Biasanya apabila membeli produk makanan atau minuman, kita akan memfokus kepada tarikh luput produk.
Namun tahukah anda sebenarnya terdapat perbezan antara “Guna Sebelum” (Use by) dan “Baik Sebelum” (Best before).
Pakar kimia Dr. Fatimah Salim menjelaskan menerusi hantaran di Facebook.
Perbezaan kedua jenis tarikh luput seperti berikut:
Guna Sebelum (Use by)
Tarikh yang tertera sebagai “Guna Sebelum” ialah akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan. Kebiasaannya ianya digunakan untuk produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.
Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah dibuang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan.
Baik Sebelum (Best Before)
Tarikh untuk label “Baik Sebelum” menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan. Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan. Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat kepada:
- Perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair)
- Warna (berubah dari yang asal)
- Bau (tengit disebabkan oksidasi)
- Rasa (tengit, masam) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan.
Sekiranya terdapat perubahan ini, maka anda seharusnya membuang terus produk ini.
Tips untuk memanjangkan jangka hayat produk:
Simpan di dalam peti ais (freezer atau chiller). Suhu yang rendah melambatkan proses tindak balas kimia bahan dalaman produk, juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak.