Tarikh yang tertera sebagai “Guna Sebelum” ialah akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan. Kebiasaannya ianya digunakan untuk produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.
Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah dibuang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan.
Tarikh untuk label “Baik Sebelum” menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan. Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan. Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat kepada:
Perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair)
Warna (berubah dari yang asal)
Bau (tengit disebabkan oksidasi)
Rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan.
Sekiranya terdapat perubahan ini, maka anda seharusnya membuang terus produk ini.
Simpan di dalam peti ais (freezer atau chiller). Suhu yang rendah melambatkan proses tindak balas kimia bahan dalaman produk, juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak.
Hanya mereka yang menyayangi kucing sahaja memahami perasaan bagaimana simpati mendengar anak-anak kucing yang dibuang umpama sampah merintih-rintih minta diselamatkan.
Begitulah perasaan dan kegigihan yang ditunjukkan seorang pencinta kucing dan pengasas Rumah Kucing Ifan, Ifan Karta Sasmita yang meluangkan masa dan usahanya untuk menyelamatkan kucing-kucing terbiar.
Menerusi laman Tiktok @rumahkucingifan, pemuda yang berasal dari Sumatera Selatan, Indonesia ini berkongsi kisah bagaimana dia menyelamatkan empat ekor anak kucing berwarna putih yang cantik dan ditinggalkan untuk menjaga nyawa diri mereka sendiri di tempat pembuangan sampah di tepi jalan.
Tidak diketahui bagaimana mereka boleh berada di situ dan bagaimana pula nasib ibu mereka ketika ditinggalkan seperti sampah.
Dalam video itu, pada mulanya Ifan mendengar rintihan anak kucing di tempat pembuangan sampah dan dia pantas bertindak mengambil kesemua anak kucing itu.
“Suara tangisan empat ekor anak kucing di tempat sampah. Ternyata mereka adalah kucing ras,” kapsyen video yang dirakam Ifan di TikTok @rumahkucingifan.
Dengan rasa menyentuh hati, para pengguna TikTok dapat melihat Ifan bersama rasa kasih sayang dan bersungguh-sungguh menyelamatkan anak-anak kucing comel itu dan membawa mereka pulang.
Video TikTok yang mendapat perhatian dengan 3.4 juta tontonan itu, menerima pujian ramai sambil rata-rata mengucapkan terima kasih kepada Ifan @rumahkucingifan atas usaha murni yang telah dilakukannya untuk menyelamatkan haiwan terbiar.
Sambil ada juga yang mengecam tindakan pelaku yang membuang anak-anak kucing itu kerana terdapat individu menganggap anak kucing tidak lebih daripada sekadar sampah dan bukannya makhluk bernyawa seperti kita.
Berjuta-juta pegawai China telah disiasat dalam tempoh 10 tahun lalu di tengah-tengah kempen antirasuah Beijing.
Penyelidik China baru-baru ini membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengukur kesetiaan para pegawai kepada Parti Komunis China yang memerintah. Teknologi itu boleh menjadi alat untuk kempen antirasuah Beijing bagi memantau lebih lanjut dan membersihkan ahli-ahli Parti yang “rasuah”, menunjukkan ketakutan rejim yang semakin meningkat untuk kehilangan kuasa dan kesahan undang-undangnya.
Lebih 4.7 juta pegawai di semua peringkat telah disiasat, dikenakan pelbagai bentuk hukuman tatatertib, atau didakwa dalam tempoh 10 tahun lalu, menurut data yang dikeluarkan oleh badan pemantau tertinggi China, Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) pada 20 Jun.
Gambar oleh Andrea Verdelli/Getty Images.
Kempen antirasuah Beijing telah dimulakan pada November 2012, apabila pemimpin Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping mula-mula berkuasa.
“Rasuah politik adalah rasuah terbesar. Beberapa elemen rasuah telah membentuk kumpulan berkepentingan dengan harapan ‘mencuri kuasa daripada parti dan negara,” menurut media milik kerajaan Xinhua.
Teknologi AI tajaan negara, autoritarianisme digital
Institut Kecerdasan Buatan di Pusat Sains Kebangsaan Komprehensif Hefei di Wilayah Anhui, timur China memuat naik satu hantaran, yang mendakwa ia membangunkan teknologi yang boleh menyokong PKC secara langsung. “Rangkaian yang menakjubkan antara AI dan pembinaan PKC,” ia disebut-sebut dalam akaun WeChat rasminya pada 1 Julai, ketika ulang tahun ke-101 penubuhan PKC.
Hantaran itu termasuk video yang menunjukkan seorang lelaki berjalan ke bilik peralatan berlabel “Bar Pemikiran Politik Pintar,” kemudian duduk di hadapan komputer dengan skrin sesentuh untuk mengambil ujian. Selepas menyelesaikan ujian, markah ujian dan carta analisis muncul di paparan skrin.
Tangkap Skrin / WeChat via China Digital Times.
Ujian itu, yang disediakan untuk ahli Parti Komunis China, meliputi kandungan yang diajar di sekolah Parti, termasuk indoktrinasi politik seperti Pemikiran Xi Jinping, komunisme, sosialisme, sejarah PKC dan dasar serta peraturan semasa.
Video itu memperkenalkan peranti yang boleh menggunakan teknologi AI untuk mengekstrak ciri biometrik ahli CCP, yang antara lain termasuk ekspresi muka, elektroensefalografi dan ciri dermatologi.
Selepas mengintegrasi dan menganalisis data peribadi, ia akan menilai bagaimana seseorang itu dapat memahami kandungan yang dipelajarinya, seperti mengukur tahap penumpuan, pengiktirafan, dan penguasaan pelbagai subjek.
Peranti itu boleh “mengintegrasikan teknologi AI ke dalam kehidupan organisasi ahli CCP dengan jayanya,” kata penyelidik dalam filem pendek itu. “Kehidupan organisasi” merujuk kepada tingkah laku yang dikenakan oleh PKC kepada ahlinya, seperti membuktikan kesetiaan seseorang kepada Parti.
Pasukan penyelidik berkata reka bentuk peranti AI untuk “memantapkan PKC menjelang Kongres Parti Komunis ke-20.” Mesyuarat politik terpenting Parti itu dijangka diadakan pada akhir tahun ini, yang akan menentukan sama ada Xi Jinping boleh memperoleh penggal ketiga.
Pada masa penulisan, hantaran di WeChat itu telah ditarik keluar.
Walau bagaimanapun, ia telah dikongsi secara meluas di media sosial sebelum ia dialih keluar, mencetuskan kritikan awam terhadap penggunaan AI untuk memantau indoktrinasi ideologi, dengan beberapa mengecamnya sebagai “pencucian otak berteknologi” dan “autoritarianisme digital.”
Media yang berpangkalan di Amerika Syarikat, China Digital Times memperoleh beberapa kandungan dan video dalam hantaran itu dan menerbitkan laporan mereka pada awal bulan ini.
Menurut maklumat awam, Akademi Sains China (CAS) dan kerajaan wilayah Anhui menubuhkan institut teknologi Hefei. Institut ini diuruskan oleh Universiti Sains dan Teknologi China.
Gambar oleh STR/AFP via Getty Images.
Jutaan pegawai PKC disiasat
Bercakap pada taklimat akhbar yang diadakan oleh jabatan propaganda PKC pada 30 Jun, Wang Jianxin, pengarah jabatan publisiti CCDI, berkata dalam tempoh 10 tahun, dari Kongres ke-18 Parti hingga akhir April tahun ini, kira-kira 4.3 juta siasatan rasuah telah dijalankan dan lebih 4.7 juta pegawai korup menerima hukuman.
Ahli-ahli PKC itu dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti rasuah, hubungan dengan kumpulan penjenayah, penyalahgunaan kuasa, dan gaya hidup tidak bermoral. Laporan rasmi mengenai krisis imej PKC, dikeluarkan pada 2012 oleh Tang Jun, pengarah Pusat Penyelidikan Pengurusan Krisis Universiti Renmin China, yang mendedahkan sebanyak 95 peratus pegawai korup yang disiasat mempunyai perempuan simpanan, dan lebih 60 peratus daripada kader yang korup mempunyai “isteri kedua.”
Zhang Lei, seorang profesor undang-undang di Universiti Normal Beijing, memberitahuXinhua pada 30 Jun, terdapat empat masalah utama di kalangan kader PKC iaitu formalisme, birokrasi, hedonisme, dan ekstravaganza.
Gao Wenqian, seorang sarjana sejarah PKC, memberitahuVOA pada 28 Oktober 2016, bahawa pendekatan institusi PKC hanya boleh merawat gejala rasuah tetapi bukan puncanya, dengan menyebut monopoli kuasa satu pihak adalah punca rasuah dalam pejabat PKC.
“Jika anda [PKC] tidak memerangi rasuah daripada sistem, ia seperti melawan lalat di sekitar lubang baja. Anda tidak akan sampai ke penghujungnya; semakin banyak anda bergaduh, semakin anda tersekat. Hasilnya ialah ‘lalat sebesar harimau dan harimau sama banyak dengan lalat’,” kata Gao.
Kempen yang dikatakan anti-rasuah oleh PKC “sama dengan sebuah restoran yang berbangga mengumumkan pada tahun lalu ia telah berjaya menemui 100,000 lalat dalam pinggannya, 10,000 tikus dalam supnya, dan 50,000 cacing dalam nasinya,” tulis seorang warganet di ruangan komen The Epoch Times edisi bahasa Cina.
“Saya tertanya-tanya adakah pelanggan masih menganggap restoran ini bersih. Rasuah adalah tumit Achilles yang tidak dapat diselesaikan oleh rejim autokratik—iaitu, kumpulan berkepentingan yang sama tidak dapat mentadbir diri mereka sendiri dari dalam.”
Tangkap Skrin / WeChat via China Digital Times.
AI: Alat untuk memantau ahli PKC
Kempen teknologi pengawasan AI dan antirasuah menunjukkan PKC, yang bimbang akan kejatuhannya, akan mengenakan kawalan yang lebih ketat ke atas ahlinya, terutamanya pegawai peringkat tinggi.
Media rasmi Qiushi Magazine baru-baru ini menerbitkan ucapan yang Xi Jinping sampaikan pada seminar untuk pegawai peringkat wilayah dan menteri pada 11 Januari. Xi menegaskan Parti harus berusaha untuk menyelesaikan “kekotoran” pemikiran ideologi, gaya hidup dan organisasi dalam Parti— apa-apa sahaja yang boleh menjejaskan kuasa PKC.
Tahun lalu, Xi memberi amaran kepada ahli PKC tentang akibat keluar dari barisan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan beberapa pegawai telah berubah menjadi “jurucakap untuk pelbagai kumpulan berkepentingan, unit kuasa, dan kelas istimewa.” Xi turut menegaskan, tidak kira siapa yang mempunyai masalah, mereka harus “disiasat dan dihukum dengan tegas dan tanpa belas kasihan.”
Selain itu, dalam mesyuarat Biro Politik PKC pada 17 Jun, Xi Jinping berkata anti-rasuah adalah kempen politik utama yang “tidak mampu untuk gagal”.
Seperti yang kita tahu, jodoh, ajal, rezeki semuanya telah terlulis sejak kita di dalam kandungan ibu lagi. Apabila tiba satu peringkat umur, memang kita sering tertanya-tanya tentang bagaimana jodoh kita, siapakah jodoh yang telah diciptakan untuk kita, bilakah kita akan bertemu dengan jodoh kita itu, kayakah?cantikkah?beragamakah? Kebiasaannya orang mula mencari jodoh apabila yakin dengan kedudukan kewangan diri sendiri selain telah mempersiapkan mental dan fizikal untuk melangkah ke alam rumah tangga. Begitulah yang dilakukan juga oleh Ariff Peter, cuma caranya mencari jodoh agak unik, lain daripada kebiasaan.
Ariff telah menggunakan media sebagai medium untuk mencari jodoh. Dia telah menghasilkan poster yang berbunyi, ‘Saya sedang mencari jodoh’. Pada poster tersebut, Ariff menyatakan tentang ciri-ciri wanita yang menjadi dambaan hatinya seperti wanita yang inginkan anak ramai, pandai memasak dan bersiap sedia menjadi suri rumah dengan elaun dan hadiah yang lumayan.
Ariff juga turut melampirkan serba sedikit butiran dirinya pada poster tersebut. Ariff berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan usahawan berjaya yang menjalankan perniagaan perkhidmatan sanitasi kediaman di KL. Dia mencari calon isteri dalam kalangan wanita Islam. Jika ada wanita Islam yang berminat dengannya, bolehlah menghubungi Ariff ditalian yang tertera pada poster.
Selain membuat poster mencari jodoh, Ariff juga telah membuat iklan kepada sesiapa yang berjaya mendapatkannya jodoh, orang tersebut akan diberikan hadiah sejumlah wang tunai sebanyak RM10,000. Ariff telah berkongsikan perkara tersebut di Twitter miliknya dengan harapan ada orang yang membantunya mencari jodoh.
Usaha Ariff pada Jun lalu belum berhasil hinggalah tersebarnya video dia sedang mengagihkan poster pencarian jodohnya tular dimedia sosial. Dalam video tersebut, kelihatan Ariff sedang mengagihkan poster pencarian jodohnya kepada orang ramai yang berada dibeberapa lokasi termasuklah di dalam kereta api. Katanya, “jodoh tidak jatuh daripada langit. Aku harus bekerja keras.” Memandangkan dia sudah kehilangan ibu tercinta, jadi usaha mencari jodoh terletak dibahunya sendiri. Tambahnya lagi, “jika ibunya masih ada, pasti ibunya itu yang membantunya mencari jodoh.”
Ariff nampaknya tidak hanya mengagihkan poster kepada orang ramai. Dia bahkan telah membuat sepanduk ‘Saya sedang mencari jodoh’ dan menggantungkannya di satu kawasan.
Susulan usaha luar biasa itu, poster pencarian jodohnya telah tersebar ke Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia. Pada mulanya dia hanya mahu mencari jodoh diseluruh Malaysia tetapi tidak menyangka rezeki tersebar sampai hampir ke seluruh Asia Tenggara. Kata Ariff, “panik dibuatnya.” Dia menzahirkan rasa terima kasih kepada media tempatan dan luar negara yang mahu berkongsikan berita tentang pencarian jodohnya itu.
Ariff tidak langsung menyangka, dalam masa 3 hari dia menerima 10 ribu pencalonan yang mana lebih 5000 pencalonan diterima melalui Whatsapp, lebih 1000 pencalonan diterima melalui Tiktok dan lebih 8000 pencalonan diterima melalui Instagram.
Menurut Ariff, disebabkan pernah kecewa sebelum ini, dia tekad untuk membuat poster dan sepanduk mengenai pencarian jodohnya. Tambahan pula, dia sudah bersedia untuk berumah tangga, jadi dengan cara ini dia berharap usaha untuk mendapat jodoh itu menjadi lebih mudah. Melihatkan jumlah pencalonan yang diterimanya itu, nampaknya selepas ini Ariff akan sibuk dengan tugasan memilih calon isteri yang sesuai pula. Semoga Ariff menemui calon isteri yang terbaik buat dirinya.
Tidak dinafikan ada sesetengah orang gusar jodohnya belum tiba sementelah umurnya semakin meningkat. Sebenarnya cepat atau lambat itu bukan pengukurnya tetapi jodoh akan sampai pada kita apabila sudah tiba dan tepat masanya. Oleh itu, sebagai manusia tugas kita adalah melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya dan berdoalah agar jodoh, ajal, rezeki kita sampai dalam keadaan yang baik.
Baru-baru ini tular video seekor kucing comel merajuk apabila kek Apollonya diambil orang. Video yang dimuat naik di TikTok oleh “kimsyaf20” tersebut telah dikongsi oleh netizen hingga hampir 200 ribu kali dan hampir 70 ribu komen dapat dibaca mengenai telatah kucing tersebut.
Melalui rakaman video itu, kelihatan seekor kucing sedang memeluk erat dua pek kek Apollo sambil didukung oleh tuannya. Si perakam video mengambil satu kek Apollo daripada pelukan kucing itu.
Si kucing tersebut terdiam. Satu lagi kek Apollo yang berada dalam pelukan si kucing diambil membuatkan kucing itu mengiau beberapa kali sebagai tanda tidak suka. Si perakam mengagah untuk memberikan kek Apollo itu kepada si kucing dan si kucing cuba menyambutnya tetapi ditarik semula oleh si perakam.
Terhibur dengan telatah kucing itu, si perakam cuba mengusiknya lagi dengan mengambil kek Apollo itu semula. Si kucing mengiau lagi tanda tidak suka diperlakukan sedemikian.
Geram dengan usikan si perakam, kucing itu akhirnya merajuk! Si kucing memeluk tuannya seakan mengadu, “dia ambil kek Apollo saya!” sambil memalingkan wajahnya daripada si perakam.
Si perakam memberikan semula kek Apollo tersebut kepada si kucing. Mungkin masih rasa sebal di dada, si kucing mengambil juga kek Apollo yang dihulurkan kepadanya tetapi ia tidak sedikit pun memandang si perakam. Wajahnya masih lagi mencuka!
Si kucing terus memegang erat kek Apollonya itu dengan wajah yang menunjukkan ia tidak puas hati diperlakukan sedemikian. Kemudian, si kucing diberikan satu lagi kek Apollo.
Dengan wajah yang masih tidak puas hati, ia mengambil kek Apollo itu. Si perakam mengusap kepala si kucing dengan penuh kasih sayang. Seronok bergurau dengan si kucing.
Bagi mereka yang memelihara kucing pasti sudah faham benar dengan sikap dan tingkah laku si comel.
Mereka tahu bila kucing mereka marah atau merajuk. Betul, kucing pun tahu merajuk, bimbang dan marah dan tanda-tandanya ialah:
1. Menjauhi anda. Biasanya kucing memang suka dimanjakan. Namun, menurut Michael Rueb, seorang pakar tingkah laku kucing dan Pengurus Operasi Persatuan Perlindungan Kucing Kebangsaan, jika tiba-tiba ia menjauhi anda dalam tempoh masa yang panjang lebih daripada kebiasaan, itu menunjukkan ia marah, takut atau bimbang.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya berhadapan dengan kucing yang sedang merajuk, bimbang dan marah? Biarkan sahaja. Kucing juga perlukan masa. Ia akan kembali kepada anda apabila ia telah bersedia untuk berhadapan dengan anda.
2. Memberikan jelingan tajam kepada anda. Jika manusia menjeling kerana tidak puas hati akan sesuatu, kucing juga begitu. Malah dikatakan kucing begitu pakar dalam mengekspresikan perasaannya melalui pandangan matanya. Contohnya jika anda lewat memberi makan kepadanya. Solusinya ialah, berikan makan kepadanya mengikut jadual kebiasaan kata Kac Young, penulis The One Minute Cat Manager.
3. Menyorok di tempat tersembunyi. Menurut Amy Shojai, perunding tingkah laku kucing bertauliah, kucing yang menyorok ditempat tersembunyi adalah tanda ia takutkan anda atau pun sesuatu atau sedang bersedih. Jika kucing dalam keadaan seperti ini, biarkan sahaja kerana jika anda berkeras, ia akan menjadi semakin agresif.
4. Tidak mahu makan walaupun dihidangkan makanan kegemarannya. Kata Campbell, apabila kucing merajuk, ia mungkin kurang makan atau langsung tidak mahu makan. Tetapi jika kucing tidak makan lebih sehari atau dua hari, sila bawanya berjumpa doktor haiwan kerana mungkin ia sebenarnya sakit.
5. Membuat pelbagai jenis bunyi. Kucing yang sedang marah boleh membuat pelbagai jenis bunyi, kata Michael Rueb. Jika anda berhadapan dengan situasi seperti ini, cuba lakukan perkara-perkara yang akan mewujudkan suasana yang positif seperti memberi ia makan, mengajaknya bermain dengan permainan, mendandannya atau bercakap lembut dengannya. Percayalah, emosinya akan stabil semula.
Dalam usaha membasmi serangan tikus yang bermaharajalela di Sandakan, Majlis Bandaraya Sandakan di Sabah telah menubuhkan kiosk untuk ‘membeli’ tikus, dengan harga RM1 seekor.
Walaupun ia mungkin kelihatan seumpama idea yang bagus untuk membendung serangan tikus, setiap ‘rancangan’ itu mungkin mempunyai kelemahannya.
Mana tidaknya, seorang ahli psikologi klinikal dan pengguna Twitter Aiman Psikologi berpendapat kempen itu mungkin menjadi cara membasmi yang akan mendapat akibat buruk, walaupun niat sebenar adalah baik.
“Orang ramai mungkin membiak tikus untuk memperoleh lebih banyak ganjaran daripada kempen itu,” tulisnya.
Beliau berkata, tikus-tikus itu sepatutnya dimusnahkan tetapi disebabkan kemungkinan boleh memperoleh pendapatan lebih daripada kempen itu, bilangan tikus mungkin meningkat jika ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab memutuskan untuk menternaknya.
Menurutnya, fenomena ini secara psikologi dikenali sebagai The Cobra Effect.
Kempen ini boleh back fire sebenarnya.
Asalnya nak menggalakkan tikus diserahkan kat sini supaya dapat dibasmi, tetapi sebaliknya orang akan ternak pula sebab nak untung lebih.
— Aiman Psikologi 🇲🇾 (@AimanPsikologi) July 13, 2022
Apakah itu The Cobra Effect?
Menurut Psychology Today, ‘The Cobra Effect’ atau Kesan Cobra merujuk kepada kesan yang tidak diingini daripada insentif yang dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat atau individu.
Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor ikan gergasi sepanjang 4.8 meter (16 kaki) yang mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat.
Kepercayaan tahyul masyarakat tempatan di Chile mengaitkan akan berlaku gempa bumi selepas kemunculan ikan gergasi dengan spesies dikenali sebagai ‘Oarfish’, Daily Star UK melaporkan.
Ikan luar biasa jarang ditemui itu ditangkap di luar pantai Chile dan masyarakat tempatan yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat makhluk laut ganjil tersebut.
Rakaman di TikTok yang dikongsi penduduk tempatan menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika para nelayan memindahkannya ke darat.
Spesies ‘Oarfish’ yang juga digelar ‘King of the Herrings’ itu berukuran hampir 5 meter (4.8 meter).
Rakaman video itu mendapat perhatian 10 juta pengguna TikTok. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda buruk gempa bumi yang dahsyat mungkin berlaku.
“Isunya di sini ke mana kita akan melarikan diri jika bencana itu berlaku,” komen seorang pengguna media sosial.
Sesetengah orang juga percaya sesiapa yang menemui ikan dayung atau ‘Oarfish’ akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah satu petanda buruk.
‘Oarfish’ hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak.
Menurut National Geographic, walaupun ‘Oarfish’ berkemungkinan menjadi sumber kepada banyak kisah bersejarah dan dongeng mengenai raksasa laut, ia tidak berbahaya kepada manusia.
‘Oarfish’ memakan plankton kecil dan mempunyai lubang kecil pada sistem pencernaannya.
Spesies ‘Oarfish’ tidak mempunyai gigi asli, sebaliknya mempunyai struktur lebih tipis dipanggil penyapu insang untuk menangkap organisma kecil.
“Oarfish hanya kadang-kadang dilihat di permukaan air, tetapi saintis berpendapat haiwan ini ditolak ke atas oleh ribut atau arus yang kuat, atau mereka berakhir di sana apabila berada dalam kesusahan atau mati.
“Seekor Oarfish yang muncul di permukaan mungkin kelihatan seperti raksasa laut yang menakutkan, tetapi ia tidak mendatangkan bahaya kepada nelayan, pelayar atau orang awam,” tambah National Geographic.
“Kau tak boleh sambil lewa Syima. Umur macam Aina ni sekurang-kurangnya dah boleh bercakap 50 patah perkataan. Ni aku tengok dia diam je. Cakap pun ‘ma’ bukan ‘mama’. Kau dah bawa anak kau jumpa doktor pakar kanak-kanak?” soal Milah dengan nada yang penuh kebimbangan.
Syima hanya membisu. Sedikit sebanyak hatinya terusik. Dia mahu membawa anaknya itu bertemu dengan doktor pakar tetapi dilarang oleh suaminya. Kata suaminya anak mereka itu normal, cuma tidak banyak cakap.
“Aku bukannya nak menyibuk Syima cuma nak mengingatkan kau je. Dulu anak aku si Aiman tu pun macam ni juga, tak banyak bercakap. Aku bimbang, jadi aku terus bawa dia jumpa doktor pakar. Selepas beberapa kali jalani pemeriksaan, anak aku tu disahkan mengalami kelewatan pertuturan. Jadi aku tak naklah perkara yang sama berlaku terhadap Aina.” terang Milah dengan panjang lebar.
Riak wajah Syima mula berubah. Dia membetulkan duduknya. “Ceritalah lagi tentang pengalaman kau Milah. Aku nak tahu lebih lanjut. Aku belum membawa Aina berjumpa doktor pakar sebab aku fikir ini hanya perkara biasa. Lagipun perkembangan setiap kanak-kanak kan berbeza,” ujar Syima.
“Ya betul, setiap kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza. Tetapi secara amnya, pada usia 3 tahun, kanak-kanak dah boleh bercakap antara 3 hingga 4 patah perkataan dan tahu 1000 perkataan. Kalau mereka masih tidak bercakap dalam lingkungan itu, mereka mungkin mengalami kelewatan pertuturan. Kau tahu apa faktor yang menyebabkan anak-anak ini mengalami kelewatan pertuturan?” soal Milah.
Syima hanya menggelengkan kepala. Dia tidak tahu apa-apa mengenai penyakit tersebut. Tanpa membuang masa, Milah membalas, “antara faktornya ialah gangguan pendengaran, neurologi atau perkembangan.” Syima memandang anaknya dengan penuh hiba. Tiba-tiba dia rasa bersalah terhadap anaknya itu. Menyedari akan hal itu, Milah menepuk lembut bahu Syima.
“Jangan bimbang Syima. Masih tidak terlambat dan ada cara untuk merawat anak yang mengalami kelewatan pertuturan. Aku sarankan kau segeralah bawa anak kau berjumpa doktor pakar. Mereka akan membantu. Mereka akan jalankan ujian tertentu seperti ujian mendengar yang dapat membantu mereka mengenal pasti jika anak kau mengalami masalah pendengaran. Selepas itu, mereka akan jalankan terapi yang sesuai mengikut keperluan anak kau. Jangan risau.” kata Milah. Syima mengangguk tanda setuju. Dia akan memberitahu hal tersebut kepada suaminya dan mereka perlu berjumpa doktor pakar dengan segera, demi menyelamatkan anak tercinta.
Untuk pengetahuan anda, lazimnya bagi kanak-kanak berusia 3 tahun, mereka boleh menggunakan lebih kurang seribu patah perkataan, boleh menggunakan kata nama, kata sifat dan kata kerja dalam ayat yang mengandungi tiga hingga empat patah perkataan. Selain itu, mereka berupaya memanggil diri dan individu lain dengan nama. Mereka juga mampu bertanyakan soalan, bercerita dan menyanyikan lagu.
Sekiranya anda mendapati anak anda tidak bertindak balas terhadap suara atau bunyi, anda perlu segera membawa anak anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Tidak dinafikan dalam keadaan biasa agak sukar untuk ibu bapa mengetahui sama ada anak mengambil masa yang lama untuk mencapai perkembangan pertuturan atau bahasa atau mungkin mengalami masalah lain.
Antara simptom biasa mengenai anak-anak yang mengalami kelewatan pertuturan ialah:
Menjelang usia 15 bulan, si anak tidak berupaya untuk ‘membebel’.
Menjelang usia 2 tahun, mereka hanya dapat menurut kata-kata atau perbuatan dan tidak menuturkan perkataan atau frasa secara spontan.
Mereka tidak mampu menuturkan ayat pendek menjelang usia 3 tahun.
Antara tips yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkembangan anak-anak ialah:
Bercakap dengan anak anda sejak dia masih bayi.
Bayi memang akan ‘membebel’, layankan sahaja. Jangan biarkan dia ‘membebel’ sendirian.
Nyanyikan untuk anak anda sejak dia masih bayi.
Sebutkan perkataan dengan jelas kepada anak anda. Jangan gunakan bahasa pelat.
Jawab pertanyaan anak anda.
Cuba anda perhatikan anak anda yang berusia dalam lingkungan 2 hingga 3 tahun, adakah mereka dapat bertutur dengan baik? Atau adakah mereka menunjukkan tanda-tanda mengalami kelewatan pertuturan? Jika ada, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian dan rawatan jika perlu.
Mangsa yang terkorban dalam kemalangan lumba haram yang berlaku di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi 17 Julai lalu telah meningkat kepada empat orang. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mangsa keempat yang meninggal dunia tersebut ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun.
Manakala tiga orang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih dalam rawatan di Hospital Pulau Pinang. Mereka ialah Mohd Haziq bin Harris, 34 masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala, manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 berada di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala. Sementara itu, Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 juga dirawat di zon kuning akibat kecederaan dibahagian kaki, tangan dan muka.
Menurut Soffian lagi, semua mangsa yang terbabit nahas itu berasal dari Negeri Pulau Pinang dan Kedah. Katanya lagi, pihaknya menerima maklumat berkenaan kemalangan yang berlaku di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar itu pada jam 4.30 pagi.
Kata Soffian, “beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain. Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan.”
Tambah Soffian lagi, sebelum kemalangan berlaku, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut sudah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram itu. Mereka juga telah mengatur perancangan untuk menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram ini kerana bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mendatangkan kemudaratan,” kata Soffian.
Menurut salah seorang saksi nahas tersebut yang dikenali sebagai Nalza, 37 berkata, sebelum nahas berlaku, pihak polis telah meronda kawasan tersebut dan mereka yang yang terlibat dengan aktiviti rempit di situ bersurai. Namun tidak lama kemudian, penunggang motosikal datang semula dan kali ini jumlahnya semakin ramai. Difahamkan, aktiviti rempit seringkali diadakan di lokasi terbabit. Biarpun pihak berkuasa telah berusaha membanterasnya namun seakan mencurah air ke daun keladi, aktiviti rempit tersebut semakin rancak dijalankan terutama malam hujung minggu yang biasanya akan bermula kira-kira jam 11 malam.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan tiga penunggang motosikal yang terbabit dalam nahas itu maut di tempat kejadian. Mereka ialah Muhammad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19 dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22 yang merupakan kembar kepada Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani.
Kegiatan mencetak wang tiruan nampaknya masih berleluasa di negara ini. Terkini, dua perniagaan tempatan telah tertipu dengan seorang lelaki yang menggunakan wang palsu ketika membayar beliannya. Wang tiruan bernilai RM100 tersebut kelihatan sangat tulen hinggakan polis sendiri sukar mengecamkan wang tiruan tersebut.
Isu penggunaan wang tiruan ini telah diketengahkan oleh KwangSen MY melalui hantaran di Facebook baru-baru ini. Dia yang mengendalikan perniagaan aksesori telefon di kedai HOCX Cellular di Taman Tambak Paya Harmoni, Ayer Molek, Melaka berkata, pekerjanya telah menerima kunjungan lelaki tersebut pada 10 Julai lalu. Lelaki itu dikatakan telah menggunakan dua keping wang RM100 untuk membeli power bank dan kabel telefon yang berjumlah RM136.
Bercakap kepada SAYS, KwangSen berkata, dia telah mengalami kerugian berjumlah RM200 setelah menerima wang tiruan itu.
Menurut KwangSen lagi, pekerja yang menerima wang tersebut tidak merasakan apa-apa yang pelik ketika kejadian berlaku. “Pengurus Kedai hanya memberitahu saya bahawa dia mengesan sesuatu yang tidak kena (mengenai wang) ketika mereka hendak menutup kedai pada waktu malam.”
Apabila ditanya apakah yang tidak kena dengan wang tersebut, KwangSen berkata tekstur dan warna wang tersebut agak “pelik”.
Menurut KwangSen, wang dibahagian atas adalah wang tulen, manakala wang dibahagian bawah adalah wang tiruan.
Difahamkan, pada waktu itu, lelaki berkenaan membawa sejumlah wang RM100 di dalam dompetnya yang dipercayai berjumlah lebih daripada RM1000.
China Press melaporkan bahawa KwangSen telah membuat laporan polis pada keesokan harinya. Pegawai polis yang menerima laporan itu tidak percaya bahawa wang tersebut adalah wang tiruan dan meminta mereka menjelaskan bagaimana mereka tahu jika wang tersebut adalah wang tiruan.
Sementara itu, seorang pemilik kedai runcit, Gary Lim di Johor juga telah membuat pengakuan bahawa dia turut menerima wang tiruan daripada lelaki yang sama. Susulan kejadian itu, Lim telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa. Dalam laporan tersebut, Lim menjelaskan bahawa lelaki terbabit telah mengunjungi kedainya, Top Eleven Mini Mart di Kawasan Perniagaan Indah, Johor Bahru pada 11 Julai lalu. Lelaki itu telah membeli barangan dengan wang tiruan RM100.
Ketika dihibungi SAYS, Lim memberitahu bahawa lelaki tersebut telah pergi ke kedai pertamanya dan kakitangannya telah tertipu dengannya. Kemudian, Lim pergi ke kedai keduanya dan kakitangan di sana mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki berkenaan, lantas memeriksa wang yang diterima. Mereka mendapati itu adalah wang tiruan dan segera mengambil gambar.
Kata Lim, pada masa itu mereka semua tidak tahu bahawa kedai pertamanya juga telah menerima wang tiruan. Tidak mahu orang lain menjadi mangsa, Lim telah berkongsikan perihal tersebut di dalam kumpulan Whatsapp. Ketika itulah kakitangan dari kedai pertamanya sedar bahawa dia juga telah ditipu oleh lelaki yang sama. Namun, semuanya telah terlambat, tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Menurut Lim, lelaki itu akan terus bercakap dengan juruwang untuk mengalih perhatian mereka semasa melakukan pembayaran.
Jika dilihat dengan mata kasar, memang tidak tahu bahawa wang yang digunakan itu adalah wang tiruan. Oleh itu, kepada peniaga-peniaga terutama peniaga pasar malam diluar sana, jika boleh elakkan daripada mengambil bayaran yang melibatkan penggunaan wang RM100. Ini kerana pembuatan wang tiruan bukan sahaja semakin bijak mengaburi pandangan orang ramai malah pihak berkuasa juga.