok yang memaparkan seorang guru dari Kota Tinggi, Johor sedang mengendalikan kelas dan mengajar para pelajarnya dalam keadaannya yang kurang sihat dengan memakai alat bantuan pernafasan.

TikTok

Walaupun klip asal 13 saat video itu telah dipadamkan, video itu telah dimuat naik semula oleh seorang pengguna Twitter dikenali rulduff, sebelum ia juga turut dipadamkan.

Mengenal pasti guru terbabit sebagai ibu saudaranya, Syaria’h Abdullah, rulduff berkongsi guru ini menghidap asma kronik dan baru sembuh daripada COVID-19.

“Video ini asalnya diambil oleh salah seorang anak muridnya dan mak cik saya minta anak muridnya itu padamkan, sebab maklumlah kerja kerajaan, takut kena tindakan tata tertib atau hal yang berbangkit. Tetapi sebelum ia dipadam, video dah viral,” ciap rulduff.

“Mak cik saya terus mengajar walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, kerana bimbang pelajar Tingkatan Enam Atas yang diajarnya akan ketinggalan. Saya sangat tabik dengan dedikasi mak cik saya,” tambah rulduff di Twitter.

Rulduff berkata video itu dirakam oleh seorang pelajar sejurus selepas Cikgu Syaria’h keluar dari hospital, di mana beliau jatuh sakit kerana COVID-19, lapor Malay Mail.

Tambahnya lagi, Cikgu Syaria’h telah lama menjadi sumber sokongan yang besar kepada anak-anak saudaranya, menawarkan mereka dengan sesi tutor dan mengajar percuma.

“Malahan mak cik saya juga telah memberi kami semua sokongan mental dan kewangan, terutama ketika kami pelajar universiti yang tidak banyak wang.”

“Setahu saya, beliau turut menjalankan sesi kelas tambahan dan tutor percuma di sekolahnya untuk pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya.

“Beliau adalah inspirasi buat kita semua,” kata rulduff.

Tambahnya, pengorbanan setiap guru adalah berbeza-beza tetapi masih mempunyai matlamat yang sama iaitu memberi ilmu kepada para pelajar di sekolah.

TikTok

Bekas pelajar dan para pelajarnya turut berkongsi di Twitter dengan menceritakan jasa baik guru ini dan mendoakan kesihatannya supaya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala.

“Sekolah saya, guru dengan berkerusi roda, tetapi masih usaha untuk mengajar dan datang ke kelas. Semoga diberikan kesembuhan dengan cepat.”

“Besar perjuangan cikgu yang ingin mendidik anak bangsa. Semoga Allah sentiasa merahmati kehidupan cikgu dan memberi kesembuhan buat cikgu.”

“Hargai guru yang mengajar kita, semua guru hendak tengok kita berjaya di dunia dan akhirat. Doakan kesembuhannya.”

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Jalani hidup selama 8 tahun di atas pokok, lelaki ini digelar ‘Tarzan Of Karachi’

0

Memiliki tempat tinggal yang selesa dan lengkap adalah idaman setiap orang. Tidak semua orang mampu memiliki banglo besar atau kondominium mewah namun memiliki tempat tinggal yang boleh menjadi tempat berteduh terkadang sudah cukup bagi sesetengah orang.

Sesukar mana pun hidup, rasanya tiada antara kita yang pernah terfikir untuk tinggal di atas pokok. Namun, bagi lelaki berusia 28 tahun ini tinggal di atas pokok adalah jalan penyelesaian kepada masalah kewangan yang dialami.

Percaya atau tidak lelaki dari Pakistan yang dikenali sebagai Tarzan of Karachi ini telah menghabiskan lapan tahun hidupnya tinggal di dalam pondok yang terletak di atas sebuah pokok di bandar itu.

Nama Farman Ali dikatakan mula menjadi perbualan ramai terutama di media sosial selepas rakaman vieo mengenai rumahnya yang lain daripada yang lain itu telah menjadi tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Menurut berita yang dilaporkan oleh Oddity Central, kehidupan Farman yang sangat miskin bermula selepas dia kehilangan kedua ibu bapanya. Ketika itu dia tidak mampu untuk membeli sebarang jenis rumah biasa.

Ekoran hal itu dia terpaksa tinggal di jalanan sebelum akhirnya memutuskan untuk membina rumahnya sendiri di atas sebuah pokok di kawasan awam supaya tidak diganggu atau dihalau.

BEKERJA MENGAMBIL UPAH UNTUK TERUSKAN KEHIDUPAN

Walaupun hidup dalam kemiskinan Farman menegaskan dia tidak pernah mencuri. Dia bahkan menyara kehidupannya dengan mengambil upah mencuci kereta, menyapu dan membersihkan di luar rumah penduduk. Dia turut mengambil upah untuk membelikan barangan runcit.

Kebanyakan pelanggan, membayarnya dengan memberikan air sejuk dan makanan. Memandangkan bayaran atau upah yang diterima masih sedikit, dia tidak mampu untuk mendapatkan rumah yang lebih baik.

Agensi berita Ruptly yang menemu bual Farman melaporkan bahawa keputusan lelaki itu untuk menetap di atas pokok merupakan pilihan terakhir.

Sebelum itu, Farman pernah meminta bantuan daripada saudara-maranya serta kenalan untuk mendapatkan bantuan. Namun begitu, tiada siapa yang mahu membantu atau berurusan dengannya kerana kemiskinannya.

Gagal mendapatkan bantuan, dia akhirnya memutuskan untuk membina rumah di atas sebuah pokok. Rumah tersebut dibina dengan menggunakan buluh, kayu dan pintu lama. Dia juga menggunakan kain untuk berlindung daripada tiupan angin dan tempias hujan.

Di rumahnya terdapat sebuah katil dan dia juga berhasil mencipta singki untuk mencuci muka. Selain itu, terdapat juga ketuar kecil ketuhar kecil untuk memasak dan memanaskan air. Dia juga mampu menyediakan lampu kecil menggunakan bateri dan pengecas untuk telefon bimbitnya.

Sebelum mengakhiri video tersebut Farman sempat meminta bantuan sesiapa yang mahu membantunya- tidak kira siapa, pihak kerajaan, pihak pembangkang mahupun orang awam. Mereka boleh terus menghubungi untuk membantunya supaya dia boleh keluar dari rumah pokoknya itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Jangan guna bekas makanan ‘styrofoam’ di rumah, boleh datangkan bahaya kepada kesihatan

0

Amalan membungkus makanan menggunakan styrofoam adalah sesuatu yang sangat biasa dilakukan di negara kita. Jangan kata bekas makanan sahaja, ada juga yang turut menggunakan pinggan, piring, mangkuk mahupun cawan yang diperbuat daripada bahan ini.

Jika di luar para peniaga sering menggunakan bahan ini kerana harganya yang murah dan mudah untuk didapati. Jika di rumah pula, semasa kenduri atau apa sahaja majlis bekas makanan dan cawan styrofoam banyak digunakan kerana ianya mudah untuk diuruskan. Tuan rumah atau penganjur hanya perlu membuang bekas styrofoam yang sudah digunakan dan tidak perlu susah-susah untuk membasuhnya.

Ya, menggunakan styrofoam memang lebih murah dan mudah tetapi sebenarnya di sebalik itu terdapat bahaya yang tersembunyi. Hal ini kerana bahan styrofoam boleh memberi kesan negatof kepada tahap kesihatan seseorang.

Perkara ini telah diulas dan dikongsikan oleh seorang doktor, Dr Mazliana Mazlan di laman Facebooknya. Berikut adalah penerangan lanjut tentang bagaimana styrofoam boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan kita.

JANGAN GUNA BEKAS MAKANAN STRYOFOAM INI DI RUMAH

Jelas Dr Mazliana, bekas Styrofoam yang sering digunakan ketika ada sambutan hari lahir, kenduri atau jamuan di rumah kerana ianya senang untuk digunakan memandangkan tidak perlu dibasuh terlebih dan hanya boleh terus dibuang.

Bekas makanan styrofoam macam ni, tak boleh ada kat rumah kita.

Kadang ada jamuan harijadi anak, kita guna. Kadang buat kenduri, kita beli untuk tetamu guna. Karang pergi berkelah, kita guna makan tepi pantai. Kadang kita tapau dari kedai, makanan letak dalam ni.

Dalam styrofoam, ada styrene. Tak kisah makanan dan minuman panas, sejuk, atau suhu bilik sekalipun, tetap akan berlaku tindak balas dengan permukaan styrofoam bila ia digunakan.

BOLEH MENGANGGU HORMON DAN KITARAN HAID WANITA

Walaubagaimanapun, styrene yang ada di dalam stryofoam akan menyebabkan ketidakseimbangan hormon terutamanya oleh kaum wanita.

Ia akan menyebabkan masalah kitaran haid tidak teratur dan seawal usia 10 tahun akan mengalami masalah tersebut. Jadi, adalah lebih baik jika semua ornag lebih berhati-hati dan perka dalam pemilihan bekas makanan meskipun ia nampak mudah.

Badan kita ni main banyak sangat dengan hormon sebenarnya, terutama yang wanita.

Masalah paling utama buat kanak-kanak perempuan yang beri kesan seumur hidup, haid yang tak teratur.

Terlalu ramai. Tak kira umur. Dari seawal usia 10 tahun pun dah ada masalah haid tak regular.

Perhatikan, bukan setakat makanan yang anak-anak makan. Tapi bekas makanan yang kita guna untuk letak makanan anak pun, sangat penting untuk diambil kira.

Kita cuba sama-sama ya, cari ilmu baru setiap hari, untuk sediakan yang terbaik buat anak-anak dan keluarga.

Sumber: Facebook

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Rupa-rupanya gel silika boleh menghapuskan kulat yang terdapat pada perabot

0

Selain daripada sistem pengudaraan, habuk kayu yang bersifat memerangkap kelembapan merupakan faktor membiaknya kulat yang kebiasaannya dapat dilihat pada perabot. Namun tidak semua perabot akan mengalami masalah seperti ini. Hanya perabot yang dibuat daripada habuk kayu sahaja. Cara terpantas untuk menyedut habuk-habuk ini sudah tentu dengan menggunakan vakum. Namun, sekerap mana anda hendak memvakum perabot? Selepas diperiksa, rupa-rupanya gel silika boleh menghapuskan kulat yang terdapat pada perabot.

Bijen Mohd melalui catatannya di Facebook mengatakan bahawa kulat memang biasa tumbuh lebih-lebih lagi pada musim hujan. Jika anda menyidai pakaian di ampaian di dalam rumah, kulat akan membiak pada permukaan perabot yang dibuat daripada habuk kayu dengan lebih cepat. Untuk mengatasi masalah tersebut, Bijen Mohd telah menggunakan gel silika sebagai alternatif kepada dehumifier yang bertindak menyerap kelembapan.

Galeri Hidayah

Gel silika dalam pek biasanya ditemui dalam kotak kasut, botol vitamin, beg yang baharu dibeli dan sebagainya. Siapa sangka pek gel silika ini berfungsi untuk menyerap kelembapan sekali gus menghalang kulat membiak.

Galeri Hidayah

Anda boleh dapatkan gel silika secara timbang kilo melalui belian atas talian seperti di Lazada, Shopee dan sebagainya. Jika anda hendak cepat, anda bolehlah membeli gel silika di kedai barangan kucing. Beritahu pembantu kedai itu bahawa anda mahu membeli ‘kristal najis kucing’. Kristal ini adalah alternatif kepada pasir kucing yang dibuat daripada gel silika yang mana berfungsi memerangkap air dari najis kucing. Jadi, najis kucing tidak berbau kerana ia kering dengan cepat.

Selepas anda membeli ‘kristal najis kucing’ itu, masukkan kristal tersebut ke dalam bekas ‘tupperware’ plastik. Anda juga boleh masukkan kristal-kristal tersebut ke dalam bekas-bekas lain mengikut jumlah yang diperlukan. Jangan lupa untuk tebuk lubang pada penutup bekas itu. Nanti tidak menyerap kelembapan pula.

Selepas itu, bolehlah anda meletakkan bekas tersebut di tempat yang sering dijangkiti kulat. Selain daripada memasukkan kristal ke dalam bekas, anda juga boleh menggunakan stoking yang sudah tidak digunakan. Masukkan kristal ke dalam stoking dan jerutkannya. Kemudian letakkanlah stoking yang berisi kristal itu di mana-mana pun seperti di dalam bagasi, di tempat letak kasut atau dalam kotak simpanan barang. Selain itu, anda juga boleh memasukkan kristal itu ke dalam beg plastik yang ditutup. Jangan lupa untuk tebuk lubang pada plastik tersebut bagi membolehkan proses penyerapan air berlaku.

Sebagai langkah pencegahan, gunakan semburan pembasmi kuman seperti gambar di bawah ini. Lap pada permukaan perabot atau tempat yang dijangkiti kulat dan bersihkan semua kulat itu.

Berapa kali perlu tukar kristal ini? Terpulang kepada anda, setahun sekali atau setahun dua kali anda kumpulkan semula kristal-kristal ini untuk menyahkan air yang berjaya diperangkap. Caranya ialah dengan memanaskan kristal-kristal ini kerana kristal-kristal ini boleh dikitar semula. Jimat belanja! Semoga dengan perkongsian ini, anda tidak lagi dihantui dengan masalah kulat pada perabot anda.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Makmal Wuhan dibenarkan untuk memusnahkan ‘fail rahsia’ berkaitan Covid-19

0

Institut Virologi Wuhan (WIV) mempunyai hak untuk menyuruh rakan kongsi makmalnya di A.S. untuk menghapuskan semua data yang dikumpul hasil daripada kerjasama mereka, dedah satu dokumen undang-undang.

Memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara makmal Wuhan dan Makmal Kebangsaan Galveston di Universiti Perubatan Cawangan Texas, mewajibkan setiap satu daripada dua makmal untuk memadam “fail rahsia” atau bahan yang dibuat atas permintaan pihak lain.

“Pihak tersebut berhak meminta pihak lain untuk memusnahkan dan/atau memulangkan fail rahsia, bahan dan peralatan tanpa sebarang dokumen sokongan,” kata MOU yang diperoleh oleh ‘A.S. Right to Know’, sebuah kumpulan penyelidik penyiasatan NGO yang memberi tumpuan kepada kesihatan awam.

MOU itu memberi tumpuan kepada galakkan kerjasama penyelidikan dan latihan antara kedua-dua makmal. Ia telah ditandatangani pada 2017 dan kekal berkuat kuasa sehingga Oktober ini. Walau bagaimanapun, terma kerahsiaan akan kekal mengikat walaupun selepas tempoh lima tahun perjanjian itu tamat.

Dokumen itu seterusnya mentakrifkan secara meluas tentang bahan yang akan dianggap sebagai “rahsia”, membuka kepada kemungkinan semua dokumen dan data daripada sebarang kerjasama tertakluk kepada permintaan untuk dipadam.

“Semua kerjasama dan pertukaran dokumen, butiran dan bahan hendaklah dianggap sebagai maklumat sulit oleh semua pihak,” kata MOU itu.

WIV telah menjadi pusat kontroversi ekoran spekulasi yang semakin meningkat tentang virus yang menyebabkan COVID-19, yang kini telah membunuh jutaan manusia di seluruh dunia, mungkin telah bocor dari makmal tersebut.

Makmal itu walau bagaimanapun telah menafikan dakwaan berkenaan tetapi Beijing telah menyekat penyiasat antarabangsa untuk mendapatkan data dan rekod daripada kemudahan itu sekali gus menghalang sebarang siasatan lebih terperinci untuk dilakukan.

WIV dan Makmal Kebangsaan Galveston secara rasmi mengisytiharkan perkongsian mereka pada tahun berikutnya untuk “memperkemaskan kerjasama saintifik dan operasi masa depan mengenai patogen berbahaya.”

Christopher Smith, jurucakap Universiti Perubatan Cawangan Texas (UTMB), memberitahu bahawa makmal itu “dibina oleh Institut Kesihatan Nasional untuk membantu memerangi ancaman kesihatan global.”

“Sebagai entiti yang dibiayai kerajaan, UTMB dikehendaki untuk mematuhi kewajipan undang-undang maklumat awam yang terpakai, termasuk pemeliharaan semua dokumentasi penyelidikan dan penemuannya.”

Epoch Times kemudian telah menghubungi UTMB dan makmal tersebut.

Di bawah Penelitian

Makmal Kebangsaan Galveston merupakan salah satu daripada dua makmal biosekuriti peringkat tertinggi berasaskan universiti yang dibiayai oleh persekutuan di Amerika Syarikat. Ia mula bekerjasama dengan WIV pada 2013, kerjasama yang memerlukan latihan saintis WIV dan menjalankan program penyelidikan bersama.

Pengarah makmal Galveston ketika itu James Le Duc, yang bersara tahun lepas dikatakan telah melakukan beberapa kali perjalanan selama bertahun-tahun ke WIV.

Makmal Galveston juga merupakan antara fasiliti pertama di dunia yang menerima sampel SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan COVID-19) daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S., hampir tiga minggu selepas Le Duc menggesa rakan sejawatannya dari China untuk berkongsi bahan.

Pendedahan yang terkandung dalam MOU 2017 nampaknya bercanggah dengan dakwaan saintis WIV bahawa mereka tidak akan sesekali memadam maklumat penyelidikan yang penting.

Pakar virologi China, Shi Zhengli, yang mengetuai Pusat Penyakit Berjangkit Muncul di WIV, memberitahu bahawa makmalnya akan memadam data sedemikian atas alasan ianya “tidak berasas dan mengerikan.”

“Walaupun kami memberi mereka semua rekod, mereka masih akan mengatakan kami telah menyembunyikan sesuatu atau kami telah memusnahkan bukti,” katanya dalam temu bual Februari dengan MIT Technology Review.

Pada September 2019, beberapa bulan sebelum beberapa penyelidiknya didakwa jatuh sakit akibat simptom seperti COVID, fasiliti tersebut telah mengambil alih pangkalan data utama yang mengandungi sampel virus secara luar talian.

Piawaian keselamatan makmal Wuhan juga telah menarik perhatian sejak wabak itu meletus dari bandar itu. Rakaman pada tahun 2017 menunjukkan bahawa beberapa penyelidik dari fasiliti itu telah memberi makan kelawar dengan hanya memakai sarung tangan pembedahan. Seorang lagi penyelidik hanya memakai sepasang cermin mata biasa dan pelitup muka ketika keluar mengumpul sampel kelawar.

Pada April 2020, Jabatan Pendidikan melancarkan siasatan ke atas hubungan Makmal Kebangsaan Galveston dengan makmal Wuhan. The Epoch Times telah menghubungi jabatan itu untuk mendapatkan komen.

Pada bulan yang sama, Le Duc telah meminta Shi untuk menyemak draf taklimat yang disediakannya untuk universiti dan kakitangan Kongres yang menyiasat isu itu.

Smith, pengarah perhubungan media UTMB, telah memberitahu kumpulan penyiasat bahawa “maklumat yang Dr. Le Duc mahu Dr. Shi semak adalah penerangan tentang penyelidikannya mengenai Koronavirus seperti yang dia fahami.”

Le Duc walau bagaimanapun mengakui bahawa dia menganggap kemalangan makmal adalah punca sebenar kepada wabak itu.

“Adalah sebuah kemungkinan yang kemalangan makmal adalah punca wabak itu dan saya juga bersetuju bahawa kita tidak boleh mempercayai kerajaan China,” tulisnya pada 10 April 2020, menurut satu lagi e-mel yang diperoleh oleh kumpulan itu.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Menyamar jadi pekerja TNB, ‘scammer’ masuk rumah warga emas dan potong getah gas

0

Sehingga hari ini isu tipu atau ‘scam’ semakin banyak berlaku. Hampir setiap hari media melaporkan tentang janayah ini yang berlaku di mana-mana dan mangsa yang terkena juga datangnya daripada pelbagai latar belakang. Medium dan modus operandi yang digunakan juga banyak dan licik sehingga akhirnya membuatkan ramai yang tertipu dengan apa yang mereka katakan.

Baru-baru ini sebuah lagi kes jenayah ‘scam’ berlaku kepada sebuah keluarga. Seorang netizen di Facebook, Nor Zaina Zanariah yang juga merupakan seorang guru telah berkongsi bagaimana ibunya telah ditipu RM600 oleh orang yang tidak dikenali.

Menurut Nor Zaina kejadian tersebut berlaku di Kg Sg Terap, Batu Gajah, Perak pada kira-kira jam 2 petang, 14 April lalu. Ketika itu, seorang lelaki berpakaian seragam TNB dan menunggang motosikal tiba di depan pintu rumahnya. Ketika itu hanya ada ibunya sahaja di rumah.

Lelaki itu kemudian meminta untuk memeriksa meter di hadapan dan ingin mengetahui nombor siri tong gas mereka. Alasan yang diberikan oleh lelaki itu ialah terdapat kejadian tong gas meletup di sebuah rumah di kampung sebelah, jadi dia mahu memeriksa nombor siri tong gas. Tidak hanya itu, dia juga bertanya sama ada dia boleh masuk ke rumah untuk menyemak nombor siri tersebut.

Apa yang lebih mencemaskan, ibunya seperti telah dipukau ketika itu. Dia hanya terus membuka pintu apabila diminta. Tambahan lagi, ibunya pula tinggal seorang diri dan dia pula balik lewat memandangkan ada mesyuarat di sekolah.

Apabila lelaki itu masuk ke rumah dia terus menuju ke dapur dan melihat tong gas. Tiba-tiba lelaki itu meminta pisau dan meminta wanita tua itu mengalihkan kualai yang ada dan meletakkannya di tempat lain.

Rupa-rupanya ketika itulah lelaki itu memotong paip getah pada tong gas tersebut. Dia kemudian memberitahu bahawa terdapat kebocoran pada paip gas dan terus menggantikannya dengan yang baru tanpa meminta kebenaran.

Selesai semuanya, lelaki itu meminta bayaran sebanyak RM600 daripada wanita tua itu dan tanpa mengetahui harga yang diminta terlalu mahal wanita tua itu terus membayar jumlah yang diminta. Lelaki itu kemudian meminta wanita tua itu untuk menandatangi resit tetapi resit tersebut dibawa bersamanya.

Selepas lelaki itu pergi, barulah wanita itu menyedari yang dia telah dipukau dan harga yang dibayar adalah sangat mahal. Tidak hanya itu, getah gas yang diganti itu juga sebenarnya masih baru ditukar bulan lepas.

Wanita itu kemudian terus menghubungi ahli keluarga yang bekerja di TNB dan menceritakan apa yang berlaku dan ketika itulah baru dia tahu bahawa pihak TNB tidak ada menyuruh pekerja untuk menukar getah gas di rumah pelanggan. Ketika itu barulah dia sedar yang dia telah dipukau dan ditipu oleh lelaki tersebut.

Menurut wanita itu lagi, lelaki yang menipunya itu memiliki kulit cerah, berbadan gempal dan agak berusia. Orang ramai terutama golongan tua dinasihati untuk berhati-hati dengan individu tersebut.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Elon Musk jual rumah terakhir demi mengumpul dana untuk ke Marikh

0

Tahukah anda, wujud orang yang kaya, malah terkenal di dunia tetapi tidak miliki rumah sendiri. Kedengaran agak pelik bukan? Tetapi itulah Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX yang kini hidup tanpa rumah sendiri selepas dia menjual rumah terakhirnya di Amerika Syarikat. Hasrat untuk menjual sebahagian besar hartanya termasuklah rumah adalah demi mengumpul dana untuk menjayakan misi ke Marikh.

DailyMail

Menurut laporan Business Insider, hartanah milik Elon Musk yang seluas 47 ekar di Hillsborough di San Francisco Bay Area itu dijual pada 2 Disember 2021 dengan harga $30 juta seperti yang dimaklumkan oleh MLSListings.com. Mansion Global pertama kali melaporkan penjualan itu. Walau bagaimanapun, identiti pelanggan tersebut tidak didedahkan atas permintaan pelanggan itu sendiri. Dengan terjualnya rumah itu, Elon Musk kini tidak memiliki rumah sendiri dan menjalani kehidupan ‘mengembara’ di rumah kawannya.

Kata Elon Musk, jika dia pergi ke Bay Area di mana terletaknya kebanyakan projek Testla, dia akan bermalam di bilik tidur rakannya yang tidak digunakan. “Jika saya pergi ke Bay Area pada dasarnya secara bergilir-gilir saya akan tidur di bilik tidur kawan yang tidak digunakan,” kata Elon Musk.

DailyMail

Terdahulu, Senator Amerika Syarikat, Warren mengkritik bilionair seperti Elon Musk kerana mengelak cukai dan membayar cukai yang sangat sedikit. Dalam satu temu bual, Elon Musk berkata penggunaannya sebenarnya tidak tinggi, “jika saya menghabiskan berbilion dolar setahun untuk penggunaan peribadi, ia sangat bermasalah, tetapi ia tidak berlaku.”

Tambah Elon Musk lagi, selain jet peribadi, dia tidak memiliki kapal layar yang didaftarkan atas namanya sendiri malah dia tidak pergi bercuti pun. Menurutnya, jet peribadi yang dimilikinya itu bukanlah lambang kekayaan tetapi keperluan untuknya ke mana-mana, kerana jika tidak menggunakan jet peribadi, banyak masanya akan terbuang.

Elon Musk adalah bilionair yang hidup secara sederhana. Pernah suatu ketika dahulu bekas kekasihnya mengatakan Elon Musk hidup di bawah paras kemiskinan kerana dia berpengalaman menyaksikan sendiri Elon Musk tidak mahu membeli tilam baharu walaupun terdapat lubang pada tilam itu.

Sebelum ini, Elon Musk memberitahu bahawa dia tinggal di rumah modular berkeluasan 375 kaki persegi yang dibina oleh syarikat Boxabl. Katanya, sewa rumah tersebut lebih kurang $50,000. Walaupun Elon Musk belum mengesahkan nama syarikat yang membina rumahnya itu, sebuah unit Boxabl boleh dilihat di tapak di Google Earth.

DailyMail

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: