‘Hyperrealisme’ merupakan genre lukisan dan arca yang agak baru yang kelihatan sangat realistik sehingga mampu menipu mata kita yang melihatnya. Apa yang menariknya lukisan ‘hyperrealisme’ sangat hidup sehinggakan ia hampir menyerupai gambar sebenar yang memiliki resolusi tinggi. Hanya mereka yang memiliki mata yang sangat tajam dan peka sahaja yang boleh membezakan lukisan ini.
Bisanya artis akan mengambil atau menggunakan seseorang individu untuk menjadi bahan rujukan mereka untuk menghasilkan potret. Namun, artis dari Korea Selatan ini menjadikan alam semula jadisebagai subjek kepada lukisannya.
Artis berbakat besar, An Jung-hwan lebih gemar mencipta lukisan yang menggambarkan hutan yang subur, padang rumput yang tenang dan gunung yang indah. Hasil lukisannya sangat menakjubkan dan kelihatan begitu ‘real’ sehingga memaksa orang ramai untuk melihatnya dengan jarak lebih dekat.
Beliau mendapat inspirasi daripada landskap semula jadi di negaranya. Tambahan lagi, dia dapat menterjemahkan ketenangan alam semula jadi dalam siri lukisan minyak berskala besar yang dihasilkannya. Dengan perhatian yang tinggi terhadap perincian dan penggunaan cat yang teliti, beliau dengan sempurna berjaya ‘menghidupkan’ setiap elemen secara semula jadi.
Melihat lukisannya, kita yang melihatnya seolah-olah dapat merasakan sendiri udara yang segar dan cahaya matahari yang hangat terus dari kanvas. Beliau juga memilih untuk tidak memasukkan sebarang elemen manusia dalam karya seninya. Ketiadaan figura manusia membolehkannya untuk menekankan aspek keagungan alam semula jadi yang mendamaikan.
Foto ini menunjukkan An Jung-hwan sedang menghasilkan sebuah lukisan.
Artis yang menghasilkan lukisan genre ‘hyperrealisme’ biasanya akan mengambil masa beberapa minggu untuk menyiapkan satu lukisan. Setiap butiran kecil, dari kulit pokok dan daun hingga pancaran matahari serta pantulan di atas air, dilukis dengan teliti dan sempurna. Kini, hasil lukisan beliau telah dipamerkan di seluruh Korea dan negara lain di Asia.
Bagi anda yang mahu melihat lebih banyak hasil tangan artis berbakat ini boleh berkunjung ke Instahram milik beliau. Anda pasti akan takjub melihat sendiri hasil lukisan tangannya yang sangat ‘real’ seolah-olah gambar tersebut ditangkap menggunakan kamera.
Saksikan sendiri beberapa karya seninya yang menakjubkan.
Terasa seperti kita sedang berjalan-jalan di dalam hutan ini…
An Jung-hwandi tempat kerjanya.
Lukisan ini benar-benar menunjukkan kemahirannya kerana perincian di atas air kelihatan sangat nyata dan ‘real’!
Selain itu, dia juga menggunakan elemen bunga dalam lukisannya dan pemandangan ungu ini kelihatan sungguh menakjubkan.
Kulit pokok yang snagat terperinci lukisannya dan pasti untuk menghasilkannya bukan tugas yang mudah.
Walaupun banyak lukisannya memaparkan cuaca yang lebih cerah, lukisan bersalji ini kelihatan cantik kerana ia benar-benar mirip salji putih sebenar yang turun semasa musim sejuk.
Jutawan Tesla CEO Elon Musk telah berjaya memperolehi pembiayaan yang diperlukan untuk membeli Twitter dan mengambil alih syarikat itu, menurut peraturan baharu yang difailkan. Musk juga sedang meneroka tawaran tender untuk membeli semua saham secara terus daripada pemegang saham.
Dokumen itu menunjukkan Musk telah menerima komitmen AS$46.5 bilion untuk membantu membiayai perjanjian yang dicadangkan. Jika Musk memutuskan untuk meneruskan tawaran tender, beliau akan mendekati pemegang saham Twitter dan menawarkan untuk membeli saham mereka dalam jangka masa tertentu. Musk masih mempertimbangkan sama ada untuk melancarkan tawaran tender buat Twitter, menurut pemfailan itu.
Elon Musk, orang terkaya di dunia, telah memperolehi AS$25.5 bilion dalam pembiayaan hutang dari Morgan Stanley dan institusi kewangan lain, termasuk Bank of America, Barclays, dan Mizuho. Beliau juga komited untuk menyediakan pembiayaan ekuiti sebanyak AS$21 bilion, menurut dokumen itu.
CEO Tesla, jutawan Elon Musk (Gambar oleh Christian Marquardt/Pool/Getty Images)
Musk sedang berusaha dalam rundingan “perjanjian muktamad” dengan lembaga pemegang saham untuk pemerolehan Twitter.
“Twitter tidak menjawab akan cadangan itu,” kata Musk, menurut pemfailan itu. “Memandangkan kekurangan respons oleh Twitter,” beliau “meneroka sama ada untuk memulakan tawaran tender bagi memperolehi semua saham tertunggak” pada harga AS$54.20 sesaham.
Jutawan itu, bagaimanapun, “belum menentukan sama ada untuk melakukan sedemikian buat masa ini.”
Ada yang membuat spekulasi sebelum ini bahawa Elon Musk kekurangan wang tunai yang mencukupi untuk pemerolehan itu. Maklumat pendanaan terkini, bagaimanapun, mungkin menyukarkan lembaga pemegang saham untuk mendakwa beliau bukan seorang pembida yang serius.
Musk membuat bidaan pada 14 April untuk mengambil alih syarikat media sosial itu secara peribadi dengan harga AS$54.20 sesaham, yang menilai syarikat itu sekitar AS$43 bilion. Lembaga pengarah firma itu pada hari berikutnya sebulat suara menerima pakai pembelaan “poison pill” bagi mengelak dan menghalang pengambilalihan pihak musuh.
Istilah “poison pill” dalam syarikat itu, juga dikenali sebagai pelan hak pemegang saham, digunakan sebagai strategi pertahanan untuk menjadikan pengambilalihan Elon Musk lebih mahal dan sukar.
Jika Musk mencapai 15 peratus pemilikan saham, “poison pill” akan dicetuskan. Ini akan membolehkan pemegang saham lain membeli saham tambahan pada harga diskaun, sekali gus mencairkan pegangan pemilikan Musk.
Pada 4 April, Musk mengumumkan yang beliau telah membeli 73.5 juta saham Twitter, atau 9.2 peratus dari firma itu. Musk kemudiannya mengurangkan pegangannya kepada 73.1 juta saham, atau 9.1 peratus dari syarikat itu, menurut pemfailan sekuriti. Pemegang saham terbesar Twitter yang lain termasuk The Vanguard Group (10.3 peratus), Morgan Stanley (8.4 peratus), dan BlackRock (6.5 peratus).
Permainan catur
Persaingan pemilikan Twitter telah bertukar menjadi permainan catur selepas lembaga pengarah syarikat minggu lalu menggunakan “poison pill” untuk menghalang dan menggagalkan percubaan pengambilalihan Elon Musk yang tidak diingini.
Seluruh dunia, termasuk pemegang saham syarikat, telah memerhatikan dengan penuh semangat untuk melihat apakah langkah yang akan dilakukan oleh jutawan itu dan lembaga pengarah Twitter yang seterusnya.
Musk pada mulanya membayangkan tawaran tender pada 16 April dengan ciapan rahsia di Twitter yang mengatakan “Love Me Tender.” Beliau kemudian menghantar ciapan yang mempunyai ruang kosong untuk perkataan diikuti dengan frasa “is the Night.” Mesej itu dianggap sebagai rujukan terselindung kepada novel F. Scott Fitzgerald “Tender Is the Night.”
Mesej ini mencetuskan spekulasi bahawa Musk mungkin hampir mengumumkan tawaran tender untuk memperolehi firma itu.
Minggu ini, pelbagai outlet media juga melaporkanApollo Global Management sedang mempertimbangkan untuk membiayai Musk atau pembida lain untuk pembelian Twitter. Apollo atau firma ekuiti swasta lain boleh mengambil bahagian dalam bidaan pengambilalihan Musk sebagai rakan kongsi hutang atau ekuiti.
Kemungkinan besar Musk akan memperkenalkan pertandingan proksi, menurut seorang eksekutif kanan firma pengurusan pelaburan di New York yang tidak mahu namanya disiarkan.
Dan beliau akan cuba meyakinkan pemegang saham utama, katanya, untuk membawa mereka ke pihaknya sama ada dengan menerima tawaran tendernya atau dengan memecat lembaga pengarah semasa.
“Apa yang kami saksikan ialah sedikit permainan catur di khalayak ramai,” kata Dale Saran, seorang peguam yang membantu syarikat kecergasan CrossFit bagi mengelak pengambilalihan korporat sebagai penasihat am syarikat pada tahun 2012.
Keupayaan dan penonjolan awam Elon Musk untuk mempengaruhi pemegang saham, kata Saran, sepatutnya memberi banyak tekanan kepada Twitter dan penasihat undang-undangnya.
Sebelum menyerahkan bidaannya pada 14 April, Musk menghantar mel suara kepada lembaga pemegang saham, menurut pemfailan sekuriti sebelumnya, menyatakan bahawa beliau “tidak bermain permainan bolak-balik.”
“Ia adalah harga yang tinggi dan pemegang saham anda akan menyukainya,” kata Musk, sambil menambah jika perjanjian itu gagal, beliau akan mempertimbangkan semula kedudukannya sebagai pemegang saham.
Masih tidak dapat dipastikan sama ada Musk akan berjaya memperoleh sokongan pemegang saham yang mencukupi untuk memujuk lembaga pengarah untuk mengeluarkan “poison pill” dan para penentang terhadap tawaran itu.
Penggunaan “poison pill” tidak selalu bermakna syarikat itu tidak mahu dibeli. Lembaga pemegang saham Twitter mungkin menggunakannya sebagai taktik untuk meningkatkan harga tawaran.
Dalam satu kenyataan pada 15 April, Twitter berkata lembaga itu akan menerima tawaran jika “ia adalah demi kepentingan terbaik buat Twitter dan para pemegang sahamnya.”
Lembaga pengarah dalam tekanan
Lembaga pengarah Twitter telah mengalami tekanan kerana beberapa penganalisis mengatakan potensi kenaikan saham pada masa ini adalah terhad. Goldman Sachs, sebagai contoh, mempunyai penarafan “jual” pada saham dengan sasaran harga AS$30 sesaham. Ironinya, bank pelaburan itu menasihati lembaga pengarah Twitter mengenai tawaran pengambilalihan Musk.
Tidak mungkin lembaga itu akan menemui mana-mana pembeli yang sanggup membayar lebih tinggi daripada harga tawaran Musk, menurut pendapat beberapa pengulas perniagaan.
Bill Alpert, penulis kanan di Barron’s, berkata di bawah pengurusan dan model perniagaannya sekarang, saham Twitter tidak mungkin untuk melihat semula harga puncak AS$80 seperti pada tahun lepas.
Saham syarikat itu kini didagangkan pada harga AS$46. Saham meningkat hampir 20 peratus sejak 4 April apabila Twitter mengesahkan Elon Musk telah mengambil alih pegangan penting dalam syarikat itu.
“Melainkan anda seperti Musk dan ingin memiliki Twitter atas alasan idealistik, anda perlu membiarkan beliau memilikinya. Beliau tidak akan merosakkannya, jadi anda boleh melakukannya dengan kata hati yang bersih,” tulis Alpert dalam satu artikel baru-baru ini.
Steve Forbes, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes Media, berkata jika Elon Musk menarik balik tawarannya, saham Twitter “akan runtuh.”
“Saham telah tersekat sejak ia disenarai awam lapan tahun lalu, dan ia tidak menunjukkan prestasi yang baik,” katanya kepada Fox Business pada 15 April.
“Jadi, orang ramai bergantung pada [Musk],” katanya. “Apa yang memberikan nilai kepada saham adalah prospek yang ia akan memberikan nilainya dengan membuat perubahan yang diperlukan, bermula dengan kebebasan bersuara,” katanya.
Pada 19 April, Gabenor Florida Ron DeSantis turut menimbangkan episod pembelian Twitter oleh Elon Musk, dengan menyatakan negerinya akan memerhatikan dalam memastikan lembaga pengarah Twitter bertanggungjawab kerana melanggar kewajipan fidusiari dengan menggunakan “poison pill”.
Gabenor DeSantis berkata, semasa sidang akhbar, negeri dan dana pencennya memiliki beberapa saham Twitter dan dana itu berkemungkinan dicederakan.
Dalam ‘Kertas 2011’, Lucian Bebchuk, seorang profesor Undang-Undang Universiti Harvard berkata “bukti empirikal menunjukkan apabila pengarah menggunakan kuasa mereka untuk menyekat tawaran, ia sering terbukti memudaratkan kepentingan pemegang saham.”
Berdasarkan penemuan Bebchuk dan rakan-rakan sejawatnya, lembaga pengarah yang menolak tawaran premium gagal menjana pulangan jangka panjang yang optimum untuk para pemegang saham mereka.
Ramai sukakan kuah kacang yang sememangnya lazat, biasa dimakan padu bersama satay. Rasanya yang manis, pedas, lemak dan masin dengan serba-serbinya yang cukup, memang layan dimakan bersama hidangan popular itu ditambah dengan nasi impit, ketupat segera dan lontong.
Resipi kuah kacang oleh Nurul Ateekah ini sangat pekat memukau selera untuk dicuba. Menjelang Syawal dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri, kuah kacang antara hidangan yang wajib ada untuk disajikan bersama hidangan tradisi hari raya di rumah anda.
Facebook
Bagi yang tiada resipi ini semasa hari raya, apa kata anda cuba guna resipi kuah kacang pekat hasil perkongsian Nurul Ateekah yang tular di kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN).
RESIPI KUAH KACANG
Pekat-pekat makan dengan nasi impit macam gini terbaik!
Kehidupan sebagai seorang pemandu trak yang sentiasa sibuk berada di atas jalan raya sudah pasti amat mencabar, terutamanya dengan terpaksa meninggalkan anak-anak kecil di rumah selama berminggu malahan berbulan demi melaksanakan tugas.
Namun pertemuan semula yang mesra dan penuh kasih sayang dengan si kecil sudah pasti amat berbaloi terubat rindu untuk segala masalah dapat dilupakan buat seketika.
Dakapan mesra menyentuh hati seorang anak kecil dengan ayahnya yang pulang dari bekerja sebagai pemandu trak menjadi tular dan mencairkan hati seluruh warga TikTok serta platform media sosial lain.
Ibu anak kecil Kolt dikenali Alexis@ahatter5 merakam sebuah video momen manis lagi menyentuh hati si kecil berlari memeluk bapanya dan meraih lebih 10 juta tontonan dan 18,000 komen apabila dia memuat naiknya di TikTok.
Dalam video itu, Alexis bersama si kecil Kolt, sedang menukar lampin pakai buang apabila ayahnya yang bekerja sebagai pemandu trak 18 tayar memandu pulang memasuki jalan berdekatan halaman rumah.
Sejurus selepas mendengar deruan enjin trak ayahnya yang pulang dan memberhentikannya di laman rumah, Kolt berlari pecut mati-matian, sambil menanggalkan topi kecilnya dengan girang untuk mendakap ayahnya.
Anak kecil itu juga sepantas kilat dirangkul oleh ayahnya, yang mungkin tidak dapat membayangkan menerima ucapan “selamat kembali” antara yang terbaik di dunia.
Boleh bayangkan perasaan saling merindui anak lelaki dan bapanya ini.
Video yang menerima pelbagai reaksi penuh emosi pengguna TikTok dan media sosial lain:
“Saya memandu trak lima hari dalam seminggu, dan tiada apa yang lebih mencairkan hati saya daripada melihat senyuman di wajah anak saya apabila saya berjalan melalui pintu.”
“Perasaan terbaik di dunia apabila bayi anda menyambut anda dengan cara itu.”
“Larian deras dan balingan topi itu memberitahu keseluruhan cerita.”
Apa yang biasa anda harapkan pada ketika hari lahir? Bagi kebanyakan orang, ia mungkin hadiah, apa-apa hadiah sama ada yang sederhana atau mewah, daripada yang biasa-biasa sehingga ke luar biasa.
Sungguh beruntung apabila seorang lelaki di Filipina menghabiskan sambutan hari lahirnya di dalam lokap dengan kek hari jadi yang dipersembahkan khas oleh pihak berkuasa.
Menurut The Philippine Star, lelaki bernama Allan Barrientos Delos Angeles yang digelar sebagai “Orang Paling Dikehendaki Bataraza, Puerto Princesa, Palawan” telah ditahan oleh polis perbandaran Altavas pada Selasa, 19 April.
Selepas proses tangkapan, soal siasat dan menempatkannya di lokap, polis mendapati hari itu adalah hari lahirnya dan setelah disahkan, polis memutuskan untuk memberi kejutan kepada Allan Angeles dengan kek hari jadi.
Menerusi beberapa gambar yang dikongsi di Facebook oleh Balai Polis Perbandaran Altavas, didapati seorang anggota polis dilihat mempersembahkan kek coklat dengan kejutan ucapan ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Angeles.
Pada kek itu tertulis: “Selamat ulang tahun ke-45 Allan!”
Dalam gambar lain, Angeles dapat dilihat memegang ‘mug shot’ dengan maklumat dirinya manakala seorang anggota polis sedang memegang kek itu.
Tidak jelas sama ada ini adalah prosedur operasi standard yang biasa oleh polis Altavas untuk meraikan hari lahir suspek dengan kejutan kek hari jadi yang kebetulan jatuh pada hari tangkapan mereka.
Allan Angeles mempunyai waran tangkap tetap bagi jenayah memiliki senjata api secara haram serta kes bunuh kerana kecewa dengan ikat jamin disyorkan masing-masing sebanyak P60,000 (RM4,909) dan P200,000 (RM16,363) untuk pembebasan sementaranya.
Polis Altavas memberitahu Allan Angeles telah dibebaskan pada hari Rabu, 20 April) selepas dia membayar ikat jamin.
“Dia tidak melawan dengan penahanan itu apabila melihat waran tangkapnya. Dia mahu membersihkan namanya supaya dia boleh hidup dengan baik,” menurut satu kenyataan polis Altavas.
Kanak-kanak dan imaginasi mereka memang tidak dapat dipisahkan. Kalau ditanya tentang cita-cita atau impian masa depan mereka sudah boleh memberikan jawapan yang kadangkala tidak masuk akal.
Ada juga yang memberikan jawapan yang comel dan ‘innocent’. Misalnya jika ditanya kepada kanak-kanak perempuan mereka mungkin memberitahu mereka mahu menjadi ‘princess’ apabila besar nanti. Ada juga yang mahu menjadi ‘Elsa’ atau ‘Anna’ seperti dalam animasi Frozen.
Bunyinya mustahil tetapi itulah kanak-kanak, mereka masih bermain dengan imaginasi. Namun, ada juga yang sudah memiliki impian yang realistik. Sepertinya mereka sudah tahu apa yang mereka mahu jadi apabila besar kelak. Ada yang mahu menjadi tentera, guru mahupun polis.
Mungkin bercita-cita mahu menjadi anggota polis suatu hari nanti membuatkan seorang kanak-kanak lelaki teringin untuk merasai sendiri pengalaman menaiki motor peronda polis. Impiannya akhirnya tercapai apabila dia berpeluang menaiki motor peronda seperti yang diinginkan.
Momen comel tersebut telah dirakam oleh ibunya, Paramyesh Ben dan dimuat naik ke Facebook dan mula tular sejak itu. Video tersebut menunjukkan seorang budak kecil bernama Yeshwaanth berada di atas sebuah motor peronda polis.
Menurut si ibu, anak kecilnya itu memang teringin untuk menaiki motor peronda polis sejak dahulu lagi. Sebelum ini pernah terlihat beberapa motor peronda polis yang sedang membunyikan siren ketika ibu dan anak itu sedang mengisi minyak.
Dia kemudian menangis dan meminta ibunya untuk menaiki motor tersebut, pastinya ibunya tidak boleh membenarkan anaknya itu melakukan sedemikian dan kanak-kanak tersebut kembali bersedih.
Namun begitu, siapa sangka ada anggota polis baik hati yang mahu melayani kehendak budak lelaki tersebut.
Ibu tersebut terkejut apabila seorang polis lelaki datang dan bercakap dengan anaknya lalu memberi peluang kepada anaknya untuk duduk di atas motosikal itu. Walaupun hanya dapat duduk sebentar, jelas sekali kanak-kanak tersebut sangat gembira!
Video tersebut telah menerima pelbagai reaksi orang ramai. Rata-rata mereka turut berterima kasih kepada anggota polis tersebut kerana merealisasikan impian seorang anak kecil. Ada juga yang memuji kanak-kanak ini kerana dia seolah-olah sudah tahu akan cita-citanya pabila besar nanti iaitu menjadi anggota polis. Tidak hanya itu, ada juga yang mendoakannya menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.
PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan status negara yang kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Insya-Allah dari semasa ke semasa, KKM (Kementerian Kesihatan) akan mengumumkan sedikit kelonggaran demi kelonggaran untuk kita kembali seperti normal.
“Tetapi biarlah kita lambat sedikit asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan negara lain,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Bangunan Tambahan Blok Baharu Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini hari ini, 22 April lalu.
Terdahulu, pada sidang media berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka di Malaysia hanya berkata: “Tunggu minggu depan.”
Beliau berkata setakat ini, kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Beliau berkata meskipun negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, masyarakat masih perlu mematuhi SOP dan langkah kesihatan awam yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.
“Ini adalah sangat penting sebab kalau kita lihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini, kita semakin berjaya.
“Kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun serta kadar kematian akibat COVID-19 dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun,” katanya.
Berhubung isu MySejahtera yang dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh semalam, Khairy berkata beliau sedia dipanggil semula untuk memberi keterangan lebih lanjut kepada PAC.
“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan (oleh Wong), saya jelas dengan keterangan saya… kalau dia ingin panggil semula, panggillah,” katanya.
Semalam, Wong berkata kerajaan ‘kelihatan seperti keliru’ siapa yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.
Sementara itu, Khairy berkata pembukaan Institut Endokrin Hospital Putrajaya, iaitu yang pertama di Malaysia, tidak lama lagi bakal meningkatkan perkhidmatan perubatan endokrinologi di negara ini.
Endokrinologi merupakan bidang kepakaran yang memfokus kepada diagnosis dan rawatan gangguan berkaitan hormon di dalam badan.
Institut Endokrin Hospital Putrajaya akan dilengkapi dengan 220 katil pesakit serta pelbagai kemudahan lain antaranya bilik bedah pintar hibrid dan tiga bilik pembedahan am.
Pada 2017, Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kerajaan memperuntuk RM365 juta untuk membina Institut Endokrin bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.
Pada majlis hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman menandatangani dokumen penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya dengan disaksikan oleh Khairy. – BERNAMA
Tidak dinafikan ada ibu bapa sendiri mahupun penjaga yang menjaga bayi bersifat terlalu melindungi dengan meletakkan banyak bantal di keliling bayi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan bayi daripada jatuh tergolek tetapi mereka sebenarnya tidak tahu dan sedar tindakan tersebut berbahaya untuk bayi lebih-lebih lagi jika menggunakan bantal anti golek.
Menurut Public Health Malaysia di Facebook, tular video rakaman ‘babycam’ di media sosial berkenaan bayi yang lemas tertekap bantal anti golek. Bayi tersebut cuba meronta, tetapi nafas tidak panjang menyebabkan bayi tersebut sukar untuk menangis. Mujurlah si bapa tergerak hati untuk masuk ke bilik dan dengan pantas mengalihkan bantal tersebut. Jika tidak, pasti nyawa si bayi sudah melayang.
Kenyataan yang pahit untuk ditelan ialah setiap tahun kira-kira 4,000 kematian mengejut dalam kalangan bayi direkodkan berlaku di negara barat. Menurut Institut Kesihatan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan Eunice Kennedy Shriver (NICHD), kejadian yang melibatkan bayi itu berlaku semasa waktu tidur akibat sesak nafas atau punca yang tidak diketahui. Manakala Malaysia pula dalam satu kajian menunjukkan 2% daripada post mortem kanak-kanak yang dilakukan telah meninggal dunia disebabkan kematian mengejut.
Apakah punca kematian mengejut dalam kalangan bayi? Mari sama-sama kita perhatikan kerana mungkin kita sendiri melakukannya.
Lantaran kematian mengejut yang berpunca daripada penggunaan bantal, FDA telah memberikan amaran khas kepada ibu bapa agar tidak meletakkan bayi dalam dalam ‘sleep positioners’ atau menggunakan bantal anti golek. Produk bayi ini boleh menimbulkan risiko kecederaan serius kepada bayi termasuk risiko lemas.
Tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah pengeluar telah mengiklankan ‘sleep positioners’ mereka menghalang daripada berlakunya Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), penyakit refluks gastroesophageal (GERD), di mana asid perut kembali ke esofagus atau sindrom kepala rata (plagiocephaly), ubah bentuk yang disebabkan oleh tekanan pada satu bahagian tengkorak.
FDA tidak pernah mengakui dakwaan kononnya ‘sleep positioners’ menghalang atau mengurangkan risiko SIDS.
FDA sebelum ini telah menjelaskan beberapa ‘sleep positioners’ bayi berisiko GERD atau sindrom kepala rata.
Pada tahun 2010, FDA menyedari bahawa ‘sleep positioners’ bayi dipasarkan dengan dakwaan kalis SIDS. FDA telah memaklumkan pengeluar untuk menghentikan pemasaran produk ini dan meminta mereka menyerahkan maklumat untuk mendapatkan kelulusan daripada FDA.
FDA tidak menggalakkan pengguna daripada membeli sebarang produk yang mendakwa dapat mengurangkan risiko SIDS. Produk-produk ini tidak terbukti dapat menghalang daripada SIDS berlaku.
Sentiasa merujuk pakar kesihatan sebelum menggunakan sebarang produk baharu untuk bayi anda.
FDA bercadang untuk mengambil tindakan terhadap pengeluar produk yang membuat tuntutan perubatan yang tidak terbukti tentang produk mereka. Apa yang perlu dan boleh anda lakukan daripada bahagian anda ialah, jangan menggunakan ‘sleep positioners’ bayi demi keselamatan bayi anda.
Untuk mengurangkan risiko kematian bayi yang berkaitan dengan tidur, termasuk sesak nafas secara tidak sengaja dan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), Akademik Pediatrik Amerika mengesyorkan supaya bayi tidur terlentang, diletakkan di atas permukaan yang kukuh dan kosong. Permukaan ini tidak boleh mengandungi objek lembut, mainan, bantal atau peralatan tempat tidur longgar.
Nasihat keselamatan untuk menidurkan bayi menurut FDA ialah:
Jangan sesekali menggunakan ‘sleep positioners’ bayi. Menggunakan produk jenis ini untuk memegang bayi di sisi atau belakangnya adalah berbahaya.
Jangan sesekali meletakkan bantal, selimut, cadar longgar, gebar selesa atau ‘quilt’ di bawah badan bayi atau dalam katil bayi. Produk-produk ini boleh mendatangkan bahaya. Bayi tidak memerlukan bantal. Pakaian yang mereka pakai itu sudah cukup untuk memanaskan badan mereka, tidak perlu selimut atau lain-lain kain.
Sentiasa pastikan katil bayi kosong. Ini bermaksud, anda juga tidak boleh meletakkan mainan atau objek lembut di dalam kawasan katil bayi.
Sentiasa letakkan bayi dalam keadaan telentang. Ingat, cara menidurkan bayi secara selamat ialah ABC – Alone on the Back in a bare Crib (bersendirian telentang di dalam katil bayi)
Oleh itu, beringatlah sebelum terkena. Sediakan payung sebelum hujan dan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Cara lain untuk memantau keadaan dan memastikan bayi anda selamat ketika tidur ialah dengan memasang kamera litar tertutup. Laburkan sedikit wang anda demi keselamatan bayi anda.
Adakah anda mempunyai pengalaman melambung dan menebar roti canai dengan baik? Dan berimpian tinggal di luar negara seperti terbuka hati kepada idea untuk tinggal di Australia? Jika ya, mungkin anda boleh mempertimbangkan kekosongan jawatan dengan gaji lumayan yang sedang ditawarkan oleh restoran RotiBar dari Malaysia yang berpangkalan di Melbourne, Australia.
Seperti yang dikongsi melalui laman pencari kerja Seek 25 hari lalu, restoran itu kini sedang mencari calon yang sesuai sebagai ‘Cef Roti Canai’ memandangkan rancangan pengembangan perniagaan restoran makanan Malaysia itu baru-baru ini, dan sanggup membayar antara AUD$60,000 (RM191,297) hingga AUD$63,000 (RM200,862) setahun untuk jawatan itu.
Jika anda membuat kiraan, gaji yang ditawarkan adalah AUD$5,000 (RM15,941) hingga AUD$5,416.58 (RM17,269) sebulan. Anggaran gaji Seek sendiri menunjukkan gaji sebulan itu adalah sepadan dengan kadar pasaran semasa yang ditawarkan untuk chef yang bekerja di kawasan Melbourne, dengan gaji tahunan antara AUD$55,000 (RM175,355) hingga AUD$70,000 (RM223,180).
Bukan setakat gaji yang besar, restoran ini juga akan menyediakan penginapan dan makanan untuk kakitangan, di samping menawarkan penajaan yang berpotensi kepada pemohon yang layak.
Mengikut penyenaraian, calon sepatutnya mempunyai pengalaman sebagai ‘penebar roti canai’, kemahiran yang ditekankan oleh restoran itu sebagai sangat penting. Memandangkan skop kerja yang spesifik, maka boleh difahami ia satu tugas yang sangat serius berkemahiran tinggi.
Latihan akan disediakan untuk meningkatkan kepakaran pembuat roti yang memohon dan berjaya, supaya ia boleh mencapai ‘standard’ yang ditetapkan oleh restoran.
Restoran RotiBar menyajikan makanan asli dari Malaysia yang menerima pengiktirafan dan reputasi baik oleh masyarakat setempat dan warga tempatan Australia.
Mendakwa menyajikan beberapa ‘masakan Malaysia terbaik’ di sepanjang Little Collins Street, semakan pantas di laman Instagram RotiBar menunjukkan restoran itu menawarkan pelbagai hidangan kegemaran warga Malaysia, termasuk Nasi Daun Pisang dan juga Nasi Minyak Ayam Masak Merah untuk bulan Ramadan.
Pemilik restoran juga merupakan rakyat Malaysia, yang telah mengambil tanggungjawab untuk berkongsi budaya makanan Malaysia dengan warga Australia, sambil giat mempromosikan makanan Malaysia di platform media sosial mereka.
Jadi, bagi mereka yang berkemahiran boleh melambung tinggi dan menebar roti canai dengan baik atau terbaik, bolehlah mencuba temu duga iklan jawatan kosong ini di Australia. Lumayan gajinya.
Tugas guru dipandang mulia kerana ia bukan profesion yang mudah kerana golongan ini mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.
Pengorbanan dan jasa guru amat besar ertinya yang sememangnya tidak ternilai harganya.
Baru-baru ini tular sebuah video TikTok yang memaparkan seorang guru dari Kota Tinggi, Johor sedang mengendalikan kelas dan mengajar para pelajarnya dalam keadaannya yang kurang sihat dengan memakai alat bantuan pernafasan.
TikTok
Walaupun klip asal 13 saat video itu telah dipadamkan, video itu telah dimuat naik semula oleh seorang pengguna Twitter dikenali rulduff, sebelum ia juga turut dipadamkan.
Mengenal pasti guru terbabit sebagai ibu saudaranya, Syaria’h Abdullah, rulduff berkongsi guru ini menghidap asma kronik dan baru sembuh daripada COVID-19.
“Video ini asalnya diambil oleh salah seorang anak muridnya dan mak cik saya minta anak muridnya itu padamkan, sebab maklumlah kerja kerajaan, takut kena tindakan tata tertib atau hal yang berbangkit. Tetapi sebelum ia dipadam, video dah viral,” ciap rulduff.
“Mak cik saya terus mengajar walaupun terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, kerana bimbang pelajar Tingkatan Enam Atas yang diajarnya akan ketinggalan. Saya sangat tabik dengan dedikasi mak cik saya,” tambah rulduff di Twitter.
Rulduff berkata video itu dirakam oleh seorang pelajar sejurus selepas Cikgu Syaria’h keluar dari hospital, di mana beliau jatuh sakit kerana COVID-19, lapor Malay Mail.
Tambahnya lagi, Cikgu Syaria’h telah lama menjadi sumber sokongan yang besar kepada anak-anak saudaranya, menawarkan mereka dengan sesi tutor dan mengajar percuma.
“Malahan mak cik saya juga telah memberi kami semua sokongan mental dan kewangan, terutama ketika kami pelajar universiti yang tidak banyak wang.”
“Setahu saya, beliau turut menjalankan sesi kelas tambahan dan tutor percuma di sekolahnya untuk pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya.
“Beliau adalah inspirasi buat kita semua,” kata rulduff.
Tambahnya, pengorbanan setiap guru adalah berbeza-beza tetapi masih mempunyai matlamat yang sama iaitu memberi ilmu kepada para pelajar di sekolah.
TikTok
Bekas pelajar dan para pelajarnya turut berkongsi di Twitter dengan menceritakan jasa baik guru ini dan mendoakan kesihatannya supaya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala.
“Sekolah saya, guru dengan berkerusi roda, tetapi masih usaha untuk mengajar dan datang ke kelas. Semoga diberikan kesembuhan dengan cepat.”
“Besar perjuangan cikgu yang ingin mendidik anak bangsa. Semoga Allah sentiasa merahmati kehidupan cikgu dan memberi kesembuhan buat cikgu.”
“Hargai guru yang mengajar kita, semua guru hendak tengok kita berjaya di dunia dan akhirat. Doakan kesembuhannya.”