Sehingga hari ini isu tipu atau ‘scam’ semakin banyak berlaku. Hampir setiap hari media melaporkan tentang janayah ini yang berlaku di mana-mana dan mangsa yang terkena juga datangnya daripada pelbagai latar belakang. Medium dan modus operandi yang digunakan juga banyak dan licik sehingga akhirnya membuatkan ramai yang tertipu dengan apa yang mereka katakan.
Baru-baru ini sebuah lagi kes jenayah ‘scam’ berlaku kepada sebuah keluarga. Seorang netizen di Facebook, Nor Zaina Zanariah yang juga merupakan seorang guru telah berkongsi bagaimana ibunya telah ditipu RM600 oleh orang yang tidak dikenali.
Menurut Nor Zaina kejadian tersebut berlaku di Kg Sg Terap, Batu Gajah, Perak pada kira-kira jam 2 petang, 14 April lalu. Ketika itu, seorang lelaki berpakaian seragam TNB dan menunggang motosikal tiba di depan pintu rumahnya. Ketika itu hanya ada ibunya sahaja di rumah.
Lelaki itu kemudian meminta untuk memeriksa meter di hadapan dan ingin mengetahui nombor siri tong gas mereka. Alasan yang diberikan oleh lelaki itu ialah terdapat kejadian tong gas meletup di sebuah rumah di kampung sebelah, jadi dia mahu memeriksa nombor siri tong gas. Tidak hanya itu, dia juga bertanya sama ada dia boleh masuk ke rumah untuk menyemak nombor siri tersebut.
Apa yang lebih mencemaskan, ibunya seperti telah dipukau ketika itu. Dia hanya terus membuka pintu apabila diminta. Tambahan lagi, ibunya pula tinggal seorang diri dan dia pula balik lewat memandangkan ada mesyuarat di sekolah.
Apabila lelaki itu masuk ke rumah dia terus menuju ke dapur dan melihat tong gas. Tiba-tiba lelaki itu meminta pisau dan meminta wanita tua itu mengalihkan kualai yang ada dan meletakkannya di tempat lain.
Rupa-rupanya ketika itulah lelaki itu memotong paip getah pada tong gas tersebut. Dia kemudian memberitahu bahawa terdapat kebocoran pada paip gas dan terus menggantikannya dengan yang baru tanpa meminta kebenaran.
Selesai semuanya, lelaki itu meminta bayaran sebanyak RM600 daripada wanita tua itu dan tanpa mengetahui harga yang diminta terlalu mahal wanita tua itu terus membayar jumlah yang diminta. Lelaki itu kemudian meminta wanita tua itu untuk menandatangi resit tetapi resit tersebut dibawa bersamanya.
Selepas lelaki itu pergi, barulah wanita itu menyedari yang dia telah dipukau dan harga yang dibayar adalah sangat mahal. Tidak hanya itu, getah gas yang diganti itu juga sebenarnya masih baru ditukar bulan lepas.
Wanita itu kemudian terus menghubungi ahli keluarga yang bekerja di TNB dan menceritakan apa yang berlaku dan ketika itulah baru dia tahu bahawa pihak TNB tidak ada menyuruh pekerja untuk menukar getah gas di rumah pelanggan. Ketika itu barulah dia sedar yang dia telah dipukau dan ditipu oleh lelaki tersebut.
Menurut wanita itu lagi, lelaki yang menipunya itu memiliki kulit cerah, berbadan gempal dan agak berusia. Orang ramai terutama golongan tua dinasihati untuk berhati-hati dengan individu tersebut.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: