Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor ikan gergasi sepanjang 4.8 meter (16 kaki) yang mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat.
Kepercayaan tahyul masyarakat tempatan di Chile mengaitkan akan berlaku gempa bumi selepas kemunculan ikan gergasi dengan spesies dikenali sebagai ‘Oarfish’, Daily Star UK melaporkan.
Ikan luar biasa jarang ditemui itu ditangkap di luar pantai Chile dan masyarakat tempatan yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat makhluk laut ganjil tersebut.
Rakaman di TikTok yang dikongsi penduduk tempatan menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika para nelayan memindahkannya ke darat.
Spesies ‘Oarfish’ yang juga digelar ‘King of the Herrings’ itu berukuran hampir 5 meter (4.8 meter).
Rakaman video itu mendapat perhatian 10 juta pengguna TikTok. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda buruk gempa bumi yang dahsyat mungkin berlaku.
“Isunya di sini ke mana kita akan melarikan diri jika bencana itu berlaku,” komen seorang pengguna media sosial.
Sesetengah orang juga percaya sesiapa yang menemui ikan dayung atau ‘Oarfish’ akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah satu petanda buruk.
‘Oarfish’ hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak.
Menurut National Geographic, walaupun ‘Oarfish’ berkemungkinan menjadi sumber kepada banyak kisah bersejarah dan dongeng mengenai raksasa laut, ia tidak berbahaya kepada manusia.
‘Oarfish’ memakan plankton kecil dan mempunyai lubang kecil pada sistem pencernaannya.
Spesies ‘Oarfish’ tidak mempunyai gigi asli, sebaliknya mempunyai struktur lebih tipis dipanggil penyapu insang untuk menangkap organisma kecil.
“Oarfish hanya kadang-kadang dilihat di permukaan air, tetapi saintis berpendapat haiwan ini ditolak ke atas oleh ribut atau arus yang kuat, atau mereka berakhir di sana apabila berada dalam kesusahan atau mati.
“Seekor Oarfish yang muncul di permukaan mungkin kelihatan seperti raksasa laut yang menakutkan, tetapi ia tidak mendatangkan bahaya kepada nelayan, pelayar atau orang awam,” tambah National Geographic.