25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024
UtamaBerita UtamaAmbil tahu, cegah dan kawal penularan HFMD!

Ambil tahu, cegah dan kawal penularan HFMD!

Baru sahaja memasuki fasa endemik Covid-19 bermula 01 Mei lalu, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot and mouth disease, HFMD). Penyakit yang disebabkan oleh virus enterovirus ini menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut yang biasanya menjangkiti kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Walaupun penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5 hingga 7 hari namun ia cepat tersebar melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit. Penyakit ini lebih cepat menular dalam kalangan kanak-kanak yang berinteraksi rapat dengan rakan-rakan. Buktinya dapat dilihat apabila setakat 27 Mei, sebanyak 105 tabika dan 75 taska kendalian KEMAS di seluruh Malaysia diarahkan tutup selama 10 hari untuk kerja disinfeksi atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

BERNAMA

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bagi tahun 2022 dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Mei, sebanyak 57,510 kes HFMD yang telah dilaporkan menunjukkan peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes. Katanya lagi, lima negeri yang merekodkan bilangan kes tertinggi ialah Selangor dengan 16,286 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 7,298 kes, Perak 5,045 kes, Kelantan 4,194 kes dan Sabah 3,829 kes. Tambah beliau lagi, kes paling banyak dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 6 tahun ke bawah iaitu 52, 846 kes manakalah kumpulan umur 7 hingga 12 tahun pula ialah sebanyak 3,741 kes dilaporkan.

BERNAMA

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada 24 Mei lalu, jangkaan peningkatan kes pada ME 20/2022 adalah berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya. Turut bersetuju dengan pendapat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki. Katanya, sebarang aktiviti yang melibatkan interaksi rapat antara individu seperti aktiviti ziarah dan rumah terbuka boleh meningkatkan risiko kadar jangkitan apabila pesakit bersentuhan dengan individu lain atau batuk dan bersin. “Ibu bapa harus memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sosial termasuk menghadiri rumah terbuka selain mereka ini perlu diasingkan bagi menghadkan risiko jangkitan kepada individu dan kanak-kanak lain,” katanya.

Dr Rafdzah Ahmad Zaki juga tidak menolak pengoperasian tadika, taska, dan pusat jagaan kanak-kanak secara sepenuhnya bermula awal tahun 2022 menyumbang kepada peningkatan kes HFMD di Malaysia. Menurut beliau, kes HFMD menurun sepanjang tempoh pandemik Covid-19 kerana pusat jagaan kanak-kanak, taska mahupun tadika ditutup dan tidak beroperasi. Selain itu, kepadatan penduduk disatu-satu kawasan seperti Selangor turut mempengaruhi kadar jangkitan HFMD.

Susulan kes HFMD yang meningkat itu, KKM menasihatkan agar semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak. Mereka juga diminta untuk melakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda HFMD seperti ruam dengan lepuh pada tangan, kaki & kawasan lampin, demam, ulser pada tekak, mulut & lidah serta kanak-kanak hilang selera makan. Bagi ibu bapa pula amatlah penting untuk memeriksa keadaan anak sebelum menghantar mereka ke pusat-pusat jagaan atau pun sekolah. Jika anak tidak sihat, disyorkan agar menjalani isolasi di rumah.

KKM

Sementara itu, Khairy juga turut mengingatkan agar pengusaha taman permainan dalam bangunan juga perlu mengambil saranan seperti mengadakan saringan di pintu masuk taman berkenaan serta membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Pakar Pediatrik Sunway Medical Centre Velocity Dr Melanie Majaham berkata, kanak-kanak seharusnya tidak disentuh sesuka hati oleh individu lain ketika menghadiri rumah terbuka kerana perbuatan menyentuh, mencium dan memegang sememangnya berisiko untuk golongan ini dijangkiti HFMD. Dr Melanie juga berkata kesedaran ibu bapa akan kepentingan meneruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 secara tidak langsung dapat membantu mencegah jangkitan HFMD. Katanya lagi, penggunaan sabun dan sanitasi secara kerap bukan sahaja mematikan virus HFMD dan Covid-19, malah turut membunuh virus lain yang biasa menjangkiti kanak-kanak.

KKM

Walaupun tanpa rawatan, kebiasaannya jangkitan akan hilang dalam tempoh 7 hingga 10 hari. Antara petua-petua yang boleh diikut dalam merawat HFMD ialah dengan memberi makan pesakit sup ayam, buah-buahan atau jus, aiskrim atau makanan sejuk seperti puding, agar-agar, minum air kelapa muda, menyapu minyak zaitun atau minyak kelapa dara pada tempat yang terkena ulser, lepuh atau ruam. Selain itu, gel aloe vera juga boleh digunakan sebagai ubat sapu untuk melegakan kerengsaan. Namun begitu, KKM tidak menggalakan penggunaan serbuk kunyit dan daun semambu untuk merawat HFMD.

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan. Sekiranya anak-anak mula menunjukkan simptom HFMD segeralah mendapatkan nasihat daripada doktor atau jika tidak reda, bawalah anak ke hospital. Selain itu, terus amalkan 5 perkara seperti yang dinasihatkan oleh KKM iaitu:

  1. Menjaga kebersihan diri.
  2. Menjaga kebersihan persekitaran.
  3. Melakukan pemeriksaan / saringan di pintu masuk taska / tabika / tadika / pra-sekolah.
  4. Mengamalkan cuci tangan yang betul.
  5. Melakukan disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.

Lindungi anak anda, lindungi anak-anak orang lain juga.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI