26.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024
UtamaKesihatanAnak berumur 3 tahun masih belum bercakap? Ibu bapa perlu risaukannya!

Anak berumur 3 tahun masih belum bercakap? Ibu bapa perlu risaukannya!

“Aina ni masih belum bercakap ke?” soal Milah ketika Syima sedang sibuk menguruskan anaknya semasa mereka keluar bersiar-siar di taman.

“Ha’a, dia belum bercakap. Biasalah tu, nanti besar sikit banyak cakap lah dia,” seloroh Syima.

PEXELS

“Kau tak boleh sambil lewa Syima. Umur macam Aina ni sekurang-kurangnya dah boleh bercakap 50 patah perkataan. Ni aku tengok dia diam je. Cakap pun ‘ma’ bukan ‘mama’. Kau dah bawa anak kau jumpa doktor pakar kanak-kanak?” soal Milah dengan nada yang penuh kebimbangan.

Syima hanya membisu. Sedikit sebanyak hatinya terusik. Dia mahu membawa anaknya itu bertemu dengan doktor pakar tetapi dilarang oleh suaminya. Kata suaminya anak mereka itu normal, cuma tidak banyak cakap.

“Aku bukannya nak menyibuk Syima cuma nak mengingatkan kau je. Dulu anak aku si Aiman tu pun macam ni juga, tak banyak bercakap. Aku bimbang, jadi aku terus bawa dia jumpa doktor pakar. Selepas beberapa kali jalani pemeriksaan, anak aku tu disahkan mengalami kelewatan pertuturan. Jadi aku tak naklah perkara yang sama berlaku terhadap Aina.” terang Milah dengan panjang lebar.

Riak wajah Syima mula berubah. Dia membetulkan duduknya. “Ceritalah lagi tentang pengalaman kau Milah. Aku nak tahu lebih lanjut. Aku belum membawa Aina berjumpa doktor pakar sebab aku fikir ini hanya perkara biasa. Lagipun perkembangan setiap kanak-kanak kan berbeza,” ujar Syima.

PEXELS

“Ya betul, setiap kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza. Tetapi secara amnya, pada usia 3 tahun, kanak-kanak dah boleh bercakap antara 3 hingga 4 patah perkataan dan tahu 1000 perkataan. Kalau mereka masih tidak bercakap dalam lingkungan itu, mereka mungkin mengalami kelewatan pertuturan. Kau tahu apa faktor yang menyebabkan anak-anak ini mengalami kelewatan pertuturan?” soal Milah.

Syima hanya menggelengkan kepala. Dia tidak tahu apa-apa mengenai penyakit tersebut. Tanpa membuang masa, Milah membalas, “antara faktornya ialah gangguan pendengaran, neurologi atau perkembangan.” Syima memandang anaknya dengan penuh hiba. Tiba-tiba dia rasa bersalah terhadap anaknya itu. Menyedari akan hal itu, Milah menepuk lembut bahu Syima.

“Jangan bimbang Syima. Masih tidak terlambat dan ada cara untuk merawat anak yang mengalami kelewatan pertuturan. Aku sarankan kau segeralah bawa anak kau berjumpa doktor pakar. Mereka akan membantu. Mereka akan jalankan ujian tertentu seperti ujian mendengar yang dapat membantu mereka mengenal pasti jika anak kau mengalami masalah pendengaran. Selepas itu, mereka akan jalankan terapi yang sesuai mengikut keperluan anak kau. Jangan risau.” kata Milah. Syima mengangguk tanda setuju. Dia akan memberitahu hal tersebut kepada suaminya dan mereka perlu berjumpa doktor pakar dengan segera, demi menyelamatkan anak tercinta.

PEXELS

Untuk pengetahuan anda, lazimnya bagi kanak-kanak berusia 3 tahun, mereka boleh menggunakan lebih kurang seribu patah perkataan, boleh menggunakan kata nama, kata sifat dan kata kerja dalam ayat yang mengandungi tiga hingga empat patah perkataan. Selain itu, mereka berupaya memanggil diri dan individu lain dengan nama. Mereka juga mampu bertanyakan soalan, bercerita dan menyanyikan lagu.

Sekiranya anda mendapati anak anda tidak bertindak balas terhadap suara atau bunyi, anda perlu segera membawa anak anda berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Tidak dinafikan dalam keadaan biasa agak sukar untuk ibu bapa mengetahui sama ada anak mengambil masa yang lama untuk mencapai perkembangan pertuturan atau bahasa atau mungkin mengalami masalah lain.

Antara simptom biasa mengenai anak-anak yang mengalami kelewatan pertuturan ialah:

  1. Menjelang usia 15 bulan, si anak tidak berupaya untuk ‘membebel’.
  2. Menjelang usia 2 tahun, mereka hanya dapat menurut kata-kata atau perbuatan dan tidak menuturkan perkataan atau frasa secara spontan.
  3. Mereka tidak mampu menuturkan ayat pendek menjelang usia 3 tahun.
  4. Mereka sukar mengikuti arahan.
  5. Mengalami sebutan atau artikulasi yang lemah.
  6. Sukar menghubungkan perkataan dalam satu ayat.
  7. Tidak berupaya melengkapkan ayat.
PEXELS

Sebagai ibu bapa, apa yang boleh anda lakukan terhadap anak anda yang mengalami kelewatan pertuturan ialah:

  1. Bercakap perkara yang mudah dengan anak sepanjang hari seperti tanyakan apa yang anda lakukan, lihat atau makan.
  2. Nyanyikan lagu ringkas yang mudah diulang.
  3. Berikan sepenuh perhatian ketika bercakap dengan anak anda. Sabar apabila mereka cuba menuturkan perkataan.
  4. Apabila seseorang bertanyakan soalan kepada si anak, jangan jawab bagi pihaknya.
  5. Walaupun anda tahu keperluan anak anda, biarkan mereka menyatakannya sendiri.
  6. Ulang perkataan dengan sebutan yang betul adalah lebih baik daripada mengkritik akan kesalahannya.
  7. Biarkan anak anda berkomunikasi dengan kanak-kanak yang tidak mengalami masalah pertuturan.
  8. Tanyakan soalan dan berikan pilihan, berikan lebih masa kepada anak untuk dia memberi tindak balas.
PEXELS

Antara tips yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkembangan anak-anak ialah:

  1. Bercakap dengan anak anda sejak dia masih bayi.
  2. Bayi memang akan ‘membebel’, layankan sahaja. Jangan biarkan dia ‘membebel’ sendirian.
  3. Nyanyikan untuk anak anda sejak dia masih bayi.
  4. Sebutkan perkataan dengan jelas kepada anak anda. Jangan gunakan bahasa pelat.
  5. Jawab pertanyaan anak anda.

Cuba anda perhatikan anak anda yang berusia dalam lingkungan 2 hingga 3 tahun, adakah mereka dapat bertutur dengan baik? Atau adakah mereka menunjukkan tanda-tanda mengalami kelewatan pertuturan? Jika ada, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian dan rawatan jika perlu.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI