Dalam usaha membasmi serangan tikus yang bermaharajalela di Sandakan, Majlis Bandaraya Sandakan di Sabah telah menubuhkan kiosk untuk ‘membeli’ tikus, dengan harga RM1 seekor.
Walaupun ia mungkin kelihatan seumpama idea yang bagus untuk membendung serangan tikus, setiap ‘rancangan’ itu mungkin mempunyai kelemahannya.
Mana tidaknya, seorang ahli psikologi klinikal dan pengguna Twitter Aiman Psikologi berpendapat kempen itu mungkin menjadi cara membasmi yang akan mendapat akibat buruk, walaupun niat sebenar adalah baik.
“Orang ramai mungkin membiak tikus untuk memperoleh lebih banyak ganjaran daripada kempen itu,” tulisnya.
Beliau berkata, tikus-tikus itu sepatutnya dimusnahkan tetapi disebabkan kemungkinan boleh memperoleh pendapatan lebih daripada kempen itu, bilangan tikus mungkin meningkat jika ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab memutuskan untuk menternaknya.
Menurutnya, fenomena ini secara psikologi dikenali sebagai The Cobra Effect.
Apakah itu The Cobra Effect?
Menurut Psychology Today, ‘The Cobra Effect’ atau Kesan Cobra merujuk kepada kesan yang tidak diingini daripada insentif yang dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat atau individu.
Istilah ini berasal dari peristiwa kehidupan sebenar percubaan untuk menghapuskan ular berbisa di India ketika zaman kolonial British.
Kempen itu menjadi serangan balik dengan akibat buruk apabila rakyat pula berpusu-pusu menternak ular untuk mengumpul ganjaran bagi tangkapan mereka.